Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan goyang, Muhyiddin akui sekutu PN tarik sokongan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengakui sebahagian sekutu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan setelah 15 wakil rakyat Umno menolak kepemimpinannya.

“Malangnya dalam keadaan saya dan rakan-rakan dalam kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa ahli parlimen telah menarik sokongan kepada saya.

“Ini menimbulkan keraguan tentang keabsahan saya sebagai perdana menteri dan kedudukan kerajaan PN sebagai kerajaan yang memerintah,” katanya dalam perutusan khas yang disiar secara langsung.

Muhyiddin mengulas tindakan Umno memutuskan untuk menarik sokongan minggu lalu, manakala dua menteri parti tersebut meletak jawatan dan sekumpulan pemimpin utamanya meninggalkan badan berkaitan kerajaan.

Pada 4 Ogos, Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi turut menghantar nama 14 wakil rakyatnya, tidak termasuk Datuk Seri Noraini Ahmad yang meletak jawatan dua hari kemudian, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, kata Muhyiddin lagi, sebagai perdana menteri beliau mempunyai pilihan sama ada mengundur diri bersama kabinet atau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tiada seorang pun ahli parlimen lain yang mampu meraih majoriti sokongan Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri baharu seterusnya membentuk kerajaan.

“Sehingga saat ini tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baharu,” katanya lagi.

Dalam ucapan tersebut, perdana menteri cuba menggambarkan pergolakan politik yang mungkin berpanjangan jika kerajaan baharu gagal ditubuhkan sehingga boleh menjejaskan usaha memerangi wabak.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?” katanya.

Dalam nada terdesak, beliau mencadangkan tujuh langkah bagi mencapai “rangka persefahaman rentas parti” yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PN jika usul undi percaya terhadapnya diluluskan dalam masa terdekat.

  • Semua ahli parlimen terima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik
  • Penambahan siling Dana Covid-19 dari RM65 bilion tahun lalu kepada RM110 bilion untuk atasi pandemik
  • Mengehad tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal dan membentang Rang Undang- Undang Anti-Lompat Parti
  • Jumlah wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang (50-50)
  • Membentang Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pendaftaran automatik
  • Rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentang dirunding dengan semua ahli parlimen
  • Ketua pembangkang diberi saraan dan kemudahan setara menteri kanan

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Timbalan menteri dakwa kerajaan PN masih kukuh

SHAH ALAM, 4 OGOS: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih kukuh sekalipun Umno menarik balik sokongan.

Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keadaan baik, lapor Malaysiakini.

“Intact (utuh) semuanya,” kata ahli parlimen Padang Besar itu selepas pertemuan dengan lebih 10 ahli parlimen Umno di sebuah hotel di Kuala Lumpur tengah malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir pertemuan yang berlangsung beberapa jam selepas pengumuman Umno menarik balik sokongan terhadap PN.

Pada 3 Ogos, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik balik sokongan berikutan isu antara kerajaan pusat dengan Istana Negara berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lemah, negara luar mungkin peralat untuk keuntungan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendorong negara seteru mengambil kesempatan meraih keuntungan dalam keterlibatan dengan Malaysia.

Ketua pembangkang menegaskan hal itu mampu memberi kesan mendalam pada kedudukan Malaysia, ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komen “abang besar” oleh menteri luar juga meninggalkan dampak pada negara antara hubungan Malaysia dan China.

“Kerajaan PN tampaknya telah tersalah langkah dalam banyak hal penting negara dan kadarnya terus memuncak naik.

“Tanpa pengimbangan dari institusi Parlimen dan sikap kebertanggungjawaban pada badan eksekutif, keadaan nampaknya akan terus parah dan terbaru membawa marabahaya pada kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata pemerintah hari ini secara tidak langsung memberi mesej jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali.

“Percubaan menteri luar untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan kabinet PN ini mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan China,” kata Anwar.

Beliau turut menggesa perdana menteri yang hilang majoriti segera berundur dan kembali pada proses perlembagaan serta tidak menyalahguna pengisytiharan darurat untuk terus berkuasa.

“Melihatkan keadaan PN yang terumbang ambing hari ini, kita bimbang segala keputusan yang dibuat hanya untuk terus menjamin kelangsungan kuasa dan ia berpotensi mengorbankan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kerajaan lemah, turuti gaya BN abai demokrasi

SHAH ALAM, 28 OGOS: Sidang Dewan Rakyat yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tiada keabsahan serta gagal menterjemah tatakelola beretika.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan yang meraih majoriti sangat tipis itu tidak layak mentadbir, apatah lagi ketika negara memerlukan kepimpinan jitu.

“Tindakan legislatif pertama kerajaan PN saat pandemik Covid-19 di Parlimen adalah menukar Speaker Dewan Rakyat, yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dunia.

“Apa yang mengekori sejurus itu adalah corak dan gaya pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang mempunyai ciri-ciri tatanan tidak cukup sifat dan roh demokrasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Anwar kagum dengan gabungan pembangkang yang menyanjung demokrasi, mempertahankan mandat rakyat dan menyiapkan semak imbang mantap dengan mempersoal setiap tindakan PN.

Menyentuh kelulusan rang undang-undang (RUU), presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata ia pernah dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, namun dipinda pentadbiran PN.

Beliau berkata cadangan ditolak termasuk pelantikan ketua pembangkang ke dalam Majlis Keselamatan Negara bagi mengelak salah guna kuasa.

“Kerajaan PN menarik balik RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 untuk mengukuh pengawasan ke atas pasukan polis dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 yang mengehad kuasa dan penggal kedudukan Perdana Menteri bagi mengelak salah guna kuasa.

“Sikap ini seolah-olah mengembalikan amalan bobrok BN yang ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu,” kata Anwar lagi.

Antara RUU dibentang dan dilulus pada sesi kali ini ialah:

1. RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020
2. RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020
3. RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020

Categories
NASIONAL

“I love you ganti I love PM,” kata Tun M

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 JUN: Tiada lagi ungkapan ‘I love PM’ seperti mana slogan yang diperkenalkan era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bagi memberikan gambaran kononnya beliau disayangi rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tetapi sebaliknya pengunjung rumah terbuka aidilfitri Perdana Menteri hari ini dengan sendirinya mengucapkan “I love you” kepada beliau ketika bersalaman dengannya.

“Semasa bersalaman dengan rakyat tadi ada yang sempat kata ‘I love you’ kepada saya.

“Nampaknya tiada lagi ‘I love PM’ macam dulu tetapi dah diganti ‘I love you’ sekarang,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Mahathir berkata, berbeza dahulu, ungkapan ‘I love PM’ dibuat di atas plakad yang disediakan pihak kerajaan atau jentera parti Barisan Nasional (BN) sendiri sebelum diedarkan kepada orang ramai yang hadir ke majlis dihadiri Najib.

Namun sebaliknya, ucapan ‘I love you’ kepadanya dilontarkan secara spontan tanpa arahan mana-mana pihak.

Terdahulu, di era Najib hadirin pada program dihadiri Najib dikehendaki menayangkan ungkapan ‘I love PM’ (Saya sayang Perdana Menteri) untuk lensa kamera media.

Tindakan itu dibuat bagi membayangkan kononnya Najib mempunyai sokongan rakyat terbanyak.

=EZY=