SUBANG, 7 MEI : Kerajaan Selangor memperuntukkan RM 1 juta untuk menjayakan Karnival Anak Muda Selangorku khusus untuk mengembangkan bakat dan kebolehan anak muda dengan cara yang sihat.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri peka akan keinginan dan naluri anak muda untuk mencuba sesuatu yang baru termasuk berlumba motosikal dan aktiviti-aktiviti lasak.
Beliau berkatanya demikian ketika merasmikan upacara penutup Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” pusingan pertama di Speedway Plus Circuit Elite USJ semalam.
Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” ini memberi ruang kepada golongan muda yang meminati sukan perlumbaan bermotor mengembangkan bakat di tempat yang sah serta diiktiraf badan sukan permotoran tempatan.
Menurut Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, program ini bertujuan memberi impak kepada pembangunan serta mengembalikan kegemilangan sukan perlumbaan motor.
“Karnival ini julung-julung kali diadakan dan persedian penganjuran selama tiga tahun bagi mendapat kerjasama Automobile Association of Malaysia (AAM) dan Motorsports Association of Malaysia (MAM),” katanya ketika memberi ucapan di majlis yang sama.
Perlumbaan ini disertai hampir 300 pelumba dan kepada semua jenis model motosikal yang menggunakan sistem engin empat dan dua lejang berkuasa 150cc ke bawah.
Bagi kategori Marco Simoncelli Cup empat lejang pengubahsuaian penuh, tempat pertama dimenangi oleh Mohd Adib Rosli yang membawa pulang hadiah RM2,500. Tempat kedua dimenangi oleh Mohd Rizal Shahril dengan hadiah RM1,500 manakala tempat ketiga dimenangi Suhaizarul Suhaizat yang mendapat RM1,000.
Hadiah kesemua kategori disampaikan oleh Abdul Khalid diiringi Dr Yunus Hairi serta Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari dan MP Shah Alam, Khalid Samad.
Selain itu, karnival ini turut diserikan dengan kehadiran penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang turut memberikan kuliah santai sejurus selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Karnival tiga hari ini menyediakan pelbagai acara menarik seperti pameran motorshow dan cabutan plat nombor bertuah serta turut memberi peluang kepada usahawan-usahawan muda melalui pameran perniagaan.
Pusingan kedua Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun 2012 di litar yang sama.