Categories
SELANGOR

Perlantikan Alinah Tingkatkan Kemajuan Petaling Jaya

Datin Paduka Alinah Ahmad
SHAH ALAM 28 DIS : Pengalaman luas Datin Paduka Alinah Ahmad di dalam perkhidmatan awam dan sektor hartanah diyakini akan membawa kemajuan bandar Petaling Jaya kepada arah yang lebih dinamik.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Richard Yeoh Yong Woi berkata, warga kerja MBPJ dan penduduk bandaraya itu turut berbangga dengan Alinah yang muncul sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan Datuk Bandar.

“Kita pasti berbangga dengan Alinah sebagai Datuk Bandar kerana sebelum ini seorang wanita dilantik hanya sebagai Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

“Dengan pengalaman dan prestasi kerja cemerlang dalam pentadbiran awam, Alinah dengan dibantu warga MBPJ akan meneruskan pembangunan bandaraya ini dengan lebih baik dan moden,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Alinah yang merupakan bekas ketua pengarah eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memulakan tugas selaku Datuk Bandar Petaling Jaya pada 1 Januari tahun depan menggantikan Datuk Mohamad Roslan Sakiman

Seorang lagi Ahli Majlis Mohd Ghazali Daud berkata, Petaling Jaya memerlukan Datuk Bandar yang kaya dengan idea dan visi.

“Sebagai pegawai kerajaan berpengalaman luas, saya yakin pelbagai perubahan akan dirancang demi kemajuan Petaling Jaya dalam menempuh cabaran masa depan.

?Alinah pasti akan meneruskan visi dan perancangan yang sudah dirangka oleh Datuk Bandar terdahulu.

“Kemahiran dalam pentadbiran dan pengurusan tentu menjadi satu kelebihan baginya dan ini akan memberi manfaat kepada Petaling Jaya,” kata Ahli Majlis MBPJ itu.

Pendapat Yeoh dan Ghazali turut dipersetujui seorang lagi Ahli Majlis MBPJ, Mahharul Ismail dengan menyatakan pelantikan tersebut adalah satu perubahan positif.

Beliau berkata, bandaraya lestari seperti Petaling Jaya akan menempuh satu perubahan dari segi pembangunan infrastruktur dan komuniti dari masa ke semasa.

Beliau menambah, pihaknya akan terus memberi kerjasama demi kemajuan bandaraya itu serta usaha mengatasi segala masalah seperti pungutan sampah dan kesesakan lalulintas.

Categories
SELANGOR

MBPJ : Tong Sampah Untuk Kawasan Perumahan

PETALING JAYA, 27 SEPT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menyediakan bilangan tong sampah mencukupi mengikut keperluan di sesuatu kawasan perumahan di sekitar baandaraya itu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ sedang merekabentuk tong sampah itu sebelum ia dipersetujui dan seterusnya ditempatkan di kawasan perumahan yang telah dikenalpasti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, terdapat aduan diterima dari kalangan penduduk di bandaraya itu sepertimana dikemukakan Ahli Majlis, Richard Yeoh Yong Woi melibatkan penghuni di Taman Seksyen 14/4 yang meminta MBPJ menyediakan tong sampah di tepi jalan dengan bilangan cukup untuk kemudahan mereka.

“Kalau Jabatan Kesihatan Persekitaran tidak dapat menyediakan rekabentuk tong sampah itu dalam tempoh seminggu yang akan diberi maka peruntukan untuk tujuan itu akan disalurkan kepada Ahli Majlis supaya mereka boleh menggunakannya untuk membeli tong sampah bagi kawasan zon masing-masing.

“Kita akan tengok kos bajet berapa seorang Ahli Majlis akan dapat. Mungkin satu dengan harga RM400 dan kita tengok bilangan serta dibahagikan kepada 20 Ahli Majlis,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penuh MBPJ di sini hari ini.

Mohamad Roslan mengulas mengenai cadangan Ahli Majlis, Derek John Fernandez yang berharap peruntukan penyediaan tong sampah itu diserahkan kepada Ahli Majlis sekiranya Jabatan Kesihatan Persekitaran gagal menyiapkan rekabentuknya dalam tempoh ditetapkan.

Di dalan mesyuarat penuh itu, Datuk Bandar telah meluluskan permohonan itu.

Setakat ini, MBPJ menyediakan tong sampah besar (leach bin) dan tong sampah kecil (little bin) di kawasan perumahan awam di bandaraya itu.

Katanya, sebanyak 52 tong sampah besar telah diagihkan yang ditempatkan di bangunan sampah kawasan perumahan dan bilangannya akan ditambah lagi dari semasa ke semasa.

“Kita akan lihat apa keperluan penduduk kerana kita tidak boleh bagi sahaja. Tong sampah pun mahal macam satu “leach bin” lebih kurang RM1,200.

“Tong sampah ni konsepnya kita tidak boleh bagi percuma kerana orang tidak akan menghargainya. Pihak terlibat kena berkongsi seperti di Taman Medan, Adunnya bersama MBPJ mengeluarkan peruntukan bersama,” katanya.