Categories
AGENDA GLOBAL

Agong, Presiden Turki bincang kerjasama tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Negara, hari ini.

Menurut kemas kini terbaharu di laman Facebook rasmi Istana Negara, perbualan telefon selama 30 minit yang bermula 4 petang itu bertumpu kepada perbincangan mengenai bagaimana Malaysia dan Turki boleh berkerjasama dalam menangani cabaran semasa penularan wabak dan pasca Covid-19.

“Selain itu, perkara yang turut dibincangkan adalah mengenai langkah-langkah memperkasa hubungan dua hala sedia ada dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang,” menurut laman Facebook Istana Negara itu.

Sesi itu merupakan perbincangan julung kali di antara baginda dan Erdogan yang diadakan menerusi perbualan telefon.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda sepatutnya dijadual mengadakan Lawatan Negara ke Turki selama lima hari bermula pada 19 April lepas, namun lawatan itu telah ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut kenyataan di laman itu juga pada 18 Disember tahun lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima kunjungan hormat Erdogan di Istana Negara sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019.

Turki merupakan rakan dagangan Malaysia ketiga terbesar dari Asia Barat, manakala untuk Turki, Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar di negara ASEAN.

Tahun lepas, dari Januari sehingga Julai 2019, jumlah dagangan antara kedua negara mencatat RM5.22 bilion, dengan nilai eksport Malaysia mencecah RM4.24 bilion, manakala import dari Turki RM0.98 bilion.

Khamis lepas Erdogan menghubungi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan menerusi perbualan telefon selama 30 minit itu, kedua-dua pemimpin itu berkongsi pengalaman dalam menangani penularan Covid-19 serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan bersama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Pertahanan, perdagangan antara isu dibincangkan Tun M-Edrogan

ANKARA, 24 JUL: Isu hubungan antarabangsa, pertahanan, perdagangan dan pelaburan antara perkara yang akan dibincangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sewaktu lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turki bermula hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab berkata, pertemuan empat mata antara Dr Mahathir dan Erdogan diikuti mesyuarat delegasi kedua-dua negara akan berlangsung di Istana Presiden di sini sewaktu hari kedua daripada empat hari lawatan Perdana Menteri.

Katanya sewaktu lawatan ke Turki, Perdana Menteri diiringi tiga menteri iaitu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking

“Perkara dibincang mungkin berkaitan hubungan antarabangsa seperti isu-isu serantau selain isu Palestin dan Rohingya.

“Selain itu, soal pertahanan dan industri pertahanan juga mungkin turut dibincangkan. Ini kerana Turki terkenal dan ada kekuatan dalam industri pertahanan,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika ditemui di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Turki di sini pada malam Selasa.

Katanya, pada hari yang sama iaitu sebelum pertemuan dengan Erdogan, Perdana Menteri akan melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), yang terlibat dalam industri pertahanan dan ketenteraan, yang mana Dr Mahathir akan ditunjukkan tentang ‘aviation industry’ yang dilaksanakan Turki.

“Syarikat itu terlibat dalam pembinaan drone dan helikopter seperti ‘attack helicopter’,” katanya.

Abd Razak berkata pada Jumaat, iaitu hari ketiga lawatan, Dr Mahathir akan ke Istanbul dengan pesawat yang beliau naiki akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul, yang diurus dan ditadbir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad, dan beliau akan melawat lapangan terbang itu.

“Pada hari yang sama, Perdana Menteri akan menghadiri program Roundtable with the Captain of Industries. Dijangka 35 syarikat besar Turki akan terlibat dalam program itu. Selepas itu, beliau akan menghadiri majlis minum petang bersama diaspora Malaysia,” katanya.

Katanya lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turki adalah atas jemputan Presiden Turki dan ia akan merapatkan dan meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Turki sejak kedua-dua negara mula menjalin hubungan diplomatik pada 1964.

“Dalam soal perdagangan, Turki adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar dari blok Asia Barat manakala Malaysia bagi Turki adalah rakan kongsi terbesar dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Recep Tayyip Erdogan sah menang Pilihan Raya Presiden Turki

ISTANBUL 25 JUN: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden, yang berlangsung semalam, menewaskan pencabarnya apabila berjaya meraih 52.5 peratus daripada 99 peratus jumlah undi yang dikira.

“Keputusan tidak rasmi pilihan raya ini dengan jelas membuktikan bahawa saya, sekali lagi diberi kepercayaan oleh rakyat negara ini untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai presiden.

“Turki sudah memberi pengajaran kepada seluruh dunia mengenai amalan demokrasi,” katanya ketika berucap sempena kemenangannya di kediamannya di sini, sambil mengumumkan jumlah peratusan mengundi sebanyak 88 peratus.

Menurut agensi berita Anadolu, Erdogan, 64, calon Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) berjaya memperoleh 52.5 peratus undi, manakala Muharrem Ince, 54, dari Parti Rakyat Republikan (CHP) mendapat 31 peratus undi.

Berita kemenangan itu turut diumumkan jurucakap Kerajaan Turki, Bekir Bozdag, yang dilaporkan berkata, keputusan tidak rasmi selepas 95 peratus undian dikira, menunjukkan Erdogan sedang mendahului berbanding calon yang lain.

“Rakyat Turki sudah memilih Erdogan sebagai presiden/presiden eksekutif pertama Turki di bawah sistem yang baharu.

“Mereka (rakyat Turki) berkata ‘teruskan’ kepada Presiden Erdogan,” kata Bozdag di Twitter.

Sementara itu, pemimpin dunia mengucapkan tahniah di atas kemenangan Erdogan dalam pilihan raya itu.

 

SUMBER: REUTERS/ AFP

GRAFIK SUMBER: ANADOLU AGENCY

Categories
NASIONAL

Recep Tayyip Erdogan menang pilihan raya Presiden Turki

ANKARA, 11 OGOS: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan memenangi kerusi Presiden selepas menang pilihan raya presiden negara itu, pada 10 Ogos lalu.

Erdogan menang dengan 52 peratus undi, mengikut kiraan daripada 99 peratus peti undi dan menewaskan pesaing utama beliau, Ekmeleddin Ihsanoglu yang hanya mendapat undian sebanyak 38.3 peratus

Sementara pesaing ketiga, Selahattin Demirtas memenangi 9.7 peratus undi.

ErdoganErdogan dijangka mengambil sumpah pada 28 Ogos ini.

Pilihan raya itu menandakan peringkat pertama pelan Erdogan yang bercita-cita tinggi untuk mengubah kerajaan Turki ke satu landskap politik di mana presiden mempunyai kuasa eksekutif dengan dirinya sebagai pemimpin.

Beliau bertekad untuk menggoncangkan sistem politik di negara itu kerana ingin menaikkan presiden sebagai orang nombor satu di dalam sistem itu.

Selepas pengumuman kemenangin itu dilakukan, Erdogan berikrar akan mewujudkan ‘era baru’dalam perhubungan rakyat di Turki.

“Hari ini adalah hari baru. Ia menandakan satu kejayaan, yang mana Turki baru dibangkitkan semula daripada abu.

“Pada hari ini bukan Recep Tayyip Erdogan sahaja yang menang. Kemenangan ini adalah kemenangan seluruh rakyat. dan kemenangan demokrasi,” katanya.

erdogan2Sebelum ini, jawatan presiden Turki hanya berbentuk perlembagaan dan tidak mempunyai kuasa untuk membentuk hala tuju pentadbiran yang merupakan hak perdana menteri.

Dengan kemenangan itu, Erdogan akan mengubah perlembagaan untuk menjadikan jawatan presiden lebih berbentuk eksekutif yang mirip kepada sistem presiden di Amerika Syarikat.