Categories
AGENDA JENAYAH

Polis kesan sindiket ubah makmal dadah ke luar bandar

SHAH ALAM, 7 NOV: Sindiket tempatan kini menjadikan kawasan luar bandar sebagai lokasi makmal memproses dadah bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata, trend berpindah ke kawasan luar bandar itu dikesan berdasarkan pembongkaran beberapa makmal dadah di kawasan luar bandar hasil operasi polis tahun ini.

“Tahun ini sahaja polis berjaya membongkar 19 makmal memproses dadah di seluruh negara dan daripada jumlah itu, terdapat peningkatan dari segi trend lokasi seperti makmal yang kami lumpuhkan terletak di kawasan luar bandar.

“Seperti contoh makmal dadah yang dilumpuhkan di Meru, Klang bulan lepas…makmal itu terletak di luar bandar berhampiran kawasan kampung,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Khalil menasihati penduduk kampung agar membuat laporan polis sekiranya melihat pergerakan kenderaan keluar masuk yang luar biasa di kawasan mereka.

Mengenai anggota polis yang terlibat dalam kegiatan dadah, Mohd Khalil berkata, pengaruh rakan dan tekanan kerja merupakan faktor utama yang membawa kepada penglibatan anggota pasukan keselamatan itu dalam gejala dadah.

Katanya, kerjaya sebagai pasukan keselamatan itu berdepan dengan pelbagai tekanan sehingga mereka menjadikan dadah sebagai sumber hiburan.

“Tidak dinafikan dalam kalangan mereka ini terlibat dengan kegiatan dadah disebabkan pengaruh rakan mereka selain tekanan kerja sebagai polis itu sifatnya mencabar.

“Hasil siasatan dijalankan menerusi tangkapan menerusi Op Blue Devil sejak dilancarkan Ogos lepas mendapati ada juga dalam kalangan mereka menjadikan dadah sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Mohd Khalil berkata, secara keseluruhan Op Blue Devil turut memberikan kesan positif dalam kalangan pegawai dan anggota polis sedia ada dan ada dalam kalangan mereka yang telah melakukan perubahan dalam diri mereka.

“Kami turut mempergiatkan lagi usaha-usaha membendung perkara ini daripada terus berlaku menerusi taklimat terhadap anggota polis pelatih termasuk yang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seramai 190 pegawai dan anggota polis ditahan di seluruh negara selepas didapati positif dadah menerusi Op Blue Devil sejak Ogos lepas.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sindiket seludup rokok bernilai RM1.6 juta tumpas

JOHOR BAHRU, 9 APR: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok tidak sah membabitkan rampasan bernilai RM1.6 juta dalam satu serbuan di sebuah kawasan perindustrian Taman Johor, di sini, awal pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata dalam serbuan pada 2 pagi itu, pasukannya yang terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota melakukan risikan dan serbuan, setelah mendapati dua orang lelaki sedang memunggah sejumlah kotak dibungkus plastik hitam daripada sebuah van ke dalam lori.

Katanya, sindiket penyeludupan dari negara jiran yang dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun itu, menggunakan jalan darat sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menyedari kehadiran polis, dua lelaki itu cuba melarikan diri, tetapi pihaknya berjaya menahan seorang dengan seorang lagi berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut di van dan lori berkenaan menjumpai sebanyak 205 kotak rokok putih jenama Concept pelbagai perisa yang mengandungi 102,500 paket rokok dengan anggaran nilai RM1.6 juta,” kata beliau dalam sidang media di Markas PPM Wilayah 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) ACP Mohd Taib Ahmad.

Khiu berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan bagaimana sindiket penyeludupan bagi pasaran tempatan itu menggunakan jalan darat dan berjaya melepasi pemeriksaan yang ketat oleh agensi penguatkuasaan.

“Biasanya (sindiket penyeludupan) ikut laut (seludup), (tetapi) sekarang ikut darat. Kita percaya ini bukan kali pertama (mereka seludup guna jalan darat).

“Mungkin mereka ada helah, kalau kita lihat pemeriksaan secara visual dari luar, kita akan nampak van ini kosong dengan kerusi yang kosong tetapi sebenarnya ia (rokok) disembunyikan di bawah kerusi,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebuah lori Mitsubishi Fuso, sebuah van Nissan Urvan dan sebuah Proton Wira yang dipercayai milik seorang suspek lelaki yang terlepas dalam serbuan tersebut dengan nilai keseluruhan rampasan kenderaan bernilai RM145,000.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 30 tahun warga tempatan yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine dan direman tujuh hari mulai hari ini sehingga 15 April.

“Kes disiasat mengikut Sesyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan membawa barang yang dilarang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tubuh pasukan khas banteras pinjaman wang tak wujud

SHAH ALAM, 29 SEPT: Satu pasukan khas perlu ditubuhkan dalam usaha membanteras penipuan pinjaman wang yang tidak wujud melalui iklan di laman sosial, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Nadzim berkata, mereka yang terbabit dalam kegiatan tidak bertanggungjawab itu perlu ditahan, manakala pasukan khas yang ditubuhkan perlu disertai Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengatasi masalah berkenaan.

iklan haram2“Dulu, peminjam wang tidak berlesen (Ah long) perlu membayar ‘bunga’ yang tinggi tetapimereka kini memperdaya mangsa untuk membayar puluhan ribu kononnya sebagai yuran proses pinjaman itu,” katanya di ibu negara semalam, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, permohonan peminjam wang tidak berlesen itu masih tidak mendapat kelulusan dan disyaki tidak wujud walaupun mangsa sudah membayar pelbagai caj yang diminta.

Katanya, pemerdayaan mangsa dipercayai ekoran paparan logo Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang diiklankan sindiket menyebabkan pihak terdesak yang memerlukan wang percaya dengan iklan berkenaan.

Nadzim berkata, pihaknya menerima lebih 10 laporan berhubung masalah itu dan berharap tindakan segera diambil bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

Categories
SELANGOR

Warga emas putih mata, ‘polis’ kebas RM30,000

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 11 MAC: Orang ramai diminta berhati-hati terhadap sindiket penipuan terancang yang mensasarkan orang awam khususnya warga emas sebagai mangsa.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, mangsa terbaru sindiket itu adalah seorang warga emas yang tinggal di kawasan berkenaan.

“Pada tengah hari kejadian, anak warga emas itu yang berumur 30-an balik ke rumah dari tempat kerja untuk makan tengah hari.

PC Hannah Yeoh cat 12 blok flat USJ 6 (3)“Tidak berapa lama selepas anaknya keluar semula ke tempat kerja, si ibu menerima panggilan telefon daripada pihak ‘polis’ yang memberitahu anaknya ditahan dalam sekatan jalan raya kerana membawa dadah dalam kenderaannya.

“Polis itu juga memberitahu, si ibu perlu menyerahkan RM30,000 kepada mereka jika mahu melepaskan anaknya daripada hukuman itu,” katanya dalam sidang media, di Subang Perdana Court 2, di sini, hari ini.

Katanya, warga emas itu berasa yakin kerana mendengar suara latar seperti tangisan anaknya ketika sedang bercakap dengan ‘pegawai polis’ berkenaan.

Cubaan warga emas itu menghubungi telefon bimbitnya anaknya juga gagal, sekali gus mengesahkan lagi penangkapan terbabit.

Hannah berkata, akibat panik bercampur perasaan kasih terhadap anaknya, warga emas itu bergegas pergi ke bank mengeluarkan wang RM30,000 dan meletakkannya di hadapan sebuah bank di Taipan USJ seperti diarahkan ‘polis’ terbabit.

“Kemudian, dia hubungi saya dan tanya apa yang perlu dilakukan. Saya hubungi polis dan mendapat maklumat tiada sekatan jalan raya dan penahanan itu.

jenayah 1“Pegawai polis juga memberitahu saya, kejadian menimpa warga emas itu bukan yang pertama tetapi sudah beberapa kali,” katanya.

Polis juga memberitahu sindiket itu menjalankan penipuan dengan modus operandi yang sangat terancang termasuk peralatan canggih hingga mampu menyekat talian telefon milik mangsa dan mengenal pasti profil mangsa dengan terperinci sebelum menjalankan operasi.

“Bagaimanapun, warga emas tadi tidak membuat laporan polis sebab bimbang akan disoal siasat atas cubaan menyogok RM30,000,” katanya.

-NFN-