Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak hormat lagu Negaraku: Keterangan sembilan individu diambil

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Polis telah mengambil keterangan sembilan individu termasuk seorang wanita berhubung rakaman video memaparkan sekumpulan individu yang dilihat enggan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan dalam satu majlis di Sarawak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, proses mengambil keterangan kesemua suspek berusia 34 dan 64 tahun dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak.

“Siasatan kes dilakukan mengikut disiasat mengikut Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan ianya telah selesai.

“Kertas siasatan berhubung kes ini telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Ditanya alasan individu itu tidak menghormati lagu Negaraku, beliau berkata, berdasarkan keterangan mereka bertindak sedemikian sebagai tanda protes.

“Siasatan polis tidak mengambil kira apa jua alasan yang dibuat kerana undang-undang telah tetapkan yang jika lagu Negaraku dimainkan, warga Malaysia perlu beri penghormatan dan berdiri,” katanya.

Menurut laporan portal tempatan, kesemua individu berkenaan dipercayai merupakan ahli Kumpulan Sarawak For Sarawakians (S4S) yang bertindak demikian sebagai tanda protes terhadap janji kerajaan Persekutuan kepada negeri itu yang tidak dipenuhi.

Video berdurasi 22 saat berkenaan dipercayai dirakam di satu majlis makan malam, minggu lepas, sebelum dimuatnaik di media sosial dan dikongsi lebih 4,000 akaun.

Mengulas larangan bacaan doa di sebuah sekolah di Pulau Pinang, beliau berkata, pihaknya akan memanggil sembilan lagi individu untuk membantu siasatan.

“Polis terima 10 laporan polis dan telah ambil keterangan lima individu terdiri daripada ibu bapa yang menghadiri majlis itu,” katanya.

Pada Jumaat beberapa individu dikatakan hadir pada satu majlis penyampaian anugerah di sekolah itu dan didakwa melarang pelajar Islam membaca doa mengikut agama Islam, sebaliknya dibaca mengikut agama Kristian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guna kamera di badan penguat kuasa elak salah laku

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat.

“Pegawai akan pasang kamera di badan dia dan apabila dia bercakap atau orang bercakap boleh rekod. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh pegawai ke atas pelanggan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

“Sudah tentu pegawai itu akan menafikannya tetapi pelanggan akan menegaskan bahawa dia telah dipukul, jadi antara kedua-dua mereka kita ingin tahu siapa yang betul.

“Apabila kita mempunyai kamera kita akan tahu sama ada dakwaan terhadap pegawai berkenaan ada asas ataupun tidak,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tarikh pelaksanaannya belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, selain kamera badan, mesyuarat JKKMAR turut bersetuju supaya penggunaan teknologi dalam operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dipertingkatkan dengan mewujudkan pusat kawalan setempat, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan menambah mesin pengimbas berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta Alat Bantuan Operasi (ABO).

Katanya ini berikutan negara mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini.

Dr Mahathir berkata pemantauan dengan pemasangan CCTV turut akan dipertingkatkan di pintu-pintu masuk negara dan depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memantapkan pemeriksaan serta meningkatkan kecekapan jabatan itu dan integriti pegawainya.

Selaras dengan janji kerajaan untuk menjadikan Polis Difaja Malaysia (PDRM) pasukan yang dihormati dan disegani, katanya penyelenggaraan dan penggunaan CCTV dalam lokap-lokap PDRM akan dipertingkatkan bagi memastikan ketelusan, mencegah salah laku dan menangani masalah kematian dalam tahanan.

“Lokap perlu mempunyai kamera supaya kita tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat permintaan daripada PDRM, JKDM dan JIM bagi menambah pegawai susulan penambahan bilangan pelancong dan pekerja asing ke negara ini.

Katanya walaupun ketika ini jumlah kakitangan awam terlalu ramai sehingga mencecah 1.7 juta orang, namun kerajaan perlu memikirkan kaedah yang sesuai bagi memastikan operasi ketiga-tiga jabatan itu tidak terjejas akibat kekurangan pegawai.

“Mungkin kita boleh tukarkan beberapa orang yang sudah bekerja untuk tugas yang lebih penting kerana kita tak boleh tambah terlalu banyak memandangkan kita tak mempunyai wang yang cukup,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat JKKMAR juga mengambil maklum bahawa satu arahan Perdana Menteri akan disediakan mengenai panduan dan tatacara pengeluaran penyataan sokongan dalam apa jua bentuk oleh anggota pentadbiran.

Katanya arahan itu turut terpakai kepada semua pegawai awam di peringkat persekutuan, dan juga dipanjangkan serta tertakluk kepada penerimaannya di peringkat negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Menjelang sesi ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memastikan bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti tinggi dan pengurusan governans yang baik terus dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat kematian Zahir disebabkan kecuaian

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Siasatan terhadap insiden Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Rabu lepas menjurus kepada faktor kecuaian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan beberapa individu akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, siasatan mendapati ia menjurus kepada kecuaian tetapi siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi.

Omar berkata, setakat ini 11 individu termasuk anggota tentera yang terbabit dengan insiden tembakan itu telah dipanggil bagi memberi keterangan.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan penuh berhubung insiden itu termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mej Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada Rabu selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

– BERNAMA

Operasi Bersepadu perniagaan barang lusuh

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berpadu tenaga dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menjalankan Operasi Bersepadu perniagaan barang lusuh dan tempat menjual besi buruk haram sekitar Subang dan Puchong.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Exco Selangor Isytihar Harta Sebelum Sidang DUN – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 30052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengutamakan kehendak rakyat selain terus memacu negeri menjadi lebih maju.

2. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilantik bersedia melaksanakan tugas bagi meneruskan kecemerlangan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor untuk penggal kedua ini.

3. Kerajaan Negeri akan mengarahkan semua Exco Selangor membuat pengsytiharan harta sebelum sidang Dewan Negeri Selangor dimulakan.

4. Selangor menongkah arus dengan mengemukakan suara wanita yang lebih ketara dalam urustadbir kerajaan negeri bagi penggal ini.

5. Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa mengesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tidak terus memperalatkan pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk tujuan politik.

6. Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk berbincang dengan Kerajaan Singapura mengenai penahanan beberapa rakyat Malaysia yang mengadakan dua protes di republik itu bagi menuntut reformasi pilihanraya di Malaysia pada 8 dan 11 mei lalu.

Categories
SELANGOR

Sivarasa : KDN Jangan Peralat Polis

sivarasa

PETALING JAYA 30 MEI : Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta tidak terus memperalatkan pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk tujuan politik, gesa Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Tegas beliau, KDN yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid seharusnya memberi ruang dan kebebasan kepada polis untuk menumpukan perhatian terhadap skop tugas mereka yang sebenar.

“Saya tidak menyalahkan polis-polis ini kerana mereka terpaksa akur dengan arahan bos-bos mereka untuk menyiasat perkara seperti perhimpunan aman yang jelas bukan satu jenayah.

“Saya yakin polis juga sebenarnya tidak mahu membuang masa menyiasat dan menahan rakyat yang berhimpun secara aman.

“KDN khususnya Zahid Hamidi mesti bertanggungjawab terhadap penyelewengan ini, sepatutnya KDN perlu biar PDRM fokus dengan kerja membendung kejadian jenayah yang makin meningkat dan merunsingkan rakyat, bukan sebaliknya,” ujarnya di depan Balai Polis Tropicana di sini.

Ditemani peguam, G. Sivamalar, beliau hadir untuk disoal siasat di bawah Akta Pehimpunan Aman 2012 berhubung kehadirannya dalam himpunan solidariti Adam Adli pada 22 Mei lalu.

Pada malam tersebut, seramai 18 orang, termasuk pembantu peribadi beliau, Peter Chong ditahan ketika berhimpun di hadapan lokap Balai Polis Jinjang.

“Saya tidak faham mengapa saya dipanggil untuk soal siasat sedangkan segala yang berlaku pada malam itu disaksikan puluhan anggota polis, malah sudah pasti ada rakaman video mengenainya, semua ini polis sudah sedia maklum.

“Saya ditanya soalan yang mereka sudah tahu jawapannya, nampak sangat polis terpaksa buang masa untuk tindakan politik,” ujarnya kesal.

Beliau bagaimanapun berkata tidak diberitahu samada akan dipanggil semula untuk soal siasat atau akan ditahan selepas ini.

Siasatan bermula pada jam 10.50 pagi tadi dan tamat kira-kira 55 minit kemudian.