Categories
SELANGOR

Sasar 20,386 unit Rumah SelangorKu siap menjelang 2021

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri mensasarkan 20,386 unit Rumah SelangorKu disiapkan secara berperingkat sehingga 2021.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia melibatkan 39 fasa pembangunan Rumah SelangorKu di seluruh negeri ini pada masa akan datang.

“Bagi tempoh 2014 hingga kini, sejumlah 6,303 unit Rumah SelangorKu siap dibina dan sudah diserahkan kunci kepada pembeli.

“Manakala, masih terdapat 39 fasa lagi pembangunan Rumah SelangorKu akan disiapkan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Difahamkan, terdapat 4,496 unit Rumah SelangorKu bakal disiapkan secara berperingkat pada tahun ini, manakala 2019 sebanyak 4,486 unit; 2020 (3,372) dan 2021 (8,032).

Categories
SELANGOR

Rumah Selangorku Taman Putra Prima masih berbaki 28 unit

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OKT: Dakwaan sekumpulan pemohon kononnya unit Rumah Selangorku di Taman Putra Prima telah penuh adalah tidak tepat, kata EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Katanya, merujuk kepada data dikemaskini pemaju projek itu mendapati masih terdapat 28 unit kosong dan ia disahkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), pada 4 Oktober lalu.

Justeru, Haniza menyeru pemohon untuk merujuk terus kepada LPHS berhubung status permohonan atau sebarang masalah lain dan bukan merujuk kepada agensi yang tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan Rumah Selangorku.

“Pemohon disaran merujuk dan semak kepada LPHS kerana ia sentiasa dalam pengetahuan mereka.

“Jangan merujuk kepada pihak yang mengenakan bayaran kerana saya dapati terdapat pihak yang kononnya terlibat dengan (penyelesaian) projek rumah terbengkalai,” katanya.

Semalam, 15 pembeli Rumah Selangorku menerusi satu sidang media menuntut campur tangan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam merungkai isu unit Rumah Selangorku berharga RM42,000 yang kononnya tidak mencukupi di Taman Putra Prima.

Haniza berkata, jika dakwaan dimaksudkan wujud, Jawatankuasa Rumah Selangorku yang bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan akan mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan perkara itu.

Tegasnya, setakat ini tiada projek Rumah Selangorku yang terbengkalai dan LPHS sendiri melakukan pemantauan setiap perkembangan projek selain bersikap tegas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.