Categories
ALAM SEKITAR & CUACA PBT SELANGOR

30 lokasi bazar Ramadan disyarat guna pembungkus mesra alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kira-kira 1,908 peniaga di 30 lokasi bazar Ramadan kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disyaratkan menggunakan pembungkus makanan dari bahan mudah urai dan berkonsepkan hijau.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, inisiatif itu selaras dengan kempen dan saranan Kerajaan Negeri untuk menghentikan penggunaan bekas polistrene dan mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Dalam mesyuarat baru-baru ini, MBSA bersetuju untuk memperkenalkan pembungkus makanan baru secara seragam kepada peniaga bazar.

“MBSA mensyaratkan kepada peniaga bazar Ramadan pada tahun ini supaya tidak menggunakan bekas polisteren sebaliknya menggunakan pembungkus makanan dari bahan mudah urai dan berkonsepkan hijau,” katanya ketika ditemui.

Zaharin berharap usaha itu disambut baik oleh peniaga dan pelanggan bagi memastikan Selangor bebas plastik.

Bermula Januari ini, Kerajaan Negeri memperluaskan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ selama tujuh hari seminggu bermula awal tahun depan, berbanding pelaksanaan pada setiap hari Sabtu.

Ia sekali gus mahu mencapai sasaran sebagai negeri bebas bekas polistirena sepanjang 2017.

Langkah itu diambil hasil kaji selidik Kerajaan Selangor yang mendapati sebanyak 71 peratus rakyat negeri ini merasakan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ yang diadakan setiap pada Sabtu perlu diperluaskan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Beg kertas hanya sekali guna bukan pengganti sesuai plastik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 FEB: Cadangan penggunaan beg kertas sebagai alternatif kepada larangan penggunaan plastik beg adalah tidak sesuai, kata Elizabeth Wong.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau itu berkata, beg kertas juga berfungsi untuk ‘sekali guna’ sama seperti plastik beg.

Katanya, kadar kebolehkitaran semula beg kertas juga masih rendah dalam kalangan rakyat negara ini.

“Bukan di Selangor sahaja, tetapi di Malaysia kita dapat lihat kadar kitar semula kertas masih berada di tahap tidak memuaskan.

“Jika kadar ini berubah menjadi lebih baik, mungkin kita boleh pertimbangkan beg kertas sebagai ganti,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengapa Kerajaan Negeri tidak menggunakan beg kertas sebagai alternatif kepada pengguna memandangkan ia boleh dikitar semula.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Kempen Selangor Bebas Plastik berhasrat mengurangkan penggunaan barangan ‘sekali guna’ seperti beg plastik dan kertas.

“Sebaliknya, kita mahu rakyat menggunakannya secara berulang-kali seperti mana mereka membeli baju.

“Mereka tidak memakai baju sekali dan buang, sebaliknya berulang kali menggunakannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Elizabeth yakin kempen itu tetap akan berjaya walaupun terpaksa mengambil sedikit masa.

“Jika Melaka, Pulau Pinang dan negeri lain boleh berjaya, mengapa tidak Selangor yang memiliki rakyat bijak.

“Saya yakin rakyat Selangor senang hati menjayakan misi kali ini, beri mereka masa dan jangan buat sebarang rumusan lagi,” responnya ditanya rancangan Kerajaan Negeri sekiranya caj 20 sen gagal mendidik rakyat.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kempen bebas plastik didik pengguna pelihara alam sekitar

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 3 FEB: Kempen bebas plastik yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat dalam memelihara alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan diambil mendapat reaksi positif dan berharap rakyat terus menyokong bagi menjayakannya.

“Bukan soal membebankan kerana ia satu program untuk dimulakan bagi menjaga alam sekitar dan memberi kesedaran mengurangkan penggunaan beg plastik.

MB Kuala Langat (7)“Matlamat akhirnya, kita mahu melihat penggunaan plastik dapat dihapuskan dan jika dilihat tinjauan dilakukan lebih 80 peratus responden bersetuju dengan dasar ini” katanya kepada media,di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menjalankan program dan sesi penerangan supaya matlamat kempen itu dipenuhi bagi terus memberi pemahaman kepada pengguna.

“Cas 20 sen dikenakan sebagai rangsangan kepada orang ramai supaya tidak lagi menggunakan beg plastik.

“Berhubung kutipan ini, kita mahu mereka (premis perniagaan) menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi kepentingan pengguna ” katanya.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Negeri melaksanakan kempen bebas plastik dan polisterina di seluruh Selangor membabitkan premis perniagaan terpilih yang ia dijalankan secara berperingkat pada setiap Sabtu, sejak 2010.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Noh Omar perlu henti politik ‘plastik’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 JAN: Nilai positif yang disemai Kerajaan Negeri menerusi kempen pengharaman polisterina dan plastik di Selangor dicemari dengan amalan politik kotor pemimpin Umno, Tan Sri Noh Omar.

Angkatan Muda KEADILAN Selangor  berpendapat, Noh sengaja menanamkan benih negatif dalam pelaksanaan sebuah kempen yang penuh nilai positif.

“Noh disaran menghentikan politik ‘plastik’. Jangan sesekali menanamkam benih negatif dalam sesebuah pemikiran bernas Kerajaan Negeri yang cukup positif.

amk“Beliau seharusnya mengakui kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu alam sekitar.

“Kempen bebas plastik Selangor wajib dijadikan contoh kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempelajari cara menyelamatkan alam sekitar,” kata Ketua Biro Guamannya, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid.

Terdahulu, pelaksanaan Kempen Bebas Polisterina dan Plastik yang mula dilaksanakan bermatlamat mengurangkan penggunaan bahan plastik, sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, kempen itu dipertikai Noh yang menyifatkan pelaksanaannya gagal dan tidak memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat awam.

Sementara itu, usaha mendidik orang ramai untuk tidak menggunakan beg plastik dilaksanakan menerusi kaedah cas RM0.20 sen bagi setiap penggunaan beg plastik di pasaran.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap hari Sabtu, sejak tahun 2009.

-NFN-

Categories
SELANGOR

AnimalCare lancar beg mesra alam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JAN: Menyokong usaha pengharaman penggunaan beg plastik bagi 2017 yang dilaksanakan di seluruh negeri, pertubuhan sosial, AnimalCare tampil menggalakkan penggunaan beg lebih selesa dan mesra alam kepada pengguna.

Struktur beg yang dihasilkan melalui jahitan tangan, ia dijual pada kadar serendah RM60 setiap satu yang mana setiap pembelian disumbangkan ke tabung kebajikan haiwan.

Lebih istimewanya, penghasilan beg ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pencegahan penganiayaan terhadap haiwan dan alam menerusi penggunaan beg plastik sebelum ini.

Direka dengan empat jenis rekaan menerusi pelbagai jenis warna dan corak, orang ramai boleh membuat pembelian menerusi [email protected].

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang, https://myanimalcare.org/2017/01/01/bebasplastik-campaign-buy-our-shopping-bags/.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melancarkan pengharaman penggunaan plastik dan polisterina di premis perniagaan seluruh negeri bermula 1 Januari lalu.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap hari Sabtu sejak tahun 2009 dan dilanjutkan tujuh hari seminggu bermula, 2017.

Kempen Hari Tanpa Beg Plastik bertujuan menyemai semangat sayangkan bumi ini yang diharapkan mampu menjadi tabiat masyarakat seluruh negeri.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada plastik hari ini?

OLEH MOHD EZLI MASHUT

APA? Tiada beg plastik hari ini? Tentu ramai yang mengalami ‘kejutan budaya’ apabila kali pertama mengalami keadaan penggunaan plastik diharamkan. Ia ekoran sudah lama pengguna dibiasakan dengan penggunaan plastik untuk membeli belah sejak trend itu bermula 1970-an,

Tahukah kita bahawa hampir 1 trilion beg plastik digunakan setiap tahun di seluruh dunia dengan mengambil masa lebih 1,000 tahun untuk ia terurai. Dengan hanya menggunakan beg plastik selama kira-kira 12 minit sahaja menyebabkan kesannya berpanjangan terhadap alam sekitar.

bebas-plastik1Kajian dilakukan Forum Ekonomi Dunia dan Ellen MacArthur Foundation menjangkakan pada 2050 jika trend penggunaan beg plastik tidak berubah jumlah berat plastik tidak diguna ia lebih tinggi daripada ikan seluruh dunia.

Menyedari realiti menggerunkan ini, bermula 1 Januari 2017, Hari Tanpa Beg Plastik yang sebelum ini hanya diadakan setiap hari Sabtu di Selangor dipanjangkan kepada tujuh hari seminggu. Ini bermakna peniaga di Selangor tidak lagi membekalkan beg plastik secara percuma.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap hari Sabtu sejak tahun 2009. Kempen Hari Tanpa Beg Plastik bertujuan menyemai semangat sayangkan bumi ini mampu dijadikan sebagai tabiat harian.

Kempen ini diharap memberi impak kepada alam sekitar bukan sahaja untuk masa sekarang, malah untuk masa depan buat anak cucu kita. Kajian menunjukkan 71 peratus rakyat Selangor merasakan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ pada hari Sabtu sahaja tidak memadai.

 

FAKTA BAHAYA BEG PLASTIK

Lebih kurang 500 billion ke 1 trilion beg plastik digunakan serata dunia. Ini bermaksud lebih dari sejuta beg plastik dalam seminit. Dan berbilion-billion beg ini akan menjadi sampah.

Apakah yang membimbangkan tentang plastik? Plastik merupakan bahan diperbuat dan sumber amat berharga – minyak. Lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan minyak kita pada masa hadapan.

Sewaktu beg plastik dihasilkan, satu bahan karsinogen, benzen, dihasilkan. Beg plastik tidak dapat lupus dari muka bumi. Kalau pun kita mengurangkan penggunaan beg plastik dan sekarang, masih terdapat banyak lagi beg plastik sudah sedia terkumpul.

makan-plastikBeg plastik sukar dihapuskan. Sekiranya dibakar, ia membebaskan karsinogen, bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh memasuki sumber air minum kita.

Binatang yang menyangka beg plastik makanan boleh mati apabila makan beg plastik tersebut. Selain itu beg plastik juga menyebabkan, berlaku peresapan air yang menyebabkan banjir, dan merosakkan kesuburan tanah.

Malahan satu juta hidupan laut terkorban setiap hari akibat termakan atau tertelan sampah plastik yang dibuang setiap hari. Itu belum lagi kesannya terhadap udara apabila dibakar menyebabkan gas berbahaya terbebas.

Fakta ini sudah cukup untuk membuatkan kita takut masa hadapan dunia jika sikap penggunaan beg plastik tidak berubah.

 

RAKYAT SELANGOR CINTAI ALAM SEKITAR

Lebih daripada 90 peratus penduduk Selangor sedar bahawa beg plastik merupakan penyumbang terbesar terhadap pencemaran alam sekitar.

Berikutan kejayaan kempen lepas untuk mengurangkan penggunaan beg plastik pakai-buang dan polistirena, Kerajaan Selangor memutuskan semua peruncit tidak akan membekalkan beg plastik secara percuma serta melarang penggunaan polistirena bermula 2017.

Bagi peruncit yang memohon atau memperbaharui lesen perniagaan, antara syarat ditetapkan adalah larangan penggunaan polistirena dan beg plastik pakai buang. Jika pengguna masih perlukan beg plastik, caj minima dikenakan oleh peruncit.

plastik-lautTahukah anda yang secara purata, beg plastik hanya digunakan untuk 12 minit? Lebih mudah untuk bertukar kepada beg yang diperbuat dari bahan yang boleh diguna semula.

Kebergantungan anda kepada beg plastik boleh menghantui anda! Beg plastik dan bekas polistirena yang anda hanya guna sekejap akan kekal seumur hidup.

Sudah tentu anda mempunyai beberapa beg yang boleh diguna semula di rumah! Simpan di dalam kereta atau berdekatan pintu rumah anda. Simpan juga di dalam beg tangan atau beg galas yang anda gunakan setiap hari.

Jika masih terlupa boleh dapatkan kotak kadbod dari peruncit anda atau minta peruncit anda untuk memberikan diskaun jika membawa beg yang boleh diguna semula.

 

KESEDARAN MESTI BERMULA SEKARANG

Jadi sekiranya anda ditawarkan beg plastik dengan harga 20 sen selepas ini, jangan ragu-ragu untuk menolak. Jadikan amalan membawa beg kitar semula jika anda pergi berbelanja.

Jika hanya 1 daripada 5 orang di Malaysia mengamalkan sedar dan bersama-sama kempen ini, kita dapat mengurangkan sebanyak 110,822,400,000 beg sepanjang umur.

Tanamkan kesedaran untuk menjaga alam sekitar. Ayuh, jom sertai kempen ini dengan menandatangani ikrar untuk hidup tanpa plastik dan polistirena pakaibuang! Jom klik: http://www.bebasplastik.my
* MOHD EZLI MASHUT adalah Penolong Pengarang SelangorKini

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor peneraju negeri bebas polisterin 2017

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 DIS: Selangor menjadi antara negeri terawal memberi penumpuan terhadap dasar pengharaman penggunaan polisterin dan beg plastik menjelang 2017.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, inisiatif tersebut dibuat menerusi perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diputuskan, Julai lalu.

“Keputusan telah dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 13 Julai lalu, dan perkara ini juga dimaklumkan kepada 12 PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) seluruh negeri.

“Semua PBT meluluskan pra-syarat ini dan Kerajaan Negeri meneruskan komitmen dan dasar ini untuk melaksanakannya di peringkat PBT bagi mewujudkan kempen lanjutan program ini kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Kempen #BebasPlastik 2017 yang menetapkan pengharaman penggunaan polisterin dan beg plastik percuma di negeri ini.

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan laman sawang pendidikan kepada masyarakat untuk mendapatkan pelbagai info berhubung pelaksanaan dasar tersebut.

“Ia boleh dilawati di laman sesawang bebasplatik.my dengan segala maklumat mengenainya boleh dilihat menerusi laman berkenaan,” katanya.

Beliau percaya, kempen itu mampu membangkitkan reaksi positif kepada usaha Kerajaan Negeri untuk membawa perubahan lebih berkesan kepada gaya hidup masyarakat.

“Kami percaya ia boleh dilaksanakan memandangkan hasil kaji selidik yang dibuat sebelum ini mendapat desakan supaya hari pengecualian beg plastik setiap Sabtu sebelum ini dilanjutkan.

“Menyedari hakikat ini, kita perlu membuat perubahan dan kami tetap komited kepada perubahan ini dengan melaksanakan polisi memerangi masalah pembuangan sampah berleluasa dan menekankan isu alam sekitar seperti pemanasan global,” katanya.

=EZY=