Categories
SELANGOR

Skuad PANTAS dan bomba bergabung bersih banjir lumpur

OLEH AFIX REDZUAN

JENJAROM, 3 OKT: Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Daerah Kuala Langat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat bekerjasama membersihkan jalanraya kesan banjir lumpur di Bandar Saujana Putra, semalam.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat awam dan segera menggerakkan anggota Skuad PANTAS ke Jalan SP 9/32, Bandar Saujana Putra.

“Setelah banjir surut, jalanraya dipenuhi lumpur akibat daripada hujan lebat yang berterusan selain daripada runtuhan dinding penahan lereng berdekatan taman perumahan.

“Runtuhan tersebut juga menyebabkan air hujan mengalir memasuki kawasan taman perumahan dengan membawa sekali lumpur kesan daripada tanah lereng bukit,” katanya dalam kenyataan.

Operasi bermula sekitar jam 10.00 malam dan berakhir enam jam kemudian itu membabitkan kekuatan tujuh anggota PANTAS dengan dua pacuan empat roda (4×4), sebuah kenderaan pelbagai guna dan sebuah jentolak digunakan dalam operasi tersebut.

Selain itu, bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar, operasi turut dibantu tujuh anggota Balai Bomba Telok Panglima Garang serta lima kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) MDKL bergabung membersihkan jalan tersebut.

“Di peringkat awal, PANTAS dan JPSPKP menjalankan kerja-kerja membuang lumpur dibantu sebuah jentolak MDKL.

“Setelah selesai, anggota-anggota Bomba pula melakukan penyiraman ke atas jalanraya bagi memastikan jalan tersebut bebas daripada lumpur yang boleh membahayakan pengguna jalanraya di kawasan tersebut,” katanya.

Mohamad Zain berharap agar penduduk di daerah itu sentiasa berhati-hati dalam keadaan cuaca dan hujan lebat yang tidak menentu.

Beliau juga berharap orang awam menyalurkan maklumat segera sekiranya berlaku bencana alam seperti pokok tumbang akibat hujan lebat, angin kencang dan banjir.

Categories
SELANGOR

Skuad PANTAS MDKL sentiasa bersedia hadapi bencana

Oleh : HAFIZAN TAIB

BANTING, 26 SEP: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menerusi skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana di kawasan seliaannya.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata komiten itu diambil bagi menjamin keselamatan orang awam selain memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.

mohd azhar mohd ali mdkl“Kami sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlaku bencana seperti kejadian pokok tumbang dan kebakaran.

“Skuad Pantas MDKL juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Malaysia, Jabatan Perhutanan dan JKR Kuala Langat dalam usaha memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa bencana,” katanya.

Sebelum ini, MDKL menjalankan tindakan segera memotong dan mengalih pokok tumbang di kawasan perindustrian Telok Panglima Garang.

POKOK TUMBANGKejadian berpunca dari sebatang pokok tumbang menghempap pokok berhadapan sehingga masuk ke dalam kawasan kilang.

Sementara sebatang pokok besar turut tumbang menghalang sepenuhnya laluan dari Jalan Waja menuju ke Kampung Sijangkang.

Operasi pembersihan membabitkan 13 batang pokok itu digerakkan melalui skuad Pantas MDKL diketuai Pegawai Penyelaras, Miskon Karim, bersama kira-kira 10 anggota Pantas dengan kerjasama JKR Kuala Langat membabitkan jengkaut dan lori.

Dalam pada itu, Azhar menasihatkan arang ramai untuk lebih berwaspada ketika memandu dalam keadaan cuaca tidak menentu yang boleh mengundang risiko pokok tumbang.

-NR-