Categories
AGENSI SELANGOR

PREC hilang pendapatan RM9.2 juta akibat PKP

SHAH ALAM, 4 JULAI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengalami penyusutan pendapatan kira-kira RM9.2 juta susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata ia berhubung kait dengan operasi di pusat membeli-belah termasuk aset di bawah pengurusannya seperti Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, Wisma Yakin dan Menara Worldwide.

“Kita terkesan dengan kehilangan pendapatan daripada rebat sewa diberi kepada peniaga berjumlah RM2.8 juta selain perlu menanggung kos penyelenggaraan bagi memastikan barang milik penyewa dalan keadaan selamat dan kedai tidak dipecah masuk.

“Penganjuran Festival Ramadan Selangor (Festira) yang terpaksa dibatalkan juga menjejaskan pendapatan sebanyak RM6.4 juta termasuk penyewaan 1100 lot gerai di ketiga-tiga pusat membeli-belah berkenaan,” kata Fakru Radzi Ab Ghani kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya kini menanggung kos tambahan seperti penyediaan barang keperluan sanitasi, kekerapan pembersihan dan kos berkaitan sebagai mematuhi tatacara operasi piawai selain tidak termasuk tunggakan penyewa berjumlah RM5 juta.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua pelari veteran cipta rekod MBOR sempena Larian Merdeka Muhibbah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Dua pelari veteran, Nasir Abas, 64, dan rakannya, Krishnan Andy, 61, mengukir nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menamatkan Larian Merdeka Muhibbah sejauh 540kilometer (km), semalam.

Kedua-dua warga emas yang juga pesara tentera memulakan larian sejak 19 Ogos lalu dari Medan Bandar, Alor Star sebelum mengakhiri misi selama 12 hari itu di Dataran Barat, Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, pada malam kemerdekaan.

Penyertaan mereka dalam larian kali ini adalah sempena Karnival Merdeka Muhibbah 2019 anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), bermula 28 Ogos hingga 1 September.

Untuk rekod, Nasir pernah mencipta rekod melakukan larian sejauh 1,754km menyusuri Semenanjung Malaysia dari Kelantan ke Johor dan pulang ke Kedah pada 2002 selama sebulan.

Beliau turut mencipta rekod melakukan Larian Solo dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak pada 2003 sejauh 2,058km selama 48 hari dan larian solo sempena kejayaan pasukan Kedah merangkul Piala Malaysia sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung sepanjang empat hari Karnival Merdeka Muhibbah berlangsung di SACC Walk dan SACC Mall.

Katanya, karnival itu menjadi salah satu daya penarik masyarakat di sekitar Shah Alam untuk bersama menyambut kemerdekaan di kedua-dua lokasi berkenaan selain menyemai semangat cinta dan bangga terhadap negara tercinta.

“Kami membawakan aktiviti seperti Beyblade Merdeka Battle yang menawarkan hadiah berjumlah RM1,300 dengan pendaftaran sebanyak RM10 sahaja untuk kategori kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah.

“Terdapat juga Upin Ipin Store, Pertandingan Mewarna Upin Ipin Kemerdekaan 2019, permainan kanak-kanak, jualan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) dan paling menarik adalah ketibaan pelari duo veteran yang mencipta sejarah dalam MBOR itu,” katanya dalam kenyataan.

Malam Ambang Kemerdekaan ke-62 dihangatkan dengan persembahan artis tanah air dan luar negara selain persembahan buskers daripada 6ixth Sense, Dinamik, Jinbara, Assalambuskers, Klangit, Zamarul Hamzah serta Zara Ali.

Fakru Radzi berkata, pengunjung yang hadir tidak perlu risau untuk memikirkan lokasi tempat makan yang menarik kerana karnival itu turut menyediakan ruang jualan makanan dan produk IKS di lot parkir Kompleks PKNS Shah Alam.

“Antara makanan yang menarik seperti nasi briyani Putra Jaya, kambing bakar, ABC dan sup utara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Transformasi Kompleks PKNS, bawa nafas baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 JUL: Biarpun sudah mencecah usia 40 tahun, Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam masih kekal relevan dengan arus semasa.

Bagaimanapun, atas usaha sama anak syarikat Kerajaan Negeri, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) rancak melakukan transformasi daripada sudut rekabentuknya supaya ia kelihatan lebih segar dan selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, transformasi itu juga dilakukan bertujuan memberikan keselesaan kepada pengunjung ketika berkunjung ke kompleks berkenaan.

Katanya, antara transformasi dilakukan adalah penambahbaikan surau dengan nama baharu iaitu, Musolla Al-Kauthar yang mampu memuatkan seramai 100 jemaah dalam satu-satu masa berkonsepkan industrial.

“Kemudahan seperti ruang menunggu, ruang wuduk mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas, tandas serta bilik menyiapkan bayi yang berdekatan menjadi salah satu faktor utama diambil kira dalam proses transformasi dilaksanakan.

“Malah, kita turut bekerjasama dengan pihak jawatankuasa surau Kompleks PKNS bagi mengimarahkan dengan aktiviti bermanfaat seperti tazkirah, solat terawih, kenduri doa selamat, tahlil dan aktiviti fardhu ain,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, medan selera di tingkat empat juga tidak ketinggalan dalam mengalami proses transformasi yang kini dinamakan dengan nama Makan@Bumbung.

Menariknya, katanya, PREC akan membawakan aktiviti rekreasi untuk kanak-kanak dan dewasa seperti futsal, playground dan rock climbing di tingkat empat ini selain menikmati makanan dan pemandangan yang disajikan.

“Bagi yang ternanti-nanti untuk menikmati makanan di Makan@Bumbung, ia akan mula beroperasi pada bulan hadapan.

“Selain itu, PREC turut melakukan renovasi membabitkan fasad luar bangunan dengan mengenengahkan salah satu elemen unik di sudut bangunan bagi menampakkan logo PKNS,” katanya.

Beliau berkata, segala penambahbaikan yang dilakukan di kompleks itu dititikberatkan kerana ia menjadi tumpuan utama menjelang Ramadan dan Aidilfitri untuk umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa serta menyediakan kelengkapan Hari Raya.

Katanya, pilihan reka bentuk dan warna itu menjadikan suasana persekitaran kelihatan lebih hangat dan mesra.

rhdr

“PREC sentiasa menyokong matlamat dalam menjadikan Shah Alam sebagai sebuah Kota Seni dengan menyuntik unsur kesenian dalam tranformasi yang dilakukan.

“PREC mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua kemudahan bangunan berkeadaan baik melalui transformasi seperti tandas dan penghawa dingin supaya pengguna dapat berbelanja dalam suasana nyaman, selesa dan kondusif.

“Saya percaya transformasi yang dilakukan PREC ini mampu memberikan kesan positif daripada sudut ekonomi dan sektor pelancongan dengan penambahan pengunjung ke Shah Alam khususnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

PREC bawa konsep Taj Mahal di FESTIRA’19

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 30 APR: Festival Ramadan Selangor 2019 (FESTIRA’19) anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) tampil berbeza dengan membawakan konsep Taj Mahal di Kompleks PKNS Bangi, Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, bangunan aset miliknya di Kompleks PKNS Shah Alam turut berkonsepkan Memori Desa Lebaran, manakala Royal Eid di SACC Mall.

“Pastinya suasana kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya kerana kami telah memberi nafas baharu menerusi beberapa pembaharuan,

“Pada masa sama, dengan adanya konsep ini, ia dapat memberi satu tarikan kepada pengunjung berswafoto dan memuat naik di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui media di majlis perasmian FESTIRA’19 di kompleks PKNS, di sini, hari ini.

Fakru Radzi berkata, pihaknya turut menyasarkan seramai 2.5 juta pengunjung tahun ini bagi ketiga aset miliknya itu.

Majlis disempurnakan Ahli Jawatankuasa Kerja PREC merangkap Pengurus Kanan Teknologi Maklumat PKNS, Saharom Mohni.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 

 

Categories
SELANGOR

Durian sajian istimewa Rumah Terbuka anak syarikat PKNS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUL: Raja Buah, durian menjadi hidangan istimewa Rumah Terbuka anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab. Ghani berkata, kelainan itu dibuat bagi memeriahkan lagi penganjuran rumah terbuka itu.

“Penganjuran rumah terbuka ini melibatkan penyertaan 11 anak-anak syarikat perbadanan itu.

“Ia dibuat bukan sekadar diadakan memeriahkan Syawal, tetapi ini menjadi ruang terbaik kepada rakan-rakan niaga untuk beramah mesra bersama anak-anak syarikat PKNS.

“Penganjurannya juga boleh mengeratkan hubungan antara kesemua anak-anak syarikat PKNS untuk terus kukuh menjalankan fungsi niaga masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Kemeriahan rumah terbuka itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada rakan niaga, syarikat Kerajaan Negeri (GLC), wakil pihak berkuasa tempatan dan orang awam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Selebriti tempatan, Jimmy Screen (Gegar Vaganza) turut diundang sebagai penyanyi jemputan rumah terbuka itu.