Categories
NASIONAL

Sultan Selangor Hargai Sumbangan Kakitangan Awam

SHAH ALAM, 22 MEI: Jasa dan perkhidmatan cemerlang kakitangan awam Selangor terus dihargai apabila seramai 156 orang, yang mana majoritinya penjawat awam, telah menerima pingat Selangor sempena Hari Keputeraan ke 66 DYMM Sultan Selangor.

Pegawai Waran 1 TMK Mohd Idrus Abdul Rahman dan Pegawai Waran II PAP (PKL) (GI) Teruna Hassan mengetuai senarai penerima pingat kebesaran apabila dianugerahkan Pingat Keberanian Terbilang (PKT).

PKT merupakan pingat yang mengiktiraf pengorbanan dan semangat kepahlawanan apabila melakukan sesuatu yang menuntut keberanian luar biasa meskipun medatangkan bahaya kepada diri sendiri demi Selangor.

Pingat-pingat tersebut diberikan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada satu majlis di Dewan Jubli Perak, ibu pejabat Kerajaan Selangor petang tadi.

Turut mengiringi Baginda Sultan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Speaker Datuk Teng Chang Khim dan barisan exco.

Selain dua penerima PKT tersebut, seramai 23 penerima telah mendapat Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan seramai 21 penerima lain pula menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (PPC).

Seramai 95 orang pula telah terpilih untuk menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 15 lagi penerima Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).

Sementara itu, PPS dikurniakan kepada kakitangan awam bagi menghargai kakitangan awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun dengan kelakuan terpuji

PPC, dikurniakan kepada seorang kakitangan Kerajaan Selangor yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya melebihi tujuh tahun dengan rekod yang cemerlang dan kelakuan yang terpuji.

PJK pula dikurniakan kepada pihak yang telah berkhidmat dan berjasa kepada Selangor dengan tekun, taat kepada kerja, mempunyai kebolehan istimewa dan mempunyai pekerti yang baik.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Seramai 204 Individu Menerima Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor

 

SHAH ALAM 21 MEI : Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zarida Hambali, mengetuai senarai 204 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran Serta Pingat-Pingat Selangor sempena menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke 66 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) Darjah Kelas Ketiga kepada beliau disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di sini hari ini.

Zarida merupakan penerima tunggal untuk anugerah terbabit.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) Darjah Kelas Ketiga kepada dua penerima iaitu Pegawai Memerintah KD Tun Razak, Komander Baharudin Wan Md Nor dan Pegawai Laksana KD Tun Razak, Komander Mohd Razak Tahir.

Selain itu, 33 orang menerima Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) dan 33 lagi menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C) merupakan pegawai kerajaan di dalam Kumpulan Sokongan. Mereka berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun dengan kerajaan negeri.

 

Turut dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada seramai 123 orang.

Manakala Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) dianugerahkan kepada seramai 12 orang kakitangan kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun.

Mereka terdiri daripada Mohd Hairani Abdullah, Che Nah Ab.Ghani, Azizah Daud, Mohd Esah Hashim, Mohd Nasir Md Rais, Noraini Yahya, S.Soliammal, Razali Yaacob, Mohamad Rafli Mohamed Yusof, Mohamad Sharie Mohamed Yusof, Ibrahim Abdullah dan M.Maniam.

Sementara itu, Zarida, 55, menyifatkan anugerah yang diterimanya itu hasil daripada perkhidmatan cemerlangnya sebagai pendidik.

Zarida, yang berasal daripada Perak, tidak menyangka akan terpilih untuk menerima anugerah itu.

“Saya juga berterima kasih kepada Naib Canselor UPM yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam banyak perkara,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang merupakan ibu kepada dua orang anak itu pernah berkhidmat sebagai Timbalan Dekan fakulti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

Sebelum memegang jawatan di Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik UPM, beliau berkhimat di Kementerian Pengajian Tinggi seterusnya Pengarah.

“Banyak cabaran yang saya lalui terutamanya semasa bergelar pensyarah.

?Saya terpaksa mengajar pelajar perubatan dalam keadaan yang serba daif seperti kekurangan kemudahan dan peralatan serta meminjam bilik di bangunan fakulti lain.

?Bagaimanapun semua itu saya ketepikan. Apa yang penting bagi saya adalah semangat dan usaha kita serta kualiti pembelajaran,” katanya.

Penerima Pingat PJK, Harudin Dahlan, 67, pula tidak menyangka penyertaan aktifnya di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) diiktiraf.

Beliau yang merupakan bekas guru besar kini aktif dalam tiga persatuan iaitu Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Kuantan, Klang, Pengerusi Koperasi Klang Berhad dan mediator Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Selangor.