Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,027 pesakit terima manfaat skim rawatan jantung

SHAH ALAM, 29 JULAI: Seramai 1,027 pesakit jantung menjalani rawatan di bawah Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor (SRJNS) dengan pembiayaan RM15.9 juta sejak dua tahun lalu.

Pengurus SelCare Management Sdn Bhd Shafique Danial Johari berkata seramai 518 pesakit menerima rawatan secara percuma pada 2018 membabitkan kos RM9.8 juta.

“Pesakit yang mendapat manfaat skim ini pada 2019 pula seramai 333 orang dengan nilai keseluruhan RM4,395,782.45, manakala untuk tahun ini seramai 176 pesakit direkodkan setakat ini membabitkan kos RM1,741,882.62.

“Bagaimanapun, jumlah untuk tahun ini sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan perkhidmatan rawatan kepada pesakit di hospital,” katanya kepada SelangorKini.

SRJNS dilancarkan pada 26 Februari 2018 dengan menawarkan rawatan jantung secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Skim yang dibiayai Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi khidmat kesihatan bersepadu kepada rakyat memandangkan kos rawatan bagi penyakit ini semakin meningkat.

Categories
SELANGOR

Sasar 500 pesakit jantung terima rawatan SRJNS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Sembilan pesakit jantung menjalani rawatan jantung di bawah Program Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor (SRJNS) dengan pembiayaan sebanyak RM44,132.20 sehingga 18 Mac selepas tiga minggu dilancarkan pada 26 Februari lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, menerusi SRJNS itu, Kerajaan Negeri menyasarkan 500 pesakit jantung akan menerima manfaat di bawah program itu.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta setahun bagi menjayakan program itu yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Skim ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang lahir di Selangor atau menetap di negeri ini melebihi 10 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih melebihi RM8,000 sebulan.

“Pesakit jantung yang menepati kriteria boleh membuat permohonan kepada pihak Selcare Management Sdn Bhd (SELCARE) yang akan bertindak selaku Third Party Administrator (TPA) untuk mendapatkan ‘Guarantee Letter’ sebelum mendapatkan rawatan di Insitusi Jantung Negara (IJN),” katanya.

Beliau berkata demikian di Sidang Dewan Negeri bagi menjawab pertanyaan Ng Suee Lim-Sekinchan.

Terdahulu, Selangor terus proaktif dalam memberikan kesihatan bersepadu kepada rakyatnya menerusi skim terbaru, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bagi membantu pesakit jantung menerima rawatan terbaik memandangkan kos rawatan semakin meningkat ketika ini.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, maka pihaknya mengambil inisiatif untuk membantu pesakit Selangor khususnya dalam kalangan B40 dan M40 untuk mendapatkan perkhidmatan serta rawatan jantung berkualiti dibiayai Kerajaan Negeri.

“Skim itu adalah sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu (integrated healthcare scheme) bagi memperluaskan skop perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Selangor,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Skim Rawatan Jantung bukti Selangor prihatin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Skim Rawatan Jantung Selangor yang dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini membuktikan Kerajaan Negeri prihatin terhadap kesihatan rakyat.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Selangor terus berkeyakinan melangkah setapak ke hadapan dalam memastikan aspek kesihatan rakyat menjadi keutamaan.

“Skim rawatan jantung ini sebahagian langkah proaktif Kerajaan Negeri ke arah melaksanakan Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu berkualiti untuk rakyat.

“Inisiatif ini dapat membantu kos rawatan hampir 500 pesakit mendapatkan perkhidmatan serta rawatan jantung berkualiti yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri melalui kerjasama strategik bersama Institut Jantung Negara (IJN),” katanya dalam kenyataan.

Dr Daroyah berkata, skim itu terbuka kepada pesakit kategori B40 yang merupakan anak kelahiran Selangor atau bermastautin melebihi 10 tahun, di negeri ini.

Pada masa sama, beliau berkata, ahli skim Peduli Sihat turut layak memohon dengan mendapatkan pemeriksaan dan pengesahan daripada doktor di klinik panel Peduli Sihat sebagai pesakit jantung terlebih dahulu sebelum mengisi borang yang boleh dimuat turun di www.pedulisihat.com.

“Dengan peruntukan RM10 juta menerusi Belanjawan Selangor 2018 lalu yang dikongsi bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), skim ini turut diperluaskan kepada golongan M40.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri sudah memulakan program Dialisis Selangor, Bantuan Sihat Selangor, Saringan Sihat Selangor, Skim Kesihatan Wanita MammoSel,” katanya.

Katanya, pelaksanaan Skim Peduli Sihat pula sebagai satu skim perlindungan rawatan kesihatan asas yang kini diperhebatkan dengan suntikan vaksin pneumokokal dan terbaru insuran kesihatan untuk penjawat awam.

“Antara penjagaan kesihatan lain yang akan turut diberi perhatian adalah kesihatan mental dan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser,” katanya.