Categories
SELANGOR

MPAJ: Elak sepanduk provokasi parti politik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengingatkan parti-parti politik bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) supaya tidak memasang sepanduk atau plakad berunsur provokasi terhadap pihak tertentu.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, parti politik hanya dibenarkan memasang bendera parti masing-masing sahaja sehingga proses penamaan calon dibuat.

“Parti politik tidak dibenarkan memasang sepanduk, kain rentang bersifat provokasi atau gambar calon-calon mereka sebelum proses penamaan calon dibuat.

“Untuk tempoh ini, kami hanya membenarkan pemasangan bendera dibuat di kawasan pentadbiran MPAJ mengikut syarat dan piawaian keselamatan perbandaran.

“Sekiranya ada parti melanggar ketetapan ini, sepanduk mereka akan diturunkan dan selepas penamaan calon barulah pemasangan sepanduk (tidak berunsur provokasi) dibenarkan dipasang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Menara MPAJ, pagi ini.

Untuk rekod, tempoh penamaan calon dibuat pada 28 April ini.

Dalam perkembangan sama Abdul Hamid berkata, setakat ini lebih 1,000 sepanduk diturunkan selepas pengumuman pembubaran Parlimen dibuat.

“Antara sepanduk yang telah diturunkan adalah di Taman Kosas dan Keramat.

“Kami berharap agar parti politik bertanding mematuhi peraturan ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tun Hasmah terharu sokongan rakyat pada PAKATAN

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 20 APR: Rakyat terus menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) walaupun tiada wang mahupun makanan percuma diberikan sepanjang siri jelajah PAKATAN di seluruh negara.

Isteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, kegigihan berkenaan dilihat ketika beliau menyertai jelajah PAKATAN di Pagoh, Pasir Gudang, Muar dan Kedah.

“Sokongan rakyat amat kuat, tidak kira hujan ataupun panas, penduduk tempatan mahupun orang luar tetap menanti kehadiran pemimpin PAKATAN serta menunggu ceramah hingga habis.

“Hakikatnya, saya tahu tiada elaun pengangkutan seperti bas, tiada makanan percuma diberikan, saya amat terharu dengan sokongan mereka, dari situlah semangat kami datang dan saya amat memahami bahawa rakyat mahu ubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU14) nanti,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, pagi tadi.

Siti Hasmah turut berkongsi mengenai penjagaan beliau dan suami sepanjang tempoh berkempen menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, beliau dan Tun Mahathir perlu mendapatkan rehat yang cukup kerana faktor usia yang semakin meningkat.

“Saya pernah bertanya kepada Tun, adakah dia baik-baik sahaja sekiranya kembali mentadbir negara, jawapan Tun mudah, itu adalah tugasnya kepada rakyat.

“Prinsipnya itu saya sokong, jadi saya perlu memastikan program Tun tidak terlalu padat dan apa yang penting ahli politik perlu rehat secukupnya sebelum program pada keesokan hari.

“Kami bukan muda lagi jadi perlu memilih program untuk dihadiri, umur saya pun sudah mencecah 92 tahun dan Tun pula 93 tahun,” katanya.