Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ahli ekonomi unjur Malaysia destinasi pelaburan selamat pada 2021

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Malaysia akan menjadi destinasi pelaburan yang selamat pada 2021 di tengah-tengah ketidakstabilan dan perubahan risiko di peringkat dunia, menurut RHB Banking Group.

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Pasaran Dr Sailesh Kumar Jha berkata RHB mempunyai pandangan berbeza dengan jangkaan pasaran kewangan umum, yang mana sekiranya ketidakstabilan meningkat di pasaran dunia di tengah-tengah kekurangan dolar US di rantau ini, aliran keluar yang besar dari Malaysia akan berlaku.

“Dalam model kami, sekiranya keadaan turun naik ini meningkat, penyusutan mata wang yang tersedia untuk ringgit merupakan penampan kukuh antara perbezaan kadar faedah sebenar di antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), dan inilah yang akan melindungi kita.

“Kami percaya perkara ini mungkin berlaku dan asas pelabur domestik yang cukup luas juga adalah mencukupi, sekurang-kurangnya dalam pasaran bon pendapatan tetap, yang pada asasnya menghalang aliran keluar modal yang besar secara berterusan,” katanya dalam taklimat media bersempena pelancaran penerbitan penyelidikan RHB – Path Finder – Separate the Noise from Reality, di sini, semalam.

Jha berkata kedudukan mudah tunai domestik dan luaran Malaysia di pasaran modal adalah berdaya tahan dan beliau optimis bahawa kerajaan akan menguruskan penyatuan fiskal sebaik sahaja masalah yang membelenggu akibat pandemik Covid-19 dapat diselesaikan, diharapkan, menjelang tahun depan.

“Kami berterusan memihak kepada bon dan sekuriti kerajaan yang agak lama di rantau Asia. Di Malaysia, kami memilih bon kerajaan 15 tahun berikutan ia dijangka akan disokong oleh kerajaan.

“Kami tidak menghiraukan penurunan penarafan kredit Malaysia oleh Fitch Ratings daripada A- kepada BBB+ kerana ia tidak penting dan kami yakin S&P Global Ratings dan Moody’s berkemungkinan tidak akan membuat keputusan yang sama,” katanya.

Merujuk di peringkat Asia, beliau berkata RHB mendapati Malaysia adalah menonjol memandangkan dalam tempoh ketidakstabilan yang meningkat ini dan pengurangan mudah tunai dolar, aliran keluar modal dari Malaysia akan berkurangan dengan ketara.

Berbanding negara lain di ASEAN, beliau menyifatkan sukar untuk melakukan perbandingan dengan Indonesia, Thailand atau Filipina memandangkan pasaran modal negara-negara ini merangkumi ekuiti, bon dan mata wang adalah kurang kecairan dan pada asasnya, rantaian instrumen yang tidak banyak.

“Bagi pasaran modal Singapura, kami mempunyai sedikit data mengenainya memandangkan pihak berkuasa di negara itu tidak menerbitkan pemegangan asing di pasaran. Bagaimanapun, kami mendapati bahawa semasa penukaran risiko dan pengurangan mudah tunai dolar, pasaran modal Singapura sangat terjejas pada 2020.

“Berbanding negara ASEAN lain, Malaysia berada di kedudukan pertama,” katanya.

Berhubung pandangan global, beliau menjelaskan pasaran kewangan dalam keadaan menggembirakan dengan pemulihan ekonomi bentuk V; oleh itu, beliau menjangkakan harga aset berisiko seperti mata wang pasaran pesat membangun dan bon pasaran pesat membangun akan terus meningkat pada masa ini untuk sedikit masa.

Jha berkata RHB mengunjurkan pertumbuhan global yang mengejutkan bagi penurunan dan meramalkan pertumbuhan di Asia akan berada di bawah anggaran konsensus.

Beliau menjangka dolar US akan meningkat semula berbanding kepercayaan konsensus mengenai kemerosotan yang selanjutnya pada 2021 berjumlah tiga peratus berbanding kumpulan mata wang G10 dan dua peratus berbanding mata wang Asia.

Menurut beliau, penurunan dolar US berbanding mata wang Asia dipacu oleh beberapa pemangkin, antaranya defisit perdagangan AS. Walaupun sering dalam defisit, kuantum adalah penting, katanya.

“Defisit perdagangan AS mencatatkan kemerosoton sejak musim panas tahun ini kepada kira-kira US$62 bilion daripada serendah US$65 bilion pada Ogos berbanding purata defisit perdagangan iaitu sekitar US$40 bilion.

“Kami yakin menjelang suku pertama, ia akan kembali seperti sebelum ini iaitu kira-kira US$40 bilion,” katanya.

Beliau berkata, aspek kedua mengenai dolar adalah wujudnya hubungan kukuh di antara ekonomi global dengan dolar berikutan mata wang berkenaan meningkat apabila ekonomi global mengalami kelembapan.

Katanya, RHB berpendapat kemerosotan pertumbuhan global dalam separuh kedua 2021 adalah positif kepada dolar.

Di Asia, beliau menyifatkan, ia akan berlaku dalam kaedah yang sama, yang mana sekiranya pertumbuhan menguncup di rantau ini, mata wang Asia juga akan susut berbanding dolar US.

Mengenai ringgit berbanding dolar US, beliau berkata unit tempatan “tetap stabil mengikut masa” dan diunjurkan diniagakan sekitar 4.10/20 untuk separuh pertama tahun depan.

Berkenaan ekonomi Malaysia, Jha menegaskan, RHB menurunkan unjurannya terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) bagi 2021 kepada 6.3 peratus daripada 7.0 peratus, namun, menyifatkan angka itu masih kukuh.

Jelasnya, ini berikutan penggunaan domestik yang perlahan sehingga separuh pertama tahun depan disebabkan pengangguran meningkat akibat pandemik COVID-19.

Sebagai ekonomi terbuka dengan eksport yang bergantung kepada elektronik dan farmaseutikal, inisiatif dan permintaan global dilihat mula berkurangan dan akan menjejaskan KDNK, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pekerja RHB di Bangi positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 DIS: RHB Banking Group semalam mengesahkan bahawa dua pekerjanya di Kompleks RHB di Bangi, Selangor, telah diuji positif Covid-19.

Dalam kenyataan semalam, RHB berkata kali terakhir pekerja terbabit berada di pejabat adalah pada 27 November dan 30 November lepas dan kini menjalani proses kuarantin.

“RHB sedang membantu pihak berwajib bagi usaha pengesanan kontak dan sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, pekerja lain yang terdedah dengan kedua-dua pekerja itu turut menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Selain itu, usaha pembersihan secara menyeluruh dan sanitasi juga telah dijalankan sebagaimana ditetapkan oleh garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Kami telah mengambil semua langkah-langkah perlu yang ditetapkan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para pelanggan, pekerja kami serta komuniti,” kata RHB.

-BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

RHB labur RM2 juta bangun generasi cemerlang

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 20 OKT: Kumpulan perbankan, RHB melalui RHB Foundation (RHBF) memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi program pembangunan generasi masa depan negara.

Pengerusi RHBF, Dato’ Khairussaleh Ramli berkata, justeru itu, dua program pendidikan ditubuhkan melalui RHBF iaitu RHB X-Cel dan RHB Money Master.

Katanya, RHBF mensasarkan golongan remaja yang berpotensi dalam pendidikan namun kurang berkemampuan dengan menyediakan bengkel kecemerlangan serta bantuan kelas tuisyen.

“Kami menyediakan platform ini bagi membolehkan potensi pelajar digilap sehingga berjaya menghasilkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik,” katanya dalam ucapan Program RHB X-Cel di Kompleks RHB, hari ini.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan (Operasi), Izehari Basar dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah, Pesol Md Saad.

Khairussaleh berkata, RHB X-Cel yang baru sahaja diperkenalkan pada tahun ini turut melibatkan 800 pelajar daripada 18 buah sekolah seluruh negara.

“Kami mensasarkan 1,000 pelajar untuk menyertai program ini menjelang tahun 2019, dan dalam masa sama, menyedari kepentingan pengurusan kewangan, RHB turut menyediakan Program RHB Money Monster.

“Ia mensasarkan golongan remaja di peringkat sekolah menengah, penuntut universiti dan belia,” katanya.

Categories
EKONOMI

Kaunter AMMB, RHB Bank gantung urus niaga

KUALA LUMPUR 22 OGOS: Saham RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd digantung urus niaga di Bursa Malaysia, hari ini dari jam 9 pagi hingga 5 petang, bagi memberi laluan kepada satu pengumuman.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia semalam, kedua-dua syarikat mengumumkan semua waran berkaitan RHB Bank dan AMMB juga akan digantung urus niaga pada waktu sama.

Ia berkata, permohonan bagi penggantungan adalah bagi kedua-dua syarikat menyambung rundingan bagi kemungkinan mengadakan penggabungan perniagaan, selepas mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia pada 1 Jun 2017.

AMMB ditutup mendatar pada RM4.70 dengan 4.14 juta saham bertukar tangan hari ini, manakala RHB susut tujuh sen kepada RM4.88 dengan 458,200 saham bertukar tangan lapor BERNAMA.

=EZY=