Categories
NASIONAL

Himpunan Suara Rakyat 505: SUARAM Sedia Peguam, SMS Maklumat Jika Ditahan

amcorp mall himpunan blackout 505 01

SHAH ALAM, 25 MEI: Pertubuhan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyediakan khidmat guaman bagi membantu perserta Himpunan Suara Rakyat 505 yang ditahan polis malam ini.

Menurut peguam SUARAM, Murnie Hidayah Anwar, peserta perhimpunan yang ditahan dinasihatkan menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke nombor yang disediakan bagi memudahkan SUARAM mengambil tindakan  seterusnya dengan kadar segera.

“Orang kena tahan (OKT) boleh hantar mesej nama penuh, nombor kad pengenalan, balai mana ditahan dan jika cedera melalui SMS dan SUARAM akan hantar peguam ke balai polis di mana orang kena tahan (OKT) diletakkan.

“Jangan telefon, tetapi SMS lebih memudahkan kami ambil butiran orang kena tahan,” kata Murnie ketika dihubungi TV Selangor.

Talian untuk mesej tersebut adalah: 017-328 8794 (Murnie), 010-214 2076 (Farhana), 012-625 5384 (Hida), 012-896 5727 (Sam), 017-332 5424 (Hasbee), 013-384 5740 (Theva) dan 012-499 4872 (Yu Lin).

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluahkan keyakinan pihak polis mampu mengawal perhimpunan yang beliau sifatkan sebagai perhimpunan haram itu.

Ahmad Zahid turut mengingatkan peserta perhimpunan agar tidak menimbulkan kekacauan serta provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Himpunan Suara Rakyat 505 yang juga dikenali Himpunan Blackout 505 pertama kali diadakan di Stadium Kelana Jaya 8 Mei lalu ekoran protes terhadap penipuan dan penyelewengan yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Categories
SELANGOR

Penduduk Kg Kubu Gajah Gembira MBSA Selesai Masalah Sampah

samph 2

SUNGAI BULOH 26 DIS : Masalah sampah tidak dikutip selesai dalam masa beberapa jam sahaja selepas aduan diajukan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Setelah seminggu menahan bau dan suasana kurang menyenangkan akibat sampah bertimbun, penduduk Kampung Kubu Gajah kini berasa lega masalah tersebut selesai hasil tindakan pantas MBSA.

“Pagi tadi saya memanjangkan aduan kepada pihak MBSA melalui panggilan telefon dan tidak sampai setengah hari, saya dapati pihak kontraktor sudah datang kutip sampah.

“Kalau saya tahu secepat ini, dari awal lagi saya sudah mengadu kepada MBSA.

“Harap pihak kontraktor juga dapat menjalankan kerja-kerja dengan konsisten selepas ini,” ujar Zainal Sabri, 48, yang tinggal di Jalan Gajah 3 di sini.1

Seorang lagi penduduk, Piah Kachil 60, turut berasa lega kerana masalah tersebut selesai dalam masa singkat.

“Bukan apa, jika sampah bertimbun, kita bimbang pelbagai penyakit pula muncul nanti.

2“Terima kasih pada pihak MBSA yang bertindak pantas mencegah masalah ini daripada terus berlarutan,” kata nenek kepada sembilan cucu ini.

Awal tahun ini, MBSA mewujudkan Bilik Operasi Sampah (BOS) bagi membolehkan orang ramai mengadu masalah sampah di talian 03-5510 5461 atau 03-5513 0878.

Bilik gerakan tersebut boleh dihubungi setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali hari Sabtu yang dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.

Penduduk juga boleh menghantar aduan melalui ‘Sistem Pesanan Ringkas’ (SMS) ke talian 15888.