Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis keluar 52 kompaun ingkar SOP perintah kawalan pemulihan

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Sebanyak 52 kompaun telah dikeluarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Rabu lepas, terhadap pemilik premis yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah premis yang beroperasi melebihi had waktu yang dibenarkan.

Beliau berkata pihaknya telah menegaskan kepada pemilik-pemilik premis bahawa operasi perlu ditutup pada pukul 12 tengah malam, namun masih ada segelintir yang berdegil dan beroperasi sehingga pukul 1 atau 2 pagi.

“Oleh yang demikian, kami kompuan mereka. Begitu juga dengan premis hiburan yang masih lagi tegar melaksanakan operasi menghiburkan pelanggan seperti di pusat karaoke dan lain-lain pusat hiburan.

“Pusat-pusat hiburan yang beroperasi turut dikompaun kerana ketika ini mereka masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran MyPelawat di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Mazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam perancangan untuk menambah pegawai dan anggota polis dengan melakukan pengambilan baharu tahun ini.

“Kami masih lagi dalam perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara dan sebagainya, dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin, ramai rekrut baharu yang kita perlukan,” katanya.

 

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tangkap dua lelaki edar dadah, rampas senjata api

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di Sungai Chua, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua suspek berusia 42 dan 48 tahun itu ditahan kira-kira 7.30 malam dan polis turut merampas dadah disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat keseluruhan 2.3 kilogram, serta enam senjata api.

“Susulan penahanan itu, siasatan lanjut polis di sebuah pangsapuri di Subang Jaya turut menemui dadah jenis sama, empat laras senapang dan dua pucuk pistol dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM350,085,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata selain itu, turut dirampas adalah senjata api dipercayai pistol ‘airsoft’ yang dibeli secara dalam talian.

Mohd Zaid berkata pihaknya turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek bagi tujuan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula kelmarin manakala kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bertindak atas maklumat ‘Ops Vulture’, polis menahan 10 lelaki warga tempatan berusia 18 hingga 27 tahun selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang ‘Ah Long’, di sebuah premis di Bandar Botanic, Klang, kelmarin.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan ekoran laporan polis dibuat pengadu yang membuat pinjaman wang terhadap 27 ‘Ah Long’, berjumlah RM35,000.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak kira-kira tiga tahun lepas dan terlibat dengan pelbagai kes jenayah di sekitar Lembah Klang. Kesemua suspek direman tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis pantau pesalah trafik dari udara

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pemantauan melalui udara bagi mengesan individu yang melakukan kesalahan trafik dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Komander (Operasi) PGU, SAC Noor Sham Md Jani berkata pemantauan itu membabitkan dua helikopter jenis AS355N dan AW139 dengan penerbangan dua kali sehari.

Menurutnya, helikopter jenis AS355N dilengkapi kamera canggih dikenali sebagai ‘wescam’ yang boleh mengenal pasti dan merekod nombor pendaftaran kenderaan yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya.

“Sejak PKPP dilaksanakan, kami sudah menjalankan pemantauan dari udara dan membantu Jabatan Penguatkuasaan Trafik untuk mengenal pasti pesalah trafik yang melanggar peraturan jalan raya termasuk mereka yang menggunakan laluan kecemasan.

Wescam ini dipasang untuk operasi sepanjang PKPP dan dengan adanya kamera canggih ini, ia akan terus dihantar secara langsung ke Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya bahawa pemantauan di udara diteruskan daripada semasa ke semasa bukan sahaja untuk memantau keadaan trafik di semua lebuh raya utama negara, tetapi juga mengesan pesalah trafik.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lelaki mengamuk langgar orang awam dipercayai mabuk

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Seorang lelaki yang mengamuk dan melanggar lima orang awam dengan keretanya di perkarangan tapak penjaja di Pekan Bukit Sentosa, dekat sini, semalam, dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pemborong tayar, melanggar gerai serta pengunjung di tapak penjaja itu, menyebabkan lima orang awam cedera.

Beliau berkata lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (11) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat dan polis meminta saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noor Azam menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian negatif terhadap kejadian itu dan meletakkan sepenuh keyakinan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki ditahan selepas mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin sisi keretanya semasa dia membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa.

Berikutan itu, lima orang mengalami kecederaan akibat dilanggar lelaki terbabit.

Terdahulu, tular di laman sosial yang memaparkan video berdurasi seminit lapan saat dan satu lagi video sama berdurasi 44 saat menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lelaki mengamuk langgar orang awam ditahan

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan melanggar dengan keretanya lima orang awam di perkarangan tapak penjaja di Pekan Bukit Sentosa, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.35 petang, apabila suspek mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin sisi keretanya semasa suspek membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak berhampiran Jalan Besar Bukit Sentosa.

Beliau berkata suspek berumur 32 tahun itu mengatakan akan melanggar semua orang awam yang berhampiran di Bukit Sentosa.

“Berikutan itu, suspek mengamuk dan melanggar orang awam di tapak penjaja Persiaran Orkid,” katanya dalam kenyataan semalam.

Arsad berkata ekoran kejadian ini, lima orang awam dikenal pasti mengalami kecederaan iaitu empat lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.

“Dua kereta, dua motosikal dan dua khemah di tapak perniagaan mengalami kerosakan akibat dilanggar, dan setakat ini juga terdapat lima laporan polis dibuat oleh orang awam iaitu peniaga gerai yang mengalami kecederaan serta kerosakan gerai,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Diskaun 50 peratus bayar saman dalam talian

SHAH ALAM, 18 MEI: Polis menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi bayaran saman terpilih yang dilakukan secara dalam talian bermula hari ini hingga 21 Mei.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan bayaran saman boleh dibuat menerusi portal www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my sepanjang tempoh empat hari itu.

“Penawaran diskaun ini diberikan memandangkan kita memahami kekangan kewangan masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal pandemik Covid-19 dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan sama memaklumkan kaunter perkhidmatan trafik juga akan mula dibuka secara berperingkat untuk memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran saman serta lain-lain hal berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans.

“Kita juga akan membuka kaunter perkhidmatan membabitkan pembayaran saman serta pembekalan dokumen kemalangan di semua ibu pejabat polis daerah dan kontinjen secara berperingkat.

“Justeru, kita menyeru orang ramai yang ingin berurusan di kaunter tersebut supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditetapkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Muat turun aplikasi palsu, enam individu rugi hampir RM300,000

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Enam individu berputih mata apabila wang simpanan di dalam akaun bank mereka lesap selepas memuat turun satu aplikasi yang dihantar sindiket penipuan dalam talian.

Taktik terbaharu sindiket penipuan itu didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas menerima enam laporan daripada mangsa berusia 24 hingga 59 tahun sejak 7 hingga 11 April lepas membabitkan kerugian berjumlah RM295,350.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata empat laporan diterima di Kuala Lumpur, manakala bakinya masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan membuat panggilan secara rawak dengan memperkenalkan diri mereka sebagai pihak berkuasa termasuk polis sebelum menghantar satu pautan (www.negarabank.com.my/nbm.apk) melalui WhatsApp.

“Mangsa diarahkan memuat turun satu aplikasi didakwa daripada Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu bnmsafe (8002) melalui pautan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Zakaria berkata mangsa kemudian diminta memasukkan maklumat peribadi dan perbankan.

“Selepas sindiket mendapat maklumat mangsa, mereka akan mengakses akaun perbankan mangsa dan membuat pindahan wang ke akaun pihak ketiga. Bagi melengkapkan pindahan itu, sindiket akan minta Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada mangsa,

“Sebaik sahaja proses itu selesai, mangsa diarahkan supaya membatalkan dokumen diisi berkenaan sebelum menyedari wang dalam akaun mereka lesap,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menerima panggilan daripada individu tidak dikenali dan tidak berkongsi maklumat peribadi serta perbankan dengan mereka.

“Jika ada keraguan boleh hubungi talian hotline JSJK di 013-2111222 (WhatsApp sahaja),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Guru rugi ribuan ringgit, ditipu peniaga jual penutup hidung dan mulut

KUANTAN, 7 APRIL: Seorang guru wanita membuat laporan polis dan mendakwa kerugian RM5,992 selepas diperdayakan dalam urusan pembelian penutup hidung dan mulut serta sarung tangan getah di laman sosial Facebook, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 24 tahun mendakwa berurusan dengan seorang suspek wanita menerusi nombor telefon yang tertera pada iklan barangan itu yang dilihatnya pada 1 April lepas.

“Mangsa mendakwa telah membuat bayaran pada 5 April lalu bagi mendapatkan 86 kotak penutup hidung dan mulut serta lapan kotak sarung tangan getah kerana berhasrat untuk menjual semula barangan itu.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa barangan itu tidak pernah diterimanya walaupun dijanjikan penghantaran hanya mengambil masa sehari selain usaha untuk menghubungi suspek juga tidak berjaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Wazir barkata seorang pesara wanita berusia 66 tahun, mendakwa kerugian RM37,000 selepas terpedaya dengan helah Macau Scam sehingga bertindak memindahkan wang simpanannya ke dua akaun yang tidak dikenali pemiliknya.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa dihubungi pada 30 Mac lalu, kononnya oleh kakitangan Telekom Malaysia yang memaklumkan nombor telefon rumahnya digunakan secara salah oleh suspek perjudian haram dalam talian.

“Mangsa mendakwa panggilan itu disambungkan ke seorang pegawai polis yang memberitahu terdapat waran tangkap dikeluarkan terhadap dirinya menyebabkan mangsa merayu supaya waran itu dibatalkan.

Suspek mendakwa boleh berbuat demikian dengan syarat mangsa perlu memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun yang diberikan, kononnya untuk membantu siasatan,” katanya.

Mangsa yang mempercayai dakwaan suspek telah memindahkan wang simpanannya sebanyak dua kali iaitu pada 31 Mac dan 1 April lepas sebelum menyedari dirinya berkemungkinan ditipu selepas gagal menghubungi ‘pegawai polis’ itu bagi bertanyakan status waran tangkap tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Warga asing cuba balik negara asal, polis pantau pintu sempadan

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat warga asing yang cuba kembali ke negara asal secara senyap-senyap melalui jeti yang terdapat di sempadan negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia berikutan polis telah menahan lima lelaki serta seorang wanita warga Bangladesh dan Myanmar antara 19 hingga 23 Mac lepas yang cuba kembali ke negara asal melalui Padang Besar, Perlis.

“Berdasarkan trend ini, kami juga akan melakukan pemantauan di jeti berhampiran sempadan bagi mengelak kemasukan warga asing yang boleh mengundang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata petugas media dibenarkan membuat liputan secara langsung di lokasi sekatan jalan raya dengan mematuhi tatacara operasi piawai dan ia tidak menjadi isu kepada PDRM.

“Perkara itu bergantung kepada budi bicara petugas media sama ada mereka hendak buat (liputan) atau tidak, namun perlu mematuhi tatacara operasi piawai yang ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Enam anggota polis positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan enam anggotanya positif Covid-19 dan 335 ahli keluarga, masih menunggu ujian saringan kesihatan.

Beliau berkata, perkara tersebut memperlihatkan risiko yang perlu ditanggung anggotanya, dalam menjalankan tugas ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

“Sehingga hari ini enam anggota saya positif Covid-19…kita terus beri galakkan dan semangat kepada anggota untuk bersemangat melaksanakan tugas,” katanya dalam satu temubual eksklusif di Astro Awani hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari keempat hari ini, menunjukkan orang ramai sudah mematuhi peraturan ditetapkan dengan mengehadkan pergerakan mereka.

Menurutnya, walaupun ada segelintir masyarakat yang masih menjalankan aktiviti di luar, pihaknya masih memberi nasihat sebelum tindakan tegas dilakukan.

“Kita terus tidak putus asa, masih lagi dalam tahap mahu menyedarkan, memujuk rayu, berbagai taktik dan teknik digunakan anggota, kepada masyarakat,” katanya.

Polis sebelum ini melancarkan Op Covid-19 pada 18 Mac lalu, dengan menjalankan ratusan sekatan jalan raya dan pemantauan, bagi memastikan rakyat mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan, bagi mengatasi penyebaran wabak virus Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pukul anak angkat, usahawan kosmetik ditahan

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Polis menahan seorang jutawan kosmetik terkenal semalam selepas didakwa memukul dan mendera anak angkatnya yang berusia dua tahun di sebuah rumah di Petaling Jaya, bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

“Siasatan telah dibuat dan individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya,

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Polis telah mengambil keterangan usahawan kosmetik berkenaan berhubung kes itu pada Rabu lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Selamat Tahun Baharu Cina catat peningkatan kemalangan maut

SHAH ALAM, 5 FEB: Jumlah kematian yang direkod dalam Op Selamat Tahun Baharu Cina meningkat enam peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata 230 kes dicatat dalam operasi dua minggu berakhir 1 Februari lalu berbanding 216 sebelum ini, lapor Sinar Harian.

Daripada keseluruhan 23,208 nahas, beliau berkata jumlah kemalangan maut merekod peningkatan sembilan kes berbanding 197 kes tahun lalu dengan penunggang motosikal korban tertinggi iaitu 147 kes.

Bercakap pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16 Sempena Tahun Baharu Cina di Bukit Aman di sini pagi tadi, Mazlan berkata, kecuaian terhadap aspek keselamatan jalan raya menjadi penyumbang terbesar.