Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 100,000 warga sektor runcit divaksin sebelum 31 Ogos

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Seramai 105,000 pekerja sektor peruncitan dijangka dapat divaksin sebelum 31 Ogos ini dengan pembukaan empat lagi pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di bawah Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC), kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat PPVIN RiVAC tambahan itu terletak di IOI City Tower, Putrajaya yang akan beroperasi pada 26 Julai hingga 13 Sept, Petaling Jaya Performing Art Center di Bandar Utama, Selangor (27 Julai hingga 20 Sept), Centro Mall di Klang, Selangor (26 Julai hingga 16 Sept) dan AEON Mall di Nilai, Negeri Sembilan yang tarikh operasinya akan diberitahu kelak.

Kenyataan itu menyebut PPVIN RiVAC pertama iaitu di Mid Valley Exhibition Center, Kuala Lumpur boleh menampung 31,500 orang untuk divaksinasi sepanjang ia beroperasi iaitu dari 26 Julai hingga 6 Sept.

Keempat-empat PPVIN tambahan masing-masing mempunyai kapasiti maksimum 21,000 orang sepanjang tempoh operasi.

“Melalui RiVAC, semua pekerja yang menyantuni pengguna dan menyediakan persiapan logistik dalam premis perniagaan sekurang-kurangnya telah membina imuniti diperlukan yang sekali gus mengurangkan risiko penularan termasuk pengguna dan ahli keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.

KPDNHEP juga meminta semua syarikat sektor peruncitan termasuk pasar raya, kedai runcit, stesen minyak, restoran, bengkel, kedai perkakasan serta kedai gunting rambut menyertai RiVAC dan mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi untuk pekerja dengan segera.

“Kementerian sedang menimbangkan untuk menjadikan vaksinasi semua pekerja sesebuah syarikat sebagai antara prasyarat untuk kelulusan beroperasi syarikat itu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutama bagi aktiviti ekonomi yang melibatkan sentuhan dan interaksi bersemuka secara berdekatan,” katanya.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui portal KPDNHEP https://rov.kpdnhep.gov.my/rov atau berhubung terus dengan Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian 03- 8882 5881/ 5905 atau e-mel kepada [email protected].

Program (RiVAC) dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi serta pemain industri peruncitan dan pengedaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Sektor runcit pulih separuh kedua 2020, didorong penggunaan tempatan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Sektor runcit dijangka pulih pada separuh kedua 2020 didorong oleh penggunaan tempatan, dengan jualan dijangka meningkat kepada 80 peratus daripada paras sebelum Covid-19 pada suku keempat daripada 70 peratus pada masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata terdapat tanda pemulihan berikutan ekonomi dibuka semula mencatatkan angka pengangguran yang lebih baik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Menurut jabatan itu, kadar pengangguran Malaysia pada Jun 2020 merosot bulan ke bulan kepada 4.9 peratus daripada paras tertinggi sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020 berikutan lebih banyak sektor, termasuk industri perkhidmatan, dibuka semula untuk memulihkan ekonomi negara selain membendung pandemik Covid-19.

“Tertakluk kepada sekatan pergerakan kedua, sektor itu akan kembali normal, dengan penggunaan tempatan menjadi pemacu pertumbuhan kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas sesi tertutup dengan peruncit di pusat beli-belah Sunway Pyramid semalam.

Mustapa berkata penting bagi rakyat Malaysia untuk menyokong produk tempatan berikutan industri pelancongan masih ditutup.

Beliau menjangka negara akan mencatatkan pemulihan ekonomi pada suku ketiga dan keempat, sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 Bank Negara sebanyak -3.5 peratus hingga -5.5 peratus selepas penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia H.C. Chan berkata pada Julai, sebanyak 90 hingga 95 peratus daripada perniagaan runcit menyambung semula operasi dengan pengunjung pusat beli-belah mencecah 80 peratus daripada paras sebelum Covid-19.

-BERNAMA