Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang kerja dari rumah penjawat awam

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Kerajaan sedang mempertimbangkan secara mendalam untuk meneruskan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai amalan normal baharu dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Bagaimanapun, katanya ia memerlukan kajian lebih terperinci bagi memastikan ia dapat menepati hasrat pelaksanaannya.

“Terdapat dua objektif utama yang telah dikenal pasti iaitu untuk mitigasi risiko seperti pencemaran dan penularan penyakit, dan untuk menguruskan prestasi pegawai dengan mengimbangi keperluan kerja dan keluarga, serta meningkatkan kepuasan kerja dan produktiviti, ” katanya dalam satu wawancara bertulis semalam.

Antara aspek yang perlu diperjelaskan melalui kajian lanjut adalah keperluan sokongan teknologi digital, keselamatan maklumat, kesesuaian pelaksanaan kepada skim-skim perkhidmatan tertentu, serta implikasi perundangan yang terlibat.

Menurutnya selari dengan inisiatif kerajaan untuk menimbangkan pelaksanaan BDR sebagai suatu normal baharu, penilaian juga akan dilaksanakan ke atas beberapa kemudahan awam lain yang berkaitan terutamanya kemudahan-kemudahan cuti dan pelepasan.

Katanya semua inisiatif berkenaan adalah usaha berterusan bagi memastikan penjawat awam dapat terus meningkatkan produktiviti mereka dalam konteks perubahan faktor luaran yang terkini.

Mohd Zuki berkata pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan perkhidmatan awam boleh berfungsi dengan berkesan walaupun dengan pelaksanaan BDR dan BDR secara fleksibel.

“Bermula dengan pelaksanaan BDR secara arahan ke atas semua penjawat awam, ia kemudian berubah kepada pelaksanaan berlandaskan kes-kes tertentu.

Dalam kedua-dua keadaan tersebut, impak kepada produktiviti penjawat awam adalah minimum, dan perkhidmatan awam terus dapat menyokong pembukaan sektor ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Dalam tempoh tersebut, sektor ekonomi dan perniagaan dapat beroperasi hampir 100 peratus untuk memastikan ekonomi negara dapat dilonjakkan, dan ini dapat dicapai apabila penjawat awam dapat terus melaksanakan tanggungjawab mereka melalui kedua-dua mod tersebut, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Kajian dapati PKP tingkat industri guna teknologi, pendigitalan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menggalakkan banyak industri untuk memanfaatkan teknologi dengan lebih cepat bagi memastikan kemampanan perniagaan, menurut kajian dijalankan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Dalam kajian mengenai impak Covid-19 ke atas produktiviti, MPC berkata data dikumpul turut mendapati perniagaan memerlukan tempoh enam bulan untuk pulih selepas krisis Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata MPC mengambil beberapa langkah untuk mempercepat pemulihan ekonomi dan membantu pemain industri membina semula perniagaan.

“Antara inisiatif penting yang diambil dan sedang berjalan ialah program membina kapasiti dan keupayaan melalui webinar dan latihan dalam talian, perkhidmatan khidmat nasihat maya perniagaan dan mengkaji peraturan untuk mengurangkan beban yang tidak perlu dalam membina semula perniagaan.

“Usaha masih dijalankan untuk mempercepat dan menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi dan pertumbuhan produktiviti berikutan aktiviti perniagaan mula meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Kajian turut mendapati lebih 70 peratus responden terjejas oleh pandemik tersebut berikutan penguatkuasaan PKP, terutamanya dari segi aliran pendapatan.

-BERNAMA