OLEH NORHAYATI UMOR
KUALA LANGAT, 20 APR: Bangunan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) yang dinaiktaraf dijangka siap, Januari 2020.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembinaan bangunan baru itu menelan kos RM39 juta.
Katanya, terdapat keperluan untuk membina bangunan pejabat MDKL yang baharu memandangkan bangunan asalnya didirikan sejak 1989.
“Kuala Langat kini semakin rancak membangun dan kapasitinya juga agak terhad.
“Oleh itu, bagi memastikan MDKL berfungsi lebih efisyen, kita memastikan pembinaan bangunan baru dilaksanakan.
“Kos sebenar pembinaan ini adalah RM43 juta, namun dengan dasar Kerajaan Negeri yang mengamalkan tender terbuka, kos ini hanya RM39 juta,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Majlis Daerah Kuala Langat dan Penyerahan Lori Arm Roll, di sini.
Sementara itu, Yang DiPertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, bangunan asal MDKL kini tidak mampu untuk menampung pertambahan kapasiti bilangan kakitangan dan ruang kerja yang sempit.
Katanya, dengan adanya bangunan baru itu nanti, ia dapat memberi perkhidmatan lebih baik dan keselesaan kepada pelanggan serta kakitangan.
“Bangunan baru sembilan tingkat ini dibina di atas tanah milik MDKL dan terdapat kemudahan infrastruktur sedia ada.
“Konsep reka bentuk dicadangkan mencerminkan imej MDKL sebagai pihak berkuasa tempatan dan mewujudkan landmark baru yang moden serta terkini,” katanya.
MDKL ketika ini beroperasi di bangunan pejabat di Persiaran Majlis selain di tiga lokasi berasingan sekitar Banting.