Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sekolah dibuka mulai 1 Mac secara berperingkat

SHAH ALAM, 19 FEB: Sesi persekolahan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan kumpulan pertama membabitkan pelajar prasekolah, tahun satu dan dua.

Menteri kanan (pendidikan) berkata pelajar tahun tiga hingga enam pula akan mula hadir ke sekolah pada 8 Mac.

“Pelajar prasekolah, tahun satu dan dua lebih awal hadir bagi membiasakan mereka dengan SOP (tatacara operasi piawai) memandangkan tahun lalu kehadiran agak terhad.

“Jadi kementerian memutuskan mereka lebih awal selain memberi ruang kepada guru untuk bersedia dengan SOP serta mencari kaedah terbaik,” kata Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media hari ini.

Menurutnya pelajar sekolah menengah di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan hadir ke sekolah mulai 4 April manakala negeri lain pada esoknya.

Katanya, pelajar Sijil Vokasional Malaysia Tahun Satu dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu ditetapkan ke sekolah mulai 1 Mac.

“Pelajar tingkatan satu hingga lima akan ke sekolah selepas cuti pertengahan penggal yang bermula hujung Mac selain selepas peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia selesai.

“Jadual pembukaan sekolah swasta juga sama mengikut kategori. Semua terpakai untuk sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, swasta dan institusi berdaftar dengan kementerian,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah di negeri PKPB, PKPP bermula 20 Januari kecuali tingkatan 2 dan 3

SHAH ALAM, 12 JAN: Sesi persekolahan negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) bakal bermula pada 20 Januari.

Menteri kanan (pendidikan) bagaimanapun berkata kebenaran tersebut tidak tertakluk kepada pelajar tingkatan dua dan tiga yang menjalani pengajaran serta pembelajaran di rumah sehingga 8 Mac sebelum dibenarkan ke sekolah.

“Pelaksanaan kelas secara bersemuka di negeri PKPB dan PKPP melibatkan murid pra sekolah serta darjah satu hingga enam.

“Untuk sekolah menengah pula, sesi persekolahan untuk tingkatan satu dan empat, tingkatan lima bagi sesi 2020 dan 2021 serta tingkatan 6 (2020, 2021),” kata Dr Radzi Jidin menerusi sidang media hari ini.

Semalam kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKPB pula di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terengganu dan Kelantan manakala PKPP melibatkan Perlis dan Sarawak.

Pelaksanaan selama 14 hari bermula esok sehingga 26 Januari.