Categories
NASIONAL

Gabungan RTM, BNC dalam perancangan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Cadangan untuk menggabungkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama News Channel (BNC) masih di peringkat kajian dan ia belum dimuktamadkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan dan pihaknya masih meneliti isu berkenaan buat masa sekarang.

“Kita sedang meneliti beberapa perkara lain dalam RTM dan Bernama sekali gus pertimbangan serta keputusan akan dilakukan selepas penelitian ini selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Menteri bersama Media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Hotel Sheraton Imperial di sini, semalam.

Terdahulu, Gobind berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menjalankan kajian terperinci berkenaan cadangan menggabungkan RTM dan BNC.

Manakala, katanya, anggota yang dilantik bagi menguruskan jawatankuasa berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Sementara itu, RTM dan BNC pula diminta mengemukakan kertas cadangan dan kertas kerja masing-masing berkenaan cadangan penggabungan kedua-dua entiti itu.

 

Categories
NASIONAL

Tiada unsur sabotaj, RTM hanya patuhi SOP

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjelaskan tidak wujud sebarang unsur sabotaj ketika liputan siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ia sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) RTM iaitu apabila Perdana Menteri hadir di sesebuah majlis rasmi hanya ucapan beliau sahaja akan disiarkan secara langsung.

Katanya, tindakan menyalahkan RTM kerana tidak menyiarkan ucapan seorang menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan adalah tidak wajar, memandangkan Perdana Menteri turut hadir dan berucap pada majlis berkenaan.

“Walaupun wujud SOP ini, masih ada ruang bagi penganjur sesebuah acara untuk berbincang dengan RTM bagi membuat perubahan kepada perkara yang perlu disiarkan secara langsung di sesuatu acara.

“Ia termasuk memberikan liputan secara langsung bagi individu lain, lebih daripada apa yang tertera dalam SOP, berdasarkan nilai berita bagi sesebuah acara itu.

“Namun, malangnya dalam kes ini, tiada permintaan sedemikian dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Menteri bersama Media anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Hotel Sheraton Imperial, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan RTM itu amat tepat dan ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu isu.

Katanya, beliau turut dimaklumkan bahawa acara siaran langsung itu dilakukan dengan persetujuan penganjur iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.

“Saya juga tidak akan teragak-agak untuk memberi teguran kepada sesiapa pun, dengan niat untuk memperbaiki perkhidmatan kami di RTM.

“Namun, dalam hal ini, saya tidak rasa RTM melakukan kesalahan malahan apa dilakukan mereka bertepatan dengan yang sudah diatur bersama penganjur dan SOP,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan Pakatan Harapan mengalu-alukan semua kritikan membina, malah hak mengkritik dan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan yang memerintah adalah hak semua rakyat.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan, mendakwa RTM cuba mensabotaj kerajaan susulan stesen TV itu tidak menyiarkan ucapan Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban.

Categories
NASIONAL

Program agama di RTM tidak dikurangkan

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Jabatan Penyiaran Malaysia menafikan dakwaan program keagamaan yang bersiaran di Radio Television Malaysia (RTM) akan dikurangkan mulai tahun depan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, jabatan itu menegaskan program agama yang kini bersiaran di RTM tidak akan dikurangkan kerana ia mendapat sambutan yang amat baik daripada penonton.

“RTM juga tidak menyekat penyampai berita dan hos program memakai tudung. RTM amat kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan berita yang tidak tepat ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan di media sosial yang mendakwa program keagamaan di RTM akan dikurangkan 20 peratus mulai tahun depan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Manifesto Pilihan Raya SPR Teruskan Sikap Berat Sebelah

SHAH ALAM 26 JUN : Pemuda PAS kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang  tidak bersungguh mahu memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang telus dan bersih.

Ini ekoran kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof yang mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata tindakan SPR itu seperti mahu meneruskan sikap berat sebelah dan zalim pemerintahan Umno-BN selama ini.

Meskipun mahu dilihat keluar dari persepsi buruk rakyat terhadap SPR sebagi  ?budak suruhan? BN, tindakan terbaru SPR ini menunjukkan mereka masih lagi dipengaruhi oleh kuasa politik.

“Pemuda PAS merasa curiga mengapa SPR masih tidak membenarkan siaran secara langsung kepada parti politik bagi membentangkan manifesto mereka.

“Apa yang amat dibimbangi oleh SPR sehingga tidak berani menyiarkannya secara langsung dan adakah SPR bertindak sedemikian bagi memastikan BN berada dalam zon selamat,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Ujar Riduan, rancangan secara rakaman dikhuatiri akan berlaku suntingan terhadap mana-mana slot penting yang perlu diketahui oleh rakyat.

Slot yang seharusnya berlangsung dalam satu masa tertentu akan dipendekkan mengikut selera penerbit.

Tambahan lagi, slot yang diberikan kepada Pakatan Rakyat mungkin akan diberikan bukan di waktu kemuncak, dan hanya disiarkan ketika rakyat sudah lena di waktu malam.

“Yang lebih dibimbangkan adalah jika berlaku penyuntingan di mana-mana slot sehingga ia dimanipulasi menjadi kempen negatif pula kepada Pakatan Rakyat. Ia pula berlangsung di saat akhir berkempen, di mana sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menjawabnya,” katanya.

Tegas beliau, setakat ini tiada jaminan jika suntingan tidak dibuat dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya SPR benar-benar mahu menjadi pengadil yang adil, SPR perlu berlepas diri dari pengaruh mana-mana parti politik.

“Benarkan siaran langsung kepada semua parti politik dan pemimpinnya untuk menampilkan manifesto mereka tanpa tapisan atau dibuat secara rakaman,” katanya.