Categories
AGENDA NASIONAL

Selvax Remaja: Selangor tidak pinggir pelajar maahad tahfiz

KLANG, 24 OKT: Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula 24 September lalu, Adam Izz’an Muhamad Nasir hanya mampu melihat rakan sebayanya mendapat suntikan pelalian itu dan menikmati kelonggaran diberikan.

Pelajar maahad tahfiz milik persendirian berusia 13 tahun berasal dari Subang itu menunggu gilirannya namun tidak kunjung tiba kerana program berkenaan mengutamakan remaja bersekolah di institusi di bawah Kementerian Pendidikan.

Namun, apabila Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Vaksin Selangor (Selvax) Remaja, Adam Izz’an meminta ibu bapanya mendaftarkannya dan bernasib baik kerana menjadi antara peserta awal program itu yang bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) dan ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (dua,kanan) beramah mesra dengan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Serbaguna MPK, Pandamaran Jaya, Klang pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Adam Izz’an berkata dia gembira kerana penantian mendapatkan suntikan vaksin berakhir yang memberi keyakinan kepadanya mengikuti proses pembelajaran secara bersemuka dan menjalani kehidupan seharian.

“Saya gembira Kerajaan Negeri bantu pelajar maahad dapat vaksin dengan cepat, bimbang juga kalau tunggu terlalu lama kerana Covid-19 masih berleluasa,” kata pelajar Maahad Tahfiz Bidayatul Hidayah, Kota Kemuning, Shah Alam itu.

Bagi seorang ibu, Foo May Fong,46, dia memilih Selvax Remaja kerana mahu anaknya, Liew Yu Ler,15 dan Liew Yu Shern disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.

“Sebelum ini kami tolak janji temu di PICK kerana program itu beri vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech), saya bimbang kerana kesannya lebih kuat untuk kanak-kanak…jadi saya lebih cenderung Sinovac.

“Perjalanan pemberian vaksin sangat baik dan kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil inisiatif itu untuk melindungi semua orang termasuk remaja,” katanya yang tinggal di Mahkota Cheras, Hulu Langat.

Program Selvax Remaja bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang hari ini sebelum diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat.

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Pemberian vaksin Sinovac kepada remaja dilulus KKM

KLANG, 24 OKT: Dato’ Menteri Besar menjelaskan pemberian vaksin Sinovac di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja dibenarkan secara bersyarat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mengikut keputusan Kerajaan Pusat suntikan pelalian jenis itu boleh diberikan kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun yang tidak mempunyai penyakit kronik.

Menurutnya, penerima suntikan Selvax Remaja diperiksa doktor untuk mengetahui status kesihatan mereka serta diberi penerangan bersama ibu bapa.

“Doktor akan bertanya soalan-soalan relevan sebelum mereka menerima vaksin,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Beliau mengulas pemberian vaksin Sinovac kepada peserta Selvax Remaja manakala vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Pada 1 Oktober lalu, mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 meluluskan penggunaan vaksin Sinovac kepada remaja berumur 12 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan PKBD  menyarankan penggunaan Sinovac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi.

Selain itu Sinovac turut diberikan kepada individu mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima Pfizer.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Sasar 10,000 remaja terima Vaksin Selangor

KLANG, 24 OKT: Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja bermula hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini lebih 3,000 individu berusia 12 hingga 17 tahun sudah dikenal pasti antaranya membabitkan pelajar maahad tahfiz dan mereka yang tidak lagi bersekolah.

Menurutnya, inisistif Kerajaan Negeri menjadi pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja untuk mempercepatkan imuniti kelompok golongan itu serta memberi perlindungan kepada golongan tercicir.

“Sambutan hari pertama program ini agak mengalakkan, sekiranya ini berterusan kita mungkin boleh dapat sekurang-kurangnya 10,000 remaja.

“Kita fokus remaja yang tidak dapat janji temu di bawah PICK Remaja,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang, Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Program Selvax Remaja bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan diperluas ke beberapa kawasan DUN antaranya Pandamaran, Bukit Lanjan dan Tanjung Sepat.

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Vaksin Selangor untuk remaja bermula November

SHAH ALAM, 17 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja untuk individu berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini dijangka bermula bulan hadapan, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata program bertujuan meningkatkan kadar vaksinasi golongan itu berjalan selepas berakhir Selvax bergerak.

“Kita mendapat sambutan baik daripada sekolah persendirian seperti maahad tahfiz. Ini akan mempercepatkan pelajar menerima pelalian.

“Selvax Remaja ini juga terbuka kepada pelajar yang tidak bersekolah. Mereka boleh datang untuk sertai dan mengambil suntikan,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Mariah berkata ibu bapa yang mahu anak mereka menerima vaksin Sinovac juga boleh menghantar anak mereka ke program percuma Kerajaan Negeri itu.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja sediakan Pfizer untuk golongan ini. Jadi ibu bapa yang tidak mahu (Pfizer) disuntik kepada anak mereka boleh sertai program kita. Apa pun ia bergantung kepada keputusan mereka,” katanya.

Pada 7 Oktober Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri laksana Vaksin Selangor untuk remaja dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 9 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja  melibatkan 150,000 dos pelalian akan dilaksana dalam masa terdekat, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mekanisme pelaksanaan program itu sedang dimuktamad dan akan diumum dalam masa terdekat.

Menerusi perkongsian infografik di Facebook, inisiatif berkenaan memfokuskan pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di Selangor berusia 12 hingga 17 tahun.

Selain itu, program turut menyasarkan pelajar sekolah agama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta sekolah jenis kebangsaaan Cina dan Tamil (SJKC & SJKT).

Pada Jun lalu, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.