Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ubah tabiat kehidupan seharian elak guna plastik – Puteri Zatashah

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 23 SEPT: Bawa bekas makanan dan minuman sendiri sekiranya berkunjung ke kedai makan, itu nasihat Puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, rakyat Selangor perlu mengubah tabiat kehidupan seharian yang sentiasa berharap pada penggunaan plastik.

“Jika anda ke kopitiam atau kedai makan, bawa bekas air, straw kitar semula dan sebagainya, hanya bermula dengan perubahan tabiat seorang individu, ia boleh mengubah ramai lagi tabiat orang lain.

“Walaupun Kerajaan Selangor sudah melaksanakan kempen bebas plastik beg, namun kita perlu berterusan dalam usaha untuk mendidik masyarakat,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Tengku Zatashah berkata demikian selepas Program Gotong Royong Pembersihan Pantai Peringkat Negeri Selangor di Pantai Morib, semalam.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid.

Pada program berkenaan, Tengku Zatashah turut sama mengutip sampah di sepanjang pantai terbabit.

“Saya berasa sedih kerana melihat situasi ini masih berlaku, jika perkara ini berterusan, kita bimbang dengan ramalan yang mengatakan pada tahun 2050, jumlah plastik di laut lebih banyak berbanding ikan.

“Bagaimanapun saya gembira dengan acara gotong-royong pada hari ini yang menerima ramai sukarelawan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor masih kaji pengharaman beg plastik

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 22 SEPT: Kerajaan Selangor masih lagi dalam peringkat kajian bagi mengharamkan penggunaan beg plastik di negeri ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, pihaknya masih lagi mengkaji sama ada polisi pengharaman itu akan dilakukan bersama Kerajaan Persekutuan mahupun dilaksanakan bersendirian pada peringkat negeri.

“Kerajaan Selangor juga masih memberikan tempoh kepada pengusaha yang terlibat supaya menghabiskan stok sedia ada.

“Perbincangan bagi mengharamkan penggunaan beg plastik ini akan dilakukan bersama banyak pihak, dan ia akan dilakukan dengan teliti, bagaimanapun kita tidak dapat memberi waktu jangkaan perlaksanaannya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Pembersihan Pantai Peringkat Negeri Selangor di Pantai Morib, hari ini.

Loy Sian berkata, pihaknya memandang serius isu penggunaan beg plastik kerana ia memberi impak yang tidak baik kepada negeri.

“Banyak masalah yang akan timbul sekiranya isu ini tidak ditangani dengan serius, disebabkan itu kita akan terus mengkaji untuk mengharamkan penggunaan beg plastik pada masa akan datang,” katanya.

Bermula 1 Januari 2017, premis perniagaan di Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik secara percuma dan diarahkan menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistera di semua premis termasuk premis makanan dan pasar malam.

Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk menggunakan kutipan caj 20 sen bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Kaji semula keberkesanan Kempen Bebas Plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri akan melaksanakan satu kajian keberkesanan Kempen Bebas Plastik di negeri ini bagi memastikan keputusan diambil tidak membebankan sesetengah pihak.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, dengan peralihan Kerajaan Persekutuan yang baharu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Kempen Sekatan Penggunaan Beg Plastik di seluruh negara, tahun depan.

Katanya, kerjasama berkenaan adalah diantara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

“Isu mengenai penggunaan beg plastik serta kesannya terhadap alam sekitar. Kempen ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga terutamanya peniaga pasaraya besar, peruncit, pengusaha makanan dan penduduk.

“Perkara ini dapat dilihat apabila peniaga memainkan peranan mereka dalam mempromosikan kempen bebas plastik dengan melaksanakan caj RM0.20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan.

“Pengguna juga sudah mula membiasakan diri membawa beg sendiri dan tidak lagi mengambil beg pklastik ‘single use’ sewaktu membeli belah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri, di sini.

Loy Sian berkata, pengharaman penggunaan beg plastik secara total bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia akan menjejaskan banyak pihak termasuk pengilang plastik, peniaga dan pengguna.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan mengkaji keberkesanan kempen itu dari pelbagai peringkat,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melaksanakan kempen bermula 1 Januari 2017 selama tujuh hari seminggu berbanding hanya setiap Sabtu sebelumnya.

Sehubungan itu, semua jenis perniagaan tidak dibenarkan menyediakan beg plastik ‘single use’ secara percuma dan menghentikan penggunaan polisterena di semua premis perniagaan termasuk premis makanan.

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Saintis China bangunkan plastik boleh terurai atasi pencemaran laut

BEIJING, 5 SEPT: Saintis China membangunkan sejenis plastik boleh terurai jika dibuang ke dalam laut, sekaligus membantu mengurangkan pencemaran plastik yang semakin serius di perairan, lapor Xinhua.

Jurutera kanan Institut Teknik Fizik dan Kimia Akademi Sains China, Wang Gexia berkata, poliester komposit baharu yang boleh terurai dalam air laut untuk tempoh beberapa hari hingga ke seratus hari itu, hanya akan meninggalkan molekul kecil dan tidak menyebabkan pencemaran,

“Sejak sekian lama tumpuan hanya diberikan kepada pencemaran di darat. Pencemaran plastik di laut mula menjadi perhatian apabila banyak laporan mengenai hidupan laut yang mati dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Wang.

Kira-kira 4.8 hingga 12.7 juta tan sisa plastik dibuang ke laut setiap tahun, menyumbang 60 hingga 80 peratus jumlah pencemaran pepejal di lautan, menurut anggaran saintis.

Disebabkan aktiviti manusia dan keadaan laut, kebanyakan sisa berkumpul di bahagian utara dan selatan Pasifik dan Atlantik serta tengah Lautan Hindi.

Media Perancis melaporkan jumlah sisa plastik di lautan antara California dan Hawaii, seluas 3.5 juta kilometer persegi, atau tujuh kali wilayah Perancis – dan terus meningkat sebanyak 80,000 kilometer persegi setahun.

Forum Ekonomi Dunia juga memberi amaran jumlah bahan buangan plastik di lautan akan melebihi jumlah berat ikan di laut pada 2050.

Hampir semua jenis plastik boleh didapati di laut, sama ada terapung atau tenggelam, dan tidak boleh mengurai selama beberapa dekad bahkan berabad lamanya, ujar Wang.

Banyak penyu serta lebih dari 90 peratus burung laut mati akibat termakan plastik.

“Kami masih kekurangan cara berkesan menangani pencemaran plastik yang serius. Sisa plastik di laut tidak dapat dikumpul seperti di darat. Ia mungkin dapat diatasi dengan membiarkan bahan-bahan itu terurai dan hilang,” katanya.

Institut Teknikal Fizik dan Kimia, satu daripada institusi penyelidikan terkemuka di China membangunkan plastik yang boleh terbiodegradasikan secara alami.

Penyelidikan itu baru-baru ini terpilih memenangi pertandingan teknologi inovatif masa depan di Shenzhen, Wilayah Guangdong.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

New Zealand haramkan beg plastik

WELLINGTON 11 OGOS: New Zealand menjadi negara terbaharu mengharamkan beg plastik selepas Perdana Menteri, Jacinda Ardern menegaskan penggunaannya akan dihentikan berkuat kuasa tahun depan sebagai langkah terbaik mengurangkan masalah pencemaran.

Menurut Arden, New Zealand menggunakan beratus-ratus juta beg plastik setiap tahun dengan kebanyakannya menjadi bahan pencemaran yang menjejaskan hidupan marin.

“Kita perlu jauh lebih bijak dalam cara kita menguruskan sisa dan ini adalah permulaan yang baik.

“Kami akan menghentikan penggunaan beg plastik supaya kami dapat memantau persekitaran kami dengan lebih baik dan melindungi reputasi bersih serta hijau New Zealand,” jelasnya.

Ardern berkata, kerajaan gabungannya termasuk Parti Hijau berdepan cabaran alam sekitar dan seperti juga perubahan iklim, pihaknya akan mengambil langkah-langkah penting untuk me­ngurangkan pencemaran plastik supaya masalah ini tidak membebankan generasi akan datang.

Beg plastik adalah sampah pa­ling biasa ditemui di kawasan pantai di New Zealand dan kumpulan pencinta alam sekitar mengalu-alukan keputusan untuk mengharamkan penggunaannya.

“Ini boleh menjadi langkah besar dalam mengubah pencemaran plastik di lautan dan usaha penting pertama dalam melindungi hidupan marin seperti penyu serta paus laut daripada sisa plastik,” kata Anggota Greenpeace Oceans, Emily Hunter.

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan Jun menyatakan, sehingga lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun atau hampir 10 juta beg plastik seminit.

“Jika disambung, kesemua beg plastik ini boleh membalut dunia sebanyak tujuh kali setiap jam dan seperti kebanyakan sampah plastik, hampir tidak ada yang dikitar semula,” kata Ketua Alam Sekitar PBB, Erik Solheim.

Menurut PBB, lebih daripada 60 buah negara telah memper­kenalkan larangan dan levi ke atas barangan plastik sekali guna seperti beg.

Tetapi jelasnya, pengurusan sisa yang lebih baik, insentif kewangan untuk mengubah tabiat membeli pengguna dan penyelidikan tentang bahan alternatif diperlukan untuk membuat perubahan sebenar.

SUMBER: AFP

 

Categories
NASIONAL

Harap kerajaan baharu ambil inisiatif kurang pencemaran plastik

OLEH SHEEDA FATHIL

BATU CAVES, 7 JUL: Kerajaan baharu di peringkat Persekutuan disaran komited memastikan pencemaran plastik dapat dikurangkan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Beliau berkata diharap Kerajaan Persekutuan tegas dalam memastikan isu itu dapat ditangani terutamanya mengenai kempen terbaharu iaitu kurangkan atau larangkan penggunaan penyedut minuman plastik.

Katanya, beliau sangat menyokong kempen mengurangkan atau melarang penggunaan penyedut minuman plastik.

“Sekarang adalah masa yang amat tepat untuk memperluaskan lagi kempen bebas plastik kerana kebanyakan negara lain sudah mula mengamalkannya.

“Malah, di Selangor juga sudah berjaya kita laksanakan kempen pengurangan beg plastik dan polistren selama dua tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Lanjan, di Dewan Serbaguna Taman Bidara, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk kempen itu dilaksanakan di seluruh Malaysia.

“Selain itu, kita turut mengalami masalah botol plastik namun hal itu sudah mula saya bincangkan dengan beberapa pengusaha dan aktivis mengenai cara kurangkan penggunaannya.

“Namun, kita ada beberapa masalah sedikit kerana negara China sudah tidak membenarkan sisa plastik sampai atau import ke negara mereka,” katanya.

Elizabeth yang juga mantan Exco Kerajaan Negeri berkata, disebabkan hal itu kebanyakan pengusaha membawa masuk sisa plastik itu ke Malaysia iaitu di Klang dan Pasir Gudang.

“Saya harap hal ini tidak lagi berlaku dan semoga Kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif yang lebih komprehensif bagi memastikan pencemaran plastik dapat dikurangkan,” katanya.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA GLOBAL

PBB: Kurang 10% plastik dikitar semula, 5 trilion diguna setiap tahun

OSLO, Norway 6 JUN: Kurang 10 peratus daripada semua plastik yang dihasilkan telah dikitar semula, manakala kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mencukai atau mengharamkan penggunaan beg plastik dan bungkusan makanan bagi mengekang pencemaran, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporannya sempena Hari Alam Sekitar PBB semalam.

Laporan itu dianggap paling komprehensif mengenai langkah kerajaan mengekang penggunaan beg plastik. Ia menyatakan bahawa sehingga lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia pada setiap tahun dan jika dibentangkan, bahan itu meliputi kawasan dua kali ganda lebih luas daripada negara Perancis.

“Pencemaran plastik sampai ke setiap pelosok Bumi ini,” kata ketua Alam Sekitar PBB, Erik Solheim dalam laporan tersebut yang dikumpulkan dengan bantuan kerajaan India dan dilancarkan bersama slogan:“Jangan gunakan jika ia tidak boleh dikitar semula.”

“Hanya 9 peratus daripada sembilan bilion tan plastik yang dihasilkan di seluruh dunia telah dikitar semula. Sebahagian besarnya memenuhi tempat pembuangan sampah atau alam sekitar,” demikian menurut laporan tersebut.

China merupakan sumber terbesar sampah pembungkusan plastik, mengatasi Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Namun, terdapat tanda-tanda bahawa tindakan diambil bagi mengekang pencemaran plastik yang memudaratkan hidupan di laut, mencemarkan tanah dan mengeluarkan bahan kimia beracun apabila dibakar.

SUMBER: REUTERS

Categories
SELANGOR

Tiada kenaikan caj beg plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 28 MEI: Hasrat untuk mengkaji semula caj 20 sen bagi pembelian beg plastik bukan bermaksud kadar itu bakal dinaikkan.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, ia sebaliknya kajian membabitkan keberkesanan dan penguat kuasaan.

Katanya, hal itu kerana terdapat ramai pihak tertanya ‘kehilangan’ kutipan caj terbabit sebelum ini.

“Caj itu sebelum ini menjadi tanda tanya ke mana hasil kutipannya dan terdapat persoalan adakah ia mencapai matlamat.

“Tidak banyak premis khususnya pasar raya mengikut arahan ini, mungkin kerana tiada penguat kuasaan dan tindakan dilaksanakan.

“Jadi, tidak mungkin caj ini dinaikkan, namun kita mahu keberkesanan mengurangkan penggunaan beg plastik mencapai matlamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bazar Ramadan Mampan Majlis Perbandaran Klang (MPK), di Lobi Pusat Beli Belah, GM Klang, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan tempoh lima tahun akan datang dapat mencapai matlamat negeri bebas plastik.

Beliau berkata, pihaknya akan merangka program menyeluruh ke arah merealisasikan hasrat itu.

Terdahulu, Loy Sian mahu Kerajaan Negeri mengkaji semula langkah pengenaan caj 20 sen itu kerana tidak memberi impak positif terhadap Kempen Bebas Plastik dan Polistirena.

Bermula 1 Januari 2017, perniagaan di Selangor tidak dibenarkan menyediakan beg plastik secara percuma dan diarah menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistirena di semua premis, termasuk premis makanan serta pasar malam.

Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk mengenakan caj 20 sen bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Susulan kempen itu dilaksanakan, Kerajaan Negeri dimaklumkan sebanyak RM7.199 juta dikutip bagi tempoh sehingga Februari lalu.

Categories
SELANGOR

Kempen Bebas Plastik dan Polistirena diperluas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri akan memperluaskan Kempen Bebas Plastik dan Polistirena menerusi pengurangan kegunaan botol dan straw plastik secara berperingkat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, ia adalah inisiatif terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar sekaligus memberikan kesan jangka panjang terhadap kebersihan dan kesihatan rakyat Selangor.

“Malahan terdapat kesedaran di kalangan masyarakat tentang pemeliharaan alam sekitar di mana rakyat kini lebih selesa membawa beg kitar semula atau beg sendiri untuk membeli belah.

“Tambahan, Malaysia merupakan antara 200 petandatangan Konferens Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memberi komitmen memberhentikan pencemaran plastik.

“Ini selaras dengan prinsip ‘Fastabiqul Khairat’ yang diamalkan pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong-Kuala Kubu Bahru.

Bermula 1 Januari 2017, perniagaan di Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik secara percuma dan diarahkan menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistera di semua premis termasuk premis makanan dan pasar malam.

Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk menggunakan kutipan caj 20 sen bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Susulan kempen itu dilaksanakan, Kerajaan Negeri dimaklumkan sebanyak RM7.199 juta dikutip bagi tempoh sehingga Februari 2018.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Plastik 20 sen: BN tandus idea laksana dasar hijau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 FEB : Barisan Nasional Selangor ketandusan idea untuk melaksanakan dasar hijau baru yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat di negeri itu.

Pengarah Komunasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri kini lebih fokus memacu insiatif pelaksanaan dasar hijau di Selangor.

Beliau berkata, ia dibuktikan menerusi pelaksanaan dasar bebas beg plastik dan polisterina, namun cuba ditiru BN Selangor sekiranya mampu menawan Selangor, pada pilihan raya depan.

“Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan begitu peka tentang pencemaran alam sekitar dan seterusnya mengambil langkah proaktif untuk mengawal masalah ini dari terus berlanjutan.

“Justeru saya menganggap BN Selangor bankrap idea dan gagal memahami kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Maka wajarlah BN ditolak bukan sahaja di Selangor, malah seluruh negara demi kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Barisan Nasional Selangor berjanji tidak akan meneruskan caj beg plastik sebanyak 20 sen sekiranya menang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ia kononnya sebagai manifesto Kerajaan BN, melaksanakan dasar sedia ada yang mula dilaksanakan Kerajaan Pakatan dengan memperkenalkan pelaksanaan bebas polisterina Januari lalu.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Beg ‘guna saya semula’ bantu kurangkan penggunaan beg plastik

OLEH SABIRAH AZIZ

BANTING, 10 FEB: Beg ‘guna saya semula’ dapat membantu orang ramai menggurangkan penggunaan beg plastik ketika membeli belah selaras dengan kempen #bebasplastik Selangor.

Pengguna, Mohd Fuad Yunus berkata, kempen bebas plastik yang dijalankan banyak memberi kesan positif kepada dirinya dan keluarga.

“Apabila semua pasar raya menjalankan kempen ini, maka saya dan keluarga sudah terbiasa dengan keadaan ini.

“Ia sekali gus menggalakkan kami membawa beg sendiri,” katanya ketika ditemui dalam pelancaran program Guna Saya Semula di ruang legar Pasaraya Giant, di sini, hari ini.

Bagi suri rumah, Fauziah Musa pula menyifatkan, penggunaan beg terpakai dapat mendidik masyarakat supaya menjaga alam sekitar.

“Usaha yang dijalankan Kerajaan Negeri dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) amat bagus dan patut dicontohi.

“Semoga usaha ini akan berterusan, pada masa akan datang,” katanya.

Program itu dirasmikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin dan Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi.

 

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Didik masyarakat bahaya plastik cemar alam

OLEH: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM 9 SEPT: Masyarakat perlu diberi pendidikan dan pendedahan tentang bahaya dan kesan masalah sampah dan penggunaan beg plastik yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Pengurus Besar KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, mengikut data di Malaysia terdapat 30 juta penduduk iaitu kira-kira anggaran terrdapat empat juta rumah yang mengeluarkan satu beg plastik, setahun kita ada hampir 1.4 bilion plastik.

“Ramai yang tidak tahu masalah beg plastik jika di buang di pusat pelupusan sampah ia tidak mampu di hancur dalam waktu yang disingkat. Ia mengambil masa dari 150 ke 500 tahun lamanya.

plastik-laut“Oleh itu, masyarakat perlu diberi kesedaran pentingnya ke arah bandar raya hijau dan pengurangan penggunaaan beg plastik,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli berkata pihaknya dalam perancangan membuat satu program kitar semula di kawasan seliaannya bagi mengasingkan bahan boleh dikitar semula.

“Sekarang kita dalam proses siapkan kertas kerja untuk dihantar kepada pihak Majlis bagi mendapatkan kebenaran merancang sebelum akhir tahun ini.

“Setelah selesai dan diluluskan oleh Majlis, ia mungkin mengambil masa enam bulan untuk menjalankan prgram kitar semula ini,” katanya.

=EZY=