Categories
NASIONAL SELANGOR

Yayasan Selangor Cemerlang Di bawah Pakatan Rakyat

Debat Yayasan Selangor Halimah ali 2

SHAH ALAM 6 MAC : Perkhidmatan Yayasan Selangor (YS) lebih cemerlang dan semakin diyakini di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sepanjang 2008 hingga 2012 .

Keadaan ini berbanding dengan tahun sebelumnya ketika diperintah Umno-BN, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Jelas Dr Halimah, dalam tempoh itu, YS menaja 3.5 kali ganda pelajar peringkat menengah berbanding pada 2007 yang hanya berjumlah 1,385 orang.

Katanya, bilangan pelajar dalam Program Rancangan Khas Pendidikan YS – RKPYS itu mula meningkat kepada 1,409 orang pada 2008, 1,554 orang pada 2009 dan melonjak kepada 3,288 orang pada 2012 dan akan ditingkatkan lagi kepada 5,000 orang pelajar pada 2013.

“Peningkatan ini menunjukkan YS berjaya memberikan perkhidmatan pendidikan kepada lebih ramai pelajar berbanding sebelum tahun 2008 dengan gandaan yang besar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan SUK, di sini.

Menurut Dr Halimah, lebih membanggakan pencapaian peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi PMR dan SPM, pelajar mendapat keputusan 5A ke atas menunjukkan peningkatan. Sebagai contoh, pada 2007 hanya 62.9 peratus dan meningkat kepada 80.8 peratus.

“Manakala SPM, pada 2007 hanya 32.8 peratus seterusnya melonjak naik kepada 66.1 peratus pada 2011,” katanya.

Dalam pada itu, YS juga menambah peruntukkan biasiswa dari tahun ke tahun bermula tahun 2008.

Pada 2007, hanya 518 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 159 mendapat Biasiswa Khas dan 36 pelajar mendapat Dermasiswa.

Namun pada 2012, YS menawarkan 1,783 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 1,140 pelajar mendapat Biasiswa Khas dan 96 pelajar mendapat Dermasiswa.

Dr Halimah menambah, kutipan bayaran balik pinjaman pelajaran YS lebih efisien kerana peningkatannya iaitu RM2.1 juta pada 2008 kepada RM2.2 juta pada 2009.

RM2.9 juta pada 2010 dan terus meningkat kepada RM3.8 juta pada tahun 2011 serta RM3.9 juta pada 2012.

“Ia membabitkan peningkatan sebanyak 186 peratus prestasi kutipan itu.

Malah, bilangan sekolah tajaannya juga meningkat daripada 27 buah pada 2007-2008 kepada 33 buah pada tahun 2009-2011 dan terus meningkat kepada 53 buah pada 2012 dan 63 buah pada tahun 2013,” katanya.