Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor berpesta gol, ‘belasah’ PDRM

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Pasukan Selangor meraih kemenangan terbesar pada saingan Liga Super musim ini setelah membelasah pasukan tercorot, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 7-0 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Kemenangan ketiga diraih skuad Gergasi Merah menyaksikan pasukan berkenaan naik empat anak tangga ke kedudukan kelima carta Liga Super menerusi kutipan 14 mata selepas 10 perlawanan (tiga kemenangan, lima keputusan seri dan dua kekalahan), manakala PDRM masih gagal meraih sebarang mata selepas 10 perlawanan.

Pada aksi di Cheras, Selangor selesa mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan menerusi gol daripada Ifedayo Olusegun Omosuyi pada minit ke-19 dan dua gol daripada Sean Selvaraj masing-masing pada minit ke-26 dan ke-33.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad Gergasi Merah terus menambah derita pasukan tuan rumah setelah menambah empat lagi jaringan menerusi Brendan Gan pada minit ke-69, Ifedayo (minit ke-74), Muhammad Safuwan Baharudin (minit ke-80) serta pemain import dari Sepanyol, Rufino Segovia pada minit ke-83.

Dalam pada itu, Perak mencerahkan peluang untuk beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia pada musim hadapan setelah bangkit mengikat Pahang menerusi keputusan seri 3-3 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pada aksi berkenaan, skuad Tok Gajah selesa mendahului 3-0 hasil sentuhan penyudah R Dinesh seawal minit kelapan, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (minit ke-26) dan jaringan Ivan Carlos pada minit ke-41, namun Perak berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi gol K Partiban pada minit ke-47.

Penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol kedua Perak pada minit ke-84, sebelum kesilapan sendiri penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias pada masa kecederaan babak kedua perlawanan memastikan pasukan pelawat membawa pulang satu mata berharga.

Pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abdul Wahab melayangkan kad merah kepada Ivan selepas pemain dari Brazil itu bertindak menyerang salah seorang pemain Perak selepas tamat perlawanan.

Terengganu FC pula meraih tiga mata penuh di tempat lawan setelah menundukkan Felda United 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Dominique Da Sylva seawal minit kelima perlawanan, Sanjar Shaakhmedov (minit ke-37) dan Ketua Pasukan, Lee Andrew Tuck pada minit ke-65.

Dalam pada itu, Kelantan gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 2-2 pada aksi tunggal Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Pasukan tuan rumah meraih jaringan menerusi gol Mohamad Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-28, dan sepakan penalti Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-82, manakala Negeri Sembilan memperolehi jaringan menerusi gol Jose Neto pada minit ke-14 dan sepakan penalti daripada Igor Luiz pada minit ke-87.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Selangor Asia Challenge medan uji pemain baharu Gergasi Merah

SHAH ALAM, 9 JAN: Khidmat pemain baharu bakal digunakan sebagai strategi mengukuhkan pertahanan The Red Giants dalam Kejohanan Asia Challenge (SAC) 2020 bagi menentang kelab dari rantau Asia Tenggara pada 18 dan 19 Januari ini.

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan berkata beliau mahu menilai tahap kemampuan pemain berbanding musim lalu, terutama selepas skuad kendaliannya diperkuatkan dengan pemain baharu.

Enggan menggunakan pemain sama dalam tempoh 48 jam, katanya, beliau lebih mementingkan perlawanan pembukaan liga pada hujung Februari ini.

“Pasukan dijemput adalah kuat seperti Persib Bandung (Indonesia), mereka baharu menamatkan liga dan bermain dengan pasukan yang masih lagi dalam musim sukar kerana mereka sedang bermain di tahap tertinggi.

“Memandangkan SAC adalah kejohanan pra musim, ia adalah bonus jika kita mampu menjadi juara, malah kita mahu menyediakan pemain ke arah persaingan dan memastikan mereka cukup cergas,” katanya.

Sathianathan berkata Selangor berada pada tahap terbaik musim ini dengan kewujudan fasiliti latihan, masa persediaan panjang selain kehadiran pemain baharu yang mempunyai aura positif.

“Kita mempunyai karakter seperti Brendan Gan, dia adalah contoh terbaik kepada pemain muda, Taylor (Regan) sebagai ketua dan Swirad yang sangat berdisiplin.

“Semua pemain senior sudah mula kembali dari cuti panjang untuk menjalani latihan dengan giat bersama pihak kejurulatihan demi memastikan mereka cukup bersedia untuk kejohanan ini,” katanya.

Setiap pasukan akan bermain dua perlawanan sahaja dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara.

Untuk menambahkan kemeriahan perlawanan, sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Emirates Cup di Eropah.

Sebagai ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai RM41,353.81 (USD10,000) dan naib juara membawa pulang RM20,676.91 (USD5,000) selain piala pusingan yang ditempa oleh Royal Selangor.

Categories
SELANGOR

Adam teruja bantu Selangor raih tiga mata

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Penjaring gol kemenangan Selangor, Adam Nor Azlin tidak menyangka sepakannya terus menerjah jaring T-Team bagi memastikan pasukan Red Giant pulang dengan tiga mata.

Walaupun hanya beraksi di penghujung permainan, impak diberikan rakan sepasukan yang bermain terlebih dahulu layak diberi pujian.

PC (33 of 33)“Saya tidak jangka bola itu akan masuk. Sebelum membuat sepakan itu, saya hanya berfikir untuk menghantar ke kotak penalti dan Alhamdulillah ia menerjah jaring.

“Ini bukan soal menjaringkan gol kemenangan dianggap wira.

“Saya berbangga dengan gol itu dan berterima kasih kepada rakan sepasukan yang bekerja keras,” katanya di sini, semalam.

Jaringan itu yang pertama dalam karier Adam sepanjang beraksi dalam Liga Super.

-NFN-