KUALA LUMPUR, 9 APRIL: PKR mendesak Kerajaan Malaysia agar mencagarkan harta keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai timbal balik pembayaran bagi pinjaman RM 250 juta untuk Projek Fidlot Nasional (NFC).
Cara tersebut adalah yang paling berkesan bagi memastikan yang NFC Corp, syarikat yang mengendalikan NFC, dapat membayar balik pinjaman tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata tanggungjawab bagi mendapatkan semula wang tersebut terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Menurut beliau, memandangkan operasi dan prestasi kewangan NFCorp tidak memungkinkan syarikat itu membayar balik pinjaman, maka tindakan paling wajar ialah mengenakan syarat ‘jaminan peribadi’ ke atas keluarga beliau.
“Jika NFCorp gagal membayar jumlah pinjaman pertama dalam tempoh dua minggu maka Najib perlulah mengambil tindakan melelong harta-harta tersebut untuk mendapatkan kembali dana rakyat,” katanya.
Tegas Rafizi, jika cagaran harta peribadi tidak berlaku dalam seminggu, PKR akan mendedahkan harta-harta lain yang telah diperoleh keluarga Shahrizat dan penyelewengan lain yang bersabit NFCorp.
Sebelum ini, skandal NFC Corp, syarikat yang dikendalikan oleh suami dan anak lelaki Shahrizat, memaksa beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kommuniti.
Pada March 12, suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke mahkamah sesyen Kuala Lumpur di atas dua caj pecah amanah bersabit pembelian dua unit condo bernilai RM 49.7 juta.
Mohammad Salleh mengaku tidak bersalah.