Categories
SELANGOR

UNISEL komited terajui tranformasi pendidikan negara

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 9 JAN: Universiti Selangor (UNISEL) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usahanya menerajui transformasi pendidikan negara.

Presiden dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, UNISEL antara lain mengambil langkah mengoptimumkan sumber tenaga serta baik pulih infrastruktur di kedua-dua kampus.

Katanya, keutamaan dari segi hubungan di antara pihak luar juga turut dititik-beratkan.

unisel-prof-redzuan“Pelbagai program kemasyarakatan dilakukan menerusi program cakna bagi memastikan UNISEL menjadi pusat pendidikan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Program ke Jepun, Korea, Indonesia dan Kazakhstan merupakan pendekatan diambil bagi mengimarahkan Program Pengantarabangsaan dalam kalangan pelajar.

“Kunjungan hormat kepada Dato’ Menteri Besar, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Canselor serta Pro Canselor merupakan pendekatan awal diambil bagi meningkatkan imej UNISEL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Presiden dan Naib Canselor UNISEL 2017 di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Redzuan berkata, UNISEL juga bakal meneruskan kebitaraan pendidikan dengan penubuhan Selangor Business School yang akan beroperasi di Menara PKNS, Petaling Jaya.

“Ia bakal menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan tuntutan korporat, perniagaan, industri dan sektor awam,” katanya.

Majlis sama turut menyaksikan pengumuman kenaikan gaji kaki tangan UNISEL berkuatkuasa Januari 2017, selepas lima tahun tiada kenaikan.

-nR-

Categories
SELANGOR

UNISEL-FABA jalin kerjasama perkasa Bioteknologi

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 1 DIS: Universiti Selangor (UNISEL) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Federation of Asian Biotech Association (FABA) dalam usaha memperkasakan bidang bioteknologi, pada 29 November lalu.

Prof (E) Dato’ Dr. Abdul Latif Ibrahim yang juga merupakan Pengarah Institut Bio-IT Selangor berkata, MoU itu juga bertujuan membina hubungan di antara Institut Bio-IT Selangor dengan FABA.

“Ini juga merupakan kerjasama di antara dua negara, Malaysia dan kerajaan negeri Hyderabad, India dalam memperkasa bidang bioteknologi,” katanya.

UNISEL diwakili Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, manakala FABA diwakili Prof Dr Prakash Babu dari University of Hyderabad, India.

4Turut berlangsung adalah majlis menandatangani Surat Hasrat (LoI) di antara UNISEL dengan King Abdullah University of Science and Technology, Arab Saudi (KAUST).

LOI disempurnakan Prof Redzuan sementara KAUST diwakili Dr. John Archer.

“Ini merupakan permulaan kerjasama antara UNISEL dan KAUST bagi projek penyelidikan micro-algae,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Naib Canselor UNISEL terima Anugerah Tertinggi MAPIM-KPT

OLEH : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 22 APR : Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman menerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik menerusi Kategori Kemanusian dan Sains Sosial pada Majlis Anugerah MAPIM-KPT 2015 di Putrajaya, hari ini.

Anugerah tersebut diperoleh beliau selaku pengarang menerusi buku bertajuk ‘Sekularisme dan Proses Demokrasi di Turki : Pemerkasaan Islam dan Kepimpinan Edrogan’ yang diterbitkan pada 2015.

ANUGERAH MAPIMAnugerah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh bertempat di Bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selain anugerah tersebut, lima lagi anugerah disempurnakan pada majlis sama.

Mohammad Redzuan menzahirkan rasa gembira di atas pengiktirafan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai anugerah yang cukup bagus bagi merancakkan lagi hasil penulisan akademik di negara ini.

“Alhamdulillah. Buku tulisan saya ini menang buat kali ke-2.

“Terima Kasih kepada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Terima Kasih juga kepada penulis bersama, Mashitah,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta plug.

Turut berkongsi anugerah tersebut ialah Mashitah Sulaiman selaku pengarang bersama yang juga merupakan anak didik Mohammad Redzuan semasa menuntut di Universiti Malaya sebelum ini.

Mashitah kini bertugas sebagai Penyelaras Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia.

-nR-

Categories
SELANGOR

Anugerah Kepimpinan Siswa (AKS) usaha UNISEL lahir graduan berkelas tinggi

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 15 APR: Universiti Selangor (UNISEL) menganjurkan Anugerah Kepimpinan Siswa (AKS) 2015 sebagai pengiktirafan kepada mahasiswa yang banyak berusaha menjadi modal insan holistik dan kompeten selari dengan kehendak universiti.

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata anugerah julung kali diadakan itu dijadikan pemangkin dalam membakar semangat pelajar menjadi pemimpin negara sesuai dengan kehendak ekonomi dan pembangunan masa kini.

Prof Redzuan (2)“AKS merupakan agenda penting dalam pentadbiran pengurusan baharu ke arah transformasi universiti.

“Dalam konteks mahasiswa, AKS mampu menjadi pemangkin dan inspirasi kepada mereka dalam usaha pihak universiti melahirkan graduan yang berkelas tinggi serta mampu bersaing dalam alam pekerjaan kelak,” katanya ketika berucap malam tadi di Dewan Pro Canselor, Kampus Shah Alam.

Dalam majlis itu, pelajar dari Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Mohamad Arif Zaki Ali menerima Anugerah Kepimpinan Presiden dan Naib Canselor UNISEL dengan membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi pusingan, trofi iringan beserta sijil.

AKS UNISELManakala Pelajar Fakulti Perniagaan, Amirul Hakim Mohd Resadi menerima Anugerah Khas Kepimpinan Naib Presiden, Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Hal Ehwal Pelajar dengan membawa pulang RM1,000, trofi pusingan, trofi iringan beserta sijil.

Turut hadir, Exco Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi & Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

-nR-

Categories
SELANGOR

Utamakan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran

SHAH ALAM, 13 MAC: Penggunaan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran perlu lebih diutamakan khususnya dalam bidang pendidikan.bagi memastikan penggunaannya dipertingkatkan.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata ia bertujuan untuk memastikan Bahasa Melayu terus kekal terpelihara walaupun di dalam era globalisasi masa kini.

Professor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman“Walaubagaimanapun, saya tidak menolak kepentingan mempelajari Bahasa Inggeris yang sememangnya diketahui umum sebagai bahasa utama dunia. Tetapi kita perlu pastikan Bahasa Melayu terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Seminar Hala Tuju Pendidikan Negara Siri 2 yang diadakan di Dewan Pro Canselor UNISEL Kampus Shah Alam.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Seminar itu juga disertai oleh Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Datuk Dr Siddiq Fadzil dan Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI, Profesor Dr Shaharir Mohamad Zain.

Lebih 700 pelajar menghadiri seminar itu yang membincangkan isu Dual Language Program (DLP): Ancaman Pada Dasar Negara.

DLP adalah dasar baru diperkenalkan Kerajaan Pusat tahun ini dan dipercayai penjenamaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

EZY