Categories
NASIONAL SELANGOR

Peter Chin Digesa Letak Jawatan

 

SHAH ALAM, 18 MEI : Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui digesa meletakkan jawatan sekiranya masih berdalih dengan menyatakan beliau tiada kuasa mengarahkan syarikat konsesi bersetuju menerima cadangan penstrukturan semula air.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, Peter Chin sebenarnya bukan tidak mempunyai kuasa sebagai Menteri Pusat, tetapi kuasa beliau ‘tidak laku’ terhadap syarikat kroni milik kerajaan Umno-BN.

Ia merujuk kepada syarikat konsesi seperti Puncak Niaga dan Syabas, iaitu dua buah syarikat milik bekas Bendahari Umno Selangor, Tan Sri Razali Ismail.

“Kerajaan negeri melahirkan rasa kesal terhadap jawapan beliau (Peter Chin) yang mengatakan bahawa beliau tiada kuasa berbuat demikian.

Kita melihat beliau hanyalah bertindak sebagai budak suruhan kepada Umno-BN dan adalah wajar beliau melepaskan jawatannya sebagai seorang Menteri Pusat dengan kadar segera kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya,” ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan meminta Penasihat Undang-undang kerajaan negeri untuk memfailkan semakan kehakiman (judicial review) bertujuan mendapatkan kebenaran Mahkamah memperjelaskan kuasa menteri tersebut.

Sebelum ini proses pengambilalihan Syabas oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bermula semenjak 2008 menemui jalan buntu apabila pihak pemegang konsesi menerima sokongan Kerajaan Pusat untuk mengekalkan kepentingan mereka.

Syabas juga telah beberapa kali cuba untuk menaikkan tarif air khususnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Sementara Kerajaan Negeri Selangor berusaha untuk mengambil alih industri air negeri tersebut dari Syabas bagi membolehkan usaha pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat dapat diteruskan.