Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Kemudahan pintar negeri, pendigitalan demi rakyat

SHAH ALAM, 11 OKT: Selangor mendahului negeri lain dalam pendigitalan dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025.

Menyemarakkan lagi usaha berkenaan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menambah beberapa lagi program digital untuk kemudahan rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19.

Berikut senarai inisiatif dan aplikasi digital yang dibangunkan sejak beberapa tahun lepas. Bermula 2016, pelan ini berpaksikan keselesaan rakyat.

Dalam pelaksanaan

Aplikasi pembayaran parkir kenderaan
■ Smart Parking digunakan 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor
■ hanya imbas untuk bayar, parkir dan kompaun dalam talian
■ peringatan tempoh tamat parkir
■ 1.29 juta transaksi bayaran sejak Januari 2021

Aplikasi pembayaran dalam talian (CEPat)
■ perkhidmatan berbayar pelbagai dalam talian kerajaan mulai Oktober 2019
■ boleh guna di luar negara termasuk perbankan internet FPX
■ muat turun menerusi Google PlayStore dan Apple AppStore
■ senarai perkhidmatan antaranya cukai taksiran, kompaun, lesen, cukai tanah, utiliti, bil telefon mudah alih, sewaan fasiliti dan sumbangan serta tambang Bas Smart Selangor
■ perkhidmatan e-dompet antaranya Boost, GrabPay, Maybank QR Pay, Touch n’Go eWallet, KiplePay, AliPay dan WeChatPay Program Tuisyen Rakyat dalam talian (PTRS)
■ kelas tambahan untuk pelajar prestasi sederhana atau lemah
■ sasar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000
■ tawar subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sejarah, pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet)
■ daftar menerusi eptrs.my

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Portal Inisiatif Peduli Rakyat (IPR)
■ pusat pengurusan data dan semak program IPR
■ bantu golongan B40
■ 33 program IPR disediakan sejak 2008
■ mohon IPR dalam talian menerusi ssipr.selangor.gov.my

Platform Selangor (PLATS)
■ platform promosi ekonomi penjaja dan peruncit
■ portal platselangor.com dibangunkan pada 2020
■ PLATS e-Bazaar Ramadan digital pertama dilancarkan di Malaysia
■ beri bantuan pendigitalan, biaya dan latihan usahawan
■ gabungan Selangor e-Kitchen dan Selangor e-Bazar Raya dijenamakan kepada Selangor e-Kitchen 2.0
■ PLATS 2.0 diumum dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dan dilancar pada 11 April 2021 Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec)
■ lancar pada 3 Oktober 2019 untuk bantu peniaga
■ memasarkan hasil tani, produk usahawan dan barangan basah
■ diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, Seldec hubungkan pembeli dan penjual melalui www.seldec.com.my

Skim Internet Selangor M40 (SISM40)
■ bantu golongan M40
■ subsidi yuran langganan pakej dari RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun
■ tawaran pakej keluarga, bujang dan asas menerusi sism40.com.my
■ dijayakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM)

WiFi Smart Selangor
■ dimulakan pada 2015 dengan lebih 3,600 pusat akses
■ RM17.5 juta diperuntuk dalam Belanjawan Negeri 2021
■ naik taraf perkhidmatan guna teknologi fiber sejak Julai 2020
■ lima kluster liputan:
– rumah kos rendah dan sederhana
– pendidikan, kesihatan dan keagamaan
– komuniti
– pengangkutan, sukan dan rekreasi
– agensi dan syarikat Kerajaan Negeri

Tanpa tunai
■ galakkan peniaga dan masyarakat guna transaksi tanpa tunai

Pengguna Bas Smart Selangor mengimbas kod QR aplikasi CEPat serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sebelum menaiki pengangkutan awam itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Aplikasi Bas Smart Selangor

■ sistem pengangkutan awam pintar (SITS) di 12 PBT merangkumi:
– senarai laluan dan pergerakan bas
– jangkaan waktu ketibaan
– lokasi hentian bas
– muat turun menerusi App Store dan Google Playstore

Scan to Ride
■ imbas kod QR semasa masuk dan turun daripada bas Smart Selangor mulai Mac 2021
■ tambang ditolak daripada token aplikasi CEPat
■ percuma untuk warganegara, warga emas dan kanak-kanak manakala caj RM0.90 bukan warganegara
■ kanak-kanak dikategorikan berusia bawah 18 tahun

Hentian Bas Pintar
■ mempunyai isyarat penumpang menunggu
■ WiFi percuma
■ sensor kualiti udara
■ hab pengecas USB
■ kamera litar tertutup
■ peta laluan bas
■ butang panik dan ambil penumpang
■ panel paparan maklumat
■ tempat letak basikal

Kakitangan kerajaan Nur Hidayah Mohd Hanib melakukan demonstrasi pada perasmian sistem ‘Smartbox PTGS’ di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI


Smartbox Pejabat Tanah dan Galian Selangor

■ program pendigitalan di pejabat tanah dan daerah
■ mudahkan permohonan, semakan atau bayaran urusan hak milik tanah dan strata
■ daftar sebagai pengguna untuk akses sistem
■ waktu operasi 5 pagi hingga 8 malam dan waktu kiosk perserahan mulai 6 pagi hingga 5 petang
■ urusan dalam talian menerusi smartbox.selangor.gov.my

Smart Selangor SME Platform
■ tingkat upaya pengusaha industri kecil sederhana (IKS)
■ bantu urus pernigaaan dengan mudah dan tingkat jualan. Antara programnya:
– latihan dan bimbingan jurulatih industri profesional
– pendedahan kepada platform digital bersesuaian
– tawar insentif pendigitalan
– kelulusan lesen perniagaan secara digital
– peluang sertai Program Modal Bantuan jika layak
– perniagaan automatik layak disenarai dalam portal perniagaan Kerajaan Negeri

Pusat kecemerlangan (Coe)
■ mudahkan kerjasama Kerajaan Negeri dan pemain industri swasta rancang penyelesaian pintar
■ dua COE beroperasi sejak 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dengan 25 program manakala 40 program di Menara Bank Simpanan Nasional, Shah Alam

Sistem pelaporan jalan berlubang (IRS)
■ sistem pelaporan pintar massa
■ lapor kes jalan berlubang, lampu isyarat

Sistem pengurusan lalu lintas pintar (ITMS)
■ pantau lalu lintas masa nyata di jalan utama

Pusat Kawalan Smart Selangor C5i (SSOC)
■ siap pada 1 Disember 2020
■ digunakan Unit Pengurusan Bencana negeri dan mampu beroperasi 24 jam
■ SSOC papar data visual ke skrin untuk analisis dan tindakan segera
■ pusat pemantauan bencana dan papar data analisis dari aplikasi Smart Selangor

Smart Selangor Cloud Accelerator for Enterprises (sCALe)
■ program permulaan penggunaan awan 10 bulan percuma untuk peniaga
■ bimbingan pakar industri dan diperkenalkan dengan teknologi canggih
■ diberi kredit AWS bantu peniaga tingkat potensi
■ AWS adalah platform komputer fleksibel, mudah digunakan dan menjimatkan

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Tingkat jalur lebar luar bandar, bantu pendigitalan perniagaan

SHAH ALAM, 23 JUN: Kelajuan jalur lebar di kawasan luar bandar perlu ditingkatkan bagi membantu peniaga melakukan transformasi pendigitalan perniagaan mereka.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri menyedari kemudahan kelajuan internet di luar bandar seperti Sabak Bernam perlu ditingkatkan kerana banyak perusahaan kecil dan sederhana beroperasi.

“Itu akan menjadi cabaran kerajaan pada tahun ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Beliau berkata, transformasi pendigitalan perniagaan bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negeri tetapi hasil jualan dapat dinikmati peniaga menerusi empat kempen e-dagang Selangor.

“Dalam perkongsian tadi ada peniaga meningkat jualan sebanyak RM3,000 dan yakin pada waktu sekarang (Perintah Kawalan Pergerakan) bukan turun tetapi naik angka tertentu.

“Ini bukan sahaja dirasai di Lembah Klang tetapi di Sabak Bernam dan Sungai Air Tawar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakej Kita Selangor: Merancak pendigitalan, cipta peluang kerja

SHAH ALAM, 7 FEB: Sebahagian intipati Belanjawan Selangor 2021 disegerakan melalui Pakej Kita Selangor bagi merancakkan usaha pendigitalan seterusnya mencipta peluang pekerjaan dan melahirkan usahawan.

Usaha memerangi Covid-19 turut dipergiat manakala aspek kebajikan rakyat tidak dilupakan.

Dua tema pakej itu disiar minggu lalu, kali ini ringkasan strategi yang dipercepat:

Merangsang Ekonomi

Peniaga menyiapkan tempahan makanan yang dibuat melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bantu usahawan, penjaja dan peniaga kecil

  • Program e-Dapur Selangor bagi membantu 1,000 penjaja kecil makanan dan minuman
  • Peruntukan RM10 juta yang dijayakan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah)
  • Peserta mendapat skim pinjaman mikrokredit untuk menampung kos operasi dan mengadaptasi perniagaan ke platform e-dagang seperti Grab serta Foodpanda

Inisiatif e-Pembekalan Peruncit dan Mikro

  • Dilaksanakan dengan peruntukan RM5 juta
  • Membantu 1,000 peruncit kecil mendapat bekalan pada harga lebih murah, mudah dan cepat melalui platform digital
  • Mendapat kemudahan pinjaman mikro (mikrokredit) untuk menampung kos bekalan, operasi dan adaptasi kaedah perolehan secara digital
Peserta menghadiri sesi temu duga secara maya ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 22 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selangor Freelance

  • Peruntukan RM10 juta
  • Mewujudkan peluang pekerjaan berpanjangan
  • Kerjasama dengan platform pekerja bebas (freelancers) bagi mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan melalui ekonomi sampingan
  • Melibatkan kemahiran
  • Lebih 1,000 peluang pekerjaan sampingan dicipta

 

Rakan Digital Selangor

  • Peruntukan RM3 juta
  • Melantik 1,000 individu untuk membimbing peniaga, warga emas, mahasiswa mengguna pakai aplikasi digital

Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi)

    • Diperluas untuk usahawan wanita
    • 3,000 peserta berniaga menggunakan permit sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)
    • Pelan pinjaman antara RM1,000 hingga RM3,000
    • Tiada syarat pemilikan premis dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan membincangkan gerak kerja pengurusan Covid-19 pada 2 Februari 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

Bilik Gerakan Covid-19 Negeri Selangor

  • Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) beroperasi 24 jam
  • Merencana pengurusan bantuan, menyokong operasi kawalan bersama agensi persekutuan termasuk pemantauan berpusat kes Covid-19 secara waktu nyata
  • Dilengkapi jaringan internet 3 Gbps, pusat data hidbrid, sistem komunikasi berpusat dan Smart Data Platform

Tabung Bantuan Menangani Covid-19

  • Diaktifkan semula sejak ditubuh semasa pengumuman pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa dua
  • RM9.3 juta diterima sepanjang 2020 untuk petugas hadapan dan aspek perubatan
  • Pemotongan gaji Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri dan pegawai tinggi
  • Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyumbang sebulan gaji
  • Sumbangan RM2.3 juta diterima pada 20 Januari

 

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pendigitalan perlu dilengkapkan bersama inisiatif rapatkan jurang digital – UNDP

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Usaha kerajaan menggalakkan pendigitalan dan mendorong perniagaan dalam talian terutama semasa pandemik Covid-19 akan memberi peluang besar namun ia perlu dilengkapkan dengan inisiatif merapatkan jurang digital, kata Ketua Pegawai Digital Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Robert Opp.

Beliau berkata pendigitalan membuka peluang kepada lebih ramai orang.

“Bagaimanapun jika berlaku jurang digital atau dengan kata lain, jika anda tidak tersambung atau tidak mempunyai kemampuan atau kemahiran menggunakan peranti, anda akan ketinggalan,” katanya semasa memudah cara sesi Meja Bulat Media Kemampanan AVEVA malam tadi.

Sesi dalam talian itu merungkai cara syarikat terkemuka menerima guna inovasi dan menggunakan perisian pintar untuk membentuk semula operasi perindustrian mereka.

Ia menunjukkan bagaimana teknologi pesat membangun seperti kecerdasan buatan, awan, kembar digital, pengvisualan dan analitik data menyokong kemajuan dalam kemampanan dan membolehkan organisasi membuat perubahan penting untuk menambah baik persekitaran.

Opp berkata dunia mengalami perubahan persekitaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dan pantas serta sekurang-kurangnya 70 juta orang menghadapi kemiskinan melampau ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata UNDP telah melakukan transformasi digitalnya sendiri secara besar-besaran dengan perkongsian dengan syarikat-syarikat sektor swasta yang dapat menawarkan kepakaran.

“Kami mula menyaksikan beberapa manfaat, sama ada menggunakan ‘blockchain’ bagi mengesani pengeluaran coklat atau koko untuk pengguna, menggunakan kepintaran buatan atau menerusi pendanaan ramai dan ‘blockchain’ untuk mendanai pemasangan solar bagi tenaga boleh baharu, kami melihat potensi luar biasa teknologi digital ini untuk berkembang kukuh dan diguna pakai serta ia benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun antara kekangan besar yang disaksikan pihaknya di seluruh dunia adalah perlunya untuk merapatkan jurang digital.

Ketaksamaan yang disaksikan pada masa ini itu akan meningkat sekiranya tiada pihak yang mencari penyelesaian bagaimana cara untuk mencapai setiap orang, katanya.

“Jadi kita mesti menutup jurang digital dan kita perlu menggunakan pendekatan digital yang dapat merangkumkan seluruh penduduk dunia,” katanya.

Opp berkata model perkongsian awam-swasta berfungsi di pasaran namun tidak begitu diketahui dan kekurangan data.

Beliau berkata UNDP dibiayai secara awam, oleh yang demikian pihaknya berusaha memasuki ruang untuk melihat model perniagaan baharu dan bidang kerja yang dapat diteliti.

“Sebenarnya kami mempunyai seluruh bahagian organisasi yang melihat peluang pelaburan yang boleh direalisasikan dan menjadikan maklumat itu tersedia untuk pasaran.

“Ini kerana dalam beberapa kes, anda mungkin memerlukan sumber pendanaan awam seperti kerajaan atau Bank Dunia atau sumber seumpamanya untuk mengimbangi beberapa risiko apabila perniagaan menceburi bidang baharu yang kurang terbukti,” katanya.

Beliau berkata ia terutama apabila berkaitan dengan eksperimen teknologi dan menjajarkan kepentingan negara dengan kepentingan korporat.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Manfaat pendigitalan, bantu usahawan kecil tambah pendapatan

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Selangor tekad membantu peniaga kecil dan mikro negeri ini memanfaatkan pendigitalan bagi meningkatkan pendapatan.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata usaha terus dipergiat bagi memastikan golongan itu mampu bertahan dalam situasi mencabar pascapandemik Covid-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan peniaga untuk mendigitalisasi perniagaan mereka supaya aliran tunai berterusan,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika pelancaran kempen Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina 2021 hari ini.

Beliau menambah kempen e-bazar raya dan 11.11 Jualan Mega tahun lalu yang mencatat jualan jutaan ringgit membuktikan agenda ekonomi digital membantu ramai peniaga.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif terbabit menghasilkan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta.

Perolehan itu berdasarkan pemberian RM3 juta baucar oleh Kerajaan Negeri kepada dua laman e-dagang popular iaitu Shopee dan Lazada.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ikut norma baharu, perkasa agenda pendigitalan dalam tadbir urus

SHAH ALAM, 21 JAN: Semua agensi Kerajaan Selangor digesa terus memperkasa agenda pendigitalan dalam tadbir urus bagi mencapai visi negeri pintar menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu seiring keperluan norma baharu yang menuntut peralihan kepada dalam talian.

“Sudah pasti ia bukan perkara mudah tetapi kita sudah melambangkan idea ini sejak 2016. Mungkin ia perkara asing namun kita perlu biasakan.

“Jika gagal, kita akan tertinggal dan tidak berupaya mendepani cabaran baharu,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2021 hari ini.

Amirudin berkata Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) giat berusaha mengubah gerak kerja pentadbiran agensi negeri bagi menjayakan hasrat tersebut.

Jelasnya, Kerajaan Negeri membelanjakan RM10 juta antara 2016 hingga 2018 dan meningkat lebih lima kali ganda tahun lalu untuk proses pendigitalan.

“Belanjawan 2021 pula kita peruntuk RM369 juta bagi menjayakan agenda itu kerana pandemik Covid-19 menuntut kita untuk berubah yang disebut sebagai norma baharu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pandemik Covid-19 beri ruang kukuhkan pendigitalan perkhidmatan awam

PUTRAJAYA, 13 JAN: Penularan wabak Covid-19 di negara ini merupakan satu titik tolak kepada pengukuhan era digitalisasi dalam perkhidmatan awam di negara ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian hari ini, beliau melihat keperluan untuk menyatukan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu platform dengan aplikasi pintar untuk memudahkan urusan.

“Kalau dahulu, kita mempunyai pelbagai platform untuk menguruskan urusan pencen, cuti, permohonan belajar, bayaran pinjaman dan lain-lain lagi. Saya menjangkakan kita mampu menyatukan kesemua perkhidmatan bawah satu platform dengan aplikasi pintar yang boleh diintegrasikan dengan aplikasi kerajaan yang lain.

“Justeru, melalui penyatuan ini, pelanggan akan berfokus kepada satu platfom perkhidmatan yang memudahkan segala urusan dengan pihak kerajaan iaitu melalui perkhidmatan berpusat secara dalam talian,” katanya.

Mohd Khairul Adib berkata sesebuah organisasi boleh berjaya jika ia dapat melihat dan membuat jangkaan perubahan yang akan berlaku pada masa hadapan manakala organisasi yang tidak membuat perubahan dengan cepat akan ketinggalan dan gagal.

Beliau memberikan contoh mengenai syarikat Kodak, sebuat syarikat besar dalam dunia fotografi, yang hampir terpaksa gulung tikar kerana kegagalan melihat perubahan dunia fotografi ke arah digital.

“Dalam konteks ini, perkhidmatan awam juga sama. Kita perlu melihat dan memahami perubahan yang berlaku, yang melibatkan pelanggan utama kita (penduduk Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demografi penduduk Malaysia sedang berubah dan Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan peratusan penduduk Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas akan meningkat daripada lima peratus pada 2010 kepada 15 peratus pada 2030.

“Malaysia akan menjadi sebuah ‘negara tua’ menjelang 2030. Perubahan demografi serta perubahan lain seperti teknologi, akan menghasilkan suatu era baharu kepada perkhidmatan awam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Medan pendidikan digital

Pendidikan terjejas teruk akibat penularan Covid-19 hingga timbul kebimbangan mengenai wujudnya “generasi yang hilang”.

Sekolah di seluruh negara hanya sempat dibuka pada Januari dan Februari sebelum ditutup antara 23 Mac hingga 22 Mei susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi itu mewujudkan kelompongan dalam bidang pendidikan yang dikhuatiri menjejaskan perkembangan prestasi murid.

Justeru, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Selangor memperkenal inisiatif Selangor Tutor bagi membantu anak-anak meneruskan proses pembelajaran percuma melalui kaedah dalam talian.

Program tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, guru dan pelajar.

Dibuka kepada sekolah milik kerajaan dan swasta, hampir 100,000 murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima menjawab tiga juta soalan sejak program itu dilaksana antara April sehingga September.

Kementerian Pendidikan Malaysia sekali lagi menutup sekolah pada 9 November sehingga akhir tahun. Malah, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan
Tiga (PT3) pada tahun ini dibatal.

Tarikh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula ditunda ke tahun depan.

Pelitup Muka

Susulan arahan kerajaan persekutuan pada 1 Ogos yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam pula mendorong Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan kepada murid.

Sebanyak 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula diagih kepada 995,000 pelajar di negeri ini dengan keutamaan kepada keluarga pelajar berpendapatan rendah.

Kelihatan seorang pelajar keluar dari pintu pagar sekolah setelah tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa pada 7 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Selain sekolah, pendaftaran pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam, swasta dan kolej komuniti juga ditangguh sekali gus pembelajaran bersemuka tidak dapat dibuat.

Pada 13 April, hampir 100,000 mahasiswa terkandas hampir sebulan berikutan arahan kerajaan persekutuan yang memutuskan penuntut pengajian tinggi harus kekal di kampus sepanjang PKP.

Sekolah pula hanya dibuka berperingkat bermula 24 Jun tetapi ditutup semula apabila PKPB diisytihar. Justeru guru tiada pilihan selain menguasai kelas maya dengan menggunakan ‘Google Classroom’ untuk proses pembelajaran.

Kuliah peringkat pengajian tinggi pula menggunakan platform Google Meet, Zoom, Ufuture dan pelbagai lagi.

Namun, kelemahan capaian internet menjejaskan proses pembelajaran di luar bandar. Ia dihangatkan lagi dengan pendedahan siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah untuk mencari talian internet pada 12 Jun.

Orang ramai mencuba perkhidmatan Wi-Fi Smart Selangor. Foto SELANGORKINI

Menyedari hal itu, Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM17.5 juta bagi menjayakan Inisiatif WiFi dan Data Internet Selangor. Golongan mahasiswa yang layak menerima kad sim untuk menikmati kelajuan internet secara percuma.

Dato’ Menteri Besar juga menekankan Selangor perlu menyegerakan transisi sektor pendidikan ke arah pendigitalan bagi memastikan tiada pelajar tercicir dari arus itu.

Pada 9 November, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan akan melanjutkan pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sehingga Januari 2021 khusus untuk pelajar SPM susulan pindaan tarikh peperiksaan.

Kerajaan Negeri juga melancarkan Program Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan pada 4 Oktober bagi membantu pelajar yang tiba di kampus untuk pendaftaran semester tetapi kemasukan mereka dibatalkan pada saat akhir susulan peningkatan kes Covid-19.

Kemudahan lengkap disediakan di Kolej Kediaman Bestari Jaya (KKBJ) memberi keselesaan kepada pelajar. Foto Facebook Unisel

Penuntut Universiti Selangor dan Kolej Islam Antarabangsa Selangor pula menikmati bantuan Bayaran Yuran Asas (Bayu).

Pelajar turut diberi bantuan pengangkutan untuk pulang ke kampung, bantuan makanan, pelitup muka dan cecair pencuci tangan.

Selangor juga mewujudkan Program Bakul Makanan melibatkan peruntukan RM50,000 bagi membantu pelajar di Mesir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Badan kehakiman tumpu pendigitalan proses pengakuan salah lalu lintas pada 2021

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Bermula 2021, badan kehakiman merancang untuk membenarkan tertuduh dalam kes kesalahan lalu lintas membuat pengakuan bersalah melalui surat tanpa kehadiran di mahkamah.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam satu kenyataan sempena tahun baharu 2021 berkata cadangan itu akan diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan akses kepada keadilan serta kecekapan Mahkamah Majistret dengan mengambil kira bilangan kes yang terlalu tinggi dan mengambil banyak masa kehakiman yang mewajarkan ia dilupuskan secara pendigitalan.

Beliau berkata Rancangan Badan Kehakiman untuk 2021 ialah mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan lalu lintas dan membenarkan pembayaran denda secara elektronik.

“Pada masa ini, terdapat mekanisme dalam Seksyen 137 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan seseorang yang dituduh untuk mengaku bersalah melalui surat tetapi peruntukan ini jarang digunakan dan statistik terkini menunjukkan tiada sebarang pengakuan bersalah dibuat melalui surat.

“Sebagai tambahan kepada kaedah pengakuan bersalah melalui surat, badan kehakiman juga mengesyorkan untuk membenarkan penerimaan pengakuan bersalah dan proses menjatuhkan hukuman denda sahaja melalui sistem elektronik yang ditetapkan,” katanya sambil menambah kaedah itu telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura, England, Wales dan Australia.

Tengku Maimun berkata pendigitalan kes kesalahan lalu lintas akan menjadi pelengkap kepada sistem e-Jamin iaitu satu sistem yang membolehkan pembayaran jamin secara dalam talian.

“Sistem e-Jamin telah pun beroperasi sepenuhnya yang mana tertuduh boleh menjelaskan bayaran jamin secara dalam talian. Kita juga telah mengembangkan sepenuhnya e-Courts Finance yang merupakan kaedah pembayaran secara dalam talian dan tanpa tunai ke seluruh Semenanjung Malaysia dan bagi negeri Sabah dan Sarawak, sistem ini akan siap pada akhir 2021,” katanya.

Rentetan pelaksanaan pendigitalan sistem pengakuan bersalah itu, beliau berkata badan kehakiman turut bercadang untuk menggabungkannya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai garis panduan penghukuman.

“Mahkamah Rendah di Sabah dan Sarawak telah menerajui integrasi penggunaan AI dalam menjatuhkan hukuman untuk kesalahan tertentu. Bagi memastikan keselarasan dalam menjatuhkan hukuman, kita berusaha untuk melakukan perkara yang sama di Semenanjung Malaysia bagi kes-kes tertentu dan kita berhasrat untuk menggabungkannya dengan sistem pengakuan bersalah melalui teknologi AI.

“Projek ini sedang dalam proses untuk dilaksanakan pada akhir tahun 2021 tertakluk kepada wujudnya undang-undang berhubung sistem pengakuan bersalah secara elektronik tersebut,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Tengku Maimun juga berkata beliau mengambil maklum kerisauan yang dibangkitkan Majlis Peguam dalam menjalankan perbicaraan secara dalam talian seperti kebarangkalian wujudnya ‘bimbing saksi.’

“Pada masa ini, kita mempunyai peruntukan baharu yang dimasukkan sebagai Aturan 33A dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan telah berkuat kuasa bermula 15 Dis 2020. Aturan tersebut mengandungi tatacara khusus mengenai bagaimana perbicaraan dalam talian dijalankan.

“Bahkan sebelum Aturan 33A berkuat kuasa, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah pun berjaya menjalankan pemeriksaan terhadap saksi secara dalam talian,” katanya sambil menambah badan kehakiman perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 11,970 daripada 21,744 kes dan rayuan berjaya dilupuskan melalui perbicaraan dalam talian yang dikawal selia oleh badan kehakiman sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini, yang bermula pada Mac lepas.

“Mahkamah Tinggi di Malaya (Semenanjung Malaysia) dan di Sabah serta Sarawak telah berjaya melupuskan sebanyak 75 peratus iaitu 5,663 kes daripada 7,544 kes yang ditetapkan untuk perbicaraan dalam talian.

“Sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian berjaya dilupuskan di Mahkamah Rayuan manakala di Mahkamah Persekutuan pula, sebanyak 164 daripada 345 kes telah dilupuskan termasuk rayuan sivil dan jenayah.

“Di Mahkamah Rayuan, sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan. Bagi Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia pula, sebanyak 5,659 daripada 12,733 kes yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata tradisi badan kehakiman yang menganjurkan Pembukaan Tahun Perundangan pada setiap tahun tidak dapat diadakan pada 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Cabaran utama yang timbul akibat pandemik ini adalah untuk memastikan bahawa pentadbiran kehakiman tidak terhenti walaupun langkah-langkah sekatan diambil kerajaan untuk mengawal penyebaran pandemik tersebut.

“Justeru, badan kehakiman mengambil pelbagai usaha penting ini untuk memastikan kelancaran prosiding undang-undang meskipun terdapat pelbagai kekangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pendigitalan penuhi tuntutan pendidikan

Teks disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar yang disiarkan dalam SelangorKini edisi 26 November hingga 2 Disember 2020

Cabaran pendidikan sentiasa memerlukan kita untuk terus berinovasi dan mencuba kaedah-kaedah yang lebih segar dalam mendepani dunia, lebih-lebih lagi bagi menyediakan para pelajar untuk persekitaran pasca Covid-19.

Adakah usai penemuan vaksin nanti, kita akan kembali semula kepada pedagogi lama dengan interaksi berhadapan? Bagaimana dengan mereka yang pada waktu ini masih lagi ketinggalan dalam jurang digital—apa akan jadi pada nasib mereka nanti?

Banyak persoalan yang timbul berkenaan masa hadapan generasi yang kini disebut ‘The Lost Generation’ ini. Dengan virus yang melata tanpa belas kasihan, sekolah dan universiti terpaksa ditutup dan kadang-kadang secara mengejut, seterusnya mengakibatkan penangguhan atau pembatalan beberapa peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia serta Peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama.

Mereka yang berkemampuan atau tinggal di bandar biasanya masih mampu untuk belajar secara dalam talian, walaupun membebani ahli keluarga yang lain (biasanya para ibu) sewaktu sesi persekolahan dijalankan di rumah.

Ini secara tidak langsung memerlukan sokongan semua dalam menjayakan misi pembelajaran dalam talian. Beban kepada para ibu biasanya berganda kerana mereka diharap dapat melayani kerenah anak-anak di rumah walaupun turut sama bekerja dari rumah (WFH). Ini membibitkan masalah baharu yang mana wanita mula meninggalkan pasaran kerja untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Jurang digital

Bagaimana pula dengan mereka yang di luar bandar? Tanpa kemudahan seperti komputer dan akses kepada kemudahan internet, mereka seolah-olah terputus dari alam persekolahan maya. Ini membantutkan pendidikan mereka, yang lambat laun akan menggumpal serta membawa kepada masalah lain seperti keciciran atau yang lebih berbahaya seperti menganggotai kumpulan kongsi gelap dan sebagainya.

Guru Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah Jasin, Melaka Salman Samat, 35, mendengar hafazan murid ketika pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumahnya di Taman Bukit Setongkol pada 2 Mei 2020. Foto BERNAMA

Persoalan data dan kemampuan untuk memiliki data turut mencuri tumpuan saat ini. Data internet seolah-olah sudah menjadi hak asasi rakyat. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, jurang kaya dan miskin akan semakin melebar akibat daripada tiadanya kemampuan ini.

Peranan kerajaan bukan sahaja penting di sini dalam meratakan padang permainan agar kebolehcapaian internet menjadi umum, malah turut melebar dengan mengawal serta mengurus sebarang salah guna data seperti kecurian data, penjualan data serta pemalsuan identiti yang semuanya merupakan masalah baharu zaman ini.

Ini belum lagi dibincangkan tentang pandangan awam terhadap kelompongan yang berlaku sejak tujuh atau lapan bulan lepas—adakah anak-anak yang kini ‘terkandas’ di rumah perlu mengulang semula sebelum menaiki tahap akademik seterusnya?

Semua pernyataan masalah yang disebut tadi belum lagi mengambil kira cabaran baharu yang didatangkan oleh perubahan iklim. Mungkin kita akan bincang hal berkenaan dalam makalah lain nanti.

Kita telah lihat sepintas lalu pada artikel yang lepas bagaimana negara-negara Eropah menggiatkan warganya untuk lebih mandiri dan melahirkan usahawan berbanding melahirkan pekerja. Usaha-usaha sebegini wajar dipupuk dalam minda dan sanubari warga agar mereka lebih cekal serta berdaya saing untuk terus hidup dalam persekitaran pasaran masakini.

Pendidikan berubah

Kita boleh ambil iktibar sedikit sebanyak daripada pengalaman jiran tetangga Indonesia yang mempunyai antara institusi pendidikan tertua di dunia yakni sistem pesantren.

Sistem pembelajaran mereka walaupun banyak silibusnya yang masih tradisional tetapi tetap melahirkan alumni yang teguh citranya, serta berupaya berbakti kembali kepada alma mater mereka. Keluhuran jiwa dan sikap sukarelawan yang berjaya disemai merupakan salah satu kisah kejayaan institusi ini tanpa pembiayaan langsung daripada pihak pemerintah.

Sikap dan wibawa yang ada dalam organisasi massa seperti Nahdhatul Ulama’ (NU) dan Muhammadiyah yang lebih moden cukup berpengaruh dalam membentuk minda dan jiwa masyarakat Indonesia yang majmuk dan bertoleransi.

Ternyata nilai-nilai asasi begini yang akan berkekalan dan membentuk kompas moral kepada pelajar yang baik dan kemudiannya menjadi warga yang baik.

Selangor Kerjaya dengan latihan kemahiran baharu (new skill), tingkat kemahiran (upskilling) dan pulih kemahiran (reskilling) merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri mengurangkan pengangguran sekali gus membasmi kemiskinan. Foto ARKIB SELANGORKINI

Perkara-perkara lain dalam hal-ehwal pendidikan masih terbuka untuk dibincang dan disesuaikan dengan keadaan sekarang. Pendekatan ‘gamification’ misalnya, banyak memberi dorongan kepada mereka yang tidak berminat untuk mencuba satu-satu perkara baharu, terutamanya dalam dunia akademik.

Begitu juga dengan kemahiran yang mungkin akan menjadi kebiasaan baharu dalam dunia pendidikan, yakni kemahiran pengekodan (coding). Ia mengajar para pelajar untuk berfikir dengan lebih teratur dan sistematik, serta memahamkan mereka tentang parameter yang selalu menjadi pemandu dalam satu-satu permasalahan perisian.

Kemahiran-kemahiran lain sama ada berbentuk soft skill (kemahiran insaniah) atau pun hard skill (kemahiran teknikal yang boleh dipelajari) boleh diisi kemudian sama ada melalui latihan profesional atau laluan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Justeru, Kerajaan Negeri memperkenalkan beberapa program latihan meningkatkan dan mengasah semula kemahiran semenjak pakej rangsangan ekonomi yang dahulu dan kini ditambahbaik dengan pemadanan kerja melalui Selangor Kerjaya serta pemanfaatan bakat dengan Selangor Freelance dalam Belanjawan Selangor 2021.

Dan usaha ini tidak akan pernah berhenti kerana Selangor terus mengorak langkah dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan membuat kerjasama pintar, yang terbaharu melalui program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) milik Kerajaan Negeri bersama TWI South East Asia dan juga Aerodyne Group, syarikat pengendali dron terutama di dunia.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kampung luar bandar jadi projek rintis rangkaian komunikasi

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Selangor mengenal pasti beberapa perkampungan luar bandar bagi menjalani projek rintis era pendigitalan.

EXCO luar bandar berkata pemilihan kawasan membabitkan keseluruhan negeri ini terutama lokasi yang kurang mendapat isyarat komunikasi.

“Kampung terpilih sudah disenaraikan dan akan menjadi tapak untuk meluaskan rangkaian komunikasi ke kawasan lain.

“Kita harap projek pertama ini berjalan lancar dan dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar,” kata Borhan Aman Shah kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat itu berkata, beliau sendiri sering mendapat aduan penduduk yang tidak berpuas hati dengan rangkaian komunikasi di kawasannya.

“Selepas Covid-19 berlaku, kebanyakan urusan harian secara dalam talian namun disebabkan kawasan jauh dari bandar, penduduk sukar mendapat capaian internet,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peruntukan RM369 juta bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi.

Usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pendidikan digital tangani cabaran wabak

Teks disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar yang disiarkan dalam akhbar SelangorKini edisi 19 hingga 25 November 2020

“Dalam apa-apa bentuk sistem ekonomi sekalipun, pemerintah memainkan peranan yang penting dalam pendidikan dan latihan. Dan jika pemerintah ingin membebaskan rakyatnya daripada belenggu kemiskinan, ia perlu memulakannya dengan pelaburan meningkatkan mutu manusia; pelaburan dalam kesihatan – kerana manusia yang sering sakit mempunyai produktiviti yang rendah; pelaburan dalam pendidikan dan keterampilan”.

– Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Gelombang Kebangkitan Asia, 1997

Keutamaan pendidikan ternyata tidak ada tolok bandingnya. Kemiskinan, yang sering dianggap musuh nombor wahid negara-negara di dunia, memang memerlukan pendidikan sebagai salah satu wadah utama dalam memeranginya.

Tidak mengejutkan apabila kemiskinan dikira sebagai salah satu pintu kepada kekufuran di dalam agama Islam. Dan kepentingan pendidikan jelas terjelma dalam kisah penciptaan Nabi Adam A.S sendiri yang mana, perkara pertama yang Allah S.W.T lakukan adalah mendidik baginda tentang ‘nama-nama’— suatu proses asuhan terawal buat manusia seluruhnya. Saranan untuk terus belajar dan belajar diperkukuh kemudiannya dengan proklamasi “Iqra’” atau “Bacalah!” yang menjadi ayat pertama yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Seperti yang dikutip dalam petikan di atas, peranan kerajaan amnya dan Kerajaan Negeri khasnya semakin membengkak semenjak meletusnya pandemik yang kini sudah hampir setahun menghantui kehidupan kita. Berlatar belakang kenaikan meroket kes-kes jangkitan yang semakin menjadi-jadi, banyak sekolah dan taska terpaksa ditutup apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Banyak keriuhan yang timbul akibat penutupan sekolah serta universiti secara mengejut, dan ibubapa terpaksa berhadapan dengan keadaan yang memerlukan mereka kerja dari rumah sementara turut sama mendampingi anak-anak yang terpaksa belajar menggunakan komputer riba di bawah satu bumbung.

Cetus pendigitalan

Selangor mengorak langkah awal dengan mendakap lebih awal pendigitalan semenjak gagasan Smart Selangor dicetuskan lama sebelum pandemik. Ternyata saranan ini menepati masanya, lebih-lebih dalam bidang pendidikan dengan e-pembelajaran menjadi norma baharu yang tidak terelakkan. Namun, tidak dinafikan inisiatif sebegini tidak datang tanpa sebarang cabaran.

Pusat Kecemerlangan Hatimurni (Hatimurni) mengambil inisiatif menjalankan kelas secara dalam talian bagi mengelakkan pelajar tercicir dalam sukatan pembelajaran. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kalau kita menyorot sejak awal tahun, Kerajaan Negeri menginsafi mahasiswa Selangor yang terkandas di sana-sini sewaktu awal krisis ini berlaku. Persiapan logistik diatur bagi mengelakkan sebarang keciciran – frasa tiada siapa ketinggalan (no man left behind) yang sering diulang dengan tindakan lanjut secara tersurat.

Tidak cukup dengan itu, bekalan makanan turut disediakan agar anak-anak Selangor tidak dibiarkan berperut kosong. Dari Borneo, malah sejauh pelajar-pelajar Ruwaq Jawi di Mesir telah dibantu dengan seboleh-bolehnya.

Untuk mendepani pandemik yang belum lagi nampak surutnya, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif untuk turut memberikan kad sim kepada mahasiswa kita bawah inisiatif Data Internet Selangor supaya kekangan infrasktruktur lama bawah WiFi Smart Selangor dapat dilengkapi. Tidak cukup dengan itu, bantuan Bayaran Yuran Asas (Bayu) turut diperkenal dalam Belanjawan Selangor 2021 agar dapat diringankan beban kewangan para pemuka generasi masa hadapan ini.

Langkah-langkah ini semua tidak lain bertujuan memberi kelegaan segera atas perkara yang mendesak.

Namun, Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti menyokong sebarang usaha pemerkasaan pendidikan dengan turut menyediakan persiapan jangka panjang buat anak-anak Selangor.

Keusahawanan

Justeru, Belanjawan Selangor 2021 turut menggariskan program seperti Rakan Digital Selangor dalam menyokong usaha pendidikan sepanjang hayat (lifelong learning). Dengan menjadikan warga Selangor sama ada golongan pelajar mahupun golongan emas untuk celik digital, banyak usaha-usaha lain sama ada dalam membanteras kemiskinan mahupun penyakit mental akan dapat disokong dengan cara digital.

Berbekal pengetahuan digital yang dibiasakan bakal mempersiap kemampuan setiap warga untuk berfungsi dalam pasaran pengetahuan (k-economy) dan terbuka untuk inovasi yang lebih terkehadapan dalam menghadapi norma baharu seperti menjadi masyarakat nirtunai (cashless society) ataupun yang lebih maju seperti pengenalan digital (digital ID).

Satu lagi aspek pendidikan yang disokong kuat oleh Kerajaan Negeri adalah pendidikan keusahawanan.

Sepertimana yang pernah dikutip oleh makalah ditulis Haris Harun dalam Manifesto Sekolah Harapan terbitan 2017 Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), negara Eropah seperti United Kingdom, Norway dan Estonia telah menggiatkan secara serius pendidikan keusahawanan semenjak 2004 lagi dengan program nasional seperti Youth Entrepreneurship Strategy (Yes) dengan tema-tema seperti Lihat Peluang dan Pasti Dijayakan (See the Opportunities and Make Them Work!).

Malah, Lithuania menggariskan tiga strategi khusus pendidikan, yang turut meliputi penggalakan keusahawanan serta pendidikan celik kewangan (financial literacy).

Minggu hadapan kita akan bersama-sama menelusuri apakah lagi tawaran Selangor dalam aspek pendidikan, terutama pendidikan keusahawanan dalam usaha membina kecekalan rakyat mendepani zaman Covid-19 yang semakin mencabar.