Categories
SELANGOR

Makan@Bumbung tarikan baharu Shah Alam

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 30 APR: Medan selera Kompleks PKNS di sini menampilkan pembaharuan dengan adanya Makan@Bumbung sekali gus menjadikannya sebagai tarikan baharu warga Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakhru Radzi Ab Ghani berkata, ia akan mula beroperasi selepas Ramadan serta bakal mengetengahkan menu istimewa makanan Melayu dan popular Selangor.

“Pada masa sama, PREC turut memperkenalkan konsep pembayaran tanpa tunai supaya kami dapat memantau pengurusan perniagaan secara berkesan.

“Saya berharap penganjuran PREC bersama asetnya, Kompleks PKNS Shah Alam ini bakal menjadi buah mulut kerana ia bermanfaat untuk warga Shah Alam yang inginkan aktiviti santai dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian Festival Ramadhan Selangor 2019 (FESTIRA’19) di Kompleks PKNS Shah Alam di sini, hari ini.

Fakru Radzi berkata, kebiasaanya tempoh perniagaan medan selera bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam namun Makan@Bumbung tampil berbeza iaitu dari 10 pagi hingga 12.30 tengah malam.

Terdahulu, sebanyak 20 lot kedai makan Kompleks PKNS Shah Alam terbiar sejak 2013 dan PREC mengambil inisiatif dengan menaik taraf bangunan terbabit yang menjangkau usia lebih 40 tahun.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

PREC bawa konsep Taj Mahal di FESTIRA’19

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 30 APR: Festival Ramadan Selangor 2019 (FESTIRA’19) anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) tampil berbeza dengan membawakan konsep Taj Mahal di Kompleks PKNS Bangi, Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, bangunan aset miliknya di Kompleks PKNS Shah Alam turut berkonsepkan Memori Desa Lebaran, manakala Royal Eid di SACC Mall.

“Pastinya suasana kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya kerana kami telah memberi nafas baharu menerusi beberapa pembaharuan,

“Pada masa sama, dengan adanya konsep ini, ia dapat memberi satu tarikan kepada pengunjung berswafoto dan memuat naik di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui media di majlis perasmian FESTIRA’19 di kompleks PKNS, di sini, hari ini.

Fakru Radzi berkata, pihaknya turut menyasarkan seramai 2.5 juta pengunjung tahun ini bagi ketiga aset miliknya itu.

Majlis disempurnakan Ahli Jawatankuasa Kerja PREC merangkap Pengurus Kanan Teknologi Maklumat PKNS, Saharom Mohni.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 

 

Categories
SELANGOR

Penyanyi popular bakal gamat SACC Walk Fiesta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 APR: Bukan sekadar menawarkan koleksi vintaj, SACC Walk Fiesta yang mula membuka tirai hari ini lebih menjanjikan keseronokan buat pengunjung apabila bakal menampilkan barisan penyanyi tersohor tanah air dalam acara pentas.

Menerusi karnival julung kali dianjurkan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bersama asetnya, SACC Mall & Kompleks PKNS Shah Alam, peminat berpeluang menyaksikan persembahan istimewa daripada Syamel AF, Eleena Haris, Aweera dan Mus May, bermula jam 8 malam esok.

Pengurus Pusat SACC Mall & Kompleks PKNS Shah Alam, Syahril Mohd Rashid berkata, pengunjung yang datang ke SACC Walk dapat mengisi masa lapang dengan menyertai aktiviti bermanfaat dan menarik, selain disajikan dengan hiburan percuma serta peluang berjumpa dengan artis.

“Artis yang hadir membuat persembahan akan beramah mesra dengan pengunjung melalui sesi kuiz semasa mini konsert, manakala Mus May mengambil peluang di acara berkenaan untuk mempromosikan cenderahati kumpulan May seperti t-shirt dan album.

“Kehadiran penyanyi terkenal ini memang akan menghangatkan lagi pentas SACC Walk Fiesta,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Syahril berkata, PREC dalam usaha berterusan memberdayakan usahawan, selain membuka peluang kepada peniaga barangan antik dan barangan terpakai bagi mempromosikan barangan mereka.

“Ia adalah salah satu inisiatif bagi memberi ruang dan peluang kepada usahawan membantu meningkatkan ekonomi di Selangor seterusnya merangsang peningkatan kadar pelaburan disasarkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Terdahulu, SACC Walk Fiesta akan dirasmikan EXCO Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini, SACC Walk Fiesta yang turut mendapat kerjasama PERDASAMA Negeri Selangor dan TAPAK membawakan pelbagai aktiviti menarik, khusus buat warga Shah Alam meluangkan masa bersama seisi keluarga di hujung minggu.

Menariknya, acara ini turut disertai deretan peniaga kendera saji (food truck) terkenal iaitu TAPAK, selain berpeluang memenangi hadiah lumayan ditawarkan melalui beberapa pertandingan seperti ‘Beyblade Competition’, makan paling pantas, ‘Bull Ride Competition’, ‘Battle of the Buskers’ dan Pertandingan Karaoke.

Selain persembahan artis, karnival bertemakan antik dan klasik itu dimeriahkan dengan #SmartSelangor Mobile Library dari Perbadanan Perpustakaan Awam Shah Alam, aktiviti kanak-kanak seperti ‘giant bubble’, ‘inflatable bouncer’, permainan ‘velocifero’, persembahan badut, seni karikatur , ‘mini petting zoo’ dan pertunjukkan kereta klasik oleh Kelab Pencinta Kereta Mini Malaysia, khas buat penggemar kereta klasik.

Categories
SELANGOR

Perubahan logo, evolusi berterusan jenama PREC

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Peluncuran logo rasmi baharu PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) berkuatkuasa 1 November lalu, adalah sebahagian daripada evolusi berterusan jenama anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, perkembangan itu adalah persediaan PREC bagi menempuh perubahan dan cabaran pada masa depan.

“Ia usaha berterusan kami bagi memudahkan komunikasi dan mengukuhkan pencapaian syarikat dan mengadaptasi versi baharu nama kami yang lebih ringkas.

“Kami merubah segar logo bagi mengambarkan kedudukan PREC dan melambangkan masa depan dinamiknya,” katanya dalan kenyataan.

Beliau berkata, selaras dengan perubahan itu, ia turut membabitkan perubahan dengan alamat emel rasmi terbaharu : [email protected] dan laman web rasmi : www.prec.my

“Selain logo syarikat, semua butiran dan struktur lain syarikat serta kontrak semasa dan perjanjian lain tidak berubah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Durian sajian istimewa Rumah Terbuka anak syarikat PKNS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUL: Raja Buah, durian menjadi hidangan istimewa Rumah Terbuka anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab. Ghani berkata, kelainan itu dibuat bagi memeriahkan lagi penganjuran rumah terbuka itu.

“Penganjuran rumah terbuka ini melibatkan penyertaan 11 anak-anak syarikat perbadanan itu.

“Ia dibuat bukan sekadar diadakan memeriahkan Syawal, tetapi ini menjadi ruang terbaik kepada rakan-rakan niaga untuk beramah mesra bersama anak-anak syarikat PKNS.

“Penganjurannya juga boleh mengeratkan hubungan antara kesemua anak-anak syarikat PKNS untuk terus kukuh menjalankan fungsi niaga masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Kemeriahan rumah terbuka itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada rakan niaga, syarikat Kerajaan Negeri (GLC), wakil pihak berkuasa tempatan dan orang awam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Selebriti tempatan, Jimmy Screen (Gegar Vaganza) turut diundang sebagai penyanyi jemputan rumah terbuka itu.

Categories
NASIONAL

200 pelajar UiTM berkarya cantikkan SACC Walk

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Seramai 200 pelajar Fakulti Seni Halus dan Seni Reka UiTM Shah Alam menghasilkan karya seni ‘pop art’ pada 120 tong kuning di sepanjang ‘SACC Walk’.

Aktiviti itu dilakukan dalam Program Seni Tong Kuning anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Sr. Fakru Radzi Ab Ghani berkata, mereka mengambil masa 18 jam untuk menyiapkan hasil karya berkenaan pada tong yang menghiasi sepanjang 300 meter jalan berhampiran Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Kompleks PKNS.

“Antara hasil seni yang dipamerkan termasuk logo PREC dan aset miliknya, logo PKNS FC, bangunan ikon di Shah Alam, Adiwira, corak abstrak dan banyak lagi yang membawa pengertian tersendiri dan relevan untuk dinikmati pengunjung.

“Mereka di bimbing 10 pensyarah yang turut bertungkus lumus dalam menjayakan aktiviti seni ini disamping memberi suntikan semangat kepada pelajar dalam memupuk semangat kerjasama di antara IPTA dan badan korporat.

“Usaha ini juga dilihat sebagai landasan kepada pelajar mempamerkan bakat dan kebolehan mereka dalam bidang kesenian yang diceburi,” katanya dalam kenyataan.

‘SACC Walk’ dinaiktaraf bagi memberi kemudahan kepada orang awam bukan sahaja untuk membeli belah di SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam.

Malah, ia juga sebagai pusat riadah dengan wujudnya fasiliti seperti taman permainan mini, ruang duduk dan tempat berjalan kaki.

Fakru berkata, ‘SACC Walk’ turut menyediakan ruang letak basikal, laluan berbasikal, laluan utama antara SACC Mall, SACC Convention Centre dan Kompleks PKNS Shah Alam, laluan kenderaan selebar tiga meter serta hiasan flora pada ‘green wall’.

“PREC melihat kawasan ini sebagai satu tempat yang boleh dijalan pelbagai program dan aktiviti menarik termasuk ‘flea market’, jualan but kereta, jualan lori makanan dan jualan kraftangan Selangor sebagai ruang perniagaan kepada usahawan di Selangor.

“Secara tidak langsung usaha ini dapat menjadi salah satu kawasan tarikan pengunjung dalam dan luar Selangor seterusnya meningkatkan ekonomi di negeri ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Boling erat hubungan PREC bersama media

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 25 JAN: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menganjurkan pertandingan boling bersama media ‘Strike Or Spare With PREC’ di Kiara Super Bowl, Bukit Kiara Equestrian Country and Resort, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, penganjuran program itu bertujuan merapatkan lagi hubungan bersama media tambahan banyak program yang akan dianjurkan tahun ini.

“Sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri, kita pastinya mahu memastikan cabaran ekonomi semasa mampu dihadapi dengan baik menerusi beberapa program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Kita akan beri tumpuan kepada usaha melahirkan lebih banyak golongan usahawan muda dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut beliau berkata, PREC juga akan melakukan program khidmat sosial (CSR) seperti tahun sebelumnya dengan kerjasama agensi lain termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pertandingan boling julung kali dianjurkan itu disertai 30 peserta terdiri daripada petugas media dan kakitangan PREC.

Media Selangor berjaya mengungguli kategori wanita menerusi Syazwani Sufian dengan kutipan 236 mata selaku juara diikuti Lizawati Madfa ketiga (222 mata) dan Nadrah Azlan kelima dengan 191 mata.

Bagi kategori lelaki, dua wakil Media Selangor turut mencatatkan keputusan cemerlang menerusi Arif Ramly yang menduduki tempat ketiga dengan 268 mata diikuti Hafizan Taib di tempat keempat dengan 262 mata.

Categories
SELANGOR

Festira’17 buka ruang 6,000 usahawan pasar produk

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 MEI: Festival Ramadan Selangor 2017 (Festira’17) membuka ruang dan peluang kepada lebih 6,000 usahawan di Selangor memasarkan produk.

Ia ekoran festival anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (Prec) sering menjadi tumpuan ramai bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri setiap tahun.

Exco Generasi Muda, Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari, berkata sejak penganjurannya beberapa tahun lalu, festival yang menyajikan pelbagai pengisian itu mendapat perhatian orang ramai bukan hanya di Selangor malah negeri lain.

FESTIRA 17 (4)“Dengan pelbagai program dan barangan jualan dalam Festira’17, ia memberi kemudahan kepada masyarakat yang mengunjunginya.

“Selain itu dalam masa sama, festival ini tentunya memberi ruang yang lebih kepada usahawan di Selangor dalam memperkenal dan memasarkan hasil jualan mereka,” katanya dalam majlis perasmian Festira’17 di SACC Mall, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran festival seperti Festira’17 juga adalah bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Shah Alam, Petaling Jaya dan bandar lain di Selangor sebagai pusat tumpuan kepada masyarakat.

Festira’17 kali ini menampilkan kelainan dengan tiga pusat membeli belah, SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi, menganjurkannya dengan identiti tersendiri dan berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif Prec, Fakru Radzi Ab Bhani berkata, SACC Mall akan menampilkan tema Kampung Kita ‘Nostalgia Raya’, Kompleks PKNS Shah Alam dengan Seni Bina Islam dan Timur Tengah manakala Kompleks PKNS Bangi bertemakan Arab Timur Tengah.

Katanya, festival kali ini menekankan unsur lebih islamik bersesuaian dengan Ramadan sebagai bulan beribadah menampilkan barisan selebriti terkemuka antaranya Inteam, Rabbani, Far East, Raihan, Lah Ahmad, UNIC, Nowseeheart, Saff-one dan Munif Ahmad.FESTIRA 17 (2) FESTIRA 17 (1)

Categories
SELANGOR

Bazaar Paknil lanjutan kejayaan 15 juta #bazaarpaknil

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 APR: Pengacara Tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi menyambut baik usaha PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) yang mahu mengembalikan kegemilangan Kompleks PKNS dengan mewujudkan Bazaar Paknil di rantaian tapak perniagaan Tempat Orang Lokal (T.O.L).

Beliau berkata, usaha itu turut memperkukuhkan gelaran usahawan yang disandangnya sejak melancarkan jenama penjagaan muka ‘Anell’ tahun lalu.

“Kesempatan membuka bazaar ini muncul apabila Ketua Pegawai Eksekutif PREC, menawarkan ruang perniagaan bagi peniagaan yang baru diubahsuai di T.O.L ini.

“Dengan berkonsepkan ‘hip dan trendy’, ruang yang ditawarkan kepada peniaga secara kontrak tiga bulan sekali membolehkan lebih ramai peniaga dapat merasai berniaga di premis ini.

BAZAAR PAK NIL (4)“Ini bermakna lebih ramai usahawan dapat berada di bawah jenama Bazaar Paknil dan pelbagai jenis perniagaan dapat ditawarkan setiap kali,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Bazaar Paknil di Kompleks PKNS, di sini.

Aznil berkata konsep Bazaar Paknil itu tercetus dari idea hashtag #bazaarpaknil yang diperkenalkan empat tahun lalu di Instagram dan Facebook menjangkaui 15 juta hashtag.

“Melihat kepercayaan peniaga online ke atas hashtag itu di media sosial, saya terpanggil membuka ruang perniagaan bagi peniaga meraih keuntungan berniaga secara fizikal di bawah jenama Bazaar Paknil,” katanya.

Beliau turut mahu pengunjung dari negeri lain yang datang ke Selangor menjadikan T.O.L sebagai tempat wajib dikunjung.

“Sejak pembukaannya 15 Mac lalu, Bazaar Paknil dapat menarik pengunjung bukan sahaja di negeri ini tetapi juga negeri lain,” katanya.

Bazaar Paknil yang menjadi tumpuan utama di Pusat Inkubator, T.O.L kini menempatkan sebanyak 35 lot perniagaan yang dipenuhi vendor terkenal antaranya Zapatos Zain Saidin, Hatta Dolmat, Naelofar Hijab, Anell by Aznil Nawawi.

BAZAAR PAK NIL (2)Aznil turut menganjurkan pertandingan karaoke santai yang dikenali sebagai ‘Karoks @ Lalak Land’ yang menawarkan wang tunai RM1,000 setiap minggu kepada juara mingguan dan tambahan RM3,000 bagi juara keseluruhan di pusingan akhir.

Selain itu, pencarian Raja Lelong juga diadakan untuk orang ramai memenangi wang tunai RM500 setiap Sabtu pukul empat petang dalam acara pertandingan lelong barang yang dikenali sebagai ‘Lelong @ Lelong Land’.

Kemeriahan setiap hujung minggu dengan kehadiran artis terkenal antaranya Ifa Raziah, Ronnie Hussein, Didie Alias, Khai Bahar dan Elly Mazlein.

-nR-