Categories
AGENSI SELANGOR

Program buka ruang graduan peroleh kerja lebih baik, menarik

SHAH ALAM, 7 DIS: Jelajah Selangor Bekerja 2020 dianggap sebagai lubuk untuk graduan mencari pekerjaan dengan jawatan lebih baik dan menarik.

Nur Syafiqah Abdul Rajah, 25, di temuramah SelangorKini ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah , Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Graduan jurusan akauntan Universiti Selangor (Unisel) Nur Syafiqah Abdul Rajah berkata program dua hari itu menarik kerana menawarkan pelbagai jawatan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya baru tamat pengajian pada Mac lalu dan diterima bekerja pada Ogos lalu tetapi bukan dalam bidang akauntan, disebabkan pandemik Covid-19 saya tidak boleh memilih.

 

“Tetapi menerusi program ini, mereka tawarkan jawatan yang saya cari dan ia boleh dianggap ruang bagi mendapatkan kerja lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pejabat SUK di sini hari ini.

Muhammad Faiz Dasuki, 25, ditemuramah SelangorKini ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah , Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau Perlis, Muhammad Faiz Dasuki berkata dia turut mahu mencungkil potensi diri dan cuba mendapatkan peluang kerja yang bersesuaian.

“Bukan tidak puas hati dengan kerja sedia ada tetapi saya sengaja mencuba nasib. Sebagai anak muda yang baru menamatkan pengajian memang tidak patut memilih kerja namun jika ada yang lebih baik seperti ditawarkan, kita kena ambil cepat-cepat,” katanya yang ketika ini bertugas sebagai juruteknik.

Perkara tersebut turut diakui M Suntharammah, 25, yang sudah lima tahun bekerja dalam bidang logistik dan mendaftar dalam program tersebut apabila Kerajaan Selangor menganjurkannya disebabkan syarikatnya berdepan keadaan tidak menentu susulan penularan Covid-19.

M Suntharammah, 25, ditemuramah SelangorKini ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah , Shah Alam pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya amat berharap supaya program ini dapat diadakan lebih kerap kerana ramai yang terjejas akibat pandemik ketika ini,” katanya.

Program Jelajah Selangor 2020 menutup tirai di Shah Alam hari ini setelah bermula di Kuala Selangor pada 15 November diikuti Gombak (21 November), Paya Jaras (22 November) dan Hulu Langat (29 November).

Secara keseluruhannya 18,267 kekosongan jawatan ditawarkan sepanjang lima siri jelajah melibatkan 105 majikan daripada sektor perkilangan, perkhidmatan dan profesional.

Kini seramai 42 individu telah diterima bekerja dalam tempoh kurang sebulan dan 145 lagi akan dipanggil untuk sesi temu duga kali kedua.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program buka peluang rakyat, 42 ditawar kerja dalam sebulan

SHAH ALAM, 5 DIS: Seramai 42 individu diterima bekerja dalam tempoh sebulan selepas program Jelajah Selangor Bekerja 2020 mula dilancarkan pada 15 November lalu.

EXCO pembangunan modal insan berkata pada masa sama, 145 lagi akan dipanggil untuk sesi temu duga kali kedua.

“Penganjuran program lima siri bermula 15 November di Kuala Selangor dan berakhir esok di Shah Alam membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor walaupun berdepan pelbagai kekangan ekoran pandemik Covid-19,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian ketika acara penutup program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pejabat SUK di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata secara keseluruhannya 18,267 kekosongan jawatan ditawarkan sepanjang lima siri jelajah melibatkan 105 majikan daripada sektor perkilangan, perkhidmatan dan profesional.

“Kerajaan Negeri komited untuk menganjurkan program kerjaya dalam skala lebih besar pada tahun depan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan dan pandemik Covid-19 berakhir.

“Usaha ini amat penting dalam memastikan kita mencapai hasrat untuk mengurangkan kadar pengangguran ke tahap lebih baik dengan kadar segera,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tiada diskriminasi, peluang kerja terbuka untuk semua di Selangor

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Negeri tidak pernah mendiskriminasi mana-mana individu termasuk bekas banduan yang mahu mendapatkan peluang pekerjaan menerusi Jelajah Selangor Bekerja 2020.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata sebaliknya peluang diberi sama rata bagi membolehkan individu terbabit memperoleh pekerjaan bersesuaian.

“Kita buka ruang kepada semua dan tiada isu langsung mengenai status sama ada seseorang itu adalah bekas banduan kerana hanya mereka sendiri yang tahu (latar belakang).

“Galakan banduan untuk buat permohonan dan hadir ke temu duga satu perkara yang harus dipuji. Paling tidak dia (banduan) ada inisiatif untuk berdikari maka inilah tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memberikan platform kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara: Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Negeri berlangsung di lima lokasi bermula di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 November) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan adalah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.

Mohd Khairuddin menambah pihaknya akan meneliti cadangan mengadakan karnival sama dengan menumpukan peluang pekerjaan kepada peserta yang mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

“Kita akan ambil kira suasana ketidakselesaan membabitkan peserta di peringkat SPM supaya ada padanan pekerjaan. Mungkin kita akan jalankan karnival mengikut kelayakan atau sesi temu duga secara dalam talian.

“Bagaimanapun, semasa siri jelajah di Hulu Langat ada juga sektor (majikan) yang mencari peserta dalam kalangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja: 117 peserta diterima, lepasi temu duga

SHAH ALAM, 29 NOV: Seramai 117 peserta yang menghadiri temu duga program Jelajah Selangor Bekerja 2020 berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor setakat ini.

EXCO pembangunan generasi muda berkata 55 daripada jumlah peserta itu melalui proses temu duga di Kuala Selangor, Gombak (49) dan Sungai Buloh (13) dan ia perkembangan positif kerana mencapai angka tersebut dalam tempoh sebulan penganjuran jelajah.

“Sebanyak 13,124 kekosongan jawatan dan 71 majikan dikumpulkan melalui tiga siri jelajah sebelum ini. Kerajaan Negeri berterima kasih kepada majikan kerana membantu menyediakan peluang kerja untuk peserta,” kata Mohd Khairuddin Othman selepas meninjau sesi temu duga di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Beliau berkata 3,669 kekosongan jawatan disediakan pada siri keempat Jelajah Selangor Bekerja di Hulu Langat hari ini membabitkan 19 majikan yang mengendalikan proses temu duga secara dalam talian dan fizikal.

Katanya, jelajah diadakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat selaras arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan perhimpunan ramai.

“Walaupun berdepan kekangan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi ia bukan alasan dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri mengadakan jelajah bekerja dalam keadaan norma baharu untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak muda,” katanya.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Negeri menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.

Selain Hulu Langat, jelajah tersebut bermula di Kuala Selangor pada 15 November diikuti Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan adalah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja tawar lebih 3,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 27 NOV: Sebanyak 3,669 peluang pekerjaan untuk kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hingga ijazah doktor falsafah (PhD) ditawarkan menerusi program Jelajah Selangor Bekerja 2020 pada Ahad.

EXCO pembangunan generasi muda berkata seramai 19 majikan bakal menyertai program berlangsung di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dekat sini.

“Daripada jumlah keseluruhan tawaran kerja, seramai 1,201 kekosongan menanti siswazah. Selain itu 10 majikan bakal mengadakan temu duga secara maya.

“Antara peluang pekerjaan ditawarkan adalah profesor, pensyarah, pegawai penyelidik, pengurus cawangan, penyelia, juruteknik, pembaca meter, operator pengeluaran, pemandu traktor terminal, kerani dan pembantu jualan,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini hari ini.

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi:

-http://nfdot.com/ereg/views/jobfair
-Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor
-Instagram Jobs Malaysia Selangor
-03-5524 7740 dan 03-5523 1309

Categories
AGENSI SELANGOR

Hantar 100 permohonan, tidak putus asa cari kerja

SUNGAI BULOH, 22 NOV: Hilang punca pendapatan hampir lapan bulan lalu susulan pandemik Covid-19 memaksa Azizi Arbain menghantar lebih 100 permohonan kerja.

Dia yang tidak berputus asa pernah menghadiri lebih 10 sesi temu duga sebelum ini, namun akur tuah belum memihak kepadanya.

Pemuda berusia 25 tahun itu kemudian mencuba nasib dengan menyertai program Jelajah Selangor Bekerja 2020 dan berharap diterima secepat mungkin.

Azizi Arbain, 25, ditemui Media Selangor selepas sesi temu duga ketika program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 22 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya pernah berkhidmat sebagai jurutera penyelidik di sebuah syarikat swasta secara kontrak, namun kurang bernasib baik kerana (kontrak) tidak disambung susulan Covid-19.

“Justeru, saya berharap program ini membantu individu yang kehilangan kerja dan sedang mencari peluang baharu,” katanya ditemui pada program tersebut di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Saujana Utama.

Seorang lagi peserta Ahmad Azrai Bohari, 42, menyambut baik program tersebut yang memberi peluang kepada golongan terjejas mencari pengalaman dan sumber pendapatan baharu.

Meskipun memiliki pekerjaan tetap sebagai akauntan hampir 25 tahun, dia enggan melepaskan peluang untuk mencari pengalaman baharu bersama syarikat lain.

Ahmad Azrai Bohari, 42, ditemui Media Selangor selepas sesi temu duga ketika program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 22 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya mahu melihat potensi baharu walaupun bidang saya (perakaunan) tidak terjejas teruk di sebalik kejatuhan harga minyak dan gas serta pandemik Covid-19.

“Saya percaya program ini dapat membantu golongan terkesan dan peluang pekerjaan ditawarkan perlu dimanfaat sepenuhnya oleh peserta yang berjaya,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah Selangor Bekerja bakal diterus ikut SOP PKPB

SUNGAI BULOH, 22 NOV: Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 dalam skala kecil bersesuaian dengan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

EXCO pembangunan modal insan berkata sesi temu ramah dijalankan secara bersemuka dan maya bagi mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC).

“Berdasarkan rekod pendaftaran di laman sesawang JobMalaysia, Kerajaan Negeri menerima sebanyak 9,696 permohonan untuk menyertai Jelajah Selangor Bekerja 2020,” kata Mohd Khairuddin Othman dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 6,567 jawatan kosong ditawarkan oleh 37 majikan pada program yang berlangsung selama dua hari di Taman Gombak dan Saujana Utama.

Penganjuran di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Gombak dan Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Saujana Utama merupakan siri kedua dan ketiga. Siri pertama membuka tirai di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November lalu.

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi:

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja, harapan baharu buat penganggur

GOMBAK, 22 NOV: Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 memberi sinar baharu buat Juliana Mohd Janurudin mencari peluang sesuai selepas menganggur hampir dua tahun.

Pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dari United Kingdom itu mengakui sukar mendapat kerja berikutan situasi ekonomi tidak menentu disebabkan penularan Covid-19.

Pernah berkhidmat sebagai jurutera semi konduktor di sebuah kilang selama lima tahun, wanita berusia 39 tahun itu terpaksa melupakan hasrat bekerja semula selepas disahkan hamil.

“Saya pulang ke Malaysia pada 2018 ketika ekonomi sedang gawat dan ketika itu pula mengandung.

Juliana Mohd Janurudin, 39, ditemui Media Selangor selepas sesi temu duga ketika program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Keadaan itu membataskan peluang saya untuk kembali bekerja dalam bidang sama berkaitan kimia kerana berisiko,” katanya ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Selayang, Taman Gombak semalam.

Juliana yang ditemani suaminya Syed Mohd Nooh Syed Omar, 39, mengakui situasi getir ketika ini turut membataskan majikan menawarkan gaji setaraf kelulusan pemohon.

Bagi Hasnol Syazwan Hanafi, 26, walaupun minatnya ke arah seni dan reka bentuk, namun dia bersedia menceburi bidang lain sesuai dengan pengalaman kerja sebagai eksekutif pemasaran sebelum ini.

Dia menyifatkan pengalaman temu duga secara maya sebagai peluang menarik dan berharap program itu diteruskan bagi membantu individu terkesan.

Fatin Alya Mohamad Azman pula pertama kali menyertai sesi temu duga selepas menamatkan pengajian dalam bidang keusahawanan pada Julai.

“Menerusi program ini, pemohon dapat merasai pengalaman temu duga secara berdepan dan maya seiring norma baharu serta mengenali sesuatu syarikat dengan lebih baik,” kata gadis berusia 24 tahun itu.

Shahilah Shahbuddin, 24, ditemui Media Selangor selepas sesi temu duga ketika program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Pembinaan Shahilah Shahbuddin berkata sesi temu duga secara maya memberi pengalaman menarik buat dirinya.

Pernah bekerja dalam bidang pengangkutan sebelum diberi cuti tanpa gaji susulan Covid-19, gadis berusia 24 tahun itu kini menjual makanan bagi menampung perbelanjaan harian.

Jelajah Selangor Bekerja 2020 diteruskan hari ini di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor, Saujana Utama dan akan berlangsung di beberapa lokasi lain sehingga Disember.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peluang kerja walau lulus PMR, tempat kosong buat pemegang PhD

SHAH ALAM, 20 NOV: Sekalipun berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), mereka masih berpeluang mendapatkan pekerjaan melalui program Jelajah Selangor Bekerja 2020.

Dijadual berlangsung di Taman Gombak dan Saujana Utama hujung minggu ini, penganggur boleh memohon jawatan antaranya pembantu gudang dan operator pengeluaran.

Sebanyak 39 syarikat bakal menyertai program yang menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan mengikut kelayakan bermula dari PMR hingga ijazah doktor falsafah (PhD).

Program esok bakal diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak sementara Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Saujana Utama pada Ahad.

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi:

  • http://nfdot.com/ereg/views/jobfair
  • Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor
  • Instagram Jobs Malaysia Selangor
  • 03-5524 7740 dan 03-5523 1309

Berikut senarai syarikat dan jawatan ditawarkan:

GOMBAK – SENARAI SYARIKAT & JAWATAN KOSONG

PAYA JARAS – SENARAI SYARIKAT & JAWATAN KOSONG

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peluang kerja di Taman Gombak, Saujana Utama hujung minggu ini

SHAH ALAM, 20 NOV: Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 diteruskan lagi hujung minggu ini di Taman Gombak dan Saujana Utama.

Program di Gombak berlangsung esok di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Gombak manakala Ahad di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Saujana Utama.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman dijangka hadir di kedua-dua lokasi berkenaan.

“Program ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar yang hilang pekerjaan akibat penularan Covid-19,” kata pejabat EXCO.

Kelmarin, Khairuddin memaklumkan sebanyak 6,567 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi dua program itu selepas 37 majikan menyertainya. Gombak menyediakan 3,260 peluang pekerjaan manakala 3,307 ditawarkan di Saujana Utama.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.

Ahad lalu, seramai 20 daripada 100 peserta yang menghadiri temuduga program di Stadium Tertutup Kuala Selangor terus diterima bekerja. Ia akan diteruskan di Hulu Langat pada 29 November dan Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi:

  • http://nfdot.com/ereg/views/jobfair
  • Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor
  • Instagram Jobs Malaysia Selangor
  • 03-5524 7740 dan 03-5523 1309