Categories
SELANGOR

Pengusaha pusat siber lega boleh kembali beroperasi

WANGSA MAJU, 18 OKT: Kebenaran pembukaan semula perkhidmatan pusat siber melegakan pengusaha selepas hampir empat bulan menutup operasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Selangorkini di pusat siber sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakannya telah mula beroperasi semalam selaras kelonggaran diberikan dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengusaha Redsea e-Sports Center Muhammad Aqmal Zainal Abidin, 27, berkata pengumuman itu disambut baik dan pelanggan kini berpeluang berkunjung ke pusat siber untuk berhibur dan menikmati permainan video.

Pengusaha pusat siber Redsea e-Sports Center Muhammad Aqmal Zainal Abidin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebaik dibuka hari ini (semalam), ramai pelanggan datang khususnya remaja. Kita amat memahami keinginan mereka yang mahukan hiburan.

“Pekerja juga gembira kerana boleh mencari rezeki walaupun majikan memberi elaun bulanan kepada mereka sepanjang tempoh penutupan,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan, Muhammad Aqmal berkata pihaknya menekankan tatacara operasi piawai (SOP) dengan membenarkan pelanggan lengkap dos vaksin selain menyukat suhu badan dan mengimbas kod bar MySejahtera.

Menurutnya, kapasiti pengunjung di pusat siber terbabit pula dihadkan 50 peratus meskipun operasi dibenarkan 100 peratus.

“Kita mampu menampung 112 pelanggan pada satu-satu masa, namun buat ini hanya 56 sahaja dibenarkan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 selain semua peralatan di sini disanitasi,” katanya yang mengusahakan tiga lagi cawangan masing-masing di Danau Kota, Prima Setapak dan Taman Bunga Raya.

Muhammad Ashraf Md Aris. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, pelanggan Muhammad Ashraf Md Aris, 32, teruja kerana dapat merasai semula suasana bermain permainan video di pusat siber bersama kawan-kawan selepas tiga bulan tidak berbuat demikian.

“Sebelum ini, hampir setiap hari saya mengunjunginya selepas selesai bekerja sebagai penghantar makanan. Apabila ia dibuka semula semalam, saya terus datang untuk lepas ‘gian’. Gembira kerana dapat hilangkan rasa bosan.

“Kalau main (permainan video) di rumah kurang seronok dan suasana pun tidak semeriah di sini,” kata pengemar permainan Dota dan PUBG dari Rawang itu.

Berkuat kuasa semalam, pusat siber dibenarkan beroperasi dengan 80 peratus kapasiti bagi fasa tiga dan 100 peratus kapasiti fasa empat PPN.

Categories
SELANGOR

Exco: Pusat Siber Rakyat beri manfaat 20,000 rakyat

Oleh : Lizawati Madfa

RAWANG 21 JAN : Lebih 20,000 rakyat beroleh manfaat melalui pembangunan Pusat Siber Rakyat (PSR) yang didirikan di 15 lokasi di Selangor.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Daroyah Alwi berkata, Kerajaan Negeri juga berhasrat menambah lagi PSR sekurang-kurang tiga buah setahun.

Dr Daroyah Pusat Siber1Dengan pertambahan itu, Dr Daroyah berharap agar rakyat dapat menggunakan kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri secara optimum dan inovatif.

“Dalam pada itu, bagi mengelakkan budaya vandalisme di kalangan pelanggan PSR, bayaran sebanyak RM 0.50 dikenakan bagi setiap setengah jam penggunaan di PSR.

“Ini bagi memberi nilai kepada wang dikeluarkan pengguna selain bertujuan mengelakkan mereka menyalahguna perkhidmatan contohnya untuk bermain ‘game’ dan sebagainya,” kata Dr Daroyah.

Beliau ditemui sejurus selesai melakukan lawatan rasmi di PSR yang terletak di dalam sebuah perpustakaan awam di sini pagi tadi.

Daroyah berkata beliau setakat ini berpuas hati dengan pengendalian PSR oleh pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

“Hasil pengurusan PPAS, kita dapat lihat perpustakaan awam kini berubah wajah dengan konsep baru yang lebih ceria dan menarik.

“Kita harap perubahan yang positif ini dapat menarik lebih ramai rakyat untuk menjadikan perpustakaan awam sebagai rumah kedua mereka selepas ini,” katanya lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

Semua Pusat Siber Selangor Mesti “Sihat” Dalam Tempoh Setahun

SHAH ALAM, 17 MEI : Semua pusat siber di Selangor diberi tempoh setahun bermula semalam bagi menukar cara operasi mereka mengikut tatacara pusat ?siber sihat?.

Pusat siber yang tidak mengikut garis panduan tersebut seperti mengatur ruang untuk mengelak perkara terlarang berlaku dan membina cermin jelas, akan diambil tindakan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata kerajaan negeri telah meluluskan garis panduan operasi pusat siber sihat bagi Selangor.

Katanya, garis panduan tersebut adalah langkah membanteras kegiatan pusat siber haram yang dikesan banyak beroperasi di Selangor.

“Sekiranya selepas tempoh ini masih terdapat pusat siber beroperasi mengikut cara lama maka tindakan akan dikenakan ke atas mereka seperti menamatkan lesen,” katanya dalam sidang media di lobi ibu pejabat Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ronnie berkata, antara garis panduan lain bagi pusat siber sihat adalah ia perlu mengatur komputer dan perabot mengikut reka bentuk yang ditetapkan.

Tambahnya, keseluruhan cermin premis hendaklan jelas dari luar dan tidak ditampal sebarang poster atau gambar.

“Ia beroperasi mengikut waktu perniagaan biasa dari pagi dan berakhir kira-kira pada tengah malam dengan semua pendaftaran masuk menggunakan MyKad serta MyKid.

?Menerusi cara ini kita boleh memantau setiap pelanggan yang memasuki premis itu kerana pendaftaran menggunakan identiti sebenar.

“Bagi mereka di bawah usia 12 tahun pula hanya dibenarkan menggunakan perkhidmatan pusat siber sihat ini setakat jam 10 malam. Komputer mereka akan berhenti secara automatik apabila tiba masanya,” ujarnya.

Ronnie berkata bagi kawasan bandaraya dan perbandaran, setiap pusat siber mesti mempunyai sekurang-kurangnya 40 buah komputer manakala di peringkat daerah, 20 buah komputer.