Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fi saringan Covid-19 pada kadar RM30 hingga RM250

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kos saringan Covid-19 bagi warganegara dan orang asing di semua pintu masuk antarabangsa ditetapkan pada kadar RM30 hingga RM250.

Ujian merangkumi tindak balas berantai polimerase pada kadar RM150 (warganegara) dan RM250 (warga asing), kit ujian pantas RM60 untuk warganegara dan RM120 (warga asing) manakala RM30 (warganegara) dan RM60 (warga asing) bagi kit ujian pantas antibodi.

“Saringan boleh dibuat di mana-mana hospital kerajaan atau klinik Kementerian Kesihatan,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ujian pengesanan di pintu masuk negara menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

Manakala kit ujian pantas antibodi pula katanya, digunakan ke atas individu yang dikuarantin di rumah pada hari ke-13 sebelum dilepaskan pada hari berikutnya.

“Tindakan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (fi bagi ujian pengesanan penyakit koronavirus 2019) (Covid-19) 2020 berkuat kuasa 29 Jun 2020,” kata Dr Adham.

Warganegara yang dikecualikan daripada fi tersebut ialah:

(i) pegawai kerajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi dengan mengemukakan surat arahan. Pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga

(ii) orang kurang upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara dan mengemukakan kad OKU dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga

(iii) pelajar warganegara, persendirian atau mempunyai penajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara kali pertama dan perlu mengemukakan bukti pengajian

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buru 1,400 individu gagal lakukan saringan kedua Covid-19

SHAH ALAM, 1 JULAI: Polis diarah memburu kira-kira 1,400 individu yang gagal melakukan ujian saringan kedua Covid-19 sebelum tamat kuarantin dua minggu di rumah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata individu tersebut wajib menjalani saringan kedua pada hari ke-13 selepas didapati negatif pada ujian pertama.

“Sekiranya masih degil, kita (kerajaan) akan hantar polis untuk mencari mereka,” katanya yang menegaskan tindakan mengikut Akta 342.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata individu yang pulang dari luar negara boleh menjalani kuarantin di rumah dengan mematuhi beberapa syarat.

“Antaranya memakai gelang tangan dan melakukan ujian saringan. Selepas didapati bebas Covid-19, kita boleh potong gelang tangan tersebut dan mereka bebas melakukan aktiviti lain yang dibenarkan,” katanya lagi.

Sejak 10 Jun hingga semalam, seramai 7,611 orang pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Daripada jumlah itu, seramai 36 dibawa ke hospital kerana positif Covid-19 manakala selebihnya diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Covid-19: Saringan berterusan di rumah jagaan warga emas seluruh daerah

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Negeri melakukan saringan Covid-19 secara berterusan ke atas semua penghuni dan penjaga rumah jagaan warga emas di seluruh daerah bagi mengesan jangkitan wabak.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia berikutan wabak tersebut boleh menjangkiti sesiapa sahaja pada bila-bila masa sekiranya langkah penjagaan dan kebersihan tidak diberi perhatian.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memang pergi ke semua rumah jagaan dan buat saringan kepada penghuni serta pengurus di sana. Malah, saringan dibantu oleh Selcare Clinic Sdn Bhd yang mewakili Kerajaan Negeri ketika pertama kali (saringan) dibuat di rumah penjagaan di Kuala Langat.

“(Saringan) akan berterusan kerana anda mungkin negatif (Covid-19) hari ini dan positif pada hari seterusnya sebab jangkitan itu boleh berlaku,” kata EXCO kesihatan pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Garis Panduan Pembukaan Semula Rumah Ibadat Selain Islam (Risi) di Bilik Gerakan Dewan Annex di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan pengusaha rumah jagaan warga emas meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan di premis selain mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelakkan diri daripada terkena jangkitan Covid-19.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan satu kluster baharu membabitkan sebuah rumah penjagaan warga emas di Kuala Selangor selepas terdapat tiga kes positif Covid-19 di pusat jagaan tersebut.

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: 4,627 penduduk Kuala Langat disaring, jumlah kes kekal sembilan

SHAH ALAM, 10 JUN: Jumlah kes Covid-19 di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni di Kuala Langat kekal sembilan selepas ujian saringan dibuat sejak 6 Jun lalu.

Setakat semalam, sebanyak 96 peratus keputusan saringan meliputi 4,447 penduduk diterima manakala 171 lagi belum diketahui, maklum pegawai daerah Kuala Langat.

“Saya ingin nasihatkan penduduk yang mendapat kebenaran keluar masuk supaya tidak merentas negeri sehingga 16 Jun selari arahan kerajaan seperti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan,” kata Mohd Jusni Hashim kepada SelangorKini.

Pada 3 Jun lalu, kedua-dua taman berkenaan dikenakan PKP Pentadbiran selepas 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di situ positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKD Kuala Langat anjur saringan Covid-19 di tiga kawasan 

SHAH ALAM, 3 JUN: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat mengadakan ujian saringan Covid-19 bermula hari ini membabitkan penduduk di Pangsapuri Langat Utama, Taman Langat Murni dan Pangsapuri Langat Murni.

Saringan selama dua hari merangkumi penduduk setempat termasuk bukan warganegara dan mereka diwajibkan memakai pelitup muka serta mematuhi penjarakan sosial.

“Warga emas, wanita mengandung dan mempunyai bayi atau kanak-kanak akan diberi keutamaan dan diminta untuk hadir awal dengan membawa kad pengenalan, MyKid atau pasport,” kata agensi tersebut di Facebook.

Lokasi saringan Covid-19 seperti berikut:

1. Pangsapuri Langat Murni – kawasan deretan kedai bersebelahan surau (9.30 pagi hingga 1 tengahari dan 2.30 hingga 4.30 petang)

2. Taman Langat Murni – padang permainan Jalan Murni 6/10 (9.30 pagi hingga 1 tengahari dan 2.30 hingga 4.30 petang)

3. Pangsapuri Langat Utama – bersebelahan bangunan Trans Air (9.30 pagi hingga 1 tengah hari)

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Covid-19 hanya di penjara, depot ada kes

PUTRAJAYA, 2 JUN: Ujian saringan Covid-19 hanya dilaksanakan di penjara atau depot tahanan yang mempunyai kes positif Covid-19 sahaja, termasuk di Penjara Sungai Buloh, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia tidak melibatkan penjara atau depot tahanan lain di seluruh negara yang tidak mempunyai kes positif Covid-19.

“Prinsip kita sama sahaja, hanya buat saringan Covid-19 di kawasan yang terlibat sahaja seperti yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih dan DTI Bukit Jalil sebelum ini.

“Oleh yang demikian, saringan tidak perlu dibuat di DTI atau penjara di tempat lain kerana tidak mempunyai kes Covid-19,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata penjara di Sungai Buloh mempunyai lapan blok, namun hanya blok yang terlibat sahaja yang akan disaring Covid-19.

“Oleh kerana satu blok berkaitan tidak bercampur dengan blok lain, maka satu sahaja blok disaring,” katanya.

Ismail Sabri berkata mulai hari ini, seramai 600 banduan akan menjalani saringan Covid-19 di blok yang terlibat sahaja.

Selain itu, beliau berkata 700 kakitangan penjara yang bertugas di Penjara Sungai Buloh juga akan disaring sama ada yang bertugas di blok terdapat kes atau blok yang tidak mempunyai kes Covid-19.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai sama ada pelawat dibenarkan melawat penghuni penjara semasa tempoh PKPB, Ismail Sabri menjelaskan perkara itu tidak dibenarkan sama sekali.

“Pelawat luar tidak dibenarkan membuat lawatan di penjara sejak tempoh bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga ke hari ini (PKPB).

“Ia tidak dibenarkan kerana risau pelawat luar membawa jangkitan Covid-19 ke dalam penjara, saya tegaskan sekali lagi ia tidak dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai seorang warga Rohingya yang melarikan diri dari pusat kuarantin Covid-19 di Ipoh, semalam, Ismail Sabri berkata lelaki itu telah ditahan dan dibawa kembali ke pusat kuarantin berkenaan.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki melarikan diri daripada Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Tanjung Rambutan, Ipoh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak lonjakan kes, pekerja asing wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 4 MEI: Semua pekerja asing di negara ini wajib menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh majikan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan kewujudan kluster baharu di tapak pembinaan Kuala Lumpur yang merekodkan 28 kes semalam.

“Sebagai langkah pencegahan, kerajaan mewajibkan pekerja asing di semua sektor untuk membuat saringan kesihatan atau ujian calitan dengan kos ditanggung oleh majikan. Kementerian Kesihatan cadang mulakan di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Jabatan Kerja Raya sudah menutup operasi tapak pembinaan di Ampang yang menjadi kluster baharu wabak.

“Di mana sahaja berlaku penyebaran kes Covid-19 sama ada kilang, tapak pembinaan mahupun kedai makan, kita akan tutup sektor ini serta-merta,” katanya lagi.

Categories
PBT SELANGOR

120 penghantar makanan di Klang jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 2 MEI: Seramai 120 penghantar makanan di Klang semalam menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan mereka bebas dari wabak berkenaan.

Inisiatif secara pandu lalu oleh Klinik Kesihatan Pendamaran membolehkan mereka mendapat permit sah menghantar makanan di daerah tersebut.

“Mereka disaring di perkarangan Stadium Hoki, Kompleks Sukan Pandamaran dan berdaftar untuk saluran dagang Klang i Plaza yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Klang,” kata pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Pendamaran Leong Tuck Chee dan Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

MPK memperkenalkan Klang i Plaza bagi memudahkan orang awam berniaga dan menghantar makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Platform digital itu berfungsi sebagai pusat sehenti untuk usahawan dan peniaga di daerah terbabit mempromosikan produk masing-masing.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Saringan Covid-19 pandu lalu bakal diperluas, tumpu titik panas

SHAH ALAM, 19 APRIL: Dato’ Menteri Besar tidak menolak kemungkinan ujian saringan Covid-19 percuma secara pandu lalu akan diperluas ke kawasan lain susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut boleh dilaksanakan pada masa depan bersandarkan keperluan lokaliti dan dewan yang boleh digunakan.

“Kita ada banyak lokaliti dan dewan yang berfungsi, mungkin boleh dilaksanakan pada masa depan tetapi sasaran di kawasan titik panas terutama Petaling, Klang dan Hulu Langat.

“Harapan kita dapat memutuskan rantaian Covid-19 seberapa pantas, namun ia tiada jaminan selagi kita tidak melakukan penjarakan sosial dan melaksanakan perkara sewajarnya,” katanya selepas meninjau operasi saringan pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Selangor akan melaksanakan ujian saringan lebih besar untuk mengelak jangkitan tidak disangka atau kes sporadik.

Beliau turut menegaskan usaha mengawal penularan wabak perlu diteruskan meskipun kes harian menurun atau sifar.

“Kita juga perlu berhati-hati dengan (kes) dibawa dari negara luar seperti Korea dan China kerana selepas berjaya bersihkan kes, ada pula jangkitan dari luar. Ini perlu diperhatikan dengan betul supaya kita tidak mengulangi kesilapan negara berkenaan,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri melaksanakan saringan pandu lalu secara percuma bermula semalam khusus untuk warga emas dan individu bergejala seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB tinjau operasi saringan Covid-19 pandu lalu percuma

SHAH ALAM, 19 APRIL: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa meninjau operasi  saringan Covid-19 percuma secara pandu lalu di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kebanyakan peserta yang menyertai inisiatif Kerajaan Negeri bersama anak syarikatnya Selcare dalam kalangan penduduk di sekitar Shah Alam, Petaling dan Klang.

“Pagi ini saya meninjau keadaan lokasi saringan pandu lalu yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dan Selcare. Alhamdulillah sambutan yang sangat positif. Saringan ini percuma untuk warga emas dan mereka yang bergejala,” katanya kepada Media Selangor.

Amirudin berkata sebanyak 3,000 kit ujian belum digunakan dan diharap dapat dilaksanakan sebaik mungkin sebelum Ramadan pada 24 April ini.

“Kalau ada kebolehan untuk buat kajian semasa Ramadan kita akan laksanakan,” katanya lagi.

Saringan pandu lalu secara percuma bermula semalam khusus untuk warga emas dan individu yang mempunyai simptom seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Sasar 500 ujian saringan percuma pandu lalu

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan Negeri menyasarkan 500 ujian saringan Covid-19 percuma berkonsepkan pandu lalu, kata Dato Menteri Besar.

“Hari kita teruskan saringan pandu lalu Di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam percuma khusus untuk warga emas dan mereka yang bergejala,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter pagi ini.

Dalam jawapan kepada seorang pengguna Twitter mengapa ujian hanya dilakukan di Shah Alam, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri menyasarkan kawasan panas dahulu.

“Kita sasar kawasan panas dahulu, kita telah atur 20 pasukan dalam kalangan doktor dan sukarelawan, mulai esok kita akan buat setiap hari,” katanya.

Saringan pandu lalu secara percuma bermula semalam di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini, khusus untuk warga emas dan individu bergejala seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.

Usaha itu sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menggempur Covid-19 habis-habisan.

Saringan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 6 petang. Keputusan saringan diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Kerajaan Negeri sejak 11 April lalu mengadakan saringan besar-besaran di zon merah Covid-19 bagi  mengesan jangkitan wabak tanpa simptom di negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan percuma pandu lalu untuk warga emas, individu bergejala

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, Selcare melaksanakan saringan Covid-19 percuma berkonsepkan pandu lalu mulai hari ini dan esok, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini, khusus untuk warga emas dan individu yang mempunyai simptom seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.

“Usaha itu sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menggempur Covid-19 habis-habisan,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Amirudin berkata saringan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 6 petang, dengan keputusan diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Kerajaan Negeri sejak 11 April lalu mengadakan saringan besar-besaran di zon merah Covid-19, antara lain untuk mengesan jangkitan wabak tanpa simptom di negeri ini.

Berdasarkan data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor di Twitter malam tadi, Selangor mencatatkan 1,338 kes setakat semalam.