Categories
SELANGOR

Sampah haram: JAS tidak akan berkompromi

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 31 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor tidak akan berkompromi terhadap isu pembuangan sampah haram yang kini semakin berleluasa.

Pengarah JAS Selangor, Siti Zaleha Ibrahim berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas individu terbabit dengan pembuangan sampah haram yang menjadi punca utama berlakunya pembakaran terbuka.

“Aktiviti pembuangan sampah haram ini, harus dihentikan segera dan pihak yang membuang sampah perlu mempunyai kesedaran tinggi.

“Pihak yang membuang sampah secara haram demi meraih keuntungan perlu mengambil serius risiko seperti pencemaran alam sekitar dan gangguan kepada penduduk setempat sehingga menyebabkan bau busuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat Selangor 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Bukit Kuda, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) perlu mengambil tindakan menghalang mana-mana lori melupuskan pembuangan sampah di tempat yang tidak dibenarkan bagi mengelak ia terus berleluasa.

“Sekiranya terdapat masalah pencemaran di tempat tersebut, pemilik tanah mesti diarahkan oleh PBT dan PTD untuk membuat kerja pembersihan supaya tiada sampah dibiarkan di situ atau buat penutupan selamat bagi mengelakkan pencemaran.

“Orang ramai boleh membuat aduan berkenaan pembuangan sampah haram kepada JAS, namun PBT akan menguruskannya kerana pengurusan sampah adalah di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Karnival Alam Sekitar Tahun Ini Memperbudayakan Ekonomi Hijau

BANGI, 17 JUN: Karnival Hijau Alam Sekitar sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2012 berlangsung meriah di Taman Tasik Cempaka meskipun dalam suasana hujan.

Acara tahunan yang disambut setiap 5 Jun ini memberikan peluang kepada ibu bapa dan anak-anak beriadah sambil menambah pengetahuan tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Tema tahun ini ‘Green Economy: Does It Include You?’ membawa mesej bahawa green economy boleh menambahbaik kehidupan manusia, mengimbangkan ekuiti sosial dan mengurangkan kepincangan ekologi.

Program hari ini bermula seawal jam 7.00 pagi dengan acara berbasikal sejauh 13 km mengelilingi Bandar Baru Bangi yang disertai lebih 30 peserta dari pelbagai peringkat.

Turut diadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, cabutan bertuah bagi peserta berbasikal, pameran hijau dan persembahan daripada pelajar sekolah.

Pembantu Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Lee Kim Sim hadir merasmikan Karnival Hijau Alam Sekitar mewakili Exco Selangor, Elizabeth Wong.

Hadir sama, Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Siti Zaleha Ibrahim dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman.