Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Asia: Skuad B-23 yakin tumpaskan Laos esok

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Hanya kemenangan yang menjadi misi skuad muda negara apabila turun menentang Laos dalam aksi sulung Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia Bawah-23 tahun 2022 di Mongolia esok.

Menyedari tidak boleh mengambil mudah cabaran pasukan lawan, penyerang sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin berkata beliau dan rakan-rakannya, sudah bersedia untuk memulakan kejohanan kelayakan itu dengan kemenangan, di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF), di Ulaanbaatar.

“Semestinya menang, itu sasaran pasukan. Kita tak nak kalah, tak nak seri, cuma mahu menang sahaja buat rakyat Malaysia…semua pemain kena lakukan sesuatu, kita semua mahu menang esok,” katanya menerusi video dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada media hari ini.

Pemain berusia 19 tahun yang beraksi dengan kelab KV Kortrijk di liga utama Belgium itu, mengakui perlu bersedia dan bijak untuk mengucar-kacirkan barisan pertahanan lawan sekiranya mereka merancang untuk ‘merantai’ pergerakan beliau.

“Bagi saya itu tiada ada masalah, (jika) itu perancangan mereka, jurulatih Brad Maloney pun ada perancangannya sendiri, dengan perancangan teknikal untuk Malaysia. Itu biasalah, sebagai penyerang mesti ada orang sasarkan, saya kena bijak dan jangan ambil mudah,” jelasnya.

Sementara itu, Maloney berkata anak buahnya dapat menyesuaikan diri dengan baik keadaan di Ulaanbaatar, termasuk cuaca sejuk yang turun sehingga enam darjah celsius pada waktu siang selain beraksi di padang sintetik.

“Ya, keadaan padang akan berbeza apabila anda bermain di rumput asli dengan tiruan, kita perlu biasakan, itulah keadaan pada kejohanan, jadi lebih cepat kita dapat adaptasi, adalah lebih baik. Saya rasa kesemua tiga-tiga lawan mempunyai kualiti baik, dan setiap perlawanan agak mencabar.

“Kita telah bertemu dengan pasukan ini di kejohanan berbeza sejak beberapa tahun lepas, ia sentiasa perlawanan yang mencabar. Saya percaya pasukan ini akan dapat menjadi satu pasukan yang mampu membuatkan Malaysia berbangga,” katanya.

Selepas aksi menentang Laos esok, Malaysia akan bertemu tuan rumah Mongolia pada Khamis (28 Oktober) dan menutup kempen dengan aksi menentang Thailand pada 31 Oktober.

Sebanyak 16 pasukan akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 19 Jun depan, termasuk pasukan tuan rumah Uzbekistan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Malaysia atasi Thailand 1-0, nyalakan peluang ke Piala Asia 2023

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Harapan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 terus menyala selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi ini.

Gol kemenangan skuad Harimau Malaya di Stadium Al Maktoum dijaringkan pemain sayap kanan Muhammad Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada babak kedua perlawanan untuk membantu pasukan mencatat kemenangan kedua ke atas skuad bimbingan Akira Nishino pada kempen itu.

Kejayaan membenam Thailand membolehkan Malaysia merampas kedudukan ketiga Kumpulan G daripada skuad Gajah Perang itu dan melangkah secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Keputusan itu turut menyaksikan ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe meraih kemenangan keduanya ke atas Thailand, selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat pertemuan kedua-dua pasukan sejak mula menggalas tugas pada Disember 2017.

Pada perlawanan ‘hidup mati’ itu, kedua-dua pasukan yang memburu kemenangan pertama sejak kempen kelayakan itu bersambung melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama masing-masing sebagai menyuntik nafas baharu dalam pasukan bagi memburu tiga mata berharga.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

AFC umum tarikh baharu Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) malam tadi mengumumkan tarikh baharu Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada Mac dan Jun sebelum digantung susulan pandemik Covid-19.

Selepas berbincang dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), AFC dalam kenyataannya berkata baki perlawanan bagi pusingan kedua kelayakan bersama ini dijadualkan pada Oktober dan November.

AFC berkata hari perlawanan 7 dan 8 masing-masing akan diadakan pada 8 dan 13 Oktober, manakala hari perlawanan 9 dan 10 dijadualkan pada 12 dan 17 November bagi memastikan pusingan kedua kelayakan bersama itu selesai pada November ini.

Ini bagi memastikan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 (Asia) dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia China 2023 dimulakan pada Mac 2021, tarikh perlawanan yang ditetapkan dalam Kalendar Antarabangsa FIFA.

“AFC akan terus memantau rapat situasi ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pasukan, pegawai, peminat dan pemegang taruh selain akan memaklumkan semua pihak jika ada keperluan semakan semula jadual perlawanan susulan kesan pandemik Covid-19,” kata AFC.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan menyambung semula semula aksi kelayakan dalam Kumpulan G menentang Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi pada 8 Oktober, sebelum bertemu Vietnam lima hari kemudian dan menamatkan kempen dengan menentang Thailand di Bangkok pada 17 Nov.

Malaysia berada di tempat kedua dengan sembilan mata, mengekori pendahulu kumpulan, Vietnam yang mengutip 11 mata, Thailand di tempat ketiga dengan lapan mata, UAE (6 mata) dengan kelebihan satu perlawanan dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Hoki: Malaysia ke final Piala Asia buat kali pertama sejak 1982

DHAKA 22 OKT: Malaysia menempah tempat dipentas final Piala Asia buat pertama kali dalam tempoh 35 tahun apabila mengikat Korea Selatan 1-1.

Malaysia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak bagaimanapun menempuh detik mencabar sepanjang perlawanan apabila Korea Selatan yang memerlukan kemenangan mendahului Malaysia 1-0 pada minit ke-24.

Sebelum ini, skuad negara yang sudah layak ke Piala Dunia menang ke atas Pakistan dan tewas kepada India dalam pusingan round robin dalam dua perlawanan awal.

Pada perlawanan yang ditunda ke jam 11.30 tengah malam tadi (waktu Malaysia) akibat hujan lebat.

Korea Selatan mendahului pada minit ke-24, menerusi pukulan sudut penalti Yang Jihun yang menembusi kawalan S Kumar sekaligus menyalakan harapan mereka untuk mara ke Piala Dunia.

Namun, Malaysia meleburkan harapan mereka apabila Faizal Shaari mengikat kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59.

Kemenangan itu membolehkan skuad negara menempah tiket ke final bertemu India, hari ini.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Pyongyang kekal venue Malaysia-Korea Utara

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Pyongyang kekal menjadi venue antara Harimau Malaya dan Korea Utara dalam aksi kumpulan B Kelayakan Piala Asia, pada 5 Oktober ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, buat masa ini tiada keperluan menukar venue perlawanan, malah Konfiderasi Bola Sepak Asia AFC juga sudah melakukan pemeriksaan dan mengesahkan ia selamat.

“Kita akan beraksi di Pyongyang atas arahan AFC dan mereka sudah melakukan pemeriksaan serta mengesahkan Malaysia boleh bermain di sana. Venue sama juga akan digunakan Lubnan.

“Jika AFC gelanggang itu tidak selamat sebelum 5 Oktober, maka pertukaran boleh dilakukan bila-bila masa,” katanya.

Katanya, satu pertemuan dengan wakil Korea Utara sudah diadakan tetapi butiran terperinci akan dimaklumkan kemudian.

Sebelum ini, pertemuan Malaysia-Korea Utara terpaksa ditunda dua kali kerana masalah diplomatik antara kedua negara.