Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik lega pusat cuci kenderaan operasi semula, pelanggan serbu sejurus dibuka

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pemilik sebuah pusat cuci kenderaan menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan kebenaran 11 sektor ekonomi beroperasi semula Isnin lalu.

Ahmad Humini Alias, 42, berkata kedainya di Jalan Kebun di sini diserbu pelanggan sebaik sahaja mula dibuka jam 10 pagi kelmarin.

“Alhamdulillah sejak semalam pelanggan tidak putus-putus datang untuk mencuci kenderaan mereka dari pagi sehingga petang.

“Tetapi saya mencadangkan kerajaan untuk memperhalusi semula keputusan berhubung individu yang lengkap dos sahaja boleh hadir untuk mencuci kenderaan,” katanya.

Beliau menjelaskan hal itu kerana masih ramai yang menunggu untuk divaksin malahan beliau juga menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan kepada pelanggan yang datang ke kedainya sebagai langkah berjaga-jaga.

“Setakat ini SOP tambahan saya cuma menggalakkan pelanggan untuk duduk di dalam kenderaan dan kami hanya mencuci bahagian luar…tindakan ini untuk memastikan tiada perebakan wabak Covid-19,” katanya.

Ahmad Humini juga berharap kerajaan tidak lagi menutup sektor ekonomi yang mana ia amat memberi kesan kepada usahawan sepertinya.

“Sepanjang kedai ditutup saya terpaksa mencari alternatif dengan membuat kerja sampingan mencuci bahagian dalaman kenderaan kepada mana-mana pelanggan yang menempah,” katanya.

Kerajaan bersetuju membenarkan semua aktiviti tidak perlu (non-essential) dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi bermula 16 Ogos di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

Sektor berkenaan antaranya kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan kemas, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai pakaian, fesyen dan aksesori serta kedai gunting rambut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasar malam, kedai gunting rambut, pusat cuci kereta dibenar operasi mulai esok

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenar beroperasi semula dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan tersebut.

“Setelah berbincang dan melihat tiada kluster baharu oleh ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini, maka mesyuarat setuju untuk luluskan (beroperasi semula),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pasar malam dibenar beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam dengan memastikan jarak satu meter antara setiap gerai, laluan keluar masuk yang berbeza, dan ada pengawasan oleh RELA untuk memantau pergerakan pengunjung.

Bagi kedai gunting rambut dan salon, beliau berkata ia dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam namun hanya perkhidmatan gunting rambut dibenarkan.

Ismail Sabri turut memberi bayangan lebih banyak aktiviti termasuk sukan dan rekreasi seperti gim dan kejohanan sukan berimpak tinggi, selain sektor peruncitan akan diberi kelonggaran namun ia tertakluk kepada penilaian risiko dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini, katanya selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masing-masing mengemukakan cadangan kepada mesyuarat khas hari ini.

“Kami teliti setiap perkara dibentangkan sama ada KPDNHEP dan KBS. Kami akan kaji dan setiap kajian kami pastinya akan dapat pandangan daripada KKM dan mereka akan buat penilaian risiko dan berdasarkan kluster baharu yang wujud daripada setiap aktiviti yang dicadangkan.

“Sekiranya KKM berpandangan risiko tidak tinggi dan daripada data tidak tunjukkan kluster-kluster baharu dihasilkan maka ada kemungkinan kami akan luluskan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPS sita pusat cuci kereta beroperasi ketika PKP

SHAH ALAM, 19 JAN: Sebuah pusat cuci kereta di Selayang disita selepas beroperasi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata premis itu mengingkari pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) perintah tersebut.

“Tindakan sitaan dikenakan terhadap sebuah premis yang menjalankan operasi cuci kereta.

“Sepanjang tempoh PKP, aktiviti cuci kereta adalah tidak dibenarkan untuk beroperasi,” katanya menerusi Facebook.

MPS berkata pihaknya akan meneruskan pemantauan berhubung pematuhan SOP dan mengambil tindakan dari semasa ke semasa.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Dibuang kerja selepas majikan ‘bungkus’, asnaf kini tauke

Penutupan syarikat percetakan yang tidak mampu bertahan akibat kegawatan ekonomi kesan penularan Covid-19 mengakibatkan Ahmad Humini Alias hilang kerja Mei lalu.

Dengan notis singkat, bapa lima anak meninggalkan pekerjaannya sebagai penghantar tempahan selepas lima tahun berkhidmat.

Sejak itu, keluarganya kerap kelaparan. Makan pun bercatu. Kadang kala, hanya mi segera mengalas perut anak-anak, berkongsi seorang sedikit.

Lebih buruk lagi, beliau sekeluarga terpaksa mengosongkan rumah kerana tidak mampu membayar sewa. Mereka terpaksa menumpang teduh di bilik rakannya.

Kerana terdesak, beliau menebalkan muka mengunjungi pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS), langkah yang tanpa disedarinya pada ketika itu menjadi titik peralihan dalam hidupnya.

Berbekal bantuan modal Teraju Ekonomi Asnaf (Teras), Ahmad Humini, 41, kini pemilik pusat cuci kereta yang maju dan sedang berkira-kira mengembangkan lagi perniagaannya.

Ahmad Humini ketika ditemu bual Media Selangor, baru-baru ini. Foto SELANGORKINI

Anak kelaparan

Sebelum ini, beliau kerap memendam perasaan, bahkan mengalir air mata mengenangkan anak-anaknya kelaparan. Hatinya tersayat apabila anak bongsunya berusia lima tahun teringin menikmati makanan segera ayam goreng.

Namun, jangankan ayam goreng, saki baki makanan pun tiada buat dijamah. Wang di saku pula kehabisan. Ahmad Humini terpaksa meminta bantuan makanan dari LZS.

“Demi anak-anak saya tiada pilihan, tebalkan muka ke LZS dan berterus terang di rumah tiada apa nak makan, duit pun tidak ada.

“Mulanya pegawai itu beritahu LZS tidak beri duit, cuma makanan. Saya terima apa sahaja bantuan tetapi mungkin masa menunggu, tengok saya memang memerlukan, LZS beri RM150,” katanya dengan mata bergenang ketika berkongsi kisahnya dengan SelangorKini, baru-baru ini.

Modal niaga

Dalam kunjungan itu Ahmad Humini mendapat tahu LZS dengan kerjasama Teras dan SME Bank menyediakan bantuan modal kepada golongan asnaf yang mahu memulakan perniagaan.

Berbekal pengalaman bekerja sambilan pada hujung minggu di pusat cucian kereta, tempat keluarga Ahmad Humini sebelum ini menumpang bilik beberapa bulan, beliau berhasrat membuka perniagaan sama.

“Dengan bantuan teman rapat itu, kertas kerja saya diterima dan mendapat pembiayaan untuk memulakan perniagaan pusat mencuci kereta,” katanya.

Pembiayaan bernilai RM10,000 meliputi pembelian pelbagai mesin, deposit, sewa tapak, kos ubah suai dan kelengkapan lain.

Pada akhir Ogos, Ahmad Humini memulakan operasi pusat cucian kenderaan yang dinamakannya Legacy Cleaner di Kampung Jalan Kebun, Klang.

Ahmad Humini membersihkan kenderaan pelanggan di pusat cuci keretanya Legacy Cleaner. Foto SELANGORKINI

Perniagaannya bukan sekadar memberi perkhidmatan mencuci kereta dan motosikal tetapi berkonsep pusat hentian setempat merangkumi cucian permaidani rumah ke rumah, masjid dan pejabat.

Perkhidmatan lain termasuk cucian dalaman, mengilat, mencuci sofa dan permaidani kereta, rumah, pejabat dan masjid.

Dalam tiga bulan, hasil keuntungan Legacy Cleaner, beliau mampu memiliki 10 mesin dianggar bernilai RM20,000 antaranya alatan untuk mencuci permaidani, sofa rumah dan kereta, penyedut hampagas, penyembur air.

Pada masa ini, Legacy Cleaner yang menggaji tiga pekerja menerima kira-kira 30 kenderaan sehari selain perkhidmatan lain antaranya mengambil tempahan cuci permaidani rumah, pejabat dan masjid.

“Secara purata, kami mencuci 30 kereta dan dua cucian dalaman kereta disebabkan pusat cucian ini masih baharu dan sekarang pula musim hujan.

“Saya yakin dengan promosi yang betul, sasaran 50 kereta sehari boleh dicapai bila musim tengkujuh berakhir nanti,” katanya.

Ahmad Humini juga menyimpan cita-cita untuk membuka dua lagi cawangan dalam tempoh setahun sekali gus membuka peluang pekerjaan. Beliau mahu membantu mereka yang pernah senasib dengannya dahulu. Malah, beliau juga bercadang untuk melatih pekerjanya membuka perniagaan cucian kenderaan sendiri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sokongan AMK Gombak bantu kembang ekonomi negeri

GOMBAK, 29 NOV: Sokongan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Gombak terhadap perusahaan Cozy Panda Auto Spa dan Kafe diyakini mampu membantu perkembangan ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat cuci kereta yang menggabungkan konsep kafe itu memberi peluang kepada anak muda di kawasan berkenaan menjana pendapatan.

“Saya yakin ini adalah proses di mana mereka bukan sahaja terlibat aktif dalam aktiviti politik sebaliknya membantu menggerakkan kegiatan ekonomi di Selangor.

“Justeru, saya berterima kasih kepada pemilik perniagaan kerana memberikan harapan kepada mereka (anak muda) untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya selepas melancarkan pusat cuci kereta itu di Jalan Gombak Batu 6 1/4 semalam.

Hadir sama, pemilik premis Mohd Safri Razali dan Yang Dipertua Gerakan Generasi Anak Reformasi Roslan Ismail.

Amirudin menambah pengusahanya perlu mematuhi syarat perniagaan ditetapkan seperti pemilikan lesen, kegunaan tanah dan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita memang mengalu-alukan perniagaan ini tetapi harus diingatkan mereka juga perlu mengikut peraturan kerana tiada sebarang keistimewaan dan kemudahan luar biasa yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan AMK Gombak Mohammad Ammirul Azahar berkata meskipun tidak terlibat dalam perusahaan tersebut namun pihaknya konsisten menyokong usaha membantu belia di kawasan itu tanpa mengira badan bukan kerajaan (NGO).