Categories
SELANGOR

Selangor lulus RM1.9 juta setahun perkasa Pesuruhjaya Bangunan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 8 FEB: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan RM1.9 juta setahun bagi menstruktur semula Pesuruhjaya Bangunan (COB) di seluruh negeri itu.

Penstrukturan semula berkenaan melibatkan penambahan kakitangan yang mampu melicinkan lagi kerja memantau perjalanan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) pangsapuri di negeri itu.

iskandar 01Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, perkara itu diluluskan dalam Mesyuarat Exco, pada 4 Februari lalu.

“Kita melihat COB ini perlu diperkukuhkan dengan menambah kakitangan. Kita luluskan contohnya di MPAJ ada sembilan kakitangan, kita tambah lagi lapan menjadikannya 17.

“Pertambahan yang banyak melibatkan PBT kelas satu iaitu mengandungi petak berstrata seperti MBPJ, MBSA dan MPK,” katanya ketika menghadiri program penerangan Majlis Perundingan Rakyat Pandan (MPRP) di Dewan Ahli Majlis Pandan Indah, di sini, semalam.

Iskandar berkata, antara isu yang sering timbul dalam kalangan penduduk bangunan berstrata termasuk isu penyelenggaraan.

iskandar-samad-pink-01Sementara itu, ketika mengulas penubuhan MPRP, Iskandar yang juga Adun Cempaka menjelaskan majlis itu ditubuhkan bagi membolehkan penduduk kawasan terbabit menyalurkan maklumat atau aduan kepada beliau.

“Sebelum ini, Adun hanya dibantu sama ada parti dan kerajaan. Oleh sebab itu, kita wujudkan satu lagi saluran untuk memudahkan rakyat menyalurkan aduan dan bekerjasama untuk selesaikan sesuatu isu.

“MPRP terbuka kepada semua. Sesiapa sahaja boleh mendaftar jadi ahli tak kira parti politik supaya wujud lebih banyak komunikasi antara saya dengan penduduk,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Takaful Skim Seroja Kepada Petugas Kejiranan Pangsapuri

SERI KEMBANGAN, 10 NOV : Sesuai dengan jolokan negeri berkebajikan Kerajaan Selangor mengorak selangkah lagi kehadapan dengan memperkenalkan skim caruman insurans takaful kepada petugas rondaan kejiranan pangsapuri.

Selaras dengan pelancaran Skim Rondaan Kejiranan (Seroja), caruman sebanyak RM15 setahun ini sebagai langkah penjagaan keselamatan ketika bertugas melakukan rondaan.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ini dimulakan di Pangsapuri A27-A30, Taman Puchong Permai sebagai perintis awal sebelum dikembangkan ke seluruh negeri.

Menurut Iskandar, penyediaan caruman ini membuktikan Kerajaan Negeri prihatin dengan keselamatan petugas dan perkara ini dibuat mengikut standard piawaian.

“Kita akan carumkan insurans takaful kepada mereka supaya mendapat perlindungan sekiranya ada masalah ketika bertugas.

“Bila dibuat mengikut piawaian, tidak ada pihak yang boleh pertikai.

“Apa yang penting, kita mahu menghidupkan suasana bermasyarakat,” katanya.

Skim ini memperuntukkan hampir RM3,000 kepada setiap JMB termasuk pemberian 25 vest dan lampu picit.

Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri mensasarkan tiga lokasi awal untuk tahun ini dengan menempatkan 100 orang petugas.

Untuk tahun 2013, 10 tempat yang dirasakan kritikal akan ditambah dan menjadikannya 13 lokasi secara keseluruhan.

Jelas Iskandar, Skim Seroja ini akan dipantau sepenuhnya Pesuruhjaya Bangunan (COB).

Selain itu, Skim Seroja turut mendapat kerjasama polis di mana pihak Badan Pengurusan Bertindak (JMB/JMC) perlu mengemukakan nama petugas untuk rekod semakan.

“Untuk tempoh dua tahun kita akan pantau dan bantu. Bila dah tahun kedua atau ketiga kita akan jadikan ia program tetap dan dimasukkan dalam belanjawan,” ujarnya lagi.

Dalam majlis sama, Iskandar turut menyerahkan Sijil Skim Ceria kepada tiga JMB iaitu Pangsapuri F9-F10 dan Pangsapuri F5-F8 yang mana masing-masing mendapat bantuan membaik pulih lif.

Manakala Pangsapuri Kenangan, Bukit Kinrara mendapat bantuan mengecat semula 252 unit pangsapuri.

Sementara itu, Pengerusi JMC Blok A27-A30 Pangsapuri Kos Rendah Taman Puchong Permai, Ibrahim Sabar menyambut baik pemilihan kawasannya sebagai perintis Skim Seroja.

Katanya, dengan adanya skim ini tanggungjawab pihak JMC kini akan lebih besar dan diharapkan semua penduduk akan bekerjasama menjaga keharmonian setempat.

“Di sini setiap bulan hampir dua buah motosikal hilang. Itu masalah besar.

“Masalah kecil yang memeningkan kepala kami adalah kehilangan minyak motosikal. Mungkin ini kerja anak muda yang merempit dan kami menjadi mangsanya.

“Diharapkan dengan program ini kami dapat membenteras masalah ini,” jelasnya lagi.