Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan fasa kedua dijangka diteruskan, tumpu kawasan jangkitan tinggi

KUALA SELANGOR, 5 JUN: Program Saringan Komuniti fasa kedua dijangka dilaksanakan dengan menumpukan kawasan mencatat kadar jangkitan Covid-19 lebih lima peratus.

Pengurus Klinik Selcare berkata perkara itu akan diputuskan selepas pihaknya bersama Operasi Pasukan Khas Selangor (STFO) membentangkan hasil dapatan program di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir bercakap kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Secara dasarnya, kami dan STFO memang merancang untuk masuk ke kawasan berkaitan tetapi perlu menunggu arahan lanjut Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan ini.

“Kita mahu lihat kesan selepas program saringan ini selesai kerana individu positif Covid-19 dan boleh merebakkan virus sudah diasingkan. Justeru, angka kes sepatutnya menurun jika dibuat sekali lagi,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang di sini hari ini.

Setakat ini, lapan DUN merekodkan kes disyaki positif melebihi paras lima peratus iaitu Kajang (8.08), Hulu Kelang (8.06), Bukit Antarabangsa (7.58) dan Sungai Tua (5.63).

DUN lain termasuk Gombak Setia dengan 8.24 peratus diikuti Taman Templer (7.99), Seri Setia (6.99) dan Taman Medan (5.29).

Sementara itu, Mohd Noor berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menyaring individu dari rumah ke rumah seperti ketika awal perebakan wabak pada tahun lepas.

“Ia belum putuskan lagi, namun kita bersedia dan tiada kekangan kerana perkara itu turut dicadang sendiri oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa kedua program vaksin libatkan warga emas, OKU bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bermula di beberapa negeri hari ini, dan akan berlanjutan sehingga Ogos.

Fasa kedua program vaksinasi yang melibatkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac, memberi keutamaan kepada 9.4 juta penerima warga emas berusia 60 tahun ke atas, pesakit penyakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Di Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri itu Datuk Dr Asmayani Khalib berkata, seramai 2,024 warga emas di negeri tersebut dijangka menerima suntikan vaksin hari ini dan sebanyak lima dewan di setiap daerah akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Kompleks Masyarakat Penyayang di daerah Timur Laut; Kompleks Sukan Balik Pulau (Barat Daya); Dewan Millennium di Kepala Batas (Seberang Perai Utara), Dewan Serbaguna Jawi (Seberang Perai Selatan) dan Seberang Perai Arena Convention Centre (Seberang Perai Tengah).

Seorang warga emas Ang Ah Hay @ Teng Foo Ying, 91, ketika ditemui Bernama berkata, beliau berasa lega setelah menerima suntikan tersebut, malah turut menyeru orang ramai terutamanya warga emas untuk datang ke PPV terdekat bagi mendapatkan vaksin.

“Saya rasa lega sebab sudah terima vaksin…orang tua (warga emas) yang lain kena datang (ambil suntikan vaksin) supaya tidak dijangkiti Covid-19,” katanya yang ditemani anak lelakinya Ong Chin Huat, 56, selepas selesai menerima suntikan tersebut.

Di Terengganu, majlis pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 peringkat negeri dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu (PSKT).

Tiga PPV dibuka untuk permulaan fasa kedua, iaitu di PSKT untuk daerah Kuala Terengganu, Dewan Datuk Seri Amar Diraja (Kemaman) dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, bagi penduduk di daerah lain, mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin di klinik kesihatan sedia ada, dan pada masa sama bilangan PPV itu akan ditambah berdasarkan keperluan semasa.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 250,399 rakyat Terengganu (29.7 peratus), telah berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam MySejahtera setakat 14 April lepas.

“Empat daerah menunjukkan pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman seramai 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti Kuala Terengganu (59,713 orang iaitu 32.5 peratus), Marang (26,017 orang iaitu 32 peratus) dan Kuala Nerus (33,161 bersamaan 30.8 peratus),” katanya.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri itu Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata, seramai 456 warga emas menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech hari ini, melibatkan dua PPV iaitu seramai 228 individu di PPV Dewan Majlis Bandaraya Seremban dan selebihnya di PPV Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Jempol Syahrul Nizam Saleh berkata, seramai 12,478 individu di daerah itu telah mendaftar untuk menerima suntikan pada fasa kedua, dan menjangkakan angkanya akan terus bertambah berdasarkan kelancaran program pada hari ini.

Di Kedah pula, seramai 1,577 orang terdiri daripada warga emas dan OKU bakal menerima vaksin dalam tempoh empat hari terawal yang bermula hari ini di Stadium Tertutup, Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Menurut Pegawai Daerah Kota Setar merangkap Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, pihaknya juga turun padang ke kawasan kampung untuk menggalakkan mereka mendaftar, termasuk membantu warga emas membuat pendaftaran dengan kerjasama Jabatan Penerangan.

“Bagi pusat pemberian vaksin di stadium ini, segala persediaan rapi telah dibuat untuk proses pemberian vaksin pada fasa kedua yang bermula hari ini,” katanya yang turut memaklumkan lebih 30 peratus penduduk Kota Setar berumur 18 tahun ke atas, telah pun mendaftar bagi menerima vaksin itu setakat ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tambah kategori dalam fasa kedua suntikan vaksin

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan akan menambah kategori lain untuk penerima vaksin Covid-19 fasa kedua memandangkan kadar pendaftaran yang rendah.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata bagaimanapun warga emas, individu berisiko tinggi, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit kronik disenaraikan dalam fasa tersebut sebelum ini masih menjadi keutamaan.

“Kategori petugas barisan hadapan ekonomi dan kumpulan lain yang telah dipersetujui akan dimasukkan dalam senarai penerima fasa kedua memandangkan pendaftaran golongan sasar masih tidak sepenuhnya.

“Isnin nanti saya akan umum beberapa kumpulan yang dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin sebagai penerima tambahan dalam fasa ini,” kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Dewan Annex di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyasarkan suntikan terhadap kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April depan.

Fasa kedua imunisasi menggunakan Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadualkan bermula April hingga Ogos dengan melibatkan kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pada Mei hingga Februari tahun depan untuk 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh bayaran BPN dilanjut sehingga 22 Mei

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Tempoh pembayaran bantuan prihatin nasional (BPN) fasa kedua yang dijadualkan berakhir pada hujung minggu lalu terpaksa dilanjutkan sehingga 22 Mei, 2020, disebabkan oleh beberapa kekangan teknikal.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata setakat ini, seramai 7.61 juta penerima BPN fasa kedua menerima bayaran berjumlah RM3.41 bilion, mewakili pencapaian 93 peratus daripada peruntukan untuk fasa tersebut.

“Bagi 2.3 juta penerima yang layak daripada permohonan baharu dan rayuan, bayaran telahpun bermula pada 15 Mei, 2020. Sehingga kini, seramai 830,000 telah menerima bayaran BPN melibatkan RM620 juta,” katanya semasa membentangkan Laporan Keenam Pencapaian Prihatin-Laksana, hari ini.

Susulan lanjutan proses rayuan yang diumumkan minggu lalu, beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini sedang giat memproses rayuan yang diterima dan akan memberi pertimbangan sewajarnya.

“Pemohon diingatkan untuk mengemukakan rayuan dengan segera sebelum tarikh tutup rayuan yang telah dipanjangkan sehingga 31 Mei, 2020,” katanya.

Mengenai program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, sehingga 17 Mei, sebanyak 4.4 juta permohonan diterima manakala 3.9 juta permohonan diluluskan, peningkatan daripada 3.7 juta pada minggu sebelumnya dengan jumlah pembayaran melibatkan RM1.83 bilion sebulan.

Sementara itu, bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja kepada 7.0 peratus daripada 11 peratus, beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan diterima ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM923.5 juta.

Menurutnya, kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11 peratus, iaitu seramai 1.5 juta atau lebih kurang 20 peratus daripada pencarum KWSP sehingga 17 Mei berbanding 1.2 juta pencarum pada bulan April.

Di bawah Subsidi Upah pula, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM2.24 bilion diluluskan bagi 267,752 majikan sehingga 17 Mei, mewakili dua juta pekerja.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata setakat 17 Mei, permohonan diluluskan bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS berjumlah RM5.8 bilion, dan ini akan memanfaatkan 14,075 PKS.

Berkaitan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM) beliau berkata permintaan terhadap dana itu sangat menggalakkan dan peruntukan awal RM5 bilion telah digunakan sepenuhnya dengan cepat.

“Malah, seperti yang diumumkan oleh BNM minggu lalu, lebih 20,000 permohonan berjumlah kira-kira RM10 billion diluluskan oleh institusi kewangan yang menawarkan SRF ini.

“Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan ini, BNM telah menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi jumlah permohonan diluluskan ini,” katanya.

Daripada jumlah diluluskan ini, beliau berkata sejumlah RM5.75 bilion disetujuterima oleh 13,908 PKS manakala RM4.25 bilion permohonan selebihnya pula sedang dalam proses pasca-kelulusan termasuk permohonan jaminan dan setujuterima oleh pemohon.

-BERNAMA