Categories
AGENDA NASIONAL

‘Pikachu’ tambat hati kanak-kanak terima suntikan vaksin Covid-19

PUTRAJAYA, 15 FEB: Kehadiran ‘Pikachu’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (3) di sini, menceriakan suasana sekali gus mengurangkan rasa gementar kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di pusat pemberian vaksin (PPV) itu hari ini.

Sebaik sampai di PPV tersebut, kanak-kanak riang disapa watak animasi terkenal Jepun itu, yang merupakan inisiatif Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah tersebut Mohd Ridzuan Che Lah, dengan beliau sendiri menyarung kostum ‘Pikachu’ itu.

“Memandangkan hari ini ramai penerima adalah daripada murid prasekolah, jadi saya buat keputusan untuk pakai kostum Pikachu ini, supaya mereka gembira dan tidak berasa takut untuk menerima suntikan.

“Alhamdulillah, kanak-kanak yang hadir tertarik dan ada yang teruja apabila melihat Pikachu di PPV ini, malah dapat ambil gambar dengan ‘Pikachu’ selepas menerima suntikan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Ridzuan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata beliau akan memakai kostum ‘Pikachu’ itu sehingga sesi pemberian vaksin di PPV tersebut selesai hari ini.

“Memanglah panas dalam kostum ini, tetapi saya sebagai guru mahu semua menerima perlindungan daripada wabak Covid-19,” katanya yang yakin pemberian vaksin kepada kanak-kanak dapat mencegah jangkitan di sekolah.

Tinjauan Bernama mendapati dewan SK Putrajaya Presint 11(3) yang dijadikan lokasi PPV itu, turut dihiasi dengan belon dan kon berwarna warni bagi menceriakan suasana untuk kanak-kanak menerima suntikan vaksin.

Seorang ibu, Dr Nor Azlinawani Husin, 39, yang membawa tiga anaknya Azam Al Furqan Mohd Haziman, 9, Aisya As Sofea, 8, dan Airin Ayatul Husna, 6, untuk menerima suntikan di PPV itu berasa lega kerana mereka kini mendapat perlindungan daripada Covid-19.

“Saya memang menunggu pelaksanaan PICKids ini. Ia adalah ikhtiar saya kerana kanak-kanak juga terdedah dengan jangkitan. Apabila selesai suntikan, segalanya kita serahkan kepada Allah SWT,” kata doktor yang bertugas di Hospital Putrajaya itu.

Azam Al Furqan yang sememangnya ingin menerima suntikan vaksin itu kerana tidak mahu dijangkiti Covid-19 berkata: “Sakit sikit sahaja ketika disuntik, lepas itu tidak rasa apa-apa.”

PICKids dilancarkan pada 3 Feb lepas dengan menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berusia lima hingga bawah 11 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 206,000 kanak-kanak terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Sebanyak 206,748 atau 5.8 peratus populasi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,373,479 atau 56.8 peratus populasi dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak COVID-19, setakat semalam.

Sejumlah 22,938,190 individu atau 97.5 peratus daripada populasi itu berjaya melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,214,625 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,796,021 individu atau 89.9 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,875,825 atau 92.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 149,888 dos vaksin diberikan meliputi 38,738 dos pertama; 1,489 dos kedua dan 109,661 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65,198,894 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 24 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor dan Sabah masing-masing lima kes, Selangor dengan empat kes, Kedah melaporkan tiga kes manakala Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing dua kes dan Perak satu kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 170,000 kanak-kanak sudah terima vaksin

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Sebanyak 169,710 atau 4.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

PICKids dilancarkan 3 Februari lalu dengan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.

Sementara itu, berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,258,893 atau 56.4 peratus populasi dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak Covid-19, setakat semalam.

Sejumlah 22,936,644 individu atau 97.5 peratus daripada populasi itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,212,859 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,795,507 individu atau 89.8 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,874,510 atau 92.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 118,875 dos vaksin diberikan meliputi 35,441 dos pertama, 649 dos kedua dan 82,785 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65,042,686 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 11 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu lima kes, diikuti Johor dengan empat kes, manakala satu kes masing-masing direkodkan di Kelantan dan Pahang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 130,000 kanak-kanak terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Sebanyak 135,478 atau 3.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Sementara itu, berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,174,229 atau 56 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 bagi tempoh sama.

Sejumlah 22,936,160 individu atau 97.5 peratus daripada kumpulan itu melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,212,186 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,795,278 individu atau 89.8 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,873,770 atau 92.3 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 142,800 dos vaksin diberikan meliputi 38,851 dos pertama, 727 dos kedua dan 103,222 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 64,921,735 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 15 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Perak dan Johor mencatatkan kes tertinggi iaitu masing-masing empat kes, diikuti Kelantan dan Terengganu masing-masing dua kes, manakala satu kes masing-masing direkodkan di Kedah, Melaka dan Sabah.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PICKids berjaya vaksin hampir 98,000 kanak-kanak di Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Sebanyak 97,975 atau 2.7 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

PICKids dilancarkan 3 Februari lalu dengan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.

Dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin untuk kanak-kanak, sebanyak 1,055 buah sekolah dikenal pasti untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi program berkenaan dan akan beroperasi selewat-lewatnya Isnin ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak akan mendapat dos pertama dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dan lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan menerusi pelaksanaan PICKids.

Sementara itu, berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,068,547 atau 55.8 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Sejumlah 22,935,622 individu atau 98 peratus daripada kumpulan itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 99.2 peratus atau 23,211,391 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,795,030 individu atau 88.8 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,873,015 atau 91.3 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 160,193 dos vaksin diberikan meliputi 20,703 dos pertama; 1,578 dos kedua dan 137,912 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 64,776,270 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 24 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Kedah mencatatkan lima kes, Johor dan Sabah (masing-masing empat kes), Pahang dan Perak (masing-masing tiga kes), Negeri Sembilan (dua kes) serta satu kes masing-masing di Perlis, Selangor dan Terengganu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksinasi Covid-19 berkesan lindungi kanak-kanak, remaja

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Bukti daripada ujian klinikal dan pengalaman dunia menunjukkan vaksinasi Covid-19 berkesan dan selamat bagi kanak-kanak dan remaja, menurut Kolej Pediatrik, Akademi Perubatan Malaysia (AMMCOP).

Kolej itu memaklumkan setakat November 2021, lebih 100 negara sudah memulakan atau merancang untuk mengembangkan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak bermula dengan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun termasuk di Malaysia.

Menurut kolej itu, pihaknya dengan usaha sama pelbagai pakar daripada subkepakaran pediatrik yang berbeza dan kesihatan awam, menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan untuk melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk kanak-kanak (PICKids).

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang masih menular dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron menyerlahkan keperluan untuk memaksimumkan faedah perlindungan vaksinasi kepada semua peringkat umur, terutama kanak-kanak.

“Berdasarkan profil keselamatan yang diterbitkan dan bukti semakin meningkat mengenai manfaat daripada vaksinasi COVID-19, kolej ini dengan sesungguhnya mengesyorkan vaksinasi kanak-kanak, terutama kumpulan bersekolah iaitu lima tahun dan ke atas.” menurut kolej itu dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kerajaan supaya memastikan program vaksinasi untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di Malaysia dilaksanakan dengan penuh teliti mengambil kira ia penting terutama semasa negara menghadapi peningkatan kadar kematian berkaitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.

“Ini kerana dari Julai hingga Disember 2021, sebanyak 105 kematian dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur antara 0 hingga 17 tahun,” menurut kenyataan itu yang ditandatangani oleh tujuh pakar pediatrik dan seorang pakar epidemiologi.

Antara yang terlibat adalah profesor dan pakar perunding kanan pediatrik neonatologi, Jabatan Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Cheah Fook Choe; pakar perunding pediatrik dan genetikal klinikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Thong Meow Keong dan pakar epidemiologi dari Universiti Malaya Prof Dr Noran Naqiah Hairi.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW Kementerian Kesihatan, sebanyak 79,393 atau 2.2 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat 11 Februari melalui PICKids yang dilancarkan pada 3 Februari lalu.

Bagi golongan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,794,416 individu atau 88.8 peratus daripada populasi itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,872,087 individu atau 91.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 80,000 kanak-kanak terima vaksin Covid-19 setakat semalam

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Sebanyak 79,393 atau 2.2 peratus populasi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat semalam.

Kanak-kanak berkenaan menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dilancarkan 3 Feb lepas dan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, seramai 12,926,703 atau 55.2 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Sejumlah 22,934,496 individu atau 98 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 99.2 peratus atau 23,210,020 lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,794,416 individu atau 88.8 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,872,087 individu atau 91.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 173,428 dos diberikan meliputi 18,343 dos pertama, 1,739 dos kedua dan 153,346 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 64,611,898 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 10 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan dua kes masing-masing di Perak dan Selangor serta satu kes dicatatkan masing-masing di Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 60,000 kanak-kanak sudah terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Sebanyak 62,809 atau 1.7 peratus populasi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat semalam.

Kanak-kanak berkenaan menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), yang dilancarkan 3 Feb lalu dan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, seramai 12,769,610 atau 54.5 peratus populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Sejumlah 22,933,328 individu atau 98 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 99.2 peratus atau 23,208,714 lagi sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,793,710 individu atau 88.8 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,871,310 individu atau 91.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Mengenai vaksinasi harian, sebanyak 165,653 dos diberikan semalam membabitkan 14,195 dos pertama; 2,097 dos kedua dan 149,361 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 64,434,353 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak sembilan kes kematian direkodkan semalam dengan Perak dan Sabah masing-masing dua kes, manakala satu kes masing-masing di Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pilih Pfizer (kanak-kanak) ketika daftar janji temu MySejahtera

SHAH ALAM, 5 FEB: Ibu bapa yang mahu mendaftar anak berusia antara lima hingga 11 tahun sebagai penerima vaksin perlu memilih Pfizer (kanak-kanak) semasa menempah janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut menasihatkan ibu bapa supaya membawa dokumen pengenalan diri anak mereka semasa ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Kepada ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak anda bagi vaksinasi di bawah PICKids (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak), sila pastikan anda hanya memilih Pfizer (kanak-kanak) semasa membuat tempahan janji temu vaksinasi.

“Sila pastikan juga membawa dokumen pengenalan diri anak anda seperti Mykid atau pasport semasa ke PPV bagi memastikan vaksinasi hanya diberikan kepada kanak-kanak yang genap lima tahun pada tarikh vaksinasi sehingga bawah 12 tahun,” katanya di Facebook.

PICKids dilancarkan di Lembah Klang sejak 3 Februari lalu, iaitu melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala yang tiada masalah perubatan akan diberikan di pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa manfaat cuti hujung minggu bawa anak-anak terima vaksin

PUTRAJAYA, 5 FEB: Pusat pemberian vaksin (PPV) ‘offsite’ di IOI City Tower 1 di sini membuka pintu untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) mulai hari ini, yang kebanyakannya kanak-kanak dari sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Sepang dan Seri Kembangan.

PPV offsite adalah PPV yang dioperasikan oleh pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan di luar fasiliti kesihatan swasta mereka, dan PPV offsite IOI City Tower 1 itu dikendalikan oleh IHEAL Medical Centre.

Pengurus Jururawat IHEAL Medical Centre Farah Adilah Mohd Ali ketika ditemui di sini hari ini, berkata PPV untuk PICKids itu hanya beroperasi pada hujung minggu sahaja dari 9 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya kapasiti harian PPV itu boleh menampung sehingga 700 individu untuk divaksin dan hari ini, ibu bapa memanfaatkan hujung minggu dengan membawa anak mereka ke PPV tersebut, dengan lebih 300 kanak-kanak telah menerima vaksin Covid-19 mereka sehingga tengah hari.

“Adalah dijangkakan lebih 10,000 kanak-kanak lima hingga 11 tahun akan menerima vaksin di PPV tersebut, dengan jangkaan PPV itu akan beroperasi sehingga April ini,” katanya.

Di PPV tersebut terdapat enam stesen pemberian vaksin, yang diurus para pemvaksin dan jururawat yang turut menenangkan kanak-kanak yang kelihatan takut dan menangis ketika disuntik. Dua pegawai perubatan turut ditempatkan bagi memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai kebolehterimaan vaksin bagi anak mereka.

PICKids bermula 3 Feb dengan bermula di Lembah Klang, dengan dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di seluruh negara, layak menerima vaksin tersebut.

PICKids dilaksanakan secara sukarela dan tiada sekatan dikenakan untuk kanak-kanak yang tidak divaksinasi.

Dr Masyitah Mohd Locman, 39, yang membawa anak lelakinya Muhammad Azman Khairul Fahzan, 11, berkata beliau mendaftarkan anaknya sejurus selepas pengumuman kerajaan mengenai PICKids dan lega apabila menerima janji temu seminggu selepas pendaftaran dibuat.

“Saya berpendapat kanak-kanak perlu menerima vaksin, memandangkan virus Covid-19 akan sentiasa ada dalam komuniti, lebih-lebih lagi mereka juga perlu menjalani kehidupan normal seperti dewasa,” kata pegawai perubatan di Universiti Teknologi Mara itu.

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata beliau membawa dua anak perempuannya berumur lapan dan 10 tahun untuk menerima vaksin bagi memastikan keluarganya terlindung daripada jangkitan Covid-19.

“Saya telah kehilangan ahli keluarga kerana Covid-19 dan saya pilih untuk melindungi anak perempuan saya sekarang ini menerusi vaksinasi,” katanya yang turut berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas inisiatif PICKids itu.  – BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin kanak-kanak secara sukarela, tiada sekatan jika tidak suntik

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Pemberian vaksin bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dilakukan secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan untuk kanak-kanak tidak divaksinasi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids.

“Setakat tempahan janji temu dibuka semalam, 15 peratus telah berdaftar. PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat keputusan yang tepat.

“Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah di sini hari ini.

Khairy berkata program PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu adalah penting bagi mengelakkan kumpulan itu daripada komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), kesan Long Covid dan kematian.

Beliau berkata sejak 1 Jan tahun ini, sebanyak 9,413 kes Covid-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun yang tidak dilindungi vaksin.

Khairy juga memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memberikan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) untuk PICKids dan keputusan dibuat setelah meneliti data klinikal dan real world data dari negara lain seperti Singapura.

“Sebenarnya pihak Food and Drug Aministration (FDA) (Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan) di Amerika Syarikat telah pun luluskan vaksin untuk kanak-kanak Oktober lepas, namun pakar kita ambil masa untuk buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data, didapati pemberian vaksin iaitu satu pertiga daripada dos dewasa, kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tidak menyebabkan kesan serius sebaliknya kesan biasa seperti demam.

Menyifatkan PICKids sebagai pelengkap akhir kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, beliau berkata KKM menyasarkan pemberian satu dos kepada 70 peratus kanak-kanak di sekolah (usia tujuh hingga 11 tahun) dan 50 peratus untuk keseluruhan 3.6 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

PICKids dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini untuk kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi dan daya tahan imuniti yang rendah di hospital yang merawat mereka.

Selain itu, 1,200 kanak-kanak juga akan menerima vakinasi melalui tempahan temu janji di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Mega di Lembah Klang iaitu World Trade Centre (WTC) dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Khairy berkata PICKids akan diteruskan ke seluruh negara menerusi klinik kesihatan dan sekolah tidak lama lagi.

-BERNAMA