Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN umum 32 inisiatif manifesto PRN Melaka

SHAH ALAM, 10 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) mengumumkan 32 inisiatif sebagai manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan diumum Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi penduduk, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.

Menumpukan teras Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil, pelan itu turut menggariskan enam strategi yang bakal memberi impak kesejahteraan rakyat, ekonomi mapan serta kestabilan politik.

Berikut strategi yang digariskan:

 

1. Melaka Sejahtera

– Menjaga kesihatan fizikal dan mental rakyat dari ancaman Covid-19

– Meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan rakyat

 

2. Melaka Makmur

– Mewujudkan peluang pekerjaan baharu

– Menggalakkan usaha perniagaan kecil dan sederhana

– Merancakkan pelaburan ekonomi

 

3. Melaka Stabil

– Melaksanakan reformasi pentadbiran bagi menjamin kerajaan Melaka yang stabil, adil, telus dan berintegriti

Selain itu, HARAPAN juga akan mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang setaraf Exco kerajaan negeri selain memberi peruntukan tahunan setar kepada wakil rakyat tanpa mengira parti.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN kotakan 39 peratus manifesto

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 9 MEI: Kabinet Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mencapai 39 peratus manifestonya, selepas Pilihan Raya Umum ke 14, lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, sementara sebanyak 53 inisiatif atau 11.42 peratus telah ditunaikan dari 128 inisiatif, manakala 283 inisiatif atau 60.99 peratus masih di peringkat perancangan atau masih belum bermula.

Katanya, prestasi itu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 29.34 peratus berbanding 9.67 peratus pada 31 Disember, tahun lalu.

“Peratusan berkenaan dicapai bermula bagi tempoh 10 Mei 2018 hingga 30 April 2019 untuk ‘Membina Negara dan Memenuhi Harapan’.

“Ia juga diukur melalui status kemajuan 464 inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, menteri besar negeri serta lebih 2,000 hadirin.

Tun Mahathir berkata, Kerajaan PAKATAN telah dan sedang berusaha untuk memenuhi janji seperti yang terkandung di dalam ‘Buku Harapan – Membina Negara Memenuhi Harapan’.

“Alhamdulillah, kita telah berhasil dalam banyak perkara,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

PAKATAN tubuh seksyen khas semak manifesto PRU14

BANGI, 24 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menubuhkan satu seksyen khas bagi menyemak dan memformulasi semula manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), supaya dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, langkah itu bagi memastikan janji PRU14 dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi kerajaan sekarang.

Katanya, seksyen itu diwujudkan kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi PAKATAN amat prihatin dengan perkara yang dijanjikan dalam manifesto pada PRU14.

“Manifesto PRU14 digubal berdasarkan fakta terhad dengan sebahagiannya tiada dalam domain umum.

“Jadi, apabila PAKATAN menjadi kerajaan, kesemua manifesto terpaksa diformulasi semula dengan versi lain selepas semua data dan fakta diteliti selain mengkaji kekangan baharu yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menutup Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Ansara, di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan rundingan antara kerajaan dan Gamuda Berhad yang memegang konsesi empat lebuh raya, Amiruddin berkata, perincian lain akan diumumkan selepas kesemua perkara berbangkit diperhalusi.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM dihadkan dua penggal, hapus tol berperingkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mengambil langkah mengehadkan pemegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain itu, PAKATAN juga mengambil langkah untuk menghapuskan tol secara berperingkat dan mengekalkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Tiga janji itu antara 14 janji utama yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun pertama pemerintahan PAKATAN.

Janji lain adalah memacukan ekonomi dan daya saing negara, satu juta pekerjaan baru berkualiti, satu juta perumahan mampu milik dan mampu sewa (dua penggal), pendidikan percuma untuk institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), gaji minima RM1,500 secara berperingkat dan mereformasi institusi-institusi negara.

PAKATAN juga tekad untuk membersihkan rasuah, memperkasakan perkhidmatan awam, desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak, membina Malaysia inklusif, moderat dan gemilang.

Dalam tempoh lima tahun pemerintahan, PAKATAN juga akan mengutamakan pekerja tempatan dan mengurangkan dua juta pekerja asing secara berperingkat.

Sebelum itu, manifesto PAKATAN yang bertemakan ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’ dilancarkan dengan gilang gemilang di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri, Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PAKATAN yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Categories
NASIONAL

PRN Sarawak: KEADILAN fokus lima perkara Demi Sarawak

SHAH ALAM 26 APR: KEADILAN memfokuskan lima perkara utama menerusi Manifesto Lima Janji Demi Sarawak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang dilancarkan hari ini.

Dalam manifesto itu KEADILAN berjuang untuk meringankan beban sara hidup rakyat Sarawak dengan memansuhkan enam peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Selain itu, KEADILAN berjanji untuk membina infrastruktur di Sarawak setanding di Semenanjung Malaysia termasuk jalan raya, landasan keretapi, bekalan elektrik, hospital, universiti dan lain-lain bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat peluang ekonomi dan pendidikan yang terbaik.

13096282_991351547616436_6048331905436050522_nPengarah Bilik Gerakan Utama KEADILAN, Lynette Tan, berkata KEADILAN pada masa sama berjuang mengembalikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada rakyat Sarawak dengan membawa kes tersebut ke mahkamah.

“Malah, KEADILAN akan mengembalikan hak autonomi Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia serta memberi royalti petrolium sebanyak 20 peratus.

“KEADILAN bersama Pakatan Sarawak akan melaksanakan perubahan positif seperti dilakukan di Selangor dan Pulau Pinang yang bersih, melawan rasuah dan memperjuangkan keadilan untuk semua,” katanya dipetik Astro Awani.

Selain itu, KEADILAN turut menggariskan 18 pelan tindakan termasuk kedaulatan dan urus tadbir, kebebasan beragama, keadilan ekonomi selain memperkasa masyarakat setempat.

Proses pengundian bakal berlangsung 7 Mei ini.

Terdapat 1.13 juta pengundi pada pilihan raya negeri kali ini.

Berikut adalah senarai calon KEADILAN dalam PRN Sarawak

SENARAI-CALON-KEADILAN-SARAWAK

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

PRK Teluk Intan: Manifesto Pemerkasaan Rakyat- Dyana Sofya

Manifesto Pemerkasaan Rakyat Teluk Intan

Sebelum memulakan kempen PRK Teluk Intan, kami telah menjalankan sebuah kajian tinjauan bebas. Hasil tinjauan tersebut menunjukkan bahawa hampir 60 peratus penduduk Teluk Intan mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan, iaitu angka yang jauh lebih rendah daripada purata min (mean average) kebangsaan yang berada pada tahap RM4,025.

Rajah 1: Pendapatan isi rumah rakyat Teluk Intan

 kos

Kos sara hidup

Justeru, masalah “barang naik” adalah perkara yang mempunyai kesan yang amat besar kepada rakyat tempatan. Dasar BN untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat telah mengakibatkan kenaikan harga gula, petrol dan tarif elektrik. Kesan daripada dasar BN yang tidak menitikberatkan kebajikan rakyat, kos operasi, pengangkutan dan makanan juga turut meningkat dan ini membawa beban yang besar, khususnya kepada masyarakat berpendapatan rendah.

isu penting

Rajah 2: Isu-isu penting bagi rakyat Teluk Intan

Tambahan pula, cukai GST yang bakal dilaksanakan pada tahun depan sudah tentu akan menambahkan penderitaan rakyat Teluk Intan kerana cukai tersebut akan dikenakan secara meluas ke atas hampir semua barangan dan perkhidmatan.

 

gst

Rajah 3: Kadar penerimaan GST oleh rakyat Teluk Intan

 

Oleh itu, sekiranya berjaya dipilih, saya akan melawan dasar kerajaan yang membebankan rakyat, yakni cukai GST yang sangat tidak adil. Pada masa yang sama, sebagai seorang Ahli Parlimen, saya akan senantiasa memastikan belanjawan negara diurus secara berhemah.

Tadbir Urus Bersih

Setiap tahun, rakyat disaji dengan pelbagai kes penyelewengan, ketirisan dan salah urus yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Tambahan pada itu, skandal-skandal seperti NFC, Port Klang Free Zone dan pelbagai lagi yang membabitkan berbilion-bilion duit rakyat masih tidak diselesaikan.

Jelas, sementara kroni-kroni BN mendapat kontrak demi kontrak dan projek demi projek, kepentingan rakyat terus digadai.Menurut kajian yang dibuat, isu rasuah juga merupakan kebimbangan besar rakyat Teluk Intan.

Maka, jika dipilih, saya akan berusaha untuk melawan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran kewangan negara. Saya juga akan memperjuangkan tadbir urus yang baik, bersih dan telus, sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Pembangunan Anak Muda

Satu isu yang penting, bukan sahaja kepada saya sebagai seorang anak muda, tetapi juga kepada negara Malaysia secara keseluruhan, adalah isu pembangunan anak muda. Mengikut statistik Jabatan Perangkaan, lebih 70 peratus rakyat Malaysia berusia kurang daripada 40 tahun. Ini bermaksud bahawa Malaysia adalah negara yang muda dari segi usia populasi.

Di Teluk Intan, saya telah perhatikan bahawa kebanyakan anak muda terpaksa mencari rezeki di negeri lain, seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Malah ada yang berhijrah ke Singapura. Hal ini berlaku akibat dasar kerajaan yang memusatkan pembangunan di Lembah Klang dan kawasan lain.

 

isu pembangunan

Rajah 4: Peratusan rakyat Teluk Intan yang berasa pembangunan terlalu berpusat di sekitar Lembah Klang.

 

Oleh itu, jika dipilih, saya akan melawan pemusatan pembangunan yang tertumpu di sekitar Kuala Lumpur agar pekan-pekan seperti Teluk Intan boleh dimajukan. Pada masa yang sama, saya akan mempergiatkan aktiviti sihat bagi anak muda.

Saya juga akan menuntut pembinaan infrastruktur kesukanan bagi anak muda serta bertemu dengan para pemilik perniagaan dan pengusaha untuk membincangkan kaedah untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih bermakna.

Pemerkasaan Wanita

Sebagai seorang wanita profesional, saya juga ingin memperjuangkan isu wanita. Di Malaysia, kadar penyertaan tenaga kerja wanita hanya berada di paras 52 peratus. Ini adalah angka yang rendah di rantau Asia Tenggara dan bermaksud bahawa separuh jumlah keluarga di Malaysia mempunyai hanya satu sumber pendapatan.

Sudah tentu, pendapatan isi rumah setiap keluarga di Teluk Intan boleh ditingkatkan sekiranya wanita diberi peluang untuk bekerja. Pada masa yang sama, ramai wanita tidak dapat bekerja akibat kekurangan perkhidmatan penjagaan anak yang mampu atau pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah.

Justeru, saya akan memperjuangkan perwakilan wanita sebanyak 30 peratus di Parlimen serta jawatan utama dalam sektor swasta dan kerajaan. Saya juga akan menuntut agar Caruman Sosial Wanita dilaksanakan sepertimana yang dinyatakan oleh Pakatan Rakyat, di mana setiap isteri akan berhak untuk dilindungi oleh skim kebajikan ini.

Tambahan kepada itu, saya juga akan mendesak kerajaan untuk memberi insentif bagi penubuhan prasarana penjagaan anak, sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Selangor.

Politik baru

Selain daripada isu-isu di atas, tujuan saya bertanding di Teluk Intan dengan mewakili DAP adalah untuk memecahkan benteng perkauman yang sekian lama membelenggui rakyat Malaysia.

Oleh itu, saya mewakili generasi muda untuk membawa satu politik baru buat masa hadapan negara. Politik baru ini adalah politik yang tidak berasaskan perkauman, dan tidak bersifat jumud. Sebaliknya, politik baru adalah politik yang berasaskan dasar dan polisi yang dapat membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.

Sekiranya diberi mandat, saya juga akan menetap di Teluk Intan dan menggunakan amanat sebagai duta pekan yang indah ini untuk menarik perhatian Parlimen kepada isu-isu di atas serta pelbagai lagi isu yang penting buat rakyat Teluk Intan.

 

Dyana Sofya Mohd Daud

Calon DAP PRK Teluk Intan

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemimpin BN hanya pandai buat tuduhan liar tidak berasas

tony-pua

KUALA LUMPUR 30 OKT : Pemimpin BN didakwa hanya pandai membuat tuduhan liar tanpa memberikan sebarang asas yang kukuh untuk mempertahankan komen mereka, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Tony Pua berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai merepek apabila mendakwa Manisfesto Pakatan Rakyat sebagai ‘sampah’.

Zahid Hamidi dalam menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun melabel manifesto Pakatan Rakyat (PR) sebagai “sampah” dan “tidak berpijak di bumi yang nyata” dengan mendakwa hanya 15 peratus janji manifesto ditunaikan pada 2008.

“Saya rasa saya tidak tahu macam mana beliau (Zahid) mendapat kesimpulan bahawa hanya 15 peratus sahaja terlaksana, mengikut apa yang kita teliti lebih kurang 90 peratus sudah kita tunaikan termasuk Selangor.

“Air percuma, kita berikan Skim Mesra Usia Emas, biasiswa anak muda negeri Selangor, hadiah kepada bayi baru dilahirkan kesemua ini penunaian janji kita pada 2008,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, di sini.

Tony Pua berkata, PR juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Manifesto supaya semua janji yang dibuat akan ditunaikan dalam jangka masa penggal ini.

“Pihak Menteri hanya tahu merepek dalam Parlimen dengan membuat tuduhan liar tanpa memberikan sebarang asas yang kukuh untuk pertahankan komen beliau (Zahid),” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Najib Juga Gagal Hadir Debat Dengan Abdul Khalid

Debat Dengan Abdul Khalid 02

KLANG 1 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini gagal menghadirkan diri untuk berdebat dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pemcapaian Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Debat Dengan Abdul Khalid 01

Abdul Khalid bersedia untuk berdebat setelah Najib membentangkan laporan prestasi Kerajaan Negeri Selangor.

Najib bagaimanapun gagal hadir mahupun wakil selepas Abdul Khalid menunggu dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari.

“Kita minta beliau(Najib) hadir supaya dapat mendengar dan membincangkan manifesto kita, tetapi nampaknya memang tradisi BN tidak akan mengadakan atau berminat dengan perbahasan.

” Tapi tidak mengapalah. Kita percaya manifesto yang dibawa PR boleh dilaksanakan sebab kita banyak lakukan usaha-usaha dan sudah melaksanakan banyak perkara,” katanya kepada pemberita, di sini.

Abdul Khalid juga percaya manifesto yang dibawa oleh Pakatan Rakyat(PR) lebih baik berbanding Umno-BN.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ; penyandang Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua ; penyandang DUN Sri Muda, Suhaimi Shafei dan calon Kota Alam Shah, Ganabatirau.

Debat Dengan Abdul Khalid 03

Categories
NASIONAL

Manifesto BN Ketandusan Idea, Tiada Roh Reformasi

bn putrajaya

SHAH ALAM, 8 APR : PKR menyifatkan pembentangan manifesto oleh Umno-BN tempoh hari tidak mempunyai roh reformasi untuk merubah sistem pentadbiran yang penuh kepincangan, malah jelas membuktikan parti itu ketandusan idea baru.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi menyeluruh dan holistik dari segi sosio-ekonomi, struktur, institusi, politik, urus tadbir dan perundangan tdak mempunyai tempat dalam kerangka polisi Umno-BN.

Menurutnya, manifesto yang dibentang itu juga 90 peratus daripadanya merangkumi program yang telah dipakej semula dan berbentuk terlalu umum tanpa sebarang perincian khusus.

“Secara umumnya, saya tidak yakin Manifesto Umno-BN dapat membebaskan negara dan rakyat dari kesempitan ekonomi, politik dan sosial sedia ada yang begitu mencengkam dan menghimpit.

“Tanpa sebarang agenda reformasi yang komprehensif, usaha meningkatkan keberdayasaingan jangka panjang Malaysia di peringkat antarabangsa supaya setanding dengan negara-negara maju lain akan terus dikekang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, ketandusan idea baru dalam manifesto Umno-BN memaksa parti itu ‘menciplak’ beberapa dasar utama Pakatan Rakyat (PR). Antaranya cadangan penurunan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat dengan merombak Dasar Automotif Nasional.

Selain itu, manifesto Umno-BN juga meniru cadangan PR untuk memberi permit teksi individu secara langsung kepada pemandu teksi dan penyeragaman harga barangan keperluan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, manifesto itu juga masih mencerminkan mentaliti lapuk dan kepercayaan usang Umno-BN bahawa hati dan pemikiran rakyat boleh dibeli dengan berpaksikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mahu ditingkatkan kepada RM 1,200 bagi keluarga dan RM 600 bagi individu bujang.

“Cadangan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM 7.2 bilion setiap tahun yang diyakini akan terus meningkat saban tahun sejajar dengan pertumbuhan semulajadi populasi dan kegagalan Umno-BN meningkatkan pendapatan bulanan isirumah.

“Bayaran secara langsung seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan yang terkandung dalam manifesto Umno-BN jelas merupakan langkah dasar ekonomi jangka pendek untuk meraih undi.

“Saya akan terus menghuraikan kritikan membina mengenai perkara ini dan menyerahkan kepada rakyat untuk mengadili keupayaan Manifesto Pakatan Rakyat dalam melaksanakan agenda perubahan berbanding manifesto Umno-BN,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM 6 bilion Untuk Beri Pendidikan Percuma

PTPTN-Grafik-baru1

PETALING JAYA, 27 FEB: Kos pendidikan percuma yang ditawarkan Pakatan Rakyat (PR) di dalam Manifesto Rakyat dianggarkan berjumlah RM 6 bilion setahun untuk dilaksanakan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menjelaskan, jumlah ini turut membabitkan tawaran PR untuk membatalkan hutan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditanggung graduan lepasan pengajian tinggi.

Menurutnya, RM 600 juta setahun diperlukan sebagai peruntukkan tambahan bagi menampung 10 peratus kos di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Setakat ini, Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM7.5 bilion setiap tahun bagi menanggung 90 peratus kos di IPTA

“Kalau kita ingin beri yuran percuma kita kena tambah dalam RM600 juta tambahan.

“Pemberian biasiswa kepada pelajar lebih rendah daripada pampasan-pampasan yang kita berikan kepada kroni,”

“Misalnya satu pampasan yang dimaafkan adalah hutang Tan Sri Tajudin Ramli bernilai RM650 juta yang boleh memberikan yuran percuma kepada pelajar IPTA,” katanya.

Manifesto Pakatan Rakyat yang diumumkan pada 26 Februari mensasarkan pemberian pendidikan percuma sehingga tahap universiti.

Rafizi berkata jumlah RM 6 bilion itu merangkumi RM 2.5 bilion untuk pemberian elaun sara hidup sebanyak RM5,000 setahun untuk 500,000 orang pelajar.

Selain itu, Rafizi menjelaskan, kos anggaran sebanyak RM 2 bilion diperlukan untuk mengambil alih hutang PTPTN setelah dihapuskan dan dibayar secara ansuran selama 20 tahun.

Sementara RM 900 juta setahun diperlukan untuk tabung IPTS sebagai subsidi yuran dan penjaman sara hidup.

Dalam pada itu, Rafizi membidas kenyataan pimpinan Umno-BN yang memutar belit fakta dengan menyatakan pengurangan harga kereta sebanyak 20 peratus akan mengakibatkan negara kerugian RM 7 bilion.

“Pakatan tidak pernah cakap akan (lakukan) penurunan (harga kereta) sekaligus. Tetapi berperingkat 20 peratus setiap tahun supaya ada imbangan harga kereta baru dan terpakai,” tegasnya.

Kesan kehilangan cukai eksais akibat pengurangan harga kereta mengikut perkiraan Jawatankuasa Manifesto Rakyat untuk tahun 2013 bernilai RM 1.4 juta.

Kos kehilangan ini boleh ditampung melalui pendapatan tambahan menjualan AP yang dilelong bagi kereta-kereta mewah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Manifesto Pilihan Raya SPR Teruskan Sikap Berat Sebelah

SHAH ALAM 26 JUN : Pemuda PAS kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang  tidak bersungguh mahu memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang telus dan bersih.

Ini ekoran kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof yang mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata tindakan SPR itu seperti mahu meneruskan sikap berat sebelah dan zalim pemerintahan Umno-BN selama ini.

Meskipun mahu dilihat keluar dari persepsi buruk rakyat terhadap SPR sebagi  ?budak suruhan? BN, tindakan terbaru SPR ini menunjukkan mereka masih lagi dipengaruhi oleh kuasa politik.

“Pemuda PAS merasa curiga mengapa SPR masih tidak membenarkan siaran secara langsung kepada parti politik bagi membentangkan manifesto mereka.

“Apa yang amat dibimbangi oleh SPR sehingga tidak berani menyiarkannya secara langsung dan adakah SPR bertindak sedemikian bagi memastikan BN berada dalam zon selamat,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Ujar Riduan, rancangan secara rakaman dikhuatiri akan berlaku suntingan terhadap mana-mana slot penting yang perlu diketahui oleh rakyat.

Slot yang seharusnya berlangsung dalam satu masa tertentu akan dipendekkan mengikut selera penerbit.

Tambahan lagi, slot yang diberikan kepada Pakatan Rakyat mungkin akan diberikan bukan di waktu kemuncak, dan hanya disiarkan ketika rakyat sudah lena di waktu malam.

“Yang lebih dibimbangkan adalah jika berlaku penyuntingan di mana-mana slot sehingga ia dimanipulasi menjadi kempen negatif pula kepada Pakatan Rakyat. Ia pula berlangsung di saat akhir berkempen, di mana sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menjawabnya,” katanya.

Tegas beliau, setakat ini tiada jaminan jika suntingan tidak dibuat dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya SPR benar-benar mahu menjadi pengadil yang adil, SPR perlu berlepas diri dari pengaruh mana-mana parti politik.

“Benarkan siaran langsung kepada semua parti politik dan pemimpinnya untuk menampilkan manifesto mereka tanpa tapisan atau dibuat secara rakaman,” katanya.