Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN 50 Tahun = Lima Sekolah Agama, PR Selangor Lima Tahun = Lima Sekolah Agama

SRA PR selangor 01

BANGI, 6 JAN : Hanya dalam tempoh empat tahun, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor berjaya membina lima buah sekolah rendah agama (SRA) di Bangi berbanding Kerajaan Umno-BN yang mengambil 50 tahun untuk membina jumlah sekolah yang sama.

Terbaru, sebuah SRA empat tingkat sedang dalam proses pembinaan di Kampung Sungai Tangkas, di sini dengan menggunakan peruntukan sejumlah RM 2.5 juta daripada Kerajaan Negeri.

Sekolah tersebut merupakan yang ke-lima dibina selepas Pakatan Rakyat mentadbir Selangor bermula pada Mac 2008.

Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar berkata, bangunan sekolah terbaru itu terletak di atas tanah dua ekar. Projek itu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri pada September 2011 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.

Menurutnya, ia mampu menampung lebih ramai murid di kawasan Bangi untuk mendalami pendidikan Islam dengan lebih baik dan teratur.

“Kelulusan untuk membina SRA di Sungai Tangkas amat cepat. Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, ketua kampung diarah untuk mencari tapak.

“Sekolah ini terdiri daripada dua bangunan empat tingkat yang dilengkapi 30 buah kelas dan sebuah kantin.

“Ia mampu menampung keperluan penduduk di kawasan ini untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap perkembangan pendidikan islam.

“Di Dun Bangi sahaja ada sepuluh buah sekolah. Lima daripadanya dibina semasa pemerintahan Datuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” katanya semasa memberi ucapan sempena Program Mesra Rakyat dan Kenduri Kesyukuran di Kampung Sungai Tangkas, di sini tengah hari tadi.

Program itu turut disertai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Serdang, Teo Nie Ching, MP Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, pembinaan SRA di kawasan itu akan memudahkan penduduk setempat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memantau projek pembinaan sekolah itu bagi memastikan ia siap dalam tempoh yang ditetapkan.

SRA PR selangor 02

Categories
SELANGOR

Masjid Baru Akan Dibina Jika Jumlah Jemaah Mencukupi

Majlis Mesra Rakyat dan Kesyukuran di Masjid Al-Umm(Bangi)-MB 01

BANDAR BARU BANGI 6 Jan : Kerajaan Selangor menerima banyak permohonan bagi membina masjid di seluruh negeri akan tetapi, penilaian akan dibuat berdasarkan jumlah qariah yang hadir di sesuatu surau untuk menunaikan solat fardhu.

“Saya akan bagi test dahulu. Saya akan tanya jumlah jemaah yang hadir solat pada solat Maghrib dan Isyak,? kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid.

“Ada yang beritahu kalau masa solat Aidilfitri dan Aidiladha sampai melimpah. Itu kita tidak kira. Kita lihat pada solat fardhu.

“Kalau tidak mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus (daripada jumlah qariah), kita tidak akan benarkan,” kata Abdul Khalid, yang juga exco agama Islam Selangor.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra dan Kenduri Kampung di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi.

Di majlis tersebut, Abdul Khalid dibawa melihat tapak pembinaan Masjid Al-Umm di atas sebidang di Jalan 1/4A.

Tanah seluas dua ekar ini diluluskan kerajaan melalui Warta Kerajaan pada September 2010 dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meluluskan pembinaannya pada Jun 2011.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Pembinaan Masjid Al-Umm Dr Shafie Abu Bakar, masjid ini dibina untuk memenuhi hasrat penduduk Bandar Baru Bangi yang ingin menjadikan Masjid Al-Umm ‘Wadi Ilmu’.

“Untuk memenuhi keperluan solat Jumaat penduduk Bandar Baru Bangi terdapat beberapa surau ditauliahkan untuk mendirikan Solat Jumaat.

“Diantara surau-surau tersebut adalah An-Nur, As-Sobah, Bangi Perdana, Al-Kauthsar dan Al-Falah,” katanya.

Masjid tiga tingkat ini yang direkabetuk oleh Arkitek Urusbina dapat menampung sebanyak tiga ribu jemaah.

Selain daripada ruang solat, ia juga dilengkapi dengan dewan serbaguna dan pelbagai kemudahan lain.

Kos pembinaan kira-kira RM 11.2 juta diperoleh melalui sumbangan orang ramai, sijil wakaf dan tabung derma yang diletakkan di surau dan masjid lain.

Kerajaan negeri juga akan memberikan bantuan kewangan melalui rizab simpanan negeri sekiranya kos pembinaan tidak mencukupi.

Majlis pelancaran Tabung Pembinaan dan Pengurusan Masjid Al-Umm diadakan pada 19 Mei 2012.

Pembinaan masjid dijangka bermula pada Mac 2013 dan dijangka siap pada September 2014.

Mereka yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan dan wakaf boleh menyalurkannya melalui no akaun Maybank Islamic Bandar Baru Bangi, 5628-3460-7208 atas nama ‘Tabung Masjid Al-Umm’.

Majlis Mesra Rakyat dan Kesyukuran di Masjid Al-Umm(Bangi)-MB 02

Majlis Mesra Rakyat dan Kesyukuran di Masjid Al-Umm(Bangi)-MB 03

Categories
SELANGOR

RM80 Juta Menaiktaraf Jalan Reko Kajang – Bangi

SHAH ALAM 30 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM80 juta bagi menaiktaraf jalan dan pemasangan tiang lampu antara Jalan Reko Kajang ke Pekan Bangi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam pada itu, Ronnie berkata, sumber elektrik kepada tiang lampu jalan di laluan jalan raya dari UKM ke Pekan Bangi Lama akan dimula dibekalkan selewat-lewatnya awal Disember ini.

Sebelum ini, sebanyak RM250,000 diperuntukkan melalui Geran Selangorku bagi pemasangan 70 buah tiang lampu jalan di laluan sejauh lima kilometer itu.

Pemasangan lampu jalan ini bertujuan bagi memudahkan penduduk di kawasan Bangi lama dan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini di waktu malam yang terdedah kepada pelbagai risiko kecelakaan.

Selain itu, Ronnie turut memberitahu DNS bahawa kerja-kerja menaiktaraf Jalan Reko dari Kajang ke UKM juga telah dimulakan pada 2 November 2012 lalu.

Categories
SELANGOR

Prestasi Bola Sepak Selangor Masih Membanggakan

SHAH ALAM, 28 NOV: Pencapaian pasukan bola sepak Selangor menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Malaysia 2012 disifatkan suatu pencapaian yang masih boleh dibanggakan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kejayaan pasukan Selangor itu lebih baik berbanding pasukan lain yang berbelanja tinggi tetapi tiada impak.

Walaubagaimanapun, bagi musim 2013 seramai 11 pemain baru diserapkan ke dalam skuad bola sepak ini yang terdiri daripada bekas pemain Harimau Muda, bekas pemain pasukan negeri lain dan bekas pemain Piala Presiden Selangor.

“Seramai 12 pemain lama dan kurang berkesan ditukarkan dan diganti dengan pemain baru bagi menggalas misi pada tahun hadapan,” katanya yang merupakan Adun Sijangkang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) ketika sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS) mengenai prestasi skuad bola sepak Selangor hari ini.

Dalam saingan Piala Malaysia 2012 lalu, pasukan Selangor tewas di peringkat separuh akhir kepada pasukan Kelantan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut bersetuju akan memberikan insentif kepada pemain bola sepak Selangor jika berjaya mendapat sebarang piala dalam setiap kejohanan yang disertai.

Selain itu, Dr Ahmad Yunus turut menyifatkan penglibatan ahli politik dalam sukan bola sepak di negara ini tidak menjadi suatu kesalahan besar jika komitmen yang diberikan sepadan dengan tanggungjawab yang dipikulnya dalam pasukan itu.

“Jika ahli politik dapat memberikan komitmen yang tidak dapat diberikan oleh orang biasa, pada saya, ia tidak menjadi suatu kesalahan demi meningkatkan mutu permainan bola sepak sesuatu pasukan itu,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

38 Dataran Belia Dibina Seluruh Selangor

SHAH ALAM, 19 NOV : Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 38 Dataran Belia di seluruh Selangor dengan 10 daripadanya siap sepenuhnya untuk digunakan bagi aktiviti riadah dan sukan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pembinaan tersebut dirangka bagi kegunaan ramai terutama golongan belia dan muda dengan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan satu Dataran Belia.

“Syarat bagi tujuan itu adalah dataran harus berada di atas tanah milik kerajaan dengan keluasan minima 683 meter persegi bagi gelanggang seberguna serta 458 meter persegi bagi Dataran Belia.

“Kemudahan disediakan termasuk gelanggang serbaguna untuk futsal, bola jaring dan sepak takraw yang berpagar serta kemudahan tandas selain Dataran Belia yang dilengkapi pentas,” katanya menjawab pertanyaan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan selain jumlah dinyatakan, lima kawasan sedia ada sedang dibaik pulih bagi tujuan sama.

Categories
SELANGOR

Generasi Muda Perlu Terus Warisi Tradisi Permainan Kompang

SHAH ALAM, 30 OKT : Seni Kompang yang menjadi salah satu budaya kesenian masyarakat Melayu di negara ini perlu dikekalkan agar warisan ini tidak pupus ditelan kemajuan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi berkata, Negeri Selangor perlu mempunyai identiti cara permainan kompangnya yang tersendiri agar keunikan itu dapat dijelmakan dalam kepelbagaian seni permainannya di negara ini.

Katanya, beliau akan terus mendukung usaha aktiviti-aktiviti memartabatkan budaya kompang ini agar terus berkekalan menjadi identiti unik masyarakat Melayu.

Malahan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) disaran terus melaksanakan aktiviti penulisan dan pendokumentasian berkaitan budaya kompang agar dapat dimanfaatkan oleh semua.

“Diharap kita dapat terus berusaha memartabatkan seni kompang ini supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

“Melalui bengkel ini diharap peserta dapat menimba ilmu dan bukan sekadar program sekali sahaja dan dapat diperkembangkan ke peringkat daerah-daerah di negeri Selangor supaya dapat menghidupkan budaya kompang,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 peserta Bicara Seni Kompang Tradisi Melayu yang diadakan di Dewan Raja Lumu Muzium Sultan Alam Shah di sini.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi PADAT, Dr Shafie Abu Bakar.

Dr Yunus juga berkata, tradisi pembuatan kompang juga perlu dihidupkan oleh generasi muda agar dapat memupuk semangat mencintai kesenian Melayu disamping memperkembangkan permainan itu di peringkat yang lebih luas.

“Kita mahu terus menghidupkan kebudayaan masyarakat Melayu yang juga sebagai alat perpaduan masyarakat.

“Diharap selepas ini lebih ramai anak-anak muda dan juga belia terus dapat memainkan kompang dan bukan hanya orang-orang veteran,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

70 Lampu Jalan Atasi Risiko Kemalangan Ke Pekan Bangi

SHAH ALAM 6 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM250,000 melalui geran Selangorku bagi pemasangan lampu jalan di laluan sejauh lima kilometer antara jalan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) ke Pekan Bangi Lama.

Sebanyak 70 lampu jalan dipasang bagi memudahkan penduduk Bangi Lama dan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini di waktu malam yang terdedah kepada pelbagai risiko kecelakaan.

Kelmarin, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar bersama wakil Jabatan Kerja Raya Selangor(JKR) meninjau bagi melihat pemasangan lampu jalan berkenaan.

Sementara itu, Dr Shafie berkata, JKR memaklumkan permohonan dibuat bagi memasang lampu di atas jalan itu pada bulan Julai tahun ini dan sebanyak 49 lampu sudah siap dipasang.

“Ini bermakna sebanyak 21 tiang perlu dipasang lagi hingga ke Pusat Penyelidikan Atom di Jalan UKM-Bangi dan ia akan disempurnakan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak lima syarikat bertanggungjawab terhadap pemasangan lampu jalan ini iaitu Electric Setuah, Khidmat Jaya Engineering, Dinurai Trading, ANR Letrik Enterprise dan Zeksha.

Bagaimanapun, Nie Ching berkata, penyaluran bekalan elektrik ke lampu jalan akan mengambil masa lebih sebulan memandangkan perlu memohon lima akaun bagi laluan itu.

“Permohonan dikemukakan dan kita berharap pihak Tenaga Nasional Berhad(TNB) dapat meluluskan permohonan ini secepat mungkin,” katanya dalam satu laporan akhbar hari ini.

Categories
SELANGOR

Bangunan Lama JAIS Klang Diwartakan Bangunan Warisan


KLANG, 6 JULAI : Landskap seni bina bandar Klang akan diperkayakan lagi dengan satu lagi bangunan lama yang akan diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang di Jalan Dato Hamzah berusia genap 100 tahun akan dipelihara kerana sejarah dan seni binanya yang unik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin berkata, bangunan tersebut dibina pada tahun 1912 dan mengalami pelbagai proses perubahan pentadbiran.

Menyingkap kembali sejarah bangunan tersebut Marzuki berkata, bangunan ini pada asalnya merupakan Istana Hinggap Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Suleiman yang merupakan Sultan Selangor pada ketika itu.

“Namun begitu, pada tahun 1941, bangunan ini berpindah milik dan dijadikan markas pemerintahan Jepun dan dikenali sebagai JUNTAI,” katanya.

Katanya, pada tahun 1949, Pejabat Lembaga Bandaran Klang mengambil alih bangunan ini sebagai pejabatnya dan akhirnya pada tahun 1965 diserahkan kepada JAIS.

Walaubagaimanapun, JAIS diarahkan berpindah ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1977 dan bangunan lama ini dijadikan Pejabat Agama Islam Daerah Klang dan Mahkamah Tinggi/Rendah Syariah sehingga tahun 2010.

Marzuki berkata demikian di dalam ucapan ajlis penyerahan bangunan ini kepada PADAT di sini hari ini.

Majlis bersejarah ini dihadiri Orang Kaya Maha Bijaya Klang, Datuk Setia Diraja Abdul Ghani Pateh Akhir, Pengerusi PADAT, Dr Shafie Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Azlinda Azman dan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Klang, Abdul Malek Ramli.

Pengerusi PADAT, Dr Shafie berkata, usaha akan dijalankan bagi memulihara bangunan ini sebagai suatu warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.

“Bangunan ini barangkali sudah ditinggalkan beberapa tahun dan terdapat keuzuran dan kerosakan yang perlu dibaikpulih dan perlu dipelihara sebagai suatu sejarah kerana keunikkannya,” katanya yang juga Adun Bangi.

Selain itu, majlis bersejarah ini juga menyaksikan upacara pertukaran dokumen dan pemberian kunci bangunan diantara JAIS dan PADAT sebagai simbolik kepada penyerahan bangunan ini.

Categories
SELANGOR

Karnival Alam Sekitar Tahun Ini Memperbudayakan Ekonomi Hijau

BANGI, 17 JUN: Karnival Hijau Alam Sekitar sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2012 berlangsung meriah di Taman Tasik Cempaka meskipun dalam suasana hujan.

Acara tahunan yang disambut setiap 5 Jun ini memberikan peluang kepada ibu bapa dan anak-anak beriadah sambil menambah pengetahuan tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Tema tahun ini ‘Green Economy: Does It Include You?’ membawa mesej bahawa green economy boleh menambahbaik kehidupan manusia, mengimbangkan ekuiti sosial dan mengurangkan kepincangan ekologi.

Program hari ini bermula seawal jam 7.00 pagi dengan acara berbasikal sejauh 13 km mengelilingi Bandar Baru Bangi yang disertai lebih 30 peserta dari pelbagai peringkat.

Turut diadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, cabutan bertuah bagi peserta berbasikal, pameran hijau dan persembahan daripada pelajar sekolah.

Pembantu Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Lee Kim Sim hadir merasmikan Karnival Hijau Alam Sekitar mewakili Exco Selangor, Elizabeth Wong.

Hadir sama, Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Siti Zaleha Ibrahim dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman.

Categories
SELANGOR

Dr Shafie : Konsep Interaktif Tarik Masyarakat Lawati Muzium

 

SHAH ALAM 23 MEI: Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Dr Shafie Abu Bakar memberitahu pihaknya kini mempergiatkan usaha menarik minat orang ramai terhadap muzium terutamanya menerusi kaedah teknologi komunikasi.

Usaha ini bagi menyahut saranan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu PADAT mencari inisiatif bagi menarik rakyat mendekati muzium yang terdapat di Selangor.

“Jika kita mahu segala khazanah kita ini dikenali, kita mesti melakukan sesuatu untuk membawa muzium kita kepada rakyat dan bekerja keras untuk menarik minat mereka ini,” jelas Abdul Khalid.

Menteri Besar berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Muzium Sultan Alam Shah di sini.

Mengulas lanjut tentang perancangannya, Dr Shafie berkata, selain menambah koleksi terbaru dan menarik di muzium, pihaknya juga akan menggunakan medium komunikasi seperti ‘facebook’ untuk membawa muzium terus kepada masyarakat agar mereka kenal dan tahu apa yang terdapat di dalam muzium.

“Selaras dengan kecanggihan teknologi terkini, kami juga dalam rangka kerja untuk memperkenalkan muzium sukan yang berkonsepkan interaktif, contohnya, pengunjung boleh bermain bola tanpa perlu menendang bola sebenar.

“Kami juga akan menyediakan ruang-ruang kedai sukan di dalamnya untuk menjadikannya lebih dari sekadar muzium, yang mana di samping berehat mereka juga dapat melakukan aktiviti membeli-belah di dalam premis yang sama,” ulas Dr Shafie.

Majlis tersebut turut dihadiri Exco Adat Melayu, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Azlinda Azman.

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat negeri akan berlangsung selama enam hari bermula 22 Mei sehingga 26 Mei ini bertempat di Muzium Sultan Alam Shah.

Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor – Episod 12 : Silat dan Filem,Karnival Hijau Kajang,Ibu Tunggal dan Kebaya Selangor

Apa Khabar Selangor EPISOD 12 (Bahagian 1 & 2)

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 2 Mei 2012, Rabu, jam 12 tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama.

Segmen 1: Silat dan Filem
Segmen 2: Karnival Hijau Kajang bersama YB Lee Kim Sin

 

Apa Khabar Selangor EPISOD 12 (Bahagian 3 & 4)

Segmen 3: Pemberdayaan Ekonomi Ibu Tunggal
Segmen 4: Kebaya Selangor (PADAT)

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat Terima Notis Borang 5A

HULU LANGAT, 22 APR : Bukti janji Pakatan Rakyat yang membela nasib rakyat tanpa kira agama, bangsa dan fahaman politik sekali lagi terserlah hari ini di dalam satu majlis pemberian hak milik tanah di sini.

Beberapa peneriman notis borang 5A atau kelulusan pemilikan tanah, menceritakan bagaimana mereka sudah berkali-kali memohon hak milik daripada pentadbiran Umno-BN dulu.

“Saya sudah mengemukakan permohonan sebanyak tiga kali dan pemerintahan kerajaan dahulu (Barisan Nasional) sudah masuk dua penggal tetapi tiada apa-apa tindakan sehinggalah Pakatan Rakyat mengambil alih,” kata Thamaselvam Chelliah, 54, seorang penerima notis 5A.

Thamaselvam berkata beliau menunggu lebih dari 20 tahun untuk menerima hak pemilikan tanah yang didudukinya.

Begitu juga Lim Choo On, 60, yang sudah tinggal di kampung tersebut melebihi 20 tahun.

“Kalau dahulu semasa pemerintahan BN, terlalu banyak karenah dan mesti menyokong BN tetapi pentadbiran Menteri Besar telus dalam menangani masalah rakyat,” katanya.

Thamaselvam dan Choo On antara 55 penduduk yang menerima Notis 5A dari Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di padang Taman Titiwangsa, Kampung Sungai Makau di sini.

Turut hadir Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ean Yong Hian Wah, MP Che Rosli Che Mat, Adun Bangi, Shafie Abu Bakar,  Pegawai Daerah Hulu Langat, Haris Kasim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyerahkan surat hak milik kepada 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi yang berjaya menjelaskan premium setelah menerima notis borang 5A.