Categories
SELANGOR

Takaful Skim Seroja Kepada Petugas Kejiranan Pangsapuri

SERI KEMBANGAN, 10 NOV : Sesuai dengan jolokan negeri berkebajikan Kerajaan Selangor mengorak selangkah lagi kehadapan dengan memperkenalkan skim caruman insurans takaful kepada petugas rondaan kejiranan pangsapuri.

Selaras dengan pelancaran Skim Rondaan Kejiranan (Seroja), caruman sebanyak RM15 setahun ini sebagai langkah penjagaan keselamatan ketika bertugas melakukan rondaan.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ini dimulakan di Pangsapuri A27-A30, Taman Puchong Permai sebagai perintis awal sebelum dikembangkan ke seluruh negeri.

Menurut Iskandar, penyediaan caruman ini membuktikan Kerajaan Negeri prihatin dengan keselamatan petugas dan perkara ini dibuat mengikut standard piawaian.

“Kita akan carumkan insurans takaful kepada mereka supaya mendapat perlindungan sekiranya ada masalah ketika bertugas.

“Bila dibuat mengikut piawaian, tidak ada pihak yang boleh pertikai.

“Apa yang penting, kita mahu menghidupkan suasana bermasyarakat,” katanya.

Skim ini memperuntukkan hampir RM3,000 kepada setiap JMB termasuk pemberian 25 vest dan lampu picit.

Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri mensasarkan tiga lokasi awal untuk tahun ini dengan menempatkan 100 orang petugas.

Untuk tahun 2013, 10 tempat yang dirasakan kritikal akan ditambah dan menjadikannya 13 lokasi secara keseluruhan.

Jelas Iskandar, Skim Seroja ini akan dipantau sepenuhnya Pesuruhjaya Bangunan (COB).

Selain itu, Skim Seroja turut mendapat kerjasama polis di mana pihak Badan Pengurusan Bertindak (JMB/JMC) perlu mengemukakan nama petugas untuk rekod semakan.

“Untuk tempoh dua tahun kita akan pantau dan bantu. Bila dah tahun kedua atau ketiga kita akan jadikan ia program tetap dan dimasukkan dalam belanjawan,” ujarnya lagi.

Dalam majlis sama, Iskandar turut menyerahkan Sijil Skim Ceria kepada tiga JMB iaitu Pangsapuri F9-F10 dan Pangsapuri F5-F8 yang mana masing-masing mendapat bantuan membaik pulih lif.

Manakala Pangsapuri Kenangan, Bukit Kinrara mendapat bantuan mengecat semula 252 unit pangsapuri.

Sementara itu, Pengerusi JMC Blok A27-A30 Pangsapuri Kos Rendah Taman Puchong Permai, Ibrahim Sabar menyambut baik pemilihan kawasannya sebagai perintis Skim Seroja.

Katanya, dengan adanya skim ini tanggungjawab pihak JMC kini akan lebih besar dan diharapkan semua penduduk akan bekerjasama menjaga keharmonian setempat.

“Di sini setiap bulan hampir dua buah motosikal hilang. Itu masalah besar.

“Masalah kecil yang memeningkan kepala kami adalah kehilangan minyak motosikal. Mungkin ini kerja anak muda yang merempit dan kami menjadi mangsanya.

“Diharapkan dengan program ini kami dapat membenteras masalah ini,” jelasnya lagi.

Categories
SELANGOR

194,000 Pemilik Pangsapuri Kos Rendah Di Selangor Mula Nikmati Potongan Cukai

PANDAN JAYA 3 OGOS : Pemilik pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor boleh menikmati pengurangan cukai taksiran sebanyak 25 peratus bermula sesi kedua pembayaran Julai-Disember 2012.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, berita baik ini melibatkan 194,000 pemilik pangsapuri kos rendah di negeri ini.

Syarat kelayakkan pengurangan cukai ini adalah pangsapuri tersebut didiami sendiri pemilik, pangsapuri yang didiami oleh waris pemilik, sama ada pemilik masih hidup atau meninggal dunia dan pemilik yang tidak mempunyai tunggakan.

Menurut Iskandar, meskipun perkara ini dimaklumkan pada awal Ogos, pemilik yang sudah membuat bayaran pada Julai turut merasai pengurangan berkenaan pada sesi pembayaran Januari- Jun 2013.

“Bagi yang  membuat bayaran untuk tempoh tersebut, pengurangan ini akan dibawa ke hadapan untuk Januari – Jun 2013. Oleh itu pemilik akan mendapat pengurangan 50 peratus untuk tempoh Januari – Jun 2013.

“Pengurangan akan diberikan ‘on the spot’ bila pemilik yang layak membuat bayaran di kaunter pembayaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengemukakan borang khas yang telah disahkan,” katanya yang juga Adun Cempaka.

Borang pengurangan cukai taksiran ini boleh didapati melalui pihak PBT, dimuat turun daripada laman web rasmi Kerajaan Negeri Selangor dan dicetak di dalam akhbar Selangor Kini dan Selangor Times sebelum 15 September 2012.

Borang ini juga akan turut diletakkan di pusat khidmat masyarakat di semua DUN Selangor.

Jelas Iskandar lagi, sepatutnya tempoh akhir bayaran perlu dibuat pada 31 Ogos 2012 namun pihaknya akan melanjutkan tempoh berkenaan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi memberi peluang semua pemilik menikmati pengurangan ini.

Pengesahan borang ini boleh dibuat oleh Ahli Jawatankuasa JMB, Ahli Majlis MC, Pesuruhjaya Bangunan PBT (COD) atau Ahli Majlis PBT setempat.

Menurutnya lagi, kadar bayaran cukai taksiran di Selangor dalam anggaran RM90 hingga RM120 setiap setengah tahun.

“Melalui pengurangan cukai ini, Kerajaan Negeri akan mengalami defisit sebanyak RM20 juta untuk PBT setahun. Sebagai contoh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperolehi penjimatan sebanyak RM11 juta hasil pengurusan sisa pepejal.

“Mereka memperuntukkan RM6 juta untuk penurunan cukai taksiran ini namun masih memperoleh keuntungan sebanyak RM5 juta,” jelas Iskandar.

Di Selangor, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mempunyai pangsapuri terbanyak dengan 38, 296 unit diikuti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan jumlah 36, 620 unit dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan 32, 332 unit.

Dalam pada itu, Gabungan Wakil Penduduk Flat Pandan Jaya berterima kasih diatas langkah kerajaan negeri menurunkan cukai taksiran sebanyak 25 peratus sekaligus meringankan beban mereka selama ini.

Penduduk Pangsapuri L38A, Roziah A. Aziz berkata, keprihatinan kerajaan negeri ini jelas membuktikan pentadbiran yang diketuai oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid mengutamakan rakyat dalam setiap tindakan.

“Sebelum ini kami terpaksa menampung kos yang agak tinggi untuk menjelaskan cukai taksiran setiap tahun.

“Tetapi dengan penurunan yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini dapatlah kami menampung perbelanjaan yang lain seperti bil elektrik dan telefon yang turut membebankan kami juga,” katanya.