Categories
SELANGOR

Skim Seroja Bukan Bersaing Dengan Rukun Tetangga

SHAH ALAM,15 NOV : Skim Rondaan Kejiranan (Seroja) yang ditubuhkan Kerajaan Negeri bukan bertujuan menyaingi Rukun Tetangga tetapi ia bermatlamat mewujudkan rasa tanggungjawab penduduk serta semangat gotong-royong dan membanteras kegiatan vandalisme.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, skim yang dimulakan di Pangsapuri Taman Puchong Permai pada 10 November lepas adalah sebahagian dari Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria Dan Harmoni yang dilancarkan pada tahun 2009.

“Tiga kawasan perintis dikenalpasti untuk dilaksanakan pada tahun ini.

“Skim ini adalah khusus untuk penduduk pangsapuri-pangsapuri di Selangor yang mahu membuat rondaan keselamatan di dalam kawasan pangsapuri mereka,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, rondaan adalah terhad kepada kawasan-kawasan di bawah bidangkuasa Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) dan Perbadanan Pengurusan (MC).

“Kerajaan Negeri akan mencarumkan perlindungan takaful untuk setiap sukarelawan Seroja.

“Setiap kawasan pangsapuri yang menyertai skim ini juga akan diberikan vest dan lampu suluh untuk digunakan ketika meronda,” kata Iskandar.

Jelas beliau, sekiranya skim ini berjaya di kawasan-kawasan perintis itu maka skim itu akan dilaksanakan di sepuluh lagi kawasan pada tahun hadapan.

“Walau bagaimanapun, bilangan kawasan ini akan ditambah jika terdapat permintaan yang menggalakkan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Takaful Skim Seroja Kepada Petugas Kejiranan Pangsapuri

SERI KEMBANGAN, 10 NOV : Sesuai dengan jolokan negeri berkebajikan Kerajaan Selangor mengorak selangkah lagi kehadapan dengan memperkenalkan skim caruman insurans takaful kepada petugas rondaan kejiranan pangsapuri.

Selaras dengan pelancaran Skim Rondaan Kejiranan (Seroja), caruman sebanyak RM15 setahun ini sebagai langkah penjagaan keselamatan ketika bertugas melakukan rondaan.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ini dimulakan di Pangsapuri A27-A30, Taman Puchong Permai sebagai perintis awal sebelum dikembangkan ke seluruh negeri.

Menurut Iskandar, penyediaan caruman ini membuktikan Kerajaan Negeri prihatin dengan keselamatan petugas dan perkara ini dibuat mengikut standard piawaian.

“Kita akan carumkan insurans takaful kepada mereka supaya mendapat perlindungan sekiranya ada masalah ketika bertugas.

“Bila dibuat mengikut piawaian, tidak ada pihak yang boleh pertikai.

“Apa yang penting, kita mahu menghidupkan suasana bermasyarakat,” katanya.

Skim ini memperuntukkan hampir RM3,000 kepada setiap JMB termasuk pemberian 25 vest dan lampu picit.

Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri mensasarkan tiga lokasi awal untuk tahun ini dengan menempatkan 100 orang petugas.

Untuk tahun 2013, 10 tempat yang dirasakan kritikal akan ditambah dan menjadikannya 13 lokasi secara keseluruhan.

Jelas Iskandar, Skim Seroja ini akan dipantau sepenuhnya Pesuruhjaya Bangunan (COB).

Selain itu, Skim Seroja turut mendapat kerjasama polis di mana pihak Badan Pengurusan Bertindak (JMB/JMC) perlu mengemukakan nama petugas untuk rekod semakan.

“Untuk tempoh dua tahun kita akan pantau dan bantu. Bila dah tahun kedua atau ketiga kita akan jadikan ia program tetap dan dimasukkan dalam belanjawan,” ujarnya lagi.

Dalam majlis sama, Iskandar turut menyerahkan Sijil Skim Ceria kepada tiga JMB iaitu Pangsapuri F9-F10 dan Pangsapuri F5-F8 yang mana masing-masing mendapat bantuan membaik pulih lif.

Manakala Pangsapuri Kenangan, Bukit Kinrara mendapat bantuan mengecat semula 252 unit pangsapuri.

Sementara itu, Pengerusi JMC Blok A27-A30 Pangsapuri Kos Rendah Taman Puchong Permai, Ibrahim Sabar menyambut baik pemilihan kawasannya sebagai perintis Skim Seroja.

Katanya, dengan adanya skim ini tanggungjawab pihak JMC kini akan lebih besar dan diharapkan semua penduduk akan bekerjasama menjaga keharmonian setempat.

“Di sini setiap bulan hampir dua buah motosikal hilang. Itu masalah besar.

“Masalah kecil yang memeningkan kepala kami adalah kehilangan minyak motosikal. Mungkin ini kerja anak muda yang merempit dan kami menjadi mangsanya.

“Diharapkan dengan program ini kami dapat membenteras masalah ini,” jelasnya lagi.