Categories
AGENDA NASIONAL

Lolos kawat duri PKPD, polis KL tingkat kawalan keselamatan

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Polis akan memperketatkan tahap kawalan di semua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan kejadian tiga lelaki meloloskan diri dari kawasan PKPD Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Kampung Pasir, di sini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan memberi jaminan kejadian sedemikian tidak akan berulang.

Beliau berkata polis Kuala Lumpur akan meningkatkan usaha bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan bagi membendung perkara itu.

“Kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di kesemua 19 lokaliti di bawah PKPD di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada 30 penghuni Projek Perumahan Rakyat di Sentul Murni, di sini.

Semalam, media melaporkan polis mengenal pasti dua daripada tiga lelaki tempatan yang melarikan diri menerusi pagar kawat duri dari kawasan PKPD di sebuah PPR di Jalan Kampung Pasir, di sini.

Dalam perkembangan lain, Yong berkata lebih 90 peratus warga polis kontinjen Kuala Lumpur dan ahli keluarga mereka telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini dan akan memastikan ia mencapai 100 peratus dalan masa terdekat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP, pengunjung pusat hiburan didenda RM470,000

SHAH ALAM, 6 MEI: Seramai 90 individu termasuk pemilik premis hiburan dikompaun sebanyak RM470,000 kerana disyaki melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan.

Seramai 51 lelaki dan 39 wanita dikenakan kompaun itu dalam serbuan disertai 35 pegawai polis di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur awal pagi tadi, lapor Berita Harian.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur berkata turut dirampas 500 botol minuman keras bernilai RM400,000 bagi membantu siasatan.

“Anggaran kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis (kesalahan berulang) dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu sebanyak RM470,000.

“Sebanyak 500 botol minuman keras turut dirampas bernilai RM400,000. Keseluruhan kompaun bersama rampasan minuman keras berjumlah RM870,000,” kata Datuk Azman Ayob.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31, Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Peraturan 18 PU (A) 97/2021 – iaitu menjalankan aktiviti terlarang), selain Akta Kastam 1976 serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 20 Mei berikutan terdapat 17 kluster baharu direkodkan selain kes harian makin meningkat.

Categories
NASIONAL

Polis KL tahan 94 pendatang tanpa izin

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Seramai 94 pendatang asing tanpa izin ditahan, dalam operasi bersepadu mencegah jenayah warga asing di beberapa lokasi tumpuan mereka di sekitar ibu kota, selama dua hari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi berkenaan yang bermula sejak 4 petang semalam sehingga 5.30 pagi tadi, melibatkan lokasi di sekitar kawasan Setapak, stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Stesen Bas Kota Raya, Jalan Chow Kit dan Pasar Chow Kit.

Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di Sri Petaling, Jalan Alor, Jalan Segambut Pusat, Jalan Ipoh, Taman Seri Kuching dan Jalan Tun Razak.

Beliau berkata pihaknya memeriksa seramai 271 warga asing dan daripada jumlah itu, seramai 90 lelaki dan empat wanita ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Paling ramai ditahan adalah lelaki warga Bangladesh iaitu 30 orang diikuti 28 lelaki warga Myanmar dan 10 lelaki warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata pihaknya juga menahan 11 pendatang tanpa izin dari beberapa negara di benua Afrika termasuk seorang wanita, manakala jumlah selebihnya adalah dari India, Nepal, Pakistan, Vietnam dan Yaman.

“Kesemua mereka diambil tindakan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan.

“Tangkapan dalam operasi itu dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan seramai 197 pegawai dan anggota polis kontinjen Kuala Lumpur, bersama enam pegawai dan anggota Jabatan Imigresen.

“Operasi akan diteruskan bagi membanteras kebanjiran warga asing, sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah berpunca daripada warga asing,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pendatang tanpa izin boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

-BERNAMA