Categories
NASIONAL SELANGOR

Kadar Sewa PPRT Sebelum Pakatan Rakyat Selangor Memerintah- FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 03102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Keputusan untuk menaikkan kadar sewa di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang merupakan keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Exco pada Ogos 2007, iaitu sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

2. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober 2013 adalah hari penamaan calon dan 4 November 2013 hari pengundi untuk Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau.

3. Kerajaan Pusat berbelanja lebih RM100 juta dalam tempoh tiga tahun untuk kos sewaan dan penyelenggaraan jet peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi program jelajah dan lawatan rasminya.

4. Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong menyarankan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya melaksanakan kaedah ‘Micro Sitting’ di bangunan-bangunan Kerajaan atau kawasan sekitar sebagai sumber tenaga alternatif dalam kehidupan harian.

5. Satu lagi detik hitam melanda sistem perundangan negara apabila Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 diluluskan Dewan Rakyat membenarkan penahanan tanpa perbicaraan selama dua tahun.

Categories
SELANGOR

Penduduk PPRT nafi dakwaan Noh Omar

pprtPETALING JAYA 1 OKTOBER : Tiada kenaikan kadar sewa rumah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang, setakat ini.

Rata-rata penghuni yang ditemui menafikan ada kenaikan sewaan seperti yang didakwa Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar, baru-baru ini.

Ketua Blok H PPRT, Rahman Aman, 56, berkata kadar sewa di PPRT itu masih dikekalkan sejak 2000.

“Kadar sewa bagi yang layak masih lagi sebanyak RM124, manakala bagi orang luar yang datang menyewa sebanyak RM250,” katanya ketika ditemui.

Rahman berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang notis atau makluman berkenaan kadar sewa di PPRT itu.

“Kebanyakkan orang luar yang datang menyewa dengan kadar rm250 itu perlu berbincang dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya melayakkan mereka mendapat kadar sewa yang rendah.

“MBPJ akan melihat pendapatan isi rumah, jadi mereka tidak boleh melulu mendakwa kadar sewa mereka tinggi berbanding orang lain,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Yop, 34, mengesahkan perkara itu.

Beliau yang menetap di PPRT itu sejak 2001 berkata sememangnya MBPJ tidak pernah menaikkan kadar sewa.

“Saya tinggal di sini sejak zaman bujang lagi, memang tidak pernah ada kenaikan sewa,” katanya.

Penetapan kadar sewaan di PPRT itu berdasarkan pendapatan keluarga.

Bagi kadar sewa RM124 adalah daripada penduduk setinggan di kawasan sekitar dipindahkan ke PPRT itu.

Manakala bagi kadar sewa RM250 pula, adalah terdiri daripada penyewa baru.

Semalam, Setiausaha kepada Exco Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Kamaruzaman Ahmad Nor berkata kadar sewa PPRT masih lagi dikekalkan pada kadar RM124 sebulan.

Sebelum ini, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Kerajaan Negeri menindas penghuni PPRT terutamanya di Lembah Subang apabila gagal melaksanakan kerja pembaikan kemudahan tetapi menaikkan kadar sewa.

Beliau mendakwa kadar sewa dinaikkan daripada RM124 (zaman Umno-BN) kepada RM250 ketika ini.