Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Judi: Polis tahan 5,590 individu, rampas 9,817 peranti

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Polis menahan 5,590 individu dan merampas 9,817 peranti elektronik serta wang tunai yang dianggarkan bernilai RM1.04 juta berkaitan perjudian haram sejak awal Januari sehingga Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata semua tangkapan dan rampasan itu dilakukan dalam 3,015 serbuan di seluruh negara.

Beliau berkata tahun lepas, seramai 10,303 individu ditahan dan pelbagai rampasan dibuat bernilai RM1.3 juta.

“Sebanyak 61 sindiket judi telah ditumpaskan tahun ini berbanding hanya 32 sindiket pada tahun lepas.

“Polis turut mengambil tindakan terhadap 372 individu di bawah Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 pada tahun lepas manakala 185 individu ditahan di bawah akta sama tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata pembanterasan judi haram ini akan diperkasakan dengan tindakan memotong bekalan elektrik ke atas premis perjudian yang diserbu.

“Pada tahun lepas sebanyak 461 premis telah dipotong bekalan elektrik manakala sebanyak 518 premis terlibat sehingga Julai 2020, selaras dengan peruntukan Seksyen 21A, Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata polis juga bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen perniagaan premis yang menjalankan kegiatan judi haram di seluruh negara.

“Tahun lepas, dua lesen perniagaan dibatalkan PBT manakala pada tahun ini sebanyak empat lesen dibatalkan,” katanya yang turut mencadangkan agar PBT menyita premis perjudian haram mengikut peruntukan undang-undang.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MPSJ serbu 6 pusat siber judi

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 15 NOV – Enam buah pusat siber judi online diserbu pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam operasi selama dua hari yang dilakukan baru-baru ini.

Dalam operasi pertama pada 12 November lalu, serbuan diketuai Tn Ravithran Raman bersama 21 orang anggota penguatkuasa di kawasan USJ 1, Subang Jaya, sebanyak tiga buah premis yang menjalankan kegiatan haram berkenaan diserbu kerana didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen MPSJ.

Hasil dari siasatan yang dijalankan, pengusaha premis turut menggajikan pekerja warga asing sebagai penjaga di kaunter bayaran.

Malah, kesemua premis berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) serta pintu besi automatik bagi menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

20131112_215804Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ Tn.Mejar(b) Mohd Rasip Bin Rasul, berkata premis berkenaan turut menggunakan pintu kecil di bahagian tepi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Ada juga premis yang hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk ke dalam premis untuk berjudi,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebanyak 93 monitor, 71 unit pemprosesan komputer (CPU) dan lain-lain peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian disita dan premis juga diarah tutup serta merta.

Dalam operasi hari kedua yang dilakukan di Kompleks Puchong Perdana, Puchong, sebuah premis pusat siber yang menjalankan aktiviti perjudian diserbu kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari MPSJ.

Ketika serbuan yang dilakukan pada 13 November lalu, premis yang baru beroperasi selama sebulan itu dipenuhi pengunjung berbangsa Melayu yang leka bermain judi.

20131113_151434Selain itu, premis itu juga menawarkan sebuah bilik khas yang dilengkapi tempat duduk untuk bermain judi dan layanan istimewa seperti makanan dan lain-lain.

Serbuan seterusnya dilakukan di kawasan Perindustrian Subang Hitech Batu 3, Shah Alam, dua premis pusat judi online juga diserbu kerana didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Hasil serbuan, sebanyak 102 set peralatan komputer berunsur perjudian dan tindakan penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Siber 2007 MPSJ 2007 kerana menjalankan aktiviti perniagaan pusat siber tanpa lesen dari MPSJ.

Enam pengusaha premis berkenaan dikenakan denda maksimum sebanyak RM1,000.

Dalam pada itu, MPSJ dalam satu kenyataannya, berkata statistik tindakan yang dikenakan kepada pengusaha pusat siber haram ini menurun daripada tahun 2011 hingga November 2013.

Pada 2011 menunjukkan sebanyak 157 premis dikenakan tindakan dan 2149 peralatan set komputer disita, manakala 2012, sebanyak 352 premis didakwa dan 5587 peralatan komputer disita dan sehingga November 2013 sebanyak 161 premis dikenakan tindakan dan 2970 peralatan komputer disita.

Jumlah itu menunjukkan penurunan dan pengurangan premis pusat siber yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di seluruh kawasan MPSJ.

Pihak Jabatan Penguatkuasa MPSJ akan terus menjalankan rondaan, tindakan operasi serta siasatan ke atas semua premis pusat siber haram ini dari semasa ke semasa.

-EZY