Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Revolusi 4.0 wujud banyak kerja kemahiran tinggi baharu – Miti

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Revolusi industri 4.0 (Industri 4.0) yang sedang rancak dibangunkan oleh kerajaan bakal mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu pada masa hadapan berbanding menyebabkan pengangguran yang tinggi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata Industri 4.0 memberi peluang kepada negara untuk melahirkan generasi pekerja yang baharu dan boleh menggunakan teknologi baharu dalam sektor perkilangan dan perindustrian.

“Ia juga akan menambah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang memetik laporan McKinsey Global Institute (MGI) yang menyatakan bahawa revolusi Industri 4.0 bakal menyebabkan sekitar 75 juta sehingga 375 juta tenaga kerja dunia digantikan oleh robot dan seumpamanya menjelang 2030.

Menurut Lim, bagi Malaysia, tenaga kerja digantikan dalam industri adalah tenaga buruh yang mana negara bergantung sebahagian besarnya kepada buruh asing buat masa ini.

“Industri 4.0, walaupun kita nampak penggunaan teknologi dalam industri perkilangan, perkhidmatan dan lain-lain, tetapi ia juga akan mencipta kerja-kerja (baharu)  berkemahiran tinggi.

“Di mana kita nampak hala tuju pembangunan negara kita pada masa hadapan dalam sektor perkilangan dan pembangunan industri, kita menuju kepada mendapatkan pelaburan berteknologi tinggi dan kita berharap pekerja-pekerja dalam bidang ini akan mempunyai pendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata peralihan kepada Industri 4.0 akan meningkatkan permintaan terhadap kumpulan sumber tenaga berkemahiran tinggi berteraskan teknologi yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Selain meningkatkan produktiviti, kecekapan kos, pengukuhan keupayaan inovasi dan pembangunan teknologi tempatan, dasar ini juga katanya menyediakan kerangka ke arah melahirkan tenaga mahir bagi pekerjaan diwujudkan.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha melalui program dan inisiatif termasuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Kerja Industry4WRD atau TWG-S yang diletakkan di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melaksanakan inisiatif memperkukuhkan tenaga mahir sedia ada dan melahirkan tenaga kerja baharu pada masa hadapan.

Kerajaan juga, katanya memperkenalkan dua program khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu Readiness Assessment (RA) dan Industry4WRD Intervention Fund (Dana Intervensi) untuk membantu mereka dalam transformasi Industri 4.0.

“Bagi tempoh 2019 hingga 2020, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM22 juta untuk melaksanakan program RA yang turut merangkumi latihan untuk penilai-penilai RA, Industry4WRD Summit, program seranta Industry4WRD dan lain-lain.

“MITI mencapai sasaran dalam pelaksanaan program RA bagi 2019 apabila sebanyak 508 syarikat PKS menyertai program ini, manakala bagi 2020 pula, kerajaan menyasarkan sebanyak 373 syarikat PKS mengikuti program RA ini,” katanya.

Setakat ini, Lim berkata, sebanyak 808 PKS dipilih untuk menjalani program RA.

Bagi Dana Intervensi pula, sejumlah RM35 juta diperuntukkan pada 2019 dan 2020 meliputi kos latihan kemahiran, penambahbaikan proses pembuatan dan aplikasi teknologi industri 4.0 oleh syarikat.

Kesemua syarikat PKS yang menjalani program RA dibiayai kerajaan layak memohon Dana Intervensi menerusi permohonan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

“Sehingga November 2020, sebanyak 138 permohonan Dana Intervensi diterima dan 63 syarikat PKS diluluskan dengan geran padanan tersebut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL RENCANA

Sedia berubah, bergerak pantas mendepani Revolusi Industri 4.0

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Industri Keempat, Revolusi Keempat, Industri 4.0 atau Revolusi 4.0 – semuanya adalah tentang perkara yang sama.

Secara umumnya, ia melibatkan Internet of Things (IoT) atau Internet Kebendaan dalam hampir semua aspek kehidupan seharian dan berbeza daripada revolusi industri pertama yang tertumpu kepada penggunaan mesin berkuasa wap, revolusi industri kedua yang menjurus kepada elektrik dan revolusi industri ketiga yang lebih kepada penggunaan teknologi maklumat (IT).

Revolusi Industri 4.0 yang rancak berlaku di seluruh dunia memerlukan semua pihak bertindak pantas seiring dengan pembangunan pesat dalam produk berteknologi dan sistem automasi lebih pintar.

Rumah pintar, kereta pintar, telefon pintar dan banyak lagi elemen pintar diterjemahkan di dalam teknologi pintar melalui Industri 4.0.

Dahulu, televisyen hanya berperanan sebagai penyampai maklumat selain memberi hiburan kepada masyarakat.

Kini, televisyen boleh berhubung secara langsung dengan manusia seperti mengesan manusia tidur lalu ia akan mematikan fungsinya secara automatik.

Ini antara contoh perkembangan teknologi yang dihasilkan melalui Revolusi Industri 4.0, yang dibangunkan melalui teknologi digital tanpa sebarang garis pemisah antara teknologi dengan sistem biologi seperti manusia.

PERKEMBANGAN REVOLUSI INDUSTRI

Terma Industri 4.0 mula diperkatakan seawal 2011 di Jerman namun, ia mendapat perhatian ketika Forum Ekonomi Dunia pada 2016 yang mengisytiharkan dunia ketika ini berada di ambang revolusi industri keempat.

Pensyarah Kanan Jabatan Elektrik, Elektronik dan Kejuruteraan Sistem, Fakulti Kejuruteraan Alam Bina di Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali berkata kata kunci revolusi itu membawa maksud perubahan yang besar dan pantas yang berlaku di dalam perkembangan industi yang bermula sejak kurun ke-18 apabila penggunaan air dan wap ditemui.

Dikenali sebagai Revolusi Industri 1.0, enjin wap digunakan untuk menggerakkan keretapi, kenderaan dan sebagainya ketika itu.

Kemudian, sebelum Perang Dunia Pertama, satu lagi perubahan berlaku apabila ahli sains menghasilkan penemuan baharu seperti elektrik, yang menggerakkan Revolusi Industri 2.0 dengan terhasilnya telefon, kapal terbang dan kenderaan yang berasaskan Internal Combustion Engine.

“Apabila adanya elektrik, bermulalah pengeluaran produk secara besar-besaran dengan wujudnya kilang-kilang pengeluaran,” katanya kepada Bernama.

Selepas itu, Revolusi Industri 3.0 muncul pada akhir 1960-an. Zaman Revolusi Industri 3.0 juga dikenali sebagai revolusi digital di mana pelbagai peralatan elektronik dan digital dihasilkan seperti kamera, televisyen, radio dan sebagainya. Perkembangan tekonologi internet turut berlaku di zaman itu.

Dan sekarang, ia beralih kepada Revolusi Industri 4.0 yang pada dasarnya diasaskan daripada industri 3.0 iaitu revolusi digital.

Apa yang membezakan Industri 3.0 dan Industri 4.0 adalah ketersambungan antara teknologi digital dengan manusia dan sistem fizikal yang lain.

“Revolusi Industri 4.0 adalah tentang sistem fizikal siber dengan sistem boleh menghubungkan dunia digital, sistem fizikal sistem biologi seperti manusia melalui internet.

“Dalam Industri 3.0, teknologi itu tidak berhubung secara langsung dengan manusia tetapi sekarang dalam Industri 4.0, ia ada hubungan dua hala antara manusia dan peralatan elektronik yang menjadikan manusia itu sebahagian dari teknologi.

“Data dari manusia digunakan untuk peralatan elektronik itu menjalankan fungsinya dengan lebih baik seperti apa yang berlaku dalam telefon pintar, televisyen pintar, rumah pintar dan sebagainya,” jelasnya tentang perbezaan tersebut.

KEPANTASAN TEKNOLOGI

Malaysia antara negara yang sedang bergerak ke hadapan dalam perkembangan Revolusi 4.0.

Satu teras utama dalam Revolusi Industri 4.0 adalah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau AI. Menerusi AI, sesuatu sistem dihasilkan untuk mempelajari persekitaran dan menjadi pemacu kepada hubungan di antara manusia, peralatan fizikal dan dunia digital.

Selain daripada itu, teknologi Robotik Automasi pula berkeupayaan untuk beroperasi dalam persekitaran kerja yang sama seperti manusia.

Teras-teras lain yang dikaitkan dengan Industri 4.0 adalah Teknologi Pemprosesan Awan dalam penyimpanan dan pemprosesan data, IoT yang menghubungkan deria pintar pada peralatan dengan sambungan internet , Sekuriti Siber bagi melindungi data dan meminimumkan risiko dan Cetakan 3D yang memudahkan pembangunan prototaip.

Selain itu, teras lain melibatkan Realiti Maya yang dapat menyediakan maklumat visual secara maya, Realiti Berperantara yang menggabungkan dunia fizikal dengan dunia maya serta Analisis Data Besar yang menggunakan data dikumpul untuk penyediaan perkhidmatan dan melakukan unjuran yang lebih tepat.

Sawal Hamid berkata perkembangan dan kemajuan di dalam revolusi baharu ini bergantung kepada teknologi internet dan analisis data yang besar bagi memacu pengeluaran, perkhidmatan mahupun perniagaan.

“Sekiranya kemudahan internet tidak meluas dan kelajuannya terhad, ian akan menjejaskan perkembangan Revolusi Industri 4.0

“Kejayaan GRAB (berasaskan aplikasi My Teksi) yang dihasilkan rakyat Malaysia adalah contoh tentang kebergantungan kepada teknologi internet ini. Rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menjadi pemain dan pengerak revolusi baharu ini,” katanya.

Walaupun Malaysia masih lagi menjadi negara pengguna bukan pengeluar namun, dengan adanya kemudahan internet, akses kepada pengetahuan menjadi lebih mudah dan murah yang dapat membantu masyarakat membangunkan sesuatu sistem yang berasaskan Industri 4.0.

Pembangunan sistem, aplikasi dan perkhidmatan seperti kecerdasan buatan misalnya akan membuka peluang kepada masyarakat dalam menghasilkan suatu model bisnes yang baharu.

Antara faktor yang menggerakkan Industri 4.0 adalah keupayaan kuasa pemprosesan yang tinggi dan ditambah dengan keupayaan penstoran digital yang memacu kepada penghasilan produk berteknologi tinggi.

“Bila kuasa pemprosesan tinggi, telefon pintar yang kecil boleh menjalankan pelbagai fungsi. Sekarang, telefon pintar sudah dilengkapi dengan pemprosesan AI yang mampu menggunakan maklumat data persekitaran untuk beroperasi dengan lebih baik. Sebagai contoh, fungsi AI semasa mengambil gambar membolehkan keadaan persekitaran digunakan untuk menghasilkan gambar yang lebih menarik secara automatik.

“Kuasa pemprosesan yang tinggi serta kemampuan penstoran data tinggi menjadi pemangkin dalam revolusi keempat ini,” katanya.

BERKEMAHIRAN TINGGI, KREATIF

Namun, ada kebimbangan yang sering disuarakan apabila peranan manusia semakin digantikan oleh robot.

Tenaga kerja berkemahiran rendah seperti operator pengeluaran antara yang mungkin terjejas kerana secara perlahan-lahan tenaga mereka tidak lagi diperlukan dan digantikan dengan penggunaan robot atau sistem komputer berdigital lain.

Bagaimanapun, tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk membangunkan sistem perisian, kecerdasan buatan, pereka bentuk, pengendali program amat diperlukan di dalam Revolusi Industri 4.0

“Mungkin kita tidak lagi memerlukan tenaga buruh yang ramai namun tenaga kerja berkemahiran tinggi akan mempunyai permintaan pada pasaran kerja sekarang dan akan datang,” katanya.

Perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilakukan dengan memberi pendedahan kepada pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti tentang Revolusi Industri 4.0.

Pelajar perlu diberikan pengetahuan secukupnya untuk membangunkan teknologi contohnya menghasilkan kod dan algorithm dan pembangunan sistem aplikasi yang kini mudah untuk dibangunkan oleh pelajar seawal diperingkat sekolah rendah lagi.

“Sekiranya pendedahan awal tentang teknologi berkaitan Industri 4.0 dapat diberikan dan digalakkan, tenaga mahir itu dapat kita wujudkan mengikut keperluan pasaran.

“Tambahan maklumat dan proses untuk mendapatkan ilmu tentang membangunkan sesuatu teknologi itu semakin mudah diperolehi dan dipelajari menerusi internet dan sebahagian besarnya adalah percuma,” katanya.

PERLU BERUBAH

Perubahan pesat dalam industri memerlukan masyarakat menjadi penggerak dalam Revolusi Industri 4.0, justeru itu, mereka harus turut berubah.​

​​​​​​Sawal Hamid berkata sekiranya mereka tidak mahu berubah, mereka yang kelak diubahkan oleh teknologi tersebut.

Ini yang berlaku apabila perkhidmatan e-hailing seperti GRAB, yang menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar dan memudahkan pengguna, boleh memberi kesan yang menjejaskan perkhidmatan teksi konvensional.

Keadaan sama juga berlaku apabila Netflix diperkenalkan di mana penstriman video untuk menonton filem melalui dalam talian melenyapkan perkhidmatan sewaan video seperti Blockbuster.

“Teknologi yang ada sekarang menukar cara konvensional dan golongan yang tidak mahu berubah akan diganggu dan dinyahkan oleh teknologi baharu.

“Teknologi sekarang bergerak begitu pantas dan seluruh dunia sedang bergerak pantas dalam menguasai teknologi ini. Jika kita tidak berusaha keras, negara-negara serantau lain seperti Indonesia , Thailand , Vietnam akan mendahului dan meninggalkan kita,” katanya.

Perubahan teknologi yang pantas ini juga menyukarkan kita untuk menjangka apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.

Oleh itu, kita perlu sentiasa peka dan bersedia untuk berubah.

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

SUMBER: BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Mahasiswa digesa siap sedia cabaran Revolusi Industri 4.0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 OKT: Golongan mahasiswa dalam bidang komunikasi diingatkan supaya mempersiapkan diri dengan corak pemikiran lebih kreatif, kritis dan inovatif dalam usaha mendepani cabaran Revolusi Industri keempat (Industri 4.0) yang berkonsepkan Internet Saling Berhubung (IoT).

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata, bagi memenuhi tuntutan itu, peranan universiti disifatkan penting untuk memberi pendedahan ilmu lebih mendalam, selain cuba mengaplikasi dan menyesuaikan perkembangan teknologi internet yang wujud pada abad ini, kepada mahasiswa.

“Program pendidikan dan pengajaran baharu perlu dibangunkan bagi memenuhi permintaan yang sentiasa berubah, sekali gus dapat mengelakkan mahasiswa daripada ketinggalan dalam arus perkembangan masa kini.

“Malah, petisyen IR 4.0 juga sentiasa berubah dalam bentuk kandungan yang bukan sahaja untuk pendidikan teknikal, tetapi pendidikan secara umum. Maka, aspek pendekatan baharu perlu diberikan terhadap beberapa bidang kemahiran tertentu dan menambahkan pelbagai bentuk kandungan menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Persatuan Komunikasi Antarabangsa (ICA Conference 2018), di Intekma Resort and Convention Centre, di sini, hari ini.

Turut hadir, Wakil ICA dari Nanyang Technological University Singapore, Prof Dr Ang Peng Hwa; Atma Jaya Catholic University, Prof Dr Dorien Kartikawangi dan Pengerusi Komunikasi dan Multimedia Forum Kandungan merangkap Pengarah Ketua Eksekutif Primeworks, Media Prima Berhad, Datuk Ahmad Izham Omar.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari mulai 24 hingga 25 Oktober itu mengangkat tema “Media Transformation: Shifting Paradigms and Global Challenges”, bertujuan mengupas dan membincangkan secara terperinci mengenai keperluan dan cabaran ke arah Industri 4.0.

Ia meliputi Isu dalam Media, Perhubungan Awam, Kewartawanan, Periklanan serta Belia dan Media.

Mengulas lanjut, Dr Azizul berkata, persidangan ICA memberi peluang kepada ahli akademik dan pengamal media untuk menimba ilmu sambil berkongsi pengalaman sepanjang bergiat dalam industri berkenaan.

Katanya, walaupun mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang itu, tetapi masih terdapat ruang buat mereka mencari pengetahuan baharu.

“Hal ini kerana jika mereka tertumpu pada bidang masing-masing, kemungkinan mereka akan kehilangan idea-idea segar, baharu dan terkini yang boleh memberi impak jangka panjang.

“Sememangnya kita mahu setiap kajian dan penyelidikan yang dibuat dapat diterbitkan untuk bacaan umum, tetapi pada masa sama kita juga harus terus berusaha memastikan setiap projek itu boleh memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB: Perkasa pendidikan depani cabaran industri 4.0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri komited akan terus menyediakan peluang pekerjaan dan memperkasakan pendidikan dalam mendepani cabaran industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri sudah menggarap kebijakan jitu dan melaksanakan Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikthisas Smart Selangor (IKTISASS) yang menumpukan kepada pemberdayaan golongan belia untuk menjalani kursus teknikal berkemahiran tinggi diperlukan industri 4.0 seperti aero angkasa yang makin berkembang.

“Kerajaan Negeri sudah melantik STRAND Aerospace dan Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) untuk memastikan hasrat Kerajaan Negeri ini dicapai.

“Sasaran dasar program perintis ini untuk menyediakan golongan profesional seperti jurutera daripada latar belakang berbeza mendapat pekerjaan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Amirudin berkata, IKTISASS menggarap kehendak industri di Selangor dan jalinan kerjasama rapat dengan industri melalui program perantis dan penempatan pekerjaan yang sedang dilaksanakan di bawahnya.

“Kerajaan Negeri bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Switzerland iaitu Swiss Smart Factory (SSF) untuk membangunkan Malaysian Smart Factory (MSF) di Selangor iaitu satu fasiliti latihan dan kemahiran Industri 4.0.

“MSF merupakan fasiliti latihan dan pemberdayaan teknologi kilang pintar atau Smart Factory yang pertama sepertinya dibangunkan di Selangor dan di Malaysia.

“IKTISASS juga menawarkan kursus kemahiran yang lain seperti automotif dan pendawaian elektrik serta kursus jangka pendek yang lain,” katanya.

Categories
EKONOMI SELANGOR

IKTISASS: Ke arah menghadapi cabaran hadapi Revolusi 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) melaksanakan penjenamaan semula Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) kepada Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) ke arah merealisasikan Smart Factory 4.0.

Pengurusnya, Izham Zakaria berkata, ia dilaksanakan bagi memberi laluan kepada teknologi ‘smart factory’ di Selangor bagi mendepani cabaran Revolusi 4.0.

Katanya, pelaksanaan IKTISASS menumpukan kepada kepada ‘high level’ Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sejajar dengan visi memberdayakan lulusan TVET ke tahap lebih tinggi.

“Smart Factory ini akan mendapat kerjasama pakar dari Switzerland melalui kursus jangka panjang dan pendek yang ditawarkan.

“Seperti kita tahu belia di negara ini sudah tidak berminat bekerja di kilang, jadi dengan inisiatif ini kita akan mewujudkan satu pekerjaan yang lebih menarik bagi industri perkilangan dengan penggunaan ‘smart apps, smart technology’ untuk digunakan pakai bagi menggantikan pekerja buruh.

“Disamping itu kita juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata, IKTISASS memberi peluang kepada anak muda lepasan SPM yang tidak menyambungkan pelajaran dan pelajar lepasan diploma dan ijazah yang masih menganggur.

SHRDC merupakan sebuah pusat latihan melahirkan tenaga yang diperlukan mengikut kapasiti industri disamping membantu belia mendapat pekerjaan yang sudah sedia menanti.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM7 juta daripada Kerajaan Negeri bagi menjayakan program IKTISASS.

Katanya, peruntukan terbabit bagi menampung enam kursus termasuk tiga kursus baru yang diperkenalkan.

“Berbanding tahun lalu, peruntukan itu ditambah merangkumi keseluruhan termasuk program belia lepasan SPM, Internship for high Impact Talent (I-HIT) dan Smart Technical Workforce.

“Ia juga bagi melancarkan lagi program baharu antaranya Selangor Smart SMEs (Perusaha Kecil dan Sederhana), Malaysia Essential Skills Training Initiative (MESTI Digital) dan Skim Perintis Meister Selangor,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jangan gentar hadapi Revolusi 4.0 Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 MAC: Masyarakat khususnya golongan muda perlu bersedia menghadapi Revolusi 4.0 untuk lebih berdaya saing memajukan ekonomi negara ini, kata Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Profesor Dato’ Dr Sheikh Omar Abdul Rahman.

Beliau berkata, kemajuan teknologi masa kini menuntut golongan muda untuk lebih peka berdepan cabaran dan peluang penerokaan teknologi baru dalam dunia pekerjaan akan datang. ‘

Katanya, golongan itu juga perlu menjadi individu terbuka, profesional, berdaya saing, konsisten dan mempunyai nilai pemikiran positif.

“Namun, keutamaan yang tidak boleh diketepikan adalah ‘nilai kemanusiaan’ dengan menanamkan semangat untuk bergerak lebih maju.

“Justeru, anggota masyarakat termasuk golongan muda perlu memainkan peranan dan bersedia mengharungi cabaran itu.

“Jika anda memilih untuk kekal pada kedudukan sedia ada, anda akan ketinggalan jauh ketika penggunaan Internet Of Things akan mendahului kehidupan anda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas hadir berucap sebagai panel Program Seminar HR anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) di UMW Toyota Training Centre, Seksyen 15, pagi ini.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Selangor, pelan transformasi menuju ke arah negeri ‘regional smart state’ meliputi aspek perkhidmatan, pembuatan dan pelaburan asing.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penumpuan terhadap sektor berkenaan dijadikan penanda aras untuk terus memacu kepada perkembangan revolusi berkenaan.

“Gagasan ‘regional smart state’ menuntut kita secara kolektif untuk berani merubah pemikiran, pendekatan dan budaya kerja mencapai matlamat itu.

“Maka, kita perlu melakukan anjakan paradigma supaya Selangor dapat melakukan ‘quantum leap’ menuju ekonomi berasaskan ilmu dan maklumat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Cabaran 2018: Tingkat pembabitan Revolusi Industri 4.0

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 DIS: Usaha meningkatkan penglibatan lebih banyak pemain industri dalam menjana pembangunan ekonomi berteraskan Revolusi Industri 4.0 secara efektif pada tahun hadapan antara cabaran utama negara.

Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Madya Dr Hamdan Dato’ Salleh berkata, selain Kerajaan Persekutuan, sebagai negeri termaju, Selangor turut berhadapan cabaran sama.

“Dalam memperkatakan Industri 4.0 dan tahun 2018, pelbagai isu perlu diberi penekanan terutama kepada kerajaan, pemain industri, pekerja dan sektor pendidikan.

“Memang diakui, potensi industri ini menjelang 2018 dan mendatang cukup banyak dan Revolusi Industri 4.0 ini tentunya akan mengubah bentuk perniagaan juga perkhidmatan serta hala tuju pendidikan.

“Namun, antara cabaran utama adalah bagaimana sektor yang berkait ini menangani industri 4.0 yang turut bersamanya adalah elemen ketidakpastian dan ini membawa kepada cabaran utama untuk Malaysia dan tentunya untuk Selangor sebagai negeri termaju, di negara ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, semua pihak perlu belajar daripada kesilapan yang berlaku ketika era Revolusi Industri 1.0 hingga Revolusi Industri 3.0.

Katanya, walaupun tiga era terbabit memberi kesan dan faedah kepada peradaban, pembentukan manusiawi dan sosioekonomi dunia, namun ia turut membawa kepada kemusnahan ekologi serta alam sekitar dunia.

“Sektor swasta dikenalpasti sebagai pemacu utama dalam negara supaya tidak ketinggalan dalam era Industri 4.0,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL proaktif sediakan graduan hadapi revolusi industri 4.0

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 OKT: Selaras saranan Dato’ Menteri Besar, Universiti Selangor (UNISEL) di bawah kepimpinan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman mula mengorak langkah bagi menyediakan graduan yang mampu mengharungi cabaran revolusi industri 4.0.

Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Dr Hamdan Dato’ Salleh berkata, UNISEL menggariskan enam langkah bagi menyediakan graduan lebih bersedia secara holistik bagi mendepani revolusi ini.

“Pertama, penggabungan fakulti bagi mewujudkan program akademi lebih berdaya saing dan inklusif dan kedua mewujudkan pusat kecemerlangan (CoE) yang mempunyai pelbagai institut dan bidang dengan pakar ternama.

“UNISEL turut menyelaraskan silibus untuk meningkatkan lagi daya saing, menubuhkan latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dan memperkasakan geran-geran penyelidikan berpaksi industri 4.0,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

UNISEL ENGINEJelasnya, UNISEL turut mengambil langkah memperkasakan mata pelajaran berpaksi ‘internet of things’ dan menggabungkan dengan keperluan industri dan manusia.

Katanya, UNISEL juga melakukan transformasi mata pelajaran wajib bagi melahirkan tenaga kerja berasaskan holistik yang bersedia dalam industri dan kemanusiaan dengan mengurangkan fokus kepada peperiksaan.

unisel_view“Penekanan seperti saranan Dato’ Menteri Besar, industri 4.0 sangat mencabar. Dalam bersedia ke arah industri ini, perlu pemberdayaan manusia yang seimbang termasuk insaniah dan akhlak.

“Persedian bukan fizikal semata-mata di mana inilah hasrat Kerajaan Negeri iaitu transformasi UNISEL yang sebenar,” katanya.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Terus ketinggalan jika tak bersedia hadapi Revolusi 4.0

KUALA LUMPUR 7 JAN: Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat, yang berlaku di peringkat global, boleh menjadikan ekonomi Malaysia berdepan kesukaran sekiranya industri tidak bersedia.

Malah, ekonomi baru muncul seperti Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja boleh menyaingi dan mengalahkan Malaysia melalui revolusi industri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KnowledgeCom Corporation Sdn Bhd S.T Rubaneswaran berkata kebanyakan industri Malaysia masih berada dalam Industri 2.0 yang berasaskan buruh dan perlu meningkatkan tahap untuk sampai ke 4.0.

Revolusi perindustrian pertama tertumpu pada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua pada elektrik untuk mengubah barisan pemasangan dan ketiga berkisar kepada penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk terus mengautomasikan lagi barisan pengeluaran.

Revolusi perindustrian keempat pula akan menyaksikan Internet of Things (IoT) membaik pulih bukan sahaja perniagaan, tetapi hampir semua aspek kehidupan seharian.

Ia adalah trend semasa automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan yang mewujudkan “kilang pintar”, di mana mesin disambungkan dengan web dan kepada satu sistem yang boleh menggambarkan keseluruhan rantaian pengeluaran dan membuat keputusan dengan sendiri.

Rubaneswaran berkata Industri 4.0 akan berdasarkan kepada sembilan tonggak – robot automasi, simulasi, integrasi sistem, IoT, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, realiti diperkukuhkan, analisis data besar, serta integrasi sistem menegak dan melintang.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan PricewaterhouseCoopers’ terhadap 20,000 syarikat di 29 negara dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat, mendedahkan bahawa dalam tempoh lima tahun, syarikat-syarikat ini akan melabur hampir US$1 trilion setahun untuk mengubah kepada Industri 4.0.

“Ini akan membantu meningkatkan perolehan mereka pada kadar tahunan sebanyak 4.3 peratus dan pengurangan kos sebanyak 3.4 peratus.

“Bagi industri pembuatan, bagi yang berjaya mengurangkan kos sebanyak 18 peratus dalam tempoh lima tahun, boleh menghapuskan persaingan dengan mudah kerana margin mereka terhad,” katanya lapor BERNAMA.

Ekonomi Malaysia merupakan yang keempat terbesar di Asia Tenggara, selepas negara yang mempunyai penduduk lebih ramai iaitu Indonesia, Thailand dan Filipina, dan yang ketiga terkaya mengikut keluaran dalam negara kasar nilai per kapita, selepas Singapura dan Brunei.

Bagaimanapun, Rubaneswaran berkata unjuran pakar ekonomi menunjukkan perkara ini boleh berubah tidak lama lagi apabila ekonomi baru muncul seperti Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja mengatasi Malaysia melalui Industri 4.0.

Sejak 10 tahun lepas, negara-negara ini berasaskan pertanian dengan industri yang kecil, katanya.

“Sekarang kerana mereka bergerak ke arah perindustrian, mereka mula dari awal tanpa isu legasi untuk menggunakan revolusi perindustrian terkini lebih cepat, dalam membina infrastruktur pembuatan dan pengeluaran mereka,” kata Rubaneswaran.

Pada pandangan beliau, sebab peralihan pelaburan asing ke negara-negara jiran juga bukan disebabkan oleh faktor buruh murah tetapi kepada penggunaan amalan industri baru yang lebih mudah.

Oleh itu, terdapat keperluan bagi Malaysia menyediakan modal insan ke arah teknologi baru ini untuk mengekalkan dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini, katanya.

Walaupun Malaysia telah mengambil langkah-langkah ke arah beralih kepada teknologi, Rubaneswaran berkata lebih banyak usaha diperlukan memandangkan cabaran terbesar negara masih terletak pada kekurangan pekerja terlatih dari segi teknologi.

“Negara ini mempunyai tiga lapisan tenaga kerja dengan tiga teknologi dan generasi berbeza – generasi dewasa (berumur 40 tahun ke atas), pertengahan, generasi yang baru keluar dari universiti.

“Jadi untuk mengubah kesemua mereka terutama generasi pertengahan dan lebih tua untuk menggunakan teknologi baru dan bersaing dengan orang-orang muda yang keluar dari universiti adalah satu cabaran,” katanya.

=EZY=