Categories
SELANGOR

Tiga warga Myanmar ditahan miliki dadah bernilai RM145,000

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Polis menahan tiga lelaki warga Myanmar yang disyaki memiliki dadah bernilai RM145,000, hasil serbuan yang dilakukan di Taman Prima Selayang, Batu Caves pada pagi Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata ketiga-tiga suspek yang berumur antara 29 hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 10.05 pagi, ketika berada berdekatan dengan dua buah kenderaan mereka yang diletak di hadapan sebuah pasar mini di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan tiga peket plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis syabu bernilai RM135,000 di dalam kereta jenis Honda City, manakala dua plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis heroin bernilai RM10,000 ditemukan dalam kenderaan Perodua Kembara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata hasil saringan air kencing dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek kini, katanya direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 24 Dis ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat individu ditahan insiden pencemaran Sungai Selangor

SHAH ALAM, 11 NOV: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita di tiga lokasi berasingan berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Selangor semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun itu ditahan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya antara tengah malam tadi hingga awal pagi ini.

“Siasatan mendapati wanita itu merupakan penama berdaftar dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Dia menyewa premis yang disyaki melakukan aktiviti membuang sisa kimia ke dalam lubang kumbahan.

“Dua suspek lain termasuk seorang warga Bangladesh pula didapati menjadikan premis itu sebagai tempat menyimpan bahan kimia,” kata Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan pagi ini.

Menurutnya, semua suspek akan direman pagi ini di Mahkamah Selayang bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Susulan pencemaran itu, Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas hingga menyebabkan lebih 1.1 juta pemegang akaun di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas manakala pemulihan bekalan air bemula jam 3 petang hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua ditahan kes pencemaran Sungai Semenyih

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan dan Sungai Semenyih, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kedua-dua lelaki itu, masing-masing berusia 30an dan 40an, ditahan di Kota Bharu, Kelantan ketika dalam perjalanan pulang ke Nilai.

“Saya belum terima lagi laporan lengkap soal siasat berkenaan kes ini. Kes disiasat polis Negeri Sembilan… berilah sedikit masa untuk kami siasat kerana kita tidak boleh terburu-buru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial, pelancaran portal Aplikasi Semak Mule di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di sini.

Sementara itu di SEREMBAN, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Isnin lepas.

“Siasatan dibuat di sebuah tapak berhampiran Sungai Batang Benar, Jalan Emas berdekatan kilang Chuan Plus Industries Sdn Bhd yang disyaki menjadi tempat pembuangan bahan sisa berkaitan dan beberapa sampel di tempat kejadian diambil pasukan forensik IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Negeri Sembilan untuk siasatan,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan hari ini.

“Polis turut merampas sebuah lori dan sejumlah dokumen urusan pengangkutan,” tambahnya.

Che Zakaria berkata kedua-dua lelaki terbabit, masing-masing bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori sebuah syarikat pengangkutan di Kelantan, direman tujuh hari bermula hari ini.

Pada Isnin, Bernama melaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menyatakan sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, iaitu punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tahan 15 lelaki disyaki geng curi kabel elektrik TNB

KUALA LANGAT, 25 SEPT: Polis menahan 15 lelaki termasuk empat pendatang tanpa izin disyaki geng mencuri kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar daerah ini dalam serbuan pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata tangkapan yang dibuat di sebuah stor barangan lusuh haram di Telok Panglima Garang kira-kira 3.30 petang itu hasil risikan pihaknya susulan empat laporan diterima berhubung kes kecurian kabel elektrik sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata dalam serbuan itu, sebanyak 4.5 tan kabel elektrik milik TNB dirampas terdiri daripada 14 gelung kabel, 11 batang kabel telah dipotong-potong, sembilan guni berisi kepingan tembaga bercampur aluminium disyaki diproses daripada kabel dan dua gelung dram kabel syarikat utiliti berkenaan yang belum digunakan.

“Turut dirampas adalah tiga mesin pemotong kabel, satu alat penimbang, tiga lori dan sebuah kren mudah alih. Kumpulan yang aktif sejak awal tahun ini dipercayai menjadikan stor barangan lusuh haram itu sebagai tempat mereka meleraikan kabel elektrik bagi mendapatkan kepingan tembaga dan aluminium untuk dijual.

“Hasil maklumat daripada TNB, kami percaya kegiatan mencuri kabel elektrik oleh kumpulan berkenaan menyebabkan syarikat itu kerugian kira-kira RM150,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azizan berkata siasatan awal pihaknya mengesyaki ada dalam kalangan suspek tempatan itu merupakan atau pernah menjadi subkontraktor TNB susulan penemuan beberapa dokumen dan vest kontraktor syarikat utiliti berkenaan dalam sebuah lori yang dirampas.

“Berdasarkan barangan itu, kami sedang menyiasat kaitan suspek dengan TNB. Malah, teknik mematikan arus elektrik yang besar sebelum mereka mencuri kabel juga menyebabkan kami mengesyaki pasti ada suspek yang pernah ada pengalaman berkhidmat dengan syarikat tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata tiga lori dan sebuah kren mudah alih yang dirampas itu bukan kenderaan curi namun dipercayai disewa oleh kumpulan terbabit untuk menjalankan kegiatan mereka.

Katanya, kesemua suspek berumur lingkungan 17 hingga 59 tahun itu direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 55(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6 Akta Peniaga Barang-barang Terpakai 1946.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar kuarantin: Polis panggil Mohd Khairuddin beri keterangan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah diminta hadir di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada Julai lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) DCP Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara berkenaan.

“ Beliau akan beri keterangan kes itu esok,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu mengenai Mohd Khairuddin telah diserahkan kepada polis untuk disiasat.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Senarai tempat awam diwajibkan pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Berikut adalah senarai tempat awam yang diwajibkan pemakaian pelitup muka:

Masjid, surau dan rumah ibadat
Majlis sosial
Pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang dan van sekolah
Hospital dan klinik
Pasar awam dan pasar tani
Pawagam
Kompleks beli-belah, pasar raya, kedai runcit, stesen minyak
Restoran
Bengkel
Kedai gunting rambut dan salun kecantikan
Pusat hiburan keluarga
Mana-mana tempat awam yang sesak.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata demikian kepada Bernama bagi menjawab kekeliruan orang ramai mengenai perkara tersebut.

Kerajaan menguatkuasakan pemakaian pelitup muka secara wajib di tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Mana-mana individu awam yang melanggar peraturan di bawah Akta itu hanya akan dikenakan tindakan kompaun sehingga RM1,000,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis buka kertas siasatan video tular pengawal keselamatan dipukul

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan warga Nepal dipukul dengan sebatang kayu di tempat letak kereta dekat sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju pada 7 Julai lepas.

“Kejadian dipercayai melibatkan suspek warga Pakistan dan mangsa warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan tersebut.

“Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan telah dibuka dan polis sedang menyiasat punca kejadian serta menyeru pihak yang terlibat supaya segera tampil untuk membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa berhubung insiden itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Shahrul Azzuan Sharom (016-2014334) atau Pegawai Penyiasat Kanan DSP Stephen Ganeson (016-376 7390) atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Hari ini, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ambil pendekatan lebih agresif kekang penularan Covid-19 di Sarawak

KUCHING, 24 JULAI: Pendekatan lebih agresif akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya penularan gelombang kedua Covid-19 di Sarawak mencatatkan peningkatan yang membimbangkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan tindakan segelintir individu yang sengaja mengabaikan aspek keselamatan dan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

“Bukan sahaja kompaun, kita akan melaksanakan tangkapan sebab kita masih ada undang-undang yang membolehkan kita menangkap dan sebagainya mereka ini yang sengaja tidak mempedulikan serta mengabaikan semua aspek SOP yang telahpun digariskan,” katanya.

Tindakan sedemikian terpaksa dilakukan bagi memastikan segala usaha yang telah dilaksanakan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 tidak sia-sia, kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 60 pegawai dan anggota Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di sini hari ini.

Menurut Mazlan, statistik kompaun yang dikenakan terhadap orang awam yang melanggar SOP juga menunjukkan peningkatan ekoran pemantauan agresif dan berterusan oleh pasukan petugas pemantau itu.

“(Usaha memastikan pematuhan SOP) ini merupakan satu perkara yang harus kita lipat gandakan supaya masyarakat khususnya di sini tidak ambil mudah situasi semasa penularan wabak Covid-19,” katanya.

Mengenai cadangan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuching, beliau berkata perkara itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak manakala pihak polis akan membantu memantau dan mengenakan kawalan lebih ketat berhubung perlaksanaan SOP oleh semua pihak yang terlibat.

Menyentuh majlis yang dihadirinya itu, beliau berkata penghargaan itu diberikan kepada anggota dan pegawai terbabit kerana berjaya menolak tawaran rasuah sekali gus mengekalkan integriti pasukan Polis Diraja Malaysia.

“Jumlah rasuah yang berjaya ditolak anggota dan pegawai ini adalah lebih kurang RM163,000 iaitu sepanjang 2009 sehingga 2020 dan ini jelas satu nilai yang besar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Kes Adib: Polis cadang tubuh Pasukan Kajian Semula

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk menubuhkan Pasukan Kajian Semula, bagi menyiasat kesemua aspek kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasukan itu akan melakukan siasatan yang tertumpu kepada saksi-saksi.

“Ia termasuklah pandangan seorang pakar patalogi forensik dari Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi pakar forensik yang dilantik oleh keluarga Muhammad Adib, sepanjang inkues berlangsung di Mahkamah Koroner bermula pada 11 Februari hingga 24 Julai tahun lepas, di Shah Alam.

“Pasukan ini sama seperti mana pasukan yang pernah ditubuhkan sebelum ini, yang melibatkan kes kematian seorang model berusia 18 tahun dari Belanda, yang didapati maut akibat terjatuh dari sebuah bangunan, beberapa tahun dahulu,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata PDRM akan mencadangkan penubuhan pasukan itu kepada Kementerian Dalam Negeri, kerana terdapat percanggahan pendapat oleh dua pakar patologi yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa.

Beliau berkata setakat ini, polis telah memanggil semula 31 saksi inkues dan seramai 52 saksi baharu telah dirakam keterangan, susulan keputusan mahkamah koroner pada September tahun lepas yang mendapati Muhammad Adib maut akibat perbuatan jenayah, oleh dua atau lebih orang yang tidak dikenali.

Sehingga kini Abdul Hamid berkata, tiada keterangan mana-mana saksi yang dapat mengaitkan Muhammad Adib dibunuh, berdasarkan dapatan inkues.

Beliau berkata, polis telah memperoleh satu rakaman video, namun kabur dan tidak dapat menjelaskan keadaan insiden terbabit.

Abdul Hamid berkata, polis tidak pernah menutup kes itu sewenang-wenangnya dan sentiasa ingin mencari kebenaran, demi keadilan buat Muhammad Adib, dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu, tampil membantu siasatan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Al-Jazeera: Polis terima lima laporan

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Lima laporan polis diterima berkaitan dokumentari yang diterbitkan media antarabangsa Al-Jazeera berhubung cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika usaha mengekang penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata polis juga telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata polis akan memanggil wartawan Al-Jazeera serta semua yang terlibat dalam membuat liputan berita yang dimaksudkan dalam masa terdekat.

“Polis telah memulakan siasatan ke atas Al-Jazeera yang membuat liputan tidak tepat berkenaan layanan terhadap warga asing ketika negara memerangi pandemik Covid-19.

Laporan yang tidak berasas dan berat sebelah itu telah menimbulkan kegusaran serta kebimbangan majoriti rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir menegaskan bahawa tiada siapa yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat cubaan daripada pihak-pihak tertentu untuk memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar,” katanya.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis akan memanggil pengendali Al- Jazeera dan wartawannya yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes itu.

Menurut Abdul Hamid, siasatan akan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Al-Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan COVID-19.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis kesan lima individu bantu siasatan pergaduhan di Bangi

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Joe’ serta empat individu lain bagi membantu siasatan insiden pergaduhan berhampiran Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan diserang sekumpulan lelaki ketika berniaga buah-buahan di lokasi itu kira-kira 6 petang.

“Suspek dikatakan memukul serta membaling buah durian ke arah mangsa selain merosakkan tapak perniagaan milik lelaki berkenaan.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian kerana perebutan tapak perniagaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Insp Suresh di talian 017-4333795 atau 03-89114222.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Polis lumpuh kegiatan pecah rumah, premis perniagaan

KLANG, 18 JUN: Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Pejal Koya’ yang aktif dalam kes jenayah pecah rumah dan premis perniagaan di sini, dengan penahanan 21 individu termasuk dalangnya menerusi beberapa serbuan sekitar daerah ini dan Gombak sejak 2 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata tujuh daripada suspek adalah warga tempatan termasuk seorang wanita, manakala 10 lagi adalah warga Indonesia termasuk wanita, tiga adalah lelaki Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan berada dalam lingkungan umur di antara 28-40 tahun dan hasil soal siasat mendapati, dalang geng pecah rumah itu adalah seorang lelaki warga Indonesia yang berumur sekitar 30an.

“Siasatan juga mendapati geng berkenaan dipercayai mula aktif melakukan kegiatan jenayah itu sejak April lepas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran banyak premis perniagaan tidak beroperasi ketika itu.

“Dengan tertumpasnya geng pecah rumah ini, polis percaya sembilan kes berkaitan berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Nurulhuda berkata turut dirampas adalah pelbagai barangan hasil jenayah geng terbabit dianggarkan bernilai RM40,000; antaranya 23 telefon bimbit, kad tambah nilai (28), televisyen (2), komputer riba (3), baju-T (200), jam tangan (1,200) dan seluar ‘jeans’ (1,005).

Kesemua suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 411 KK dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu di MERSING, Johor, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun di sekitar kawasan Seri Pantai di sini Khamis lepas, dalam masa kira-kira 24 jam selepas sebuah premis pengurup wang di Jalan Tepian Sungai di sini, dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata pengurup itu mengalami kerugian kira-kira RM141,000 melibatkan pelbagai mata wang asing selepas premis itu dipecah masuk, awal pagi Rabu.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki tempatan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah, dan dengan penangkapan mereka, kita telah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah seerta premis di sekitar bandar Mersing,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek yang direman tujuh hari bagi membantu siasatan itu positif dadah jenis methamphetamine, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA