Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP secara pentadbiran dua taman di Kuala Langat tamat

KUALA LANGAT, 16 JUN: Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang di sini, ditamatkan hari ini.

Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata ia ditamatkan pada kira-kira 11 pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia selesai melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap semua 4,697 penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan, katanya pada sidang media di pusat operasi kawalan secara pentadbiran itu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman.

Mohd Jusni berkata daripada keputusan saringan yang diperoleh ke atas kesemua penduduk di situ, jumlah individu didapati positif Covid-19 kekal sembilan orang dengan tujuh adalah warga tempatan manakala masing-masing seorang warga Nepal dan Thailand dan mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Pelaksanaan PKP secara pentadbiran dikenakan sejak 2 Jun lepas di kedua-dua taman perumahan itu berikutan wujudnya kes positif Covid-19 membabitkan 20 pekerja pembersihan warga asing yang menginap di kawasan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: 4,627 penduduk Taman Langat Murni, Taman Langat Utama disaring

KUALA LANGAT, 7 JUN: Seramai 4,627 penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama Bukit Changgang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran sudah disaring Covid-19, kata pegawai daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata jumlah itu membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

“Sehingga kini, sembilan daripadanya positif, 2,253 negatif dan 2,365 masih menunggu keputusan, kita jangkakan keputusan penuh akan diperoleh pada Selasa ini,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan PKP Pentadbiran Kuala Langat, di sini hari ini.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim pada sidang media menjelaskan situasi di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim dan Pegawai Memerintah 8 RAMD, Sharil Izuan Oshaman.

Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran bermula 2 Jun lalu susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di KLIA dan tinggal di situ, disahkan positif Covid-19 minggu lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.