Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bendung Covid-19 di Kedah, Sarawak tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-15 hari ini dijangka tertumpu kepada perkara berkaitan langkah kerajaan untuk mencegah berlakunya gelombang baharu Covid-19 di Kedah dan Sarawak.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PAKATAN-Bandar Kuching) kepada Menteri Kesihatan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini.

Yii juga ingin tahu mengenai status kes wabak Covid-19 termasuk jumlah ujian saringan yang telah dijalankan di kedua-dua negeri berkenaan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) pula dijadual bertanyakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai mekanisme dan langkah konstruktif yang dirangka kerajaan bagi meningkatkan sekuriti makanan dalam negara terutamanya ketika menghadapi krisis seperti bencana wabak.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang dijangka melibatkan enam kementerian antaranya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemain industri, pakar digesa tingkat keupayaan sekuriti makanan

SERDANG, 16 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa kerajaan, industri mahupun pakar Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk berganding bahu meningkatkan keupayaan bidang sekuriti makanan di negara ini.

Baginda bertitah ia perlu ditingkatkan melalui penggunaan teknologi sistem pertanian pintar yang mampu menjana produktiviti dalam sektor pengeluaran makanan.

“Bidang sekuriti makanan ini harus dibangun bersama secara keutamaan termasuk menyediakan pelaburan atau dana penyelidikan dalam teknologi sistem pertanian.

“Teknologi pertanian ini termasuk kedudukan global (GPS) pertanian, nanoteknologi, robotik, automasi dan pertanian ketepatan berupaya meningkatkan keupayaan serta daya saing pengusaha sektor pertanian,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UPM ke-43, Di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, di sini hari ini.

Sultan Selangor turut bertitah graduan usahawan tani yang dikeluarkan UPM boleh mengaplikasikan amalan terbaik pertanian secara komersial dan berteknologi tinggi.

Justeru, titah baginda universiti berkenaan perlu terus giat mentransformasikan teknologi kepada satu bentuk produk atau pakej bersesuaian yang memenuhi kehendak dan permintaan pasaran.

“Kini, UPM sudah memfailkan lebih 2,700 harta intelek, melesenkan 190 teknologi untuk dikomersial dan menjana jualan kasar pengkomersialan produk melebihi RM60 juta.

“Sebagai contoh, produk REMDII UPM yang bebas steroid sudah dipasarkan di lebih 200 buah farmasi dan klinik di seluruh negara dan ia membantu lebih 10,000 penghidap ekzema, terutama dalam kalangan bayi serta kanak-kanak,” titah baginda.